07/08/2015

20 Billion Dollar "Lesap" = Malaysia Miskin RM78 Billion

1) "Prestasi" Ringgit Malaysia untuk tahun 2015 setakat awal Ogos adalah yang TERBURUK di Asia.

2) Kadar RM3.92 untuk setiap USD1 pada 7 Ogos adalah yang terburuk (termahal) sejak 2 September 1998, sehari sebelum Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad "menggegarkan" DUNIA dengan rangkaian program kawalan matawang ala Malaysia yang salah satunya ialah menambat (menetapkan) kadar RM pada kadar 3.80 untuk setiap USD1. Ianya kekal selama kira-kira 7 tahun sebelum diapung (float) semula.

3) Krisis kewangan Asia 1997/98 telah dihadapi Malaysia dengan penuh semangat. 

4) Dr. Mahathir mengakui dan memaklumkan seluruh rakyat bahawa kita sedang berdepan masalah dan beliau menghebahkan setiap langkah dan strategi Kerajaannya dalam memperbaiki keadaan.

5) Walaupun Dr. Mahathir memecat Timbalannya (Anwar Ibrahim) pada 1 September 1998, majoriti rakyat Malaysia masih memberi kepercayaan kepadanya untuk memulihkan Ringgit dan ekonomi negara.

6) Sambutan Merdeka 1997 dan 1998 menjadi medan rakyat bersatu dalam berdepan dengan krisis yang dipercayai berlaku akibat daripada permainan kumpulan gergasi spekulator matawang asing yang mengambil untung daripada manipulasi matawang.

7) Rezab (simpanan) antarabangsa Malaysia telah susut kira-kira USD20 Billion sepanjang 7 bulan pertama 2015. Kalau dikira pada kadar RM3.90 untuk setiap USD1, Malaysia telah "MISKIN" sebanyak RM78 Billion dalam masa 7 bulan !

8) Rezab negara terpaksa digunakan untuk tujuan MENJUAL US Dollar dan MEMBELI Ringgit bagi menstabilkan nilai RM kepada USD. Andai itu tidak dijalankan maka jelas bahawa nilai RM sebenarnya telah lebih teruk daripada sekarang, mungkin sekitar RM4 - RM4.10 / USD1. 

9) Ada tiga sebab kenapa Ringgit semakin lemah. Satu bersifat objektif. Satu bersifat spekulatif. Satu lagi bersifat subjektif.

- Objektif: Kejatuhan harga komoditi yang menjadi bahan eksport utama Malaysia (petroleum, sawit, getah).

- Spekulatif: Kemungkinan besar bahawa pihak Amerika Syarikat ( Federal Reserve) akan menaikkan kadar faedah (interest rates) pada September.

- Subjektif: Keadaan politik dan pentadbiran negara yang begitu tidak stabil akibat daripada kontroversi melibatkan 1MDB, "derma" RM2.6 Billion, siasatan dana RM42 Juta yang "mengalir" masuk daripada asalnya di SRC International ke akaun Perdana Menteri dan publisiti buruk media antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

10) Tiga faktor ini semakin menghimpit nilai Ringgit. Tidak masuk lagi data yang menunjukkan kira-kira RM11 Billion nilai pelaburan asing di Bursa Malaysia telah "keluar" setakat akhir Julai, jauh daripada nilai RM5 - RM6 Billion yang "keluar" untuk keseluruhan tahun 2014. Makin banyak "keluar" lagi jatuhlah nilai Ringgit.

No comments:

Post a Comment