1) Jiwa saya naik sakit apabila memikirkan benda gila yang berlaku di NEGARAKU sekitar sambutan Merdeka 2015 ini.
DERMA
2) Saya sudah hilang percaya pada Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak. Dia cuba membodohkan rakyat dengan berkata RM2.6 Billion yang "masuk" ke dalam akaun peribadinya adalah DERMA. Derma Pak Arab. Pak Arab mana, negara mana masih tidak dijelaskan. Ke mana diguna juga tidak terjawab.
3) Ada orang Najib kata derma itu kerana sumbangan Malaysia dalam menentang keganasan, ada pula kata ianya sebagai menghargai Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana.
4) Yang pelik, jika ianya adalah untuk UMNO kerana penghargaan itu dan ini, mengapa tidak masuk saja ke akaun rasmi parti ?
5) Lagi pelik kenapa Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi tidak pernah tahu sehinggalah Wall Street Journal "bongkar rahsia" pada awal Julai 2015 ? Transaksi berlaku pada tahun 2013 dan akaun itu juga sudah ditutup pada tahun yang sama.
6) Dikatakan sejumlah besar daripada RM2.6 Billion itu sudah dipindahkan semula ke akaun awalnya di Singapura. Kalau ianya untuk UMNO kenapa perlu dipindah semula ke Singapura ?
1MDB
7) Pembubaran pasukan petugas khas menyiasat salah laku korporat 1MDB diketuai Peguam Negara "dipecat" Abdul Ghani Patail dengan dianggotai Polis, Bank Negara dan SPRM ternyata mengejutkan Malaysia dan dunia.
8) Mohd. Najib turut "pecat" Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Mohd. Shafei Apdal kerana mereka terlalu "banyak bertanya" pasal 1MDB dan derma RM2.6 Billion.
9) Empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) daripada Barisan Nasional yang juga sedang menyiasat 1MDB selaku wakil neutral Parlimen kerana turut dianggotai wakil Pembangkang "dinaikkan pangkat" sebagai Timbalan Menteri.
10) Prosiding "perbicaraan" 1MDB yang sepatutnya aktif pada awal Ogos jadi lumpuh tanpa korum yang sepadan kerana tiada ketua.
11) Tiba-tiba Pengarah Cawangan Khas (Special Branch) Polis digantikan. Timbalan Pengarah kini turut ditukarkan. Ada juga cubaaan untuk menukarkan pegawai-pegawai kanan SPRM yang sedang menyiasat isu duit RM42 Juta yang asalnya daripada bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International mengalir ke akaun Mohd. Najib.
12) SRC International sewaktu menjadi anak syarikat 1MDB mendapat hutang RM4 Billion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Selepas itu SRC jadi syarikat di bawah kawalan terus Kementerian Kewangan yang Mohd. Najib jadi Menteri.
13) Ramai pula penyiasat di SPRM, Bank Negara dan pejabat Peguam Negara ditahan polis, disoal-siasat dan digeledah pejabat juga rumah atas alasan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan. Gila bunyinya !
14) Perdana Menteri turut berhutang penjelasan dengan rakyat apabila telah "terbohong" mengatakan duit 1MDB sebanyak anggaran RM4 Billion yang asalnya "dilabur" di Cayman Islands telah "di bawa balik" tetapi diletakkan pula di Singapura. Menjadi bahan lawak apabila pihak bank terbabit di Singapura menafikan ada WANG dimasukkan. Jadi mana duitnya ?
BERSIH
15) Perhimpunan "haram" BERSIH 4.0 tetap diadakan selama 34 jam di sekitar Dataran Merdeka sehingga detik 12 malam 31 Ogos.
16) BERSIH 4.0 digerakkan secara aktif oleh pembesar-pembesar DAP dan PKR, "orang-orang kecewa" PAS yang kini guna nama seketika "Gerakan Harapan Baru" turut ada tetapi gagal membawa penyokong yang ramai. Akhirnya, 80% yang hadir ialah kaum Cina sahaja. Ternyata BERSIH sebelum ini PAS berjaya mainkan peranan besar hingga kelihatan majoriti besar yang sokong hadir ialah orang Melayu.
17) Objektif BERSIH 4.0 mahu Mohd. Najib berundur dan kebebasan institusi seperti badan pencegahan rasuah dan pilihan raya bolehlah dikatakan ada logik dan kewajarannya.
18) Yang jadi persoalan, mengapa perlu pilih 29-30 Ogos di kala waktu itu Malaysia seharusnya bersatu dan bertenang demi menghormati dan mensyukuri erti Merdeka ? Pilihlah seminggu sebelum atau seminggu selepas Merdeka. Kenapa kurang ajar sangat ?
19) Bersyukur kerana BERSIH 4.0 berakhir dengan aman tanpa kelampauan melebihi batasan. Tetapi tetap ada aksi tidak bertamadun peserta yang bersorak macam orang gila dengan MEMIJAK gambar Perdana Menteri dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Protes kepada Perdana Menteri memang ada kewajarannya tetapi bersikap bodoh dan kurang ajar seperti itu amat menyedihkan. Dikhuatiri ianya boleh menjadi isu perkauman.
KESIMPULAN
20) Saya tetap anak Malaysia yang cukup sayangkan negara ini. Saya tidak sokong pemimpin yang membawa masalah dan bertindak dengan benda-benda yang cuba membodohkan rakyat. Saya juga tidak menyokong sebarang perhimpunan haram yang jelas sengaja mahu bikin masalah dan tidak tahu membezakan di antara keperluan untuk tidak menyokong seseorang dengan PENTINGNYA berlapang hati juga bersabar sebentar demi menghormati Hari Kebangsaan Malaysia tercinta ini.
No comments:
Post a Comment