23/12/2016

Najib = Trump: Yang Menang Adalah Yang Kalah

1) 2013: Orang Malaysia Tidak Mahu Najib, Najib MENANG.

2) 2016: Orang Amerika Tidak Mahu Trump, Trump MENANG.

3) Pilihanraya tahun 2013, Barisan Nasional (BN) pimpinan Pengerusinya Mohd. Najib Abdul Razak menang kerana dapat lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat (DAP, PKR & PAS). Ikut jumlah undi terkumpul, BN sudah "dibuang" majoriti rakyat. BN hanya dapat sekitar 48% undi berbanding 52% yang memilih Pakatan. Tapi itulah kaedahnya mengikut undang-undang. Kerusi banyak maka dialah yang menang.

4) Pemilihan Presiden Amerika 2016 pula menyaksikan Donald Trump bakal mengangkat sumpah Presiden pada 20 Januari 2017 nanti. Hakikatnya, Hillary Clinton yang lebih menjadi juara "sebenar" kerana diundi oleh 48% pengundi berbanding Trump sebanyak 46%. Kira-kira 6% pengundi memilih calon-calon lain yang tidak berapa dikenali. 2% beza di antara Clinton dan Trump itu adalah hampir 3 juta undi ! Clinton lebih popular 3 juta undi berbanding "Presiden" Trump yang menang. Di Amerika, pemenang dipilih berdasarkan siapa yang dapat lebih banyak "undi elektoral." Unik tetapi tidak berapa "demokratik" walaupun Amerika iktiraf diri mereka sebagai negara paling demokratik di dunia.

5) Jadi keadaan adalah sama di antara Malaysia dan Amerika. Yang menang adalah yang tidak disokong majoriti rakyat.

#bersatu #beramanah #bermaruah

22/12/2016

China Bagi Hutang Untuk China Dapat Projek Supaya China Senang Angkut Barang Ke China ?

1) Projek Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) dengan kos RM55 Bilion untuk jarak 688 kilometer (anggaran kasar RM80 Juta setiap satu kilometer !) akan hubungkan Pelabuhan Klang di pantai barat dan Pelabuhan Kuantan di pantai timur.

2) Kontrak projek diberikan kepada China Communications Construction (CCC) dari China dengan kosnya sebanyak RM55 Bilion itu juga dibayar dengan kaedah hutang mudah juga datangnya dari China.

3) Syarikat Guangxi Beibu Gulf International Port Group juga dari China adalah pemilik 40% kepentingan Pelabuhan Kuantan.

4) Kepentingan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan penghubung timur dan barat telah kita pelajari sejak zaman sekolah lagi. Nampaknya negara China cukup bijak mengambil peluang yang ada.

5) Kapal singgah di Pelabuhan Klang, keretapi kargo menunggu. Terus "kargo-kargo" dipindahkan ke Pelabuhan Kuantan lalu kapal lain bawa terus ke China dan begitulah sebaliknya. Jimat masa, jimat kos, jimat perjalanan ! Ini namanya China dapat projek, China bagi hutang, China tolong China, kita bayar hutang 3 atau 4 keturunan !

21/12/2016

Barisan Akan Menang Pilihan Raya

1) Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA kata Barisan Nasional (BN) akan terus perintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti. BN akan menang !

2) Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan juga bekas Timbalan Menteri di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad itu yakin bahawa 90% orang sudah tidak suka pada Perdana Menteri Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak.

3) Ianya agak pelik tetapi itulah yang dirasakannya, walaupun majoriti rakyat sudah tidak boleh terima PM tetapi BN yang diketuai Mohd. Najib akan menang PRU.

4) Apa yang Ibrahim cakap memang ada 'logiknya.' Seandainya UMNO tetap menang banyak kerusi terutamanya di kawasan kampung dan Felda, harapan 'Pakatan Harapan + Pribumi Bersatu akan hanya tinggal 'harapan.'

5) Di satu sudut lain, Ibrahim seolah cuba 'mengusik' parti-parti yang menentang UMNO-BN supaya segera bersatu hati dan 'ambil kesempatan' terbaik bahawa 90% rakyat sudah ada persepsi negatif kepada Presiden UMNO - ANDA ADA PELUANG BESAR UNTUK MENANG, jangan buang masa dan jangan ego sangat ! Satu lawan satu, kalahlah BN !

20/12/2016

Rompakan "Bilion-Bilion" 1MDB Popularkan Malaysia

1) 26 Januari 2016: Peguam Negara Mohamed Apandi Ali kata US$681 Juta yang masuk ke akaun Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak (popular dengan sebutan RM2.6 Bilion) adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi. Apandi kata US$620 Juta telah DIPULANGKAN semula pada Ogos 2013 selepas diterima pada awal 2013.

2) 29 Januari 2016: Pendakwaraya Switzerland mengatakan ada "petunjuk kuat" bahawa sekitar RM16 Bilion (US$4 Bilion) duit 1MDB telah disalahguna.

3) 31 Mac 2016: Pendakwaraya di Luxembourg mengesahkan siasatan terhadap 1MDB dimulakan kerana wujudnya 'petunjuk jelas' penyelewengan dan penggubahan haram di dalam syarikat-syarikat berkaitannya melalui akaun-akaun di Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

4) 24 Mei 2016: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura mengarahkan penutupan sebuah bank berkaitan BSI Bank Switzerland dan didenda US$9.7 Juta kerana melanggar undang-undang penggubahan wang haram melibatkan duit 1MDB. "Bantuan" memudahcara duit 1MDB disalurkan ke sana dan ke mari dengan tujuan rompakan ?

5) 20 Julai 2016: Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mengumumkan kira-kira RM14 Bilion (US$3.5 Bilion) duit berasal daripada 1MDB telah diseleweng dan digubah secara haram. RM4 Bilion digunakan untuk pembelian kediaman eksklusif, lukisan mewah dan perjudian. Hampir US$700 Juta (RM2.6 Bilion ?) pula disalurkan terus ke akaun Malaysian Official 01 (MO1).

19/12/2016

100 Hari Parti Pribumi Bersatu Malaysia



1) Saya tidak berapa suka mendedahkan PARTI saya kepada orang ramai.

2) Bukan juga di FB kerja saya untuk serang parti itu serang orang ini.

3) Saya tidak mencari musuh dalam politik mahupun musuh di FB. Tapi saya sedar ramai sahabat lama, kenalan FB dan yang bertaraf YB-YB pihak Kerajaan sudah tidak memberi respon walaupun sekadar "like" sebarang "posting" 5 poin saya. 

4) Mereka semuanya adalah orang Barisan Nasional (BN) yang dahulu memang tahu saya ini penyokong kuat BN. Tapi saya pastikan bahawa apa jua "posting" 5 poin saya adalah atas nama kebenaran, berniat baik dan jauh daripada berbau fitnah mahupun rekaan politik. Saya yakin mereka membaca apa jua yang saya paparkan di FB ini dan mereka sendiri tahu mereka tidak mampu mahu "melawan" apa jua hujah saya. Maka mereka hanya mampu lihat dan senyap.

5) Parti saya hari ini tepatlah berusia 100 hari. Saya berdoa moga perjuangan saya dan parti ini dirahmati dan sentiasa dilindungi TUHAN YANG MAHA BERKUASA. Kepada Tuhan saya berdoa moga Malaysia ini kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dunia, kita adalah negara yang BERPOTENSI ! Jangan ranapkan potensi besar Malaysia !

#bersatu #beramanah #bermaruah #PAKATANHARAPANBERSATU #untukNegaraku

Ringgit Malaysia TERBURUK Dalam 18 Tahun

(Untuk Makcik-Makcik dan Pakcik-Pakcik Di -Kampung Yang Banyak Jadi 'Peminat' Saya)
1) Ringgit Malaysia (RM) 'BERJAYA' pecah rekod kejatuhan terburuknya dalam masa 18 tahun.
2) Kurang 2 minggu sebelum tahun 2017 bermula, RM diniagakan pada kadar RM4.48 untuk setiap 1 Dollar Amerika (USD). Semakin besar nilai RM untuk setiap 1 Dollar Amerika maknanya semakin JATUH nilai duit Malaysia itu.
3) RM sekarang cecah nilai TERBURUKnya sejak Januari 1998. Makin jatuh Ringgit kita Makcik-Makcik dan Pakcik-Pakcik, makin mahallah harga barang-barang. Makin susahlah hidup kita semua yang sememangnya sudah tidak berapa senang.
4) 19 tahun lepas, sewaktu masalah kewangan 1997-1998, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad maklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Malaysia sedang dalam masalah. Beliau kata Kerajaan pimpinannya akan cuba sedaya-upaya atasi masalah. Kita buka TV, baca suratkhabar dan dengar radio, Perdana Menteri itu 'asyik-asyik' ulang bahawa negara memang sedang dalam krisis kewangan dan ekonomi akan terjejas. Tiada penafian, tiada apa yang mahu dia sembunyikan.
5) Hairan bin ajaib, dikala duit Malaysia makin 'murah' makin 'jatuh,' tiada siapa dalam Kerajaan mahu beritahu apa sebenarnya berlaku. Sebaliknya berita satu negara pada Ahad, 18 Disember mengatakan Malaysia sedangan menikmati keadaan pembangunan ekonomi yang cukup rancak di mana rakyat mendapat KEBAIKANNYA. Kita ada MRT yang bernilai Bilion Ringgit dan Sabah-Sarawak akan ada lebuh raya berbilion Ringgit juga yang bagus lagi memudahkan hidup rakyat. Tiada masalah, rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi dan tiada siapa yang makan nasi berlaukkan telor goreng dan kicap masin atau manis atau lemak ? Menteri-Menteri akan kata - YA.

17/12/2016

Chef Datuk Fazley Ada Menu "Mongolia" ?

1) Fazley Yaakob mulanya penyanyi. Dulu orang panggil dia Abang Asmara. Lagu Asmara Ini nyanyian beliau memang popular.

2) Lepas itu dia dipanggil Dr. Fazley. Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Eropah. Dia popular pula sebagai ahli motivasi. Tapi tidak lama kerana PhD beliau "dipertikaikan" kesahihannya.

3) Beliau masuk satu pertandingan realiti berkaitan masakan yang khas untuk para selebriti. Dia menang dan terus aktif dengan resipi dan dapur. Panggilannya menjadi Chef Fazley pula. Seterusnya beliau dianugerahkan "pangkat" Datuk. Kadang-kadang dipanggil Datuk Fazley, selalu juga hanya sebagai Chef Fazley.

4) Menonton program berita Buletin Utama di TV3 (16 Disember), Chef Fazley mempromosikan satu produk. Dia turut "mencipta" satu menu baru yang ada perkataan MONGOLIA dalam namanya. Pelik sungguh nama Mongolia dipilih Fazley.

