06/08/2015

"DERMA" RM42 Juta

1) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa mereka masih meneruskan siasatan akan dakwaan adanya wang berjumlah RM42 Juta yang telah disalurkan ke akaun peribadi milik Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak.

2) Duit itu dikatakan berasal daripada SRC International. Syarikat ini dimiliki Kementerian Kewangan. Sebelum itu ianya adalah di bawah 1MDB, sebuah syarikat pelaburan yang juga di bawah kuasa Menteri Kewangan.

3) Tuduhan mengatakan bahawa ada dua transaksi pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 yang keseluruhannya sekitar RM42 Juta telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri. Katanya, ia adalah duit berbentuk "social corporate responsibility (CSR)." Bahasa mudahnya, duit bagi tujuan derma pihak korporat  untuk tujuan kebajikan sosial. Persoalannya, syarikat yang membuat hutang berbilion Ringgit, murah hati pula 'menderma' duit berpuluh juta Ringgit.

4) Kronologi dakwaan duit RM42 Juta masuk ke akaun Perdana Menteri seperti berikut:

- SRC International mendapat pinjaman RM4 Billion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen.

- SRC salurkan RM50 Juta kepada sebuah syarikat bernama Gandingan Mentari (derma ?).

- Gandingan Mentari salurkan RM50 Juta kepada sebuah lagi syarikat bernama Ihsan Perdana (derma ?).

- Ihsan Perdana salurkan RM42 Juta ke akaun peribadi Perdana Menteri (derma ?).

5) Jika dakwaan pertama melibatkan RM26 000 000 000 (RM2.6 Billion) yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri telah disahkan sebagai DERMA daripada penderma 'Arab,' maka RM42 Juta ini pula masih belum terjawab. Dakwaan RM42 Juta ini lebih 'jelas dan teratur' kerana sumber dan pihak yang terlibat telah dinyatakan secara terperinci oleh pihak yang membuat dakwaan. SPRM masih menyiasat dan semua pihak wajar memberikan sokongan penuh kepada mereka supaya siasatan dapat diselesaikan dengan cepat kerana ianya melibatkan nama baik seorang Perdana Menteri. Jika dakwaan itu salah, maka bukti perlulah dikemukakan SPRM dan jika dakwaan itu betul, maka Perdana Menteri perlulah mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang yang benar.

No comments:

Post a Comment