09/08/2015

Tok Jib: Saya Tak Mahu Yes Man

1) Dua pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tiba-tiba diarah tukar serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri.

2) Seorang adalah boss komunikasi SPRM yang sehari sebelum dipindahkan telah menerima kunjungan hormat ahli-ahli Parlimen pembangkang dan seorang adalah boss bahagian siasatan berprofil tinggi yang terlibat dengan siasatan pengaliran wang sebanyak RM42 Juta daripada SRC International yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB ke akaun Perdana Menteri. 

3) Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional telah kata dia tidak bersetuju dengan pemindahan tergesa-gesa itu. Khairy kata dia sanggup hilang jawatan Menteri kerana pendiriannya itu.

4) Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang menjaga isu-isu seperti integriti, rasuah dan pentadbiran cekap turut menyatakan rasa tidak wajar pegawai-pegawai tinggi SPRM itu dipindahkan. 

5) Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang dulu menjaga isu-isu Parlimen dan kini hal-hal berkaitan bencana alam turut melahirkan rasa terkejut dengan pertukaan itu dan berasa tidak gembira.

6) Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Datuk Johan Jaafar pula mahu pihak berkuasa memulangkan semula (bekas) Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan (bekas) Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaacob ke SPRM semula.

7) Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Shukri Abdull berkata "Bagi balik orang SPRM, ambil saja saya" dan "Pegawai saya bertindak atas arahan saya." Untuk rekod, Shukri adalah orang nombor dua di dalam SPRM dan secara teorinya sedang menjadi "boss" SPRM kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan bercuti dan akan menjalani satu pembedahan berisiko tinggi akibat masalah belakang badan. 

8) 3 Menteri bersuara, seorang Pengerusi panel penasihat bebas SPRM bersuara dan orang besar SPRM bersuara. Tidak masuk lagi berbelas ahli Parlimen dan beribu-ribu (mungkin berpuluh ribu atau beratus ribu) rakyat juga bersuara sama ada di media massa atau media sosial. 

9) Perdana Menteri pada 8 Ogos di Kuala Lumpur kata beliau bukan seorang Presiden parti (pemimpin) yang mahukan semua pemimpin menjadi "yes man" kepadanya. 

10) Jadi, apa lagi ? Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, sekurangnya dengarlah respon lima pihak di atas (rujuk fakta nombor 3 hingga 7) jika respon kami rakyat biasa tidak cukup "umphh."

No comments:

Post a Comment