5) Untuk rekod, isteri Fazley ialah anak perempuan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor hasil perkahwinannya dengan suami pertama sebelum Mohd. Najib Abdul Razak. Nama isteri Fazley ialah Azreen Soraya Abdul Aziz yang beberapa bulan lepas pernah menimbulkan kontroversi kerana mengkritik abang kandungnya sendiri (Riza Aziz) yang terpalit dengan kes menyalahguna Berbilion Ringgit duit milik 1MDB di Amerika Syarikat. Dalam kritikan terbuka itu Azrene seperti turut kecewa dengan sikap ibunya.

15/12/2016

WAJIB TUKAR KAD ATM ?
Rakyat Malaysia Memang Suka Percaya 'Dengar-Dengar'

1) Dalam masa seminggu ini seperti KECOH satu Malaysia orang pergi tukar kad bank / kad ATM. Saya tanya orang kenapa perlu tukar? Jawapan 'standard' ialah selepas tarikh akhir penukaran itu, kita tidak boleh 'keluar' duit dekat ATM lagi guna kad lama.
2) Saya ini seorang yang tidak mudah percaya dengan 'cakap-cakap' biasa bila melibatkan isu besar. Sejak kecil saya memang suka kaji sendiri, maklumat mesti yang sah daripada pihak atasan yang sepatutnya dan jangan mudah terpengaruh dengan 'cakap-cakap' biasa.
3) Melalui iklan beberapa bank tertentu jelas menunjukkan KAD DEBIT perlu ditukarkan sebelum tarikh-tarikh tertentu di sepanjang Disember 2016 ini. Ayatnya ialah KAD DEBIT dan bukan KAD ATM ! Sekiranya kad itu ditukarkan selepas tarikh akhir, caj kira-kira RM12 akan dikenakan. Maka di FB, ramai orang mengeluh kerana perlu menungu berjam-jam di bank (sesetengah bank agak 'maju' dan 'bertamadun' dengan menyediakan servis penukaran secara 'online' sahaja) hanya untuk proses penukaran kad.
4) Mengikut pemahaman saya, sekiranya kad itu tidak ditukar, maka ada dua servis yang tidak boleh kita gunakan iaitu PEMBAYARAN DI KAUNTER menggunakan kad debit dan PEMBELIAN ONLINE. Kalau untuk pengeluaran duit di mesin ATM, tiada masalah.
5) Perlukah saya 'berhempas pulas' beratur dan seterusnya menunggu 2-3 jam untuk proses menukar kad itu ? Jawapan saya: Minta maaflah. Tujuan terpenting kad itu ialah untuk mengeluarkan duit di mesin ATM, jika masih boleh, buat apa saya mahu buang masa. Apabila keadaan sudah tenang dan ada masa lapang, pergilah ke bank dan bayarlah sekitar RM12 itu untuk tukar kad. Lagipun selama ini saya tidak pernah guna perkhidmatan 'debit' untuk pembayaran di kaunter.

14/12/2016

Sotong Adalah Makanan Mewah

1) Ini harga terkini satu kilogram sotong jenis A, B dan C di sebuah pasaraya di Segamat, Johor pada Ahad, 11 Disember 2016.

2) Saya beli sekadar rasa "cukup-cukup" untuk makan bertiga. Sotong saja sudah memerlukan tiga keping "duit merah."

3) Sotong kini bukan makanan yang harganya "mampu milik." Sekilo sotong tidaklah banyak mana kerana ianya masuk kategori makanan basah yang "berat."

4) Ada kemungkinan banyak keluarga berpendapatan sederhana "biasa-biasa" sudah lama tidak beli sotong sebagai lauk-pauk di rumah.

5) Tidak keterlaluan dikatakan rakyat Malaysia semakin lama semakin tidak sihat kerana setiap hari makanan utama yang mengiringi nasi ialah ayam. Ayam "suntik" yang membesar dengan cepat ! Ayam sebenarnya sudah jadi antara "lauk" yang murah. Sebab itu satu negara "bergegar" jika harga ayam naik. Sebabnya ? Ikan dan sotong sudah jadi "benda" mewah. 

13/12/2016

Malaysia "Miskin" USD45 Bilion Sejak PRU 2013

1) Manisfesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan Raya Umum (PRU) 13 pada Mei 2013 pastinya "janji-janji" yang terbaik untuk Malaysia jika terus diberi "kuasa" pentadbiran negara.

2) Rizab simpanan antarabangsa negara pada Mei 2013 sewaktu berlangsungnya PRU ialah pada kadar USD141.43 Bilion.

3) Pada akhir November 2016, kedudukan rizab simpanan antarabangsa Malaysia ialah sebanyak USD96.4 Bilion.

4) Mudah kata, dalam tempoh 3 tahun 6 bulan selepas PRU, rezab simpanan antarabangsa Malaysia telah jatuh kira-kira USD45 Bilion.

5) Kalau mahu mudah lagi faham, kejatuhan simpanan rizab antarabangsa Malaysia ini bermakna kita telah "MISKIN" kira-kira 30% selepas 3 tahun 6 bulan pentadbiran semula BN selepas PRU 13. 

11/12/2016

195 di Pahang & 168 di Melaka: Hanya 23 "Datuk-Datuk" Selangor ?

1) Bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Selangor yang ke 71 (11 Disember), 23 individu dianugerahkan pingat-pingat kebesaran utama untuk rakyat jelata.

2) Dua individu menerima pingat kebesaran membawa panggilan Datuk Seri, dua lagi bergelar Datuk Setia dan 19 yang lain dianugerahkan Datuk atau Datin Paduka (wanita).

3) Mengikut tradisi "ketat" penganugerahan pingat kebesaran Sultan Selangor, kesemua penerima anugerah perlu melepasi TIGA penapisan kelayakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini dilakukan atas titah perintah Sultan sendiri.

4) Mudah kata, mereka yang menerima "Datuk Selangor" dipastikan tiada mempunyai kes jenayah, tidak muflis dan tiada kes penyelewengan kuasa / rasuah.

5) Nampaknya negeri Selangor "tewas" kepada Pahang dan Melaka yang menganugerahkan "Datuk-Datuk" kepada "beratus-ratus" individu untuk tahun2016.

* Ulasan FB Fendi Ahmad pada 24 Oktober 2016: 

Tahniah Datuk-Datuk Pahang !

1) Sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (24/10/2016), seramai 195 individu menerima darjah dan pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

2) Tujuh individu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'. 

3) 188 menerima gelaran 'Datuk' melalui tiga 'darjat' anugerah yang berbeza iaitu Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

4) 'Posting' saya pada 14 Oktober 2016 dengan tajuk 'Tahniah Datuk-Datuk Melaka' ditamatkan dengan ayat 'Tahniah kepada 168 Datuk-Datuk Melaka !'

5) Dalam masa kurang dua minggu ini bolehlah kita buat kesimpulan ringkas: Tahniah kepada 363 Datuk-Datuk Melaka dan Pahang !

Pasar Besar Melaka Baru 12 Tahun Mahu Dirobohkan ?

1) Pasar Besar Melaka yang dibina serentak dengan Melaka Sentral mula beroperasi sekitar pertengahan 2004.

2) Baru "berusia" 12 tahun, ia kini "perlu" dirobohkan untuk dibina sebuah bangunan baru dengan nilai projek RM25 Juta.

3) Laporan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengatakan bahawa kerosakan Pasar Besar Melaka adalah bersifat "major" iaitu di tahap kritikal yang tidak mungkin boleh dibaik-pulih. "Ubatnya" hanyalah dirobohkan terus dan dibina yang baru !

4) Tempoh 12 tahun bagi suatu projek bertaraf "besar" yang membentuk sebahagian daripada Kompleks Melaka Sentral bukanlah terlalu lama dan tidak layak lagi dianggap uzur, apalagi untuk berdepan dengan taraf "mengalami kerosakan kritikal" yang mencapai taraf berbahaya untuk terus digunakan.

5) Segala proses yang terlibat sebelum, sewaktu dan selepas pembinaan projek Kompleks Melaka Sentral  WAJIB disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana ini adalah sesuatu yang sukar untuk diterima akal logik manusia. RM25 Juta untuk projek baharu kerana MASALAH "projek lama" adalah sesuatu yang tidak wajar disenyapkan begitu sahaja.

10/12/2016

Najib Beri Projek Keretapi Pada Syarikat China Dalam Senarai Hitam Bank Dunia ?

1) Pada mulanya Menteri Abdul Rahman Dahlan menafikan China Communications Construction Company (CCCC) dari China yang dipilih Kerajaan Malaysia untuk terlibat dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) adalah syarikat yang berada dalam SENARAI HITAM Bank Dunia. 

2) Kenyataan itu pernah dibuat Menteri yang "menjaga" Unit Perancang Ekonomi (UPU) itu di dalam Dewan Negara. 

3) Selepas menafikan diawalnya, hari ini (10 Disember), Abdul Rahman mengakui yang CCCC memang di dalam senarai hitam Bank Dunia akibat daripada dakwaan salah laku anak syarikatnya (China Road & Bridge Company, CRBC) di Filipina. Projek itu menerima pembiayaan Bank Dunia.

4) Dalam mempertahankan pemilihan syarikat dari China untuk projek RM55 Bilion itu, Abdul Rahman berkata ECRL bukan projek jalan atau projek jambatan dan tidak dibiayai Bank Dunia. Senang kata, tiada masalah untuk pilih syarikat China yang ada "track record" buruk itu ! 

5) Persoalannya, kenapa Kerajaan bersungguh juga mahu beri projek puluhan Bilion itu kepada syarikat yang sudah ada rekod buruk ? Projek landasan keretapi itu berhadapan dengan TIGA KONTROVERSI:

- Kos RM55 Bilion untuk landasan sepanjang 688 kilometer bermakna satu kilometer landasan bernilai kira-kira RM80 Juta !

- RM55 Bilion kos pembinaan adalah melalui HUTANG baru yang bakal menambahkan lagi HUTANG yang dibebankan Kerajaan semasa kepada generasi akan datang.

- Syarikat yang dipilih Kerajaan Malaysia untuk projek RM55 Bilion itu adalah sebuah syarikat dari China yang disenarai hitam Bank Dunia tetapi begitu istimewa di mata Kerajaan Malaysia. 

Malaysia Juara Dunia !

1) Hadiah buat Malaysia di akhir tahun 2016 apabila Harith Iskandar diiktiraf "Funniest Person In The World." Orang paling kelakar di dunia !

