11/01/2016

Soalan Bapa Saya Tentang Bisnes Billion Billion 1MDB

1) Balik kampung hujung minggu memang jadi medan saya bercerita pada Encik saya pasal isu-isu semasa.
2) Kalau saya kecil dulu di era awal 1990an, Encik mesti suruh saya dengar dia bercerita pada saya pasal isu-isu semasa. Sambil dia baca surat khabar atau waktu tengah minum-minum maka saya yang masih di peringkat awal sekolah rendah kenalah dengar.
3) Maka masa era tahun 1991, 1992 hingga akhir sekolah rendah jadilah saya seorang pendengar setia Encik. Antara 'kisah-kisah' yang saya jadi pendengar kepada 'analisa Encik Ahmad Yusoff' ialah tentang Anwar Ibrahim mahu rebut jawatan Timbalan Presiden UMNO daripada Encik Ghaffar Baba (Dialah 'Encik' paling tinggi jawatannya di Malaysia), sukan Olimpik Barcelona 1992 yang mula-mula badminton dipertandingkan, si Mona Fandey yang 'kerat' ADUN, Iraq cuba takluk Kuwait, Yasser Arafat dan perjuangan PLOnya di Palestin, Nelson Mandela bakal jadi Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan, Abbas Saad dan Alistair Edwards yang menguatkan pasukan bola Johor dan banyak lagi. Tak lupa ada skandal Rahim Tamby Chik ! Analisis Encik saya dengar dan saya fahamkan. Encik kadang-kadang jadi juruanalisis saham Telekom juga. Jadi saya belajar baca 'jadual' harga saham dan turun naiknya waktu Darjah 3 atau Darjah 4.
4) Jadi, Enciklah Cikgu pertama saya untuk bidang agama, politik, ekonomi, kewangan, sejarah, sukan dan hiburan ! Dia bawa saya ke ceramah PAS (dia pro Barisan !) dan dia bawa saya juga ke konsert Ukays di Segamat. Saya ingat !
5) Sekarang Encik akan menanti setiap minggu untuk saya 'update'kan dia dengan isu-isu 'besar' negara. Dia tidak mahu hanya dengar apa TV3 atau RTM mahu cakap. Jadi saya kena 'bersedia' setiap kali balik Segamat untuk memahamkan Encik apa yang berlaku. Pasal 1MDB jual sebahagian saham tanah di Sungai Besi pada sebuah konsortium yang ada syarikat dari negara China, Encik tanya soalan ini:
- Kalau dah hutang RM48 Billion, duit tu buat apa ?
- Kenapa baru beli tanah sudah mahu jual pula ?
- Lepas jual itu ini, apa bisnes 1MDB ?
- Hutang banyak, bisnes jalan atau tidak ?
- Kenapa jual pada syarikat China, syarikat Malaysia mana ?
- Hutang 1MDB ada lagi, apa lagi boleh jual ?
Mungkin Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan semua penyokong kuat Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak boleh tolong jawabkan soalan Encik saya ini. Silakan ....

No comments:

Post a Comment