03/01/2017

Kisah Darjah Satu: Aku Budak Pemalu, Budak Penakut !

1) Masuk Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman, Segamat, Johor adalah sesuatu yang MENGERIKAN bagi saya !
2) Saya tidak pernah ada pengalaman sekolah Tabika, sejak lahir sampai usia enam tahun yang jadi 'Cikgu' saya ialah Atok Pah (nenek). Saya tidak pernah berpisah walau sekejap dengan Atok Pah, Encik dan Emak.
3) Maka jadilah saya budak pemalu, budak penakut dan budak lembik yang merasakan masuk sekolah itu adalah sesuatu yang BERHANTU, GILA dan PENDERAAN JIWA terhebat !
4) Pagi itu, badan saya sejuk, sesejuknya ! Encik hantar saya daftar sekolah. Saya pelok Encik seeratnya sepanjang perjalanan dari Kampung Alai ke bandar Segamat kira-kira lima kilometer itu. Sejuk sungguh membonceng Vespa yang ditunggang Encik !
5) Encik tunggu di luar bilik darjah, mata saya asyik melihat ke luar sama ada Encik ada atau tiada. Bila saya tengok dia tiada, saya jadi takut ! Tapi saya tidak menangis. Kenapa ? Sebab saya ini budak penakut dan budak pemalu tahap tertinggi. Saya takut Cikgu marah kalau saya menangis ! Saya takut Cikgu akan 'makan' saya kalau saya keluar cari Encik ! Lebih penting, saya takut Encik marah saya kalau saya lari cari dia. Kerana saya ini budak penakut, budak pemalu, maka saya hanya duduk dalam kelas seperti BATU yang keras dengan satu badan sejuk. Saya rasa seperti teramat lama duduk di dalam kelas itu ! Kenapa hari tidak malam-malam lagi fikir saya, macam sudah seminggu duduk di kerusi itu !
Syukur kepada TUHAN, budak pemalu dan penakut itu tidak selamanya PEMALU dan PENAKUT. Berikan saya Stadium Nasional dan Dataran Merdeka, akan saya jeritkan 'Aku Tidak Takut, Aku Tidak Gentar !'

No comments:

Post a Comment