2) Harith berjaya menewaskan empat peserta lain (Filipina, Greece, India dan Israel) di pertandingan akhir yang diadakan di Levi, Finland (Khamis, 8 Disember). Sebelum mara ke akhir, Harith telah menewaskan 88 peserta lain dari seluruh dunia.
3) Dengan kemenangan itu, Harith mendapat hadiah wang tunai USD100,000 (RM445,000).

4) Bukan mudah mahu buat orang ketawa dan bukan senang untuk buat orang suka dengan kita. Harith kini boleh kita panggil sebagai "Ahli Komedi Nombor 1 Dunia !"

5) Selepas terlampau banyak Malaysia "popular" kerana sebab-sebab yang tidak sepatutnya di sepanjang 2016 seperti cerita "skandal pencurian duit terbesar dunia, Menteri Kewangan terburuk dan carta rasuah dunia," kemenangan Harith Iskandar ini sekurangnya menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa NEGARA INI MASIH BERPOTENSI UNTUK KEMBALI KUAT DAN DIHORMATI DUNIA.

09/12/2016

Rakyat Malaysia Bersedialah Untuk Mengundi

1) Tempoh "Kerajaan Mohd. Najib Abdul Razak" akan BERAKHIR pada 24 Jun 2018.
2) Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 diadakan pada 5 Mei 2013 selepas Parlimen 'terbubar' secara otomatik pada 3 April 2013. Parlimen 'terbubar' secara otomatik kerana tempoh maksima 5 tahun untuk pemerintahan kerajaan sedia ada ketika itu telah tercapai.
3) Perdana Menteri memiliki 'kuasa' eksklusif untuk 'menasihatkan' Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen pada 'BILA-BILA' masa yang 'difikirkannya' sesuai.
4) Walaupun PRU ke 13 berlangsung pada 5 Mei 2013, kiraan TEMPOH PEMERINTAHAN kerajaan sedia ada tidak dikira bermula tarikh tersebut. Tempoh pemerintahan adalah bermula pada hari pertama Persidangan Parlimen Penggal Pertama selepas PRU.
5) Memandangkan Persidangan Parlimen Penggal Pertama selepas PRU 13 dijalankan pada 25 Jun 2013, maka ianya akan mencecah 'usia' penamatnya pada 24 Jun 2018. Secara teknikalnya, Mohd. Najib Abdul Razak akan pegang kuasa sebagai Perdana Menteri sehingga 24 Jun 2018.
6) Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada Disember 2016 telah ditangguhkan sehingga maksima 18 bulan. Keputusan dibuat seawal Jun 2015 lagi dengan ALASAN untuk memberi tumpuan kepada PRU ke 14. Maknanya, UMNO perlu membuat pemilihan selewatnya pada Jun 2018.
7) Presiden UMNO telah secara jelas memberitahu 'bala tentera' UMNO bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Disember 2016 adalah yang TERAKHIR sebelum yang seterusnya. PAU seterusnya ialah pada Disember 2017.
8) Mengambil kira 'matematik' pada 'points' ke 5, 6 dan 7, secara JELAS kita boleh meramalkan bahawa PRU ke 14 akan diadakan sebelum Disember 2017. Parlimen sessi ke 13 akan 'dibubarkan' sebelum tamat tempohnya ! Mengikut 'realiti' semasa, lagi lambat PRU diadakan, lagi TIPIS peluang Barisan Nasional (BN) untuk kekal kuasa.
9) Mengikut fakta PRU 2013, jarak diantara pembubaran Parlimen dengan PRU ialah kira-kira sebulan. Adalah 'diramalkan' bahawa Parlimen akan dibubarkan sekitar Mac 2017 dengan PRU pada April 2017. Ini adalah tempoh paling awal. PRU tidak akan berlaku sekitar akhir Mei sehinggalah pertengahan September mengambil kira faktor bulan Ramadhan, Hari Raya Puasa dan musim Haji. Selewatnya, PRU ke 14 akan diadakan pada Oktober 2017 (sebelum atau selepas PMR) dengan pembubaran Parlimen pada awal atau pertengahan September 2017. November sudah tidak sesuai kerana peperiksaan SPM-STPM bermula dan musim 'hujan-banjir' juga biasa berlaku.
10) Rakyat Malaysia: Bersedialah untuk mengundi tidak sampai SATU TAHUN daripada sekarang. Kuasa di tangan KITA !

08/12/2016

Ketua Bahagian UMNO "Bagi" Duit BR1M Tanda Pilihan Raya Makin Hampir

1) Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2017 akan diberikan kepada penerimanya sebanyak tiga kali. Sepanjang 2014, 2015 dan 2016, bayaran BR1M disalur sepenuhnya terus ke dalam akaun bank penerima bagi yang mendaftarkan akaun masing-masing. 

2) Untuk tahun 2017, Kerajaan telah mengumumkan di dalam Bajet 2017 bahawa jumlah maksimum BR1M telah dinaikkan kepada RM1200. 

3) Kalau ikut manifesto Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, BR1M akan dinaikkan setiap tahun bermula tahun 2014 sehinggalah mencecah RM1200 sebelum PRU seterusnya.

4) Jangkaan ramai ialah angka RM1200 itu akan "sampai" pada tahun 2018 memandangkan PRU seterusnya perlu diadakan dengan tamatnya tempoh lima tahun Kerajaan sekarang pada pertengahan 2018. Maka, kita secara yakin boleh mengandaikab bahawa PRU ke 14 akan diadakan pada tahun 2017, sebaik sahaja kesemua bayaran BR1M 2017 diagihkan sebagai "saguhati" awal kepada pengundi.

5) Untuk tahun 2017, satu daripada tiga bayaran BR1M itu akan diserahkan secara "manual" oleh Ketua-Ketua Bahagian UMNO kepada penerimanya sebagai ingatan bahawa BR1M adalah "usaha" UMNO. Ini bukan kata saya tetapi diumumkan sendiri Presiden UMNO sewaktu ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agong UMNO 2016 tempohari.

07/12/2016

Bekas Perdana Menteri Tidak Layak Menghadiri Istiadat Perlantikan Agong ?

1) Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia menerusi surat rasmi bertarikh 5 Disember 2016 memaklumkan undangan kepada Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali untuk ke Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 13 Disember ini DIBATALKAN.

2) Alasan ringkas mengatakan bahawa TIADA KERUSI disediakan untuk Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1982-2003) itu dan isterinya. Jika TIADA KERUSI untuk Bapa Pemodenan Malaysia itu, kita pastinya ingin tahu sama ada KERUSI ada atau tidak untuk Perdana Menteri selepas beliau iaitu Abdullah Ahmad Badawi ?

3) Memandangkan TIADA KERUSI untuk mereka berdua, makluman itu dibuat supaya tidak berlakunya satu "embarrasment" kepada pihak Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah.

4) Malaysia ini sudah menghampiri 70 tahun menjadi negeri berdaulat lagi merdeka, adalah satu kepelikan apabila seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dirasakan "tidak sesuai" untuk dijemput ke istiadat pelantikan Agong yang baharu.

5) Kita berharap semoga kedudukan institusi Raja-Raja sebagai satu "payung" kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik sentiasa terpelihara dan "kelihatan" sepertimana yang seharusnya. Adalah sesuatu yang menyedihkan seandainya institusi yang dihormati lagi disanjungi ini "kelihatan lemah" di mata rakyat jelata dek kerana "terpalit" dengan kehendak pihak-pihak tertentu. Moga ianya bukan satu kenyataan.

06/12/2016

PM Kata 'Enough is Enough' Tapi Jeneral Malaysia Pergi 'Mengadap' Myanmar ?

1) Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin dikatakan telah 'terbang' ke Myanmar (Isnin, 6 Disember) bagi melicinkan semula hubungan diplomatik Malaysia - Myanmar yang terjejas akibat daripada kenyataan keras Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sewaktu Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya pada Ahad, 5 Disember.
2) Mohd. Najib secara jelas menjeritkan 'enough is enough' kepada Kerajaan Myanmar terhadap penindasan yang dilakukan kepada etnik Rohingya. Laungan berani Perdana Menteri Malaysia diselang-selikan dengan sahutan ALLAHUAKBAR (Allah Maha Besar). Tindakan Mohd. Najib itu adalah kritikan kali pertama daripada seorang pemimpin negara ASEAN terhadap 'urusan dalaman' negara lain.
3) Menurut laporan Myanmar Times, Jeneral Zulkifeli berjumpa dengan Presiden Myanmar U Htin Kyaw and Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
4) Akhbar utama Myanmar menyifatkan kritikan keras Mohd. Najib kepada Kerajaan Myanmar adalah semata-mata kerana ingin mendapatkan 'undi' daripada rakyat Muslim Malaysia. Penasihat Presiden Myanmar pula mengatakan Perdana Menteri Malaysia cuba untuk mengalihkan pandangan masyarakat daripada 'skandal rasuah.'
5) Persoalannya, hari Ahad 'Malaysia' begitu berani bersuara, kenapa ESOKnya 'Malaysia' sudah seperti mengalah ? Di manakah KEJANTANAN 'Malaysia' ? Di manakah sifat 'Pahlawan Bugis' kita ?
* Saya adalah anak lelaki keturunan Bugis, Johor Darul Ta'zim yang kini bermastautin di bumi Melaka bersejarah

03/12/2016

Najib Kata Tun M Gila Talak

1) Presiden UMNO kata Tun Mahathir janganlah ambil tahu pasal UMNO lagi. Tidak perlu tulis apa-apa lagi tentang UMNO.

2) Presiden UMNO kata Tun Mahathir seperti orang yang gila talak. Sudah ada parti sendiri, jagalah parti sendiri. 

3) Presiden UMNO suruh Tun Mahathir buatlah konvensyen partinya sendiri. Sempat diperli kononnya entah ada yang mahu datang ataupun tidak.

4) Kalau Mohd. Najib Abdul Razak kata Dr. Mahathir sebagai gila talak, apa pula yang sesuai kita gelarkan kepada beliau dan hampir semua orang kanan UMNO seperti Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Shahrizat Jalil dan Khairy Jamaluddin yang kelihatan bersungguh-sungguh BERZIKIR  menyebut atau memerli Presiden UMNO selama 22 tahun itu sejak hari pertama mereka berhimpun sehinggalah penamatnya ?

5) Kenapa Mohd. Najib dan "panglima-panglima" besar UMNO ambil kisah pasal Dr. Mahathir yang sudahpun keluar UMNO itu ? Adakah mereka ini semua sedang MEROYAN ? Atau mungkin sedang mengalami sindrom FOBIA MENGGILA takut "jatuh gaung?"

Agenda Utama Perhimpunan Agung UMNO

1) 2012: Pilihan Raya Umum makin hampir. Siap sedia !

2) 2013: Pemilihan UMNO.

3) 2014: Bangkit Semula Selepas Pilihan Raya Umum 2013 untuk terus jadi Kerajaan di PRU akan datang.

4) 2015: Taat setia kepada kepimpinan.

5) 2016: Taat setia dan Pilihan Raya Umum makin hampir. Siap sedia !

Mana "kisah" perjuangan mati-matian demi bangsa, agama dan negara ?

02/12/2016

"Tangan UMNO" Patut Bagi BR1M Kepada Rakyat

1) Antara "idea" bertaraf antarabangsa yang keluar daripada otak pembahas mewakili negeri di Perhimpunan Agung UMNO 2016 datangnya daripada wakil Sabah. Jawatan lelaki itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kimanis.

2) Cadangan "luar-biasa" itu ialah mahu bantuan BR1M diberikan secara terus oleh pemimpin UMNO kepada semua penerimanya.

3) UMNO perlu serahkan sendiri duit BR1M itu kepada yang menerimanya kerana BR1M adalah USAHA UMNO, bukan orang lain. Pemberian secara otomatik ke dalam akaun penerima adalah tidak sesuai dan tidak menunjukkan ianya adalah USAHA UMNO.

4) Dewan Merdeka, PWTC bergema gemuruh tanda sokongan padu kepada "idea" bertaraf "world class" daripada wakil UMNO Sabah itu !

5) Kita mahu tanya UMNO Sabah, sejak bila UMNO berusaha keras "mencari duit" tambahan untuk diberikan kepada rakyat dalam bentuk BR1M itu ? Harap bolehlah beri pencerahan kepada kita semua tentang sebarang bisnes-bisnes besar yang diusahakan UMNO di dalam mahupun di luar negara dengan tujuan keuntungannya disumbangkan atas nama BR1M. Jika benar, tahniah kita ucapkan kepada UMNO !

01/12/2016

Pelabuhan Melaka: RM8 Bilion Projek Untuk "Negara China"

1) Ketua Menteri Ir. Idris Haron kata ada keperluan mendesak untuk Melaka memiliki pelabuhan laut dalamnya sendiri. Untuk rekod, Pelabuhan Klang (Selangor) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (selatan Johor) sudah sedia ada bertindak sebagai pelabuhan laut dalam komersil bertaraf antarabangsa untuk laluan Selat Melaka. 

2) Projek mega itu bakal menelan kos RM8 Bilion. Syarikat KAJ Development selaku "wakil" tempatan akan menjalankan projek tersebut dengan penglibatan TIGA syarikat daripada China iaitu Power China International, Shenzhen Yantian Port Group dan Rizhao Port Group.

3) Penglibatan jelas "negara China" dalam projek aset strategik di pesisiran pantai Malaysia menimbulkan KERAGUAN kerana semua sedia maklum bahawa Selat Melaka yang "dikuasai" Malaysia dan Indonesia itu adalah LALUAN MARIN (laut) yang amat penting untuk negara itu (China).

4) Jika Kerajaan Melaka tetap menjalankan projek pelabuhan dengan kerjasama "negara China" maka ini menambahkan lagi kepada PEMILIKAN ASET PENTING MALAYSIA yang jatuh "ke tangan" mereka (China). 

5) Edra Global Energy Berhad yang memiliki kira-kira 25% daripada hak pembekalan tenaga di seluruh Malaysia sebelum ini sudah DIJUAL 1MDB kepada syarikat dari China. Pelabuhan Kuantan pula dimiliki 40% oleh Guangxi Beibu International Port Group, juga syarikat China. Tidak lupa juga kepada tanah Kerajaan di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk didirikan Bandar Malaysia yang juga 1MDB jual kepada sebuah konsortium yang turut dikuasai syarikat negara China.

Tun Mahathir "Si Penderhaka" - UMNO Demam Ketakutan Melampau

1) Seperti dijangka Presiden UMNO Mohd. Najib Abdul Razak menggunakan peluang berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016 dengan menyerang 'orang tua' berumur 91 tahun iaitu Bapa Pemodenan Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad. Pelik sungguh sebab sebelum ini Najib dan 'orang-orang kuatnya' beria mengatakan Dr. Mahathir tidak perlu ditakuti, 'nyanyuk' dan tiada siapa akan menyokong. Tetapi, tindakan Najib ini jelas menunjukkan UMNO dan Presidennya sedang menghidap penyakit demam KETAKUTAN MELAMPAU terhadap insan bernama Mahathir Mohamad itu !
2) Najib kata, "Dr Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun."
3) Dengan nada penuh berani dan dia sendiri pernah gelarkan dirinya sebagai 'pahlawan Bugis yang pantang dicabar,' Najib menyamakan tindakan Dr. Mahathir meninggalkan UMNO sebagai kemuncak PERDERHAKAAN pada Umno, bangsa dan tanahairnya.
4) Kita mahu tanya kepada Najib: Apakah meninggalkan UMNO yang dipimpin oleh seorang Presiden yang berdepan dengan skandal rasuah, salah guna kuasa dan dihantui sindrom berdiam diri untuk membersihkan nama bererti MENDERHAKA kepada BANGSA dan NEGARA ?
5) Tidakkah orang yang sebenarnya MENDERHAKA kepada MALAYSIA ialah orang yang menyebabkan RAKYAT perlu menanggung hutang BERBILION RINGGIT akibat daripada restu 'berkepentingan jahat' seorang Perdana Menteri ? Siapa yang menjual tanah Malaysia dan aset berkepentingan nasional kepada negara luar ? Tiadalah yang lebih MENGKHIANAT dan MENDERHAKA selain daripada seorang pemimpin yang menjual maruah negara dan rakyatnya sehingga DUNIA sedang mentertawakan kita dan memandang HINA kepada sebuah negara bernama Malaysia ini yang suatu ketika dahulu pernah digelar Harimau Asia di dekad 1990an di bawah pentadbiran orang yang dipanggil PERNDERHAKA oleh Najib Razak itu !

Najib: Zahid Hamidi Orang Yang Setia dan Tidak Sombong, Muhyiddin Orang Yang TIDAK Setia dan Sombong

1) Presiden UMNO Mohd. Najib Abdul Razak sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016 berkata, "patah tumbuh hilang berganti, kalau hilang di hujung Pagoh, syukur jumpa Bagan Datoh."
2) Najib sungguh bersyukur kerana adanya Ahli Parlimen Bagan Datoh Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengganti kepada Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin sebagai Timbalannya di dalam Kerajaan.
3) Perdana Menteri Malaysia itu pernah 'berniat' mahu menyaman The Wall Street Journal (WSJ) pada 'Selasa minggu hadapan' sekitar Julai 2015 kerana 'memfitnah' beliau 'mengambil' duit berjumlah RM2.6 Bilion, dipercayai datang daripada dana syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia, 1MDB. Untuk rekod, Najib ialah Menteri Kewangan dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ketika 'dakwaan' berlaku. Sudah lebih 50 'Selasa' berlalu dan dua Perhimpunan Agung UMNO, Najib dan pasukan peguamnya BELUM BERANI SAMAN WSJ. Semua transaksi kewangan dan pelaburan 1MDB WAJIB mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB !
4) Najib dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau memerlukan seorang yang setia dan tidak sombong untuk terus bersamanya bagi mentadbir parti. Jelas sekali maksudnya ialah - Muhyiddin yang 'dipecat' Najib dan UMNO sebagai 'orang nombor 2 Kerajaan dan UMNO' adalah TIDAK SETIA dan SOMBONG. Zahid Hamidi pula yang daripada awal skandal 1MDB bermati-matian mempertahan Najib adalah seorang yang SETIA dan TIDAK SOMBONG. Muhyiddin jadi TIDAK SETIA dan SOMBONG hanya kerana bertanya dan mempersoalkan pengaliran duit RM2.6 Bilion ke dalam akaun peribadi Najib yang mana tidak pernah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi UMNO sekiranya ianya ialah DERMA kepada parti.
5) Kita tidak akan lupa sekitar Julai dan Ogos 2015, Ahmad Zahid pernah kata dia sudah bertemu dengan 'penderma' RM2.6 Bilion itu. Selepas itu dikatakan pula bukan seorang penderma tetapi lebih daripada seorang. Seterusnya dia kata pula yang 'menderma' itu Raja Arab Saudi sebelum ini. Pelik pula Ahmad Zahid ada ilmu JUMPA orang yang sudah meninggal dunia. Hingga kini, dia masih menutup mulut tentang 'penderma' mana yang dia jumpa itu ! Itulah erti SETIA yang dimahukan Presiden UMNO.

30/11/2016

Encik KJ Mahu "Serang" Tun Mahathir Mati-Matian

1) Dengan nada suara penuh semangat ala-ala pahlawan Melayu di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) mahu orang-orang muda UMNO lebih agresif SERANG gerakan "anti-UMNO, anti-Najib" yang dipimpin Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1981-2003), Dr. Mahathir Mohamad.

2) KJ kata perasaan rasa hormat kepada Dr. Mahathir perlu DIHAPUSKAN kerana beliau kini adalah pengkhianat UMNO.

3) Menantu Abdullah Ahmad Badawi itu juga berjanji bahawa Pemuda UMNO yang dipimpinnya akan menentang bermati-matian "pembelotan" yang dilakukan Dr. Mahathir kepada UMNO.

4) Dengan nada ego KJ menyeru kepada mana-mana ahli UMNO yang sudah tidak mahu bersama parti itu supaya keluar segera.

5) Kata KJ, "Kita sedang berperang, yang menentang kita lawan !" Kepada KJ kita jawab, "Mampukah Pemuda UMNO yang lesu, layu dan tiada aura itu berperang ? Tahukah mereka cara "berperang" ? Takut pula kalau yang mereka tahu hanyalah bergaya terlebih, berlagak bagus dan terkejar-kejar projek dan pangkat secara ekspress. Perang "pondan" bolehlah !

ALLAH Pilih Firaun dan Hitler: Setialah Pada Firaun dan Hitler ?

1) Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi kata ahli UMNO perlu setia kepada Presiden mereka Mohd. Najib Abdul Razak kerana dia dipilih ALLAH sebagai pemimpin mereka.
2) Kita terimalah apa yang Ahmad Zahid katakan itu kerana memang ada betulnya, Mohd. Najib jadi pemimpin kerana ALLAH izinkan ianya berlaku.
3) TETAPI, bab perlu / wajib setia itu rasanya Ahmad Zahid sudah keterlaluan. Adakah apabila seseorang telah menjadi pemimpin maka, selamanya, WALAU APA TERJADI, dia WAJIB menerima taat setia daripada mereka yang dipimpin ?
4) Ingatlah bahawa FIRAUN juga menjadi Raja Mesir dengan izin ALLAH. Ferdinand Marcos di Filipina juga jadi Presiden dengan izin ALLAH. Saddam Hussein di Iraq juga jadi Presiden dengan izin ALLAH. Adolf Hitler juga jadi pemimpin besar di Jerman dengan izin ALLAH. Apa terjadi ?
5) Ahmad Zahid pasti setuju bahawa Lim Guan Eng di Pulau Pinang jadi Ketua Menteri juga kerana ALLAH menentukannya dan PAS memegang Kelantan sejak tahun 1990 juga dengan izin kurnia ALLAH. Maka, 'wajib dan perlulah' rakyat negeri yang dipimpin Guan Eng dan PAS itu setia kepada Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan.

28/11/2016

Kepada UMNO (The END of UMNO ?)

1) Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO satu Malaysia bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO edisi 2016 daripada 29 November sehingga 3 Disember.

2) Jika tahun lepas, Presiden Mohd. Najib Abdul Razak merasmikannya dan di hari terakhir dia seorang sahaja membuat ucapan penggulungan, moga tahun ini perkara sama berlaku lagi. 
3) Kita harap Presiden Mohd. Najib Abdul Razak bolehlah guna peluang bercakap banyak itu untuk mempertahankan dirinya dengan bijaksana berserta bukti dan fakta kukuh untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa dia memang menjadi mangsa fitnah dalam skandal kehilangan berbilion duit 1MDB, derma 2.6 Bilion, penggunaan peribadi RM42 Juta duit SRC International dan bagaimana pula pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan beberapa negara lain merasa ada "kesalahan" berkaitan duit 1MDB berlaku tetapi di negara asalnya, "everything is okay." Jangan hanya cakap FITNAH, FITNAH dan FITNAH sahaja.

4) Jika tahun lepas, satu isu UTAMA dijadikan bahan persidangan iaitu peri pentingnya kesetiaan kepada kepimpinan. Tahniah kerana Presiden UMNO berjaya mendapat taat dan setia tidak berbelah bahagi daripada kira-kira 3000 perwakilan. Untuk rekod, perwakilan kebiasaannya adalah mereka yang berjawatan  di peringkat bahagian UMNO, "people with position."

5) Tahun ini apa pula isu utama ? Saya menjangkakan, isu terpenting yang akan menjadi "highlight" Persidangan Agung UMNO 2016 ialah serangan kepada "pengkhianat" seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Presiden UMNO "terpecat" Muhyiddin Yassin serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia secara keseluruhannya dan DAP yang akan digunakan untuk "menakut-nakutkan" Melayu di kampung-kampung.

Di mana dia demi agama, bangsa dan negara ?

Tanpa Hutang Maka Kita Sudah Tidak Mampu Bina Sekolah Baru dan Tar Jalan !

1) Merujuk kepada Bajet 2017 yang sudah diluluskan Parlimen. Perbelanjaan Kerajaan dianggarkan pada tahap RM261 Bilion.
2) Hasil Kerajaan pula dijangka pada jumlah RM220 Bilion. RM40 Bilion daripada hasil (pendapatan) Kerajaan disasarkan datang daripada kutipan GST (cukai barang dan perkhidmatan). Tanpa GST, Kerajaan akan lumpuh !
3) Dengan 'target' belanja lebih daripada pendapatan, maka kira-kira RM41 Bilion 'kekurangan' itu akan dijana daripada hutang.
4) RM261 Bilion yang mahu dibelanjakan untuk tahun 2017 itu perlu dibahagikan di antara 'belanja mengurus' dan 'belanja pembangunan.' Kira-kira RM215 Bilion akan digunakan untuk 'belanja mengurus' seperti bayaran gaji kakitangan awam, pencen dan mengurus segala jabatan juga institusi awam. Maka hanya tinggal RM46 Bilion untuk 'belanja pembangunan.' Tanpa HUTANG baru, Kerajaan hanya ada RM5 Bilion untuk 'belanja pembangunan !'
5) Mudah cakap, selepas ditolak segala 'belanja mengurus,' dengan unjuran pendapatan Kerajaan bagi tahun 2017, Malaysia sudah TIDAK MAMPU membina sekolah baru, jalan raya, dewan serbaguna, empangan dan apa jua infrastruktur untuk tujuan pembangunan negara. Jika 'belanja mengurus' diganggu untuk 'belanja pembangunan,' kakitangan awam pula tidak mampu dibayar gajinya !

27/11/2016

" Kek Yang Semakin Mengecil Pada Harga Yang Semakin Meningkat "


1) 10 - 12 tahun lepas pada harga lebih kurang separuh daripada sekarang, sepotong kek itu "besarnya" seperti dua ganda daripada sekarang.

2) Matematik logik boleh menyimpulkan bahawa jika saiz potongan kek itu sama seperti 10-12 tahun lepas maka harganya telah naik 4 ganda. Kalau dulu RM5, sekarang ialah RM20 ! 

3) Kek itu sebenarnya sudah naik 400% dalam masa 10-12 tahun. Harga naik seperti 100% tapi saiznya sudah jadi separuh mengecil.

4) Matematik "biasa-biasa" di mata "Jaguh-Jaguh" ekonomi yang disiarkan TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST pasti akan mengatakan harga kek itu hanya naik purata 8-10 % setahun  sahaja, berganda dua hanya setelah 10-12 tahun ! 

5) Pada "ilmu hebat" mereka, kek itu hanya naik 100% dalam masa 10-12 tahun, bukannya 400% ! Begitulah "kuasa ilmu" yang diguna untuk "membodohkan" si pendengar. Tapi si pendengar yang boleh "dibodoh" semakin kecil jumlahnya.

25/11/2016

Malaysia Makin Miskin (Rizab negara jatuh RM150 Bilion ?)

1) Simpanan rizab antarabangsa Malaysia setakat 31 Oktober 2016 adalah sebanyak USD 97.8 Bilion.

2) Pada awal tahun 2014, sebelum pelbagai masalah berlaku sama ada berkaitan ekonomi mahupun "skandal" 1MDB, rizab negara ialah sebanyak USD 133.2 Bilion.

3) Mudah kata, antara awal 2014 sehingga akhir 2016, Malaysia semakin "MISKIN." Perbezaan USD 35.4 Bilion itu bermakna daripada aspek simpanan rezab antarabangsa, Malaysia telah "MISKIN" 27% !

4) Menarik untuk dilihat bahawa dua negara jiran yang kita rasa "lebih miskin" dan "kurang maju" daripada Malaysia iaitu Indonesia dan Thailand, lebih "kaya." Simpanan rizab antarabangsa Indonesia ialah sebanyak USD 115.6 Bilion. Thailand pula seperti dua kali lebih "kaya" daripada Malaysia dengan rizab berjumlah USD 180 Bilion.

5) Tapi jangan bimbang ! Akan ada "pakar" ekonomi atau Yang Berhormat akan kata kita adalah lebih bagus daripada Filipina dan Vietnam. Filipina memiliki rizab sebanyak USD 85.75 Bilion dan Vietnam hanya USD 40 Bilion, rendah daripada Malaysia.

24/11/2016

Jho Low Kerja Untuk Siapa?

1) Mahkamah Singapura dapati seorang eksekutif bank bersalah kerana MENOLONG memudahkan urusan menggubah duit haram (money laundering) yang di"mastermind" Jho Low.

2) Yak Yew Chee mengaku salah membantu Jho Low dalam urusan "memusing dan melencongkan" wang berjumlah BILION RINGGIT ke akaun-akaun yang tidak sepatutnya dengan tujuan ROMPAKAN bertaraf mega.

3) Ada bukti menunjukkan Jho Low cuba mengaburi duit yang masuk ke akaun beliau adalah "bersih" dengan duit itu "disalurkan" ke akaun bapanya sebelum masuk ke akaunnya. Kononnya HADIAH daripada kekayaan keluarga.

4) Berbilion duit berasal daripada 1MDB dibuktikan di mahkamah Singapura telah DIUBAH secara haram.

5) Segala kejadian duit 1MDB GHAIB itu berlaku dikala Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ialah satu-satu orang yang boleh mengesahkan segala keputusan berkaitannya. Tanpa TANDATANGAN Pengerusi Lembaga Penasihat, tiada keputusan pelaburan dan pengaliran duit boleh dilakukan.   Siapa Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ? Tanpa kebenaran dia, Jho Low tidak boleh pula menggunakan Yak Yew Chee untuk tugas seterusnya.

MCA Ada Hubungan Dengan Parti Komunis ? * Orang UMNO "sokong" Komunis ?

1) Orang Melayu yang menonton TV3 memang diberitahu bahawa DAP akan menguasai kerajaan jika Barisan Nasional yang diketuai UMNO tewas di Pilihan Raya Umum 14 nanti. Maknanya, terus sokong UMNO-BN supaya Melayu tidak diperintah DAP.

2) Bagi TV3 dan kebanyakan pemimpin UMNO, DAP adalah TALIAN HAYAT yang akan meneruskan kemenangan UMNO-BN di banyak kerusi Parlimen yang dikuasai majoriti besar pengundi Melayu di luar bandar juga Felda. Melayu ditakutkan dengan "cerita" DAP ini anti Islam, anti hak istimewa Melayu dan anti kepimpinan Melayu di Malaysia. Pemimpin UMnO tahu "tanpa" DAP, mereka sudah lama kalah !


3) Melayu ini yang dibenci dan ditakutnya lebih daripada benda-benda lain ialah YAHUDI ISRAEL dan Komunis. Komunis ini memang satu konsep yang Melayu sejak zaman dahulu lagi tidak boleh terima. 

4) Kalau diberitahu Melayu yang ada persatuan atau syarikat tempatan ada bekerjasama dengan pihak Yahudi / Israel maka sudah PASTI mereka akan naik angin dan menuntut supaya organisasi yang bekerjasama itu menamatkan terus perhubungan tersebut atau terus saja terima kesan boikot.

5) Ada risikan mengatakan yang MCA ada terlibat dengan perjanjian rasmi dengan Parti Komunis China. Pihak DAP yang TV3 gunakan untuk takutkan Melayu kampung itupun tidak ada buat perjanjian 
rasmi dengan KOMUNIS. Jadi siapa yang lebih KOMUNIS, DAP atau MCA ? Melayu mahu sokong UMNO yang "kawannya" MCA ada hubungan dengan Parti Komunis China ?

22/11/2016

The Economist: BILION DIROMPAK !

1) The Economist adalah majalah mingguan tentang ekonomi dan kewangan yang bertaraf dunia.
2) Setiap minggu ianya terjual melebihi 1.3 juta unit. Separuh daripada pembacanya ialah warga Amerika Syarikat dan sekitar 600 000 - 700 000 unit lagi terjual di seluruh dunia. Pembaca The Economist adalah mereka yang mempunyai pendidikan tinggi, berstatus korporat / ahli intelek dan memahami perjalanan bisnes juga ekonomi dunia.

3) Edisi terbaru The Economist jelas membawa cerita buruk tentang Perdana Menteri Malaysia dan 'projek' 1MDBnya. Mereka pertikaikan bahawa berbilion Ringgit sudah 'hilang' tetapi tiada sebarang pendakwaan dilakukan di Malaysia terhadap sesiapa yang sepatutnya bertanggungjawab. Sebaliknya mereka yang cuba mendedahkan segala masalah berkaitan skandal 1MDB pula yang disoal-siasat, ditangkap, dibicara dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman seperti yang berlaku kepada Rafizi Ramli, YB Pandan.
4) Di Singapura, seorang eksekutif bank telah didapati bersalah dan akan dipenjarakan selama 18 minggu kerana terlibat dalam 'membantu' urusan berkaitan penggubahan wang haram 1MDB. Di Amerika Syarikat, Jabatan Keadilannya (DoJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa kira-kira RM14 Bilion duit berasal daripada 1MDB telah 'diselewengkan' dan sebahagian daripada Bilion itu telah disalurkan langsung ke akaun Perdana Menteri Malaysia.
5) Rakyat berharap Perdana Menteri melalui Peguam Negara Apandi Ali segeralah MENYAMAN The Economist yang telah memburukkan nama baik Ketua Kerajaan Malaysia yang sekaligus membawa kepada terjejasnya sentimen pelabur asing dan masyarakat luar terhadap negara kita ini !

21/11/2016

KJ Kata Generasi Muda Ada Pemahaman TERPESONG Tentang Tun Mahathir ?

1) Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) cuba merendahkan tahap pemikiran generasi muda yang majoriti besarnya mempunyai rasa respek dan kagum yang tinggi kepada Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1981-2003), Dr. Mahathir Mohamad.
2) KJ kata: “Anak-anak muda di media sosial kata mereka merindui zaman Dr Mahathir. Mereka tidak dilahirkan pun ketika itu, jadi saya tidak faham apa yang mereka rindukan. Mereka lebih terdedah dengan mengaitkan Dr Mahathir dengan Menara Kembar dan Putrajaya."
3) KJ dengan konfidennya cuba berayat: “Malangnya rekaan mengenai Dr Mahathir ini dicipta semasa beliau menjadi sebahagian Umno sehingga generasi baru merasakan beliau tidak bersalah. Inilah kesannya. Kita perlu berusaha menangani perkara ini.”
4) Sifat melawan KJ yang entah betul-betul ada nilai pahlawan ataupun tidak bolehlah kita uji apabila beliau bertegas untuk MELAWAN Mahathir: “Kita perlu tegaskan bahawa beliau tidak lagi bersama kita, dan perlu lawan beliau serta sesiapa sahaja yang tidak bersama kita,”
5) KJ ada buat kajian berapa ramai pula anak muda yang masih respek dan kagum dengan bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir ? Pak Lah berhenti tahun 2009, Dr. M pula 2003, mana mungkin yang baru berhenti tidak ada ramai yang terus respek dan kagum ?

20/11/2016

Najib Kata Dr. Mahathir Cakap Tak Betul Tentang Ekonomi Malaysia ?

1) PM Najib Razak kata Dr. Mahathir Mohamad hanya bercakap politik tentang keadaan ekonomi Malaysia. Najib Razak kata apa yang Dr. Mahathir cakap pasal ekonomi negara tidak berasaskan kepada fakta. Najib kata segala data ekonomi Malaysia seperti yang ditunjukkan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) adalah bagus.

2) Najib Razak wajarlah dibawa "rapat-rapat dengan permukaan bumi" supaya dia dapat bezakan di antara data / nombor / fakta dengan apa yang SEBENARNYA berlaku kepada "The Real Economy (ekonomi sebenar)" yang dirasai rakyat.

3) Sejak akhir 2014, nilai Ringgit Malaysia (RM) jatuh menjunam. Untuk tahun 2015, Ringgit kita menjadi matawang paling TERUK jatuh di Asia Pasifik. Prestasi Ringgit adalah jauh lebih teruk daripada matawang jiran terdekat seperti Bhat, Rupiah dan Peso. Jangan sebut Singapore Dollar ! Makin teruk nilai Ringgit maka makin MAHAL produk-produk impot, makin MISKINlah kuasa beli rakyat. Penganalisis pro-Kerajaan akan kata ekonomi dunia tidak stabil, tapi mereka dengan sengaja tidak berani bersuara kenapa Ringgit jatuh paling teruk ! Apa faktor tambahannya ?

4) Pasaran saham telah menjadi kronik sepanjang tahun 2015 hinggalah kini. Pemodal-pemodal antarabangsa "KELUAR" daripada pasaran Malaysia dan membawa bersama mereka berbilion-bilion Ringgit yang akhirnya "dilambakkan" di pasaran matawang untuk ditukarkan kepada US Dollar. Kini, keyakinan pelabur antarabangsa kepada pasaran saham Malaysia adalah cukup tipis dan bukan untuk tujuan pelaburan jangka masa panjang. Mereka hanya cuba menjadi pemain saham "ekspres." Teruknya pasaran saham negara, maka ianya akan memberi kesan negatif kepada BERJUTA rakyat yang ada simpanan dalam KWSP, Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Wawasan 2020 dan beratus jenis saham amanah lainnya.

5) Cukuplah keadaan Ringgit dan pasaran saham negara menjadi dua petunjuk paling rapat bagi menunjukkan sejauh mana bagusnya keadaan ekonomi Malaysia. Belum lagi kita tambah dengan Bajet defisit (tidak cukup duit) sebanyak kira-kira RM40 Bilion untuk tahun 2017, jumlah orang tiada kerja yang semakin meningkat dan ketidakupayaan Kerajaan untuk memberi subsidi minyak masak sepenuhnya. Jika ekonomi sedang CEMERLANG, adakah pasaran saham akan jatuh, peluang pekerjaan mengecil dan tiada duit untuk subsidi minyak masak ?

19/11/2016

Apa Akan Jadi Pada TV3 Kalau BN Hilang Kuasa ?

1) Soalan ini tiba-tiba "terkeluar" daripada otak saya.

2) Jika dilihat kepada kaedah berita TV3, kelihatan "terlebih-lebih" dalam mempertahankan apa jua yang dibuat dan "diinginkan" pihak Kerajaan. 

3) "Berlebih-lebihnya" TV3 sebagai pejuang Kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh meninggalkan stesen TV milik langsung Kerajaan iaitu RTM 1, RTM 2, Bernama TV dan pengendali stesen berbayar ASTRO (saluran Awani). 

4) RTM dan Bernama pastinya akan terus begitu kerana ianya dimiliki Kerajaan. Siapa jua Kerajaan maka liputan mereka akan lebih "ke arah" itu. Astro melalui saluran Awani pula memang sentiasa menunjukkan laporan berita yang agak "masuk akal" walaupun 70% lebih kepada pihak BN. Sekurangnya laporan RTM, Bernama dan Awani tidaklah membuatkan kita jadi "sewel" ataupun terbeliak mata.

5) TV3 dimiliki secara langsung oleh syarikat berkaitan UMNO, bukan Kerajaan. Jadi, "ke mana" TV3 jika  BN hilang kuasa ?

Rakyat Tidak Ada Kerja !

1) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kata Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Dia yakin rakyat Malaysia akan menjadi rakyat yang tinggi pendapatan di bawah pentadbirannya.

2) Peliknya, sepanjang tahun 2016 ini, jumlah orang yang tiada pekerjaan (layak berada dalam sektor pekerjaan dan mahu bekerja) meningkat berbanding tahun 2015.

3) Data perbandingan bulanan di antara tahun ini dan tahun lepas menunjukkn peningkatan ketara. Contohnya, seramai 501500 orang tiada pekerjaan dalam bulan Januari, 2016 berbanding 450300 orang pada Januari, 2015. Ini menunjukkan peningkatan 11.4% dalam jumlah orang tiada pekerjaan dalam tempoh setahun !

4) 34% daripada pelajar lepasan ijazah tidak mempunyai pekerjaan pada tahun 2015 berbanding 30% pada tahun 2013. Senang kata, 1 daripada 3 anak muda yang tamat belajar di universiti gagal mendapatkan pekerjaan. 

5) Bagaimana mahu wujudkan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi jika negara itu sendiri gagal mengujudkan peluang pekerjaan yang sesuai dan sepadan untuk rakyatnya akibat daripada kegagalan pengembangan ekonomi yang padu ?

18/11/2016

UMNO SUDAH MATI ???

1) Berikut saya 'turunkan' secara terus apa yang ditulis Syed Akbar Ali, seorang penganalisis politik dan perkembangan dunia:

" UMNO is Dead
UMNO Kedah sudah mati.

Tinggal ketua bahagian dan ajk

UMNO Sabah sudah tak ada
Bilik Cawangan tempat simpan bakul

Sekarang ahli Melaka keluar beribu-ribu pula.
Wei, buatlah usul. 
Lembik bac_l tu ganti lah.
Your leader is a c_ssy lah ! "

2) Syed Akbar adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai pengalaman dalam sektor perbankan, ahli penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, penulis dan konsultan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ada pihak turut mengaitkan beliau sebagai di antara 'penasihat' ekonomi bidang kewangan dan ekonomi kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad di zaman kemajuan rancak Malaysia dahulu.

3) Syed Akbar yang pernah meramalkan kekecohan 'Arab Springs' di negara-negara Asia Barat akan berlaku sebelum ianya terjadi pada tahun 2011 secara sinis YAKIN bahawa UMNO SUDAH MATI !

4) Pemimpin-pemimpin UMNO pastinya tidak akan bersetuju dengan analisis 'ringkas' ini. Bukankah UMNO mempunya kira-kira 3 juta ahli di seluruh Malaysia kecuali Sarawak ? Itu baru ahli, belum lagi dikira para penyokong UMNO.

5) Terpulanglah kepada anda semua sama ada bersetuju atau tidak dengan analisis yang mengatakan UMNO SUDAH MATI. Apa yang pasti, UMNO masih kuat jika dilihat kepada laporan media seperti TV3, RTM, Utusan Malaysia dan Berita Harian.

11/11/2016

Ringgit Malaysia Makin Teruk ? Barang Akan Makin Mahal ? Rakyat Makin Susah ?

1) Sehari dua ini lepas Donald Trump menang Presiden Amerika Syarikat nampaknya Ringgit Malaysia jatuh dan bertambah "murah" nilainya berbanding US Dollar.

2) Ringgit memang sudah parah jatuh nilainya sejak akhir 2014 seiring dengan jatuhnya harga komoditi eksport utama Malaysia seperti hasil berasaskan petroleum, kelapa sawit dan getah. 

3) Sepanjang 2015, Ringgit yang masih lemah bertambah parah akibat persepsi cukup negatif kepada pengurusan kewangan Malaysia kerana "dunia memandang isu-isu melibatkan 1MDB dan derma RM2.6 Bilion kepada Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sebagai sesuatu yang amat negatif." Ringgit dijual secara berjemaah / berpasukan, "there is a huge of supply on RM, little demand for it." Akibatnya Ringgit jatuh dan seperti sukar untuk berada di tahap RM3.80 ke bawah bagi setiap USD.

4) Dek jatuhnya harga komoditi dunia dan persepsi negatif masyarakat kewangan dunia kepada Malaysia, RM terus lemah dan berada di tahap atas RM4 untuk setiap USD. Semakin besar angka RM untuk setiap USD bermakna semakin murahlah RM, semakin lemah dan barangan impot dari luar negara akan mahal kepada rakyat Malaysia.

5) Terkini RM ada mencecah sekitar RM4.50 untuk setiap USD. Kemenangan Trump seperti disambut negatif oleh "pemain spekulator" matawang dan masyarakat pelabur. Mereka takut (mungkin sekejap) untuk menyimpan Ringgit. Ringgit terus dijual dan lambakan berlaku (increment of supply). Itu satu faktor. Mungkinkah pendedehan pelbagai penyelewengan melibat 1MDB di mahkamah Singapura ataupun reaksi negatif pelabur kepada hasil rombongan pelaburan Perdana Menteri ke China dengan penambahan berpuluh bilion hutang baru turut menyumbang kepada kelemahan berterusan Ringgit ?

07/11/2016

PM Najib Pasti Boleh Kuatkan Ringgit

1) Berada di Platinum Mall, Bangkok sememangnya "syurga" bagi orang biasa-biasa seperti saya.

2) Tolak tepi pasal jenama tapi ambil kira kualiti, pilihan dan gaya yang diberikan maka ratusan "outlet" yang ada di bangunan 6 tingkat ini memang akan buat kita rambang mata dan puas hati dengan harganya.


3) 100 Bhat kini lebih kurang RM12 nilainya. Sebelum tahun 2015 nilai 100 Bhat adalah sekitar RM10 sahaja. Apa maknanya? Ringgit Malaysia sudah SUSUT atau jatuh nilainya kira-kira 20% berbanding matawang Thailand itu. Senang kata, kita miskin 20% berbanding duit Thailand.

4) Saya beli 3 kemeja lengan panjang yang "design," kualiti kain dan pilihan warnanya adalah 99% sama dengan satu jenama yang selalu saya beli di Malaysia. Harga kemeja itu di Malaysia sekitar RM70 - RM100  tetapi di sini saya dapat dengan harga 200 Bhat sepasang iaitu kira-kira RM24 sahaja. Bayangkan jika tukaran Ringgit kepada Bhat masih seperti sebelum "isu" 1MDB dan persepsi masyarakat antarabangsa kepada Perdana Perdana Menteri Malaysia "merudum" sekitar tahun 2015; Maka baju itu adalah RM20 sahaja sepasang ! Kini kerana Ringgit "bermasalah" ianya seakan RM24 walhal harganya di Thailand tetap 200 Bhat.

5) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak beritahu Malaysia dia berjaya membawa pelaburan banyak ke dalam negara dan prestasi ekonomi kita adalah bagus. Oleh itu, kita harap Kerajaan bantulah "naikkan" Ringgit kembali sebagai bukti Malaysia memang hebat di bawah Kerajaan pimpinan Mohd. Najib. Sepatutnya kini 100 Bhat adalah di bawah SEPULUH RINGGIT kerana ekonomi kita di mata dunia adalah CEMERLANG menurut Menteri-Menteri Mohd. Najib.

03/11/2016

RM1 Juta - RM1 Bilion - RM1 Trilion

1) Ada yang mula panggil saya "Bro 800 Bilion." Saya rasa kelakar jadinya ! Ada pula yang tanya, "Juta-jutapun tak berapa pandai nak tulis, bro dah cerita pasal trilion. Bilion pon baru kita orang nak hadamkan."

2) Hari ini saya mahu kaitkan bilion dan trilion dengan juta. Saya yakin kebanyakan kita sudah faham juta. Maklumlah, ramai mengidam mahu duit Sejuta Ringgit. Ada sejuta maka jutawanlah kita. Harga rumah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinangpun sudah biasa yang bernilai Sejuta Ringgit dan ke atas. Orang beli Sijil Simpanan Premiumpun kerana mengidam mahu dapat hadiah cabutan RM1 Juta.

3) RM1 Juta ditulis sebagai RM1 000 000. Ianya bersamaan dengan 1 juta keping duit RM1.

4) RM1 Bilion = RM1 000 000 000. RM1 Bilion ini bersamaan dengan 1000 kali RM1 Juta. Kalau bahagikan duit 1 Bilion kepada 1000 orang, maka ada 1000 oranglah JUTAWAN baru. Contoh lain, RM2.6 Bilion pula boleh hasilkan 2600 JUTAWAN. Kalau diberi seorang RM1000, maka RM2.6 Bilion boleh diberi kepada 2.6 Juta manusia ! Mungkin satu negeri Perak atau satu negeri Selangor dapat seorang RM1000 daripada RM2.6 Bilion itu. 

5) RM1 Trilion = RM1 000 000 000 000 = RM1 000 Bilion. Berapa ramai Jutawan baru dapat dihasilkan jika duit RM1 Trilion dibahagi sama rata ? Jawapannya ialah 1 Juta manusia ! Begitulah banyaknya 1 Trilion.

01/11/2016

RM1 030 000 000 000 Hutang !

1) Minggu lepas saya tunjukkan hutang langsung serta hutang yang dijamin Kerajaan Malaysia berada pada kadar menghampiri RM840 Bilion sehingga Jun, 2016.

2) RM840 Bilion itu pada bentuk angka lengkapnya ialah RM840 000 000 000.

3) Itu hutang Kerajaan Malaysia. Bagaimana pula dengan hutang rakyat Malaysia ? 

4) Sehingga Mei, 2016, hutang terkumpul yang dimiliki rakyat Malaysia ialah RM1.03 Trilion. Dalam bentuk angkanya ialah RM1 030 000 000 000. Inilah seperti kali pertama dalam sejarah ANGKA di Malaysia Boleh ini kita mula dengar perkataan TRILION. Juta-juta sudah bukan "mainan" kita lagi nampaknya.

5) Jumlah RM1.03 Trilion itu adalah lebih kurang 89% daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (gross domestice product, GDP) Malaysia. Sesungguhnya jika "meletop" ke dua-dua bentuk hutang ini (bubble's bust) ianya akan meranapkan negara. Urus tadbir kewangan dan polisi kewangan negara yang mantap amatlah diperlukan.

31/10/2016

Karipap RM1 Sebiji ???

1) Subsidi minyak masak ditarik. Hanya paket plastik 1 Kilo sahaja yang akan terus disubsidi. Saya jamin 1001 masalah akan timbul dek dasar bijak tersebut.

2) Makcib Nab dari Kampung Alai, Segamat, Johor keluar kenyataan berikut:

3) "Yang meniaga nantipun berebut beli banyak-banyak yang paket sekilo."

4) "Lama-lama nanti orang biasa nak beli yang sekilo-sekilo tak jumpapun sebab tak ada memanjang."

5) "Akhirnya jadi alasan pulak tak buat yang plastik sekilo sebab orang banyak tipu. Takda lagi yang murah tu." 

(Makcik Nab itu ialah Emak saya yang tidak pernah masuk sekolah menengah apalagi Universiti)

Hutang 1MDB Bukan Hutang Kerajaan

1) Menteri Kewangan Mohd. Najib Abdul Razak keluar kenyataan di Parlimen (31 Oktober 2016) bahawa hutang melibatkan 1MDB tidak DIKLASSIFIKASIKAN sebagai hutang kerajaan persekutuan.

2) Maka Najib dengan yakinnya mengingatkan rakyat bahawa segala hutang 1MDB dan projek-projek berkaitannya tidak menyumbang satu senpun kepada hutang kerajaan.

3) Maka hutang piutang 1MDB yang diyakini mencecah lebih RM50 bilion sehingga akhir tahun 2015 itu tidaklah perlu ditakuti rakyat kerana bukan hutang kerajaan.

4) Orang kampung kalau ditanya pasti boleh jawab soalan: Siapa perlu bayar hutang ? Jawapannya ialah orang yang ambil hutang atau dalam kes sebuah bisnes pastilah si PEMILIK bisnes. Mudah !

5) Siapa pemilik 1MDB ? Jawapannya ialah Kementerian Kewangan. Siapa "pemilik" Kementerian Kewangan ? Jawapannya kerajaan. Siapa "pemilik" kerajaan. Jawapannya RAKYAT MALAYSIA.

29/10/2016

Orang Kampung Nak Tahu Kenapa Minyak Masak 3 Kilo Naik Harga ?

1)Saya ini bukan Professor atau pakar ekonomi. Saya cakap sebagai orang kampung yang pening kepala mendengar 1001 alasan diberikan di televisyen kenapa harga minyak masak naik. Paket 1kg sahaja yang kekal. 

2) Orang kampung bukan faham apa itu rasionalisasi subsidi. Apa yang mereka tahu ialah Kerajaan yang mereka undi ialah Barisan Nasional yang Pengerusinya masa mula-mula jadi Perdana Menteri dahulu suka menyebut "1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

3) Sejak Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak mengekalkan kuasanya tanpa mendapat "restu" majoriti rakyat Malaysia pada Pilihanraya Umum (PRU) 2013, sebutan itu seperti sudah tenggelam. Untuk rekod, Barisan Nasional mendapat sekitar 48% undi rakyat manakala pembangkang memperoleh 52% undian.

4) Berbalik kepada minyak masak yang ditarik subsidinya kecuali bagi paket kecil 1kg, orang kampung pening mendengar ada Profesor, ahli ekonomi dan para bijak pandai lain yang cuba mempertahankan keperluan untuk Kerajaan menghapuskan subsidi. Keluarlah sebab musabab seperti: Mengelakkan penyeludupan ke luar negara, subsidi perlu untuk rakyat biasa sahaja, peniaga tidak perlu kepada subsidi, mengurangkan defisit Kerajaan dan duit subsidi wajar digunakan untuk tujuan lebih berfaedah.

5) Saya mahu beritahu kepada pihak yang "menjaga" subsidi: Tidak perlulah mengeluarkan 1001 alasan untuk menghalalkan penarikan subsidi. Berterus-terang adalah lebih mudah dan senang cerita. Jangan pusing lebih-lebih kerana rakyat di bawah sudah cukup "pusing kepala" memikirkan kos hidup yang makin lama makin meruncing. Cakap sahaja subsidi perlu ditarik kerana kita sudah tidak mampu, tanggungan Kerajaan semakin bertambah dan tunai perlu dijimatkan. Mudah sahaja untuk difahami orang kampung macam saya.

28/10/2016

Najib Perjuang Kemajuan Negara, Tun Mahathir Perjuang Kemerdekaan ?

1) Dr. Mahathir Mohamad kata perjuangan Perdana Menteri Mohd. Najib sudah tidak sama dengan apa yang sepatutnya di buat untuk negara ini.

2) Najib tanpa merujuk kepada siapa mengatakan memang benar perjuangan dulu dan sekarang berbeza.

3) Najib respon, "Dulu beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara."

4) Kita pelik dengan ayat-ayat Perdana Menteri ini. Adakah "tukang tulisnya" tidak membuat "kerja rumah" secara bertanggungjawab. 

5) Bolehkah dibezakan "period" Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya sebagai Perdana Menteri (1955-1970) dengan Dr. Mahathir (1981-2003) ? Siapa yang digelar Bapa Kemerdekaan dan siapa pula yang diiktiraf sebagai Bapa Pemodenan Malaysia ?

22/10/2016

Jamal Baju Merah Mahu Ludah Tun Mahathir

1) Jamal Md. Yunos, Ketua UMNO Sungai Besar, Selangor yang juga "boss" Pergerakan Baju Merah kata dia akan LUDAH tangan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1981-2003), Dr. Mahathir Mohamad jika bertemu.

2) Jamal menyesal kerana pernah bersalaman dan mencium tangan Dr. Mahathir suatu ketika dahulu.

3) Nampaknya Jamal sudah ketahap tertinggi kebenciannya pada siapa sahaja yang cuba menggugat kredibiliti Presiden partinya yang seluruh dunia "bercerita" pasal skandal berbilion duit 1MDB disalahguna secara menggila sehingga menjadi topik sensasi sejak pertengahan 2015.

4) Kes salah tadbir, tutup maklumat dan penggubahan wang secara haram melibatkan 1MDB telah menjadi kes rasmi di Amerika Syarikat, Singapura, Switzerland dan U.A.E. Di tempat asalnya, Malaysia, Peguam Negara Apandi Ali di awal 2016 sudah kata tiada kes dan boss si Jamal itu tidak ada salah laku walau sedikit.

5) Respon ringkas Makcib Nab Kampung Alai, Segamat, Johor sebentar tadi apabila saya beritahu padanya pasal kata-kata biadap Jamal:

"Kurang ajar punya orang, baik mati daripada hidup"

(Makcik itu ialah Emak saya)

21/10/2016

Ucapan Bajet Atau Ucapan Politik ?

1) Pertama kali dalam sejarah, pembentangan Bajet negara kecoh sehingga majoriti besar Yang Berhormat pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat sebagai protes kepada Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak.

2) Apa yang jelas, Najib telah "mencemarkan" ucapan Bajet dengan membuat provokasi tahap terlampau yang jelas menunjukkan niatnya mahu mengambil kesempatan daripada tontonan berjuta rakyat melalui kaca TV kepadanya. Najib mungkin berasa inilah peluang terbaiknya untuk "memancing" kepercayaan rakyat.

3) Najib telah mencampur-adukkan ucapan Bajet dengan percubaan mempertahankan "survival" politiknya.

4) Adalah sesuatu yang tidak professional untuk seorang Menteri Kewangan di dalam bacaan Bajet memasukkan "cerita" memerli bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohammad yang berbaik dengan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri untuk tempoh 1993-1998. Apa kaitan Bajet 2017 dengan pertemuan Dr. Mahathir dan Anwar di dalam mahkamah ?

5) YB-YB PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan bertindak keluar dewan dan sebelum itu berteriak adalah akibat daripada provokasi ucapan Bajet Najib yang terlalu banyak memerli dan merendah-rendah pihak mereka. Kemuncaknya apabila Najib menggunakan ucapan Bajet untuk menidakkan dakwaan “seorang pemimpin pembangkang” yang berkata Malaysia mengharungi ribut ekonomi sukar pada tahun ini. Gaya bahasa dan intonasi Najib jika diteliti memang kelihatan seperti dia gagal membezakan di antara kaedah semasa ceramah politik dan professionalisme pembentangan Bajet rasmi sebuah negara di dalam Dewan Rakyat.

19/10/2016

Nazri Aziz Kata Dr. Mahathir Bodoh ?

1) Menteri veteran nama Nazri Aziz kata ada baik Perdana Menteri ke 4 Malaysia Dr. Mahathir Mohamad jangan cakap banyak supaya tidak nampak bodoh.

2) Nazri merujuk kepada kenyataan Dr. Mahathir yang mengatakan Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak pada 21 Oktober nanti sebagai sesuatu yang tidak bererti kerana hakikatnya Kerajaan sudah tidak ada duit.

3) Nazri pernah kata orang yang tidak faham undang-undang jangan cuba bercakap pasal perundangan. Baiklah, setahu kita, Nazri ini "backgroundnya" adalah undang-undang. 

4) Jadi, baik Nazri DIAM sahaja jangan ulas apa-apa pasal Bajet mahupun komentar Dr. Mahathir pasal keadaan ekonomi negara ! Nazri bukan ada ijazah kewangan, pentadbiran perniagaan ataupun ekonomi. Takut nanti orang akan kata Nazri itu BODOH.

5) Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak itu memang terkenal dengan mulut celuparnya. Sedikit masa dahulu pernah juga dia buat kenyataan ajak Dr. Mahathir lawan bertumbuk. Nazri cabar Dr. Mahathir bertumbuk dengan beliau daripasa asyik cuba menyerang Mohd. Najib berkaitan skandal 1MDB.

Minyak Masak Naik Harga ?

1) Saya mahu tulis sebagai rakyat biasa yang bukan ada ilmu pengurusan kewangan korporat ataupun ekonomi.

2) Buka berita di TV dan tengok apa Perdana Menteri juga Menteri-Menteri kata; Ekonomi Malaysia bagus, perdagangan aktif, negara bukan dalam keadaan krisis, 1MDB tidak beri kesan, rakyat semakin tinggi pendapatannya dan Malaysia semakin maju di bawah Perdana Menteri ke 6.

3) Tiba-tiba menjelang pembentangan Bajet 2017, ada pembesar beri amaran (atau "hint" ?) yang semua kementerian perlu bersedia "ikat pinggang."

4) Ada juga khabaran yang mengatakan minyak masak (minyak sawit) akan alami kenaikan harga sekitar 15-20 % tidak lama lagi kerana subsidinya akan ditarik. 

5) Dua berita ini tidak susah untuk yang tidak berapa pandai pengurusan kewangan dan ekonomi untuk menjawab soalan: a) Adakah anda rasa negara ini semakin maju dan makmur ? b) Adakah anda rasa segalanya dalam keadaan bagus sekarang ?

17/10/2016

1MDB: Speaker Pandikar Kata Tidak Boleh Tanya !

1) Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia tidak mengizinkan sebarang soalan berkaitan dengan tuduhan penyelewengan berBilion Ringgit melibatkan duit 1MDB ditanyakan di Parlimen.
2) "Ia adalah satu perkara yang masih dibincangkan di mahkamah...justeru, ia adalah subjudis...menteri tidak perlu menjawab soalan-soalan itu," Itulah ayat yang disebutkan Pandikar di Dewan Rakyat (17/10/2016).
3) Kepelikan ini berlaku kerana TIBA-TIBA situasi 'masih dibincangkan di mahkamah' diambil kira Speaker. Menteri 'jaga' Parlimen Azalina Othman Said juga sebelum itu mengatakan bahawa sebarang soalan berkaitan 1MDB tidak akan dilayan kerana akan membawa kepada 'SUBJUDIS.'
4) Seingat kita, seluruh pentadbiran Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak telah sepakat mengatakan bahawa saman sivil 'Department of Justice (DoJ)' Amerika Syarikat berkaitan dengan penggunaan secara haram dana dipercayai daripada 1MDB untuk pelbagai aktiviti sebelum ini adalah tidak berkaitan dengan Perdana Menteri dan bukannya bersifat jenayah. Ramai juga pembesar UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berani kata itu semua adalah 'campur tangan asing' berniat jahat terhadap Malaysia. Ada juga Ketua Menteri yang kata 'Amerika mahu bunuh Melayu !'
5) Jadi sejak bila pula Speaker Parlimen mahupun Azalina ataupun Kabinet Malaysia MENGIKTIRAF 'mahkamah' tersebut ? Jadi sekarang, banyaklah pembesar UMNO - BN yang telah buat kesalahan kerana mengatakan saman sivil DoJ itu sebagai sesuatu yang tidak penting dan tidak perlu dilayan sangat !

14/10/2016

Mahathir, Anwar atau Najib: Siapa Ancaman Sebenar Untuk Malaysia ?

1) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kata ada dua individu jadi ancaman kepada Malaysia. Dia kata seorang adalah 'Ketua Pembangkang' dan seorang lagi 'pemimpin lama.'
2) Selaku pemimpin yang melabel diri sendiri sebagai Pahlawan Bugis adalah sesuatu yang pelik kenapa Mohd. Najib tidak berterus terang sahaja bahawa dua pemimpin yang beliau maksudkan itu ialah Perdana Menteri ke 4 Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri untuk tempoh 1993 - 1998, Anwar Ibrahim.
3) Mohd. Najib mahu rakyat berhati-hati dengan dua individu tersebut yang boleh mengancam perpaduan negara. Dia memberitahu satu Malaysia bahawa dua manusia itu cuba untuk menggugat keharmonian kaum di Malaysia ini.
4) Mohd. Najib nampaknya begitu TAKUT dan TERANCAM dengan salam perdamaian yang menamatkan sengketa 18 tahun di antara Dr. Mahathir dan Anwar. Mohd. Najib dan REJIMNYA seperti dalam keadaan cuba kelihatan berani tetapi hakikatnya sedang gundah juga gelana memikirkan impak kepada muafakat Mahathir - Anwar, dua pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah politik bermula dekad 1980an sehinggalah kini. Mohd. Najib sedar dia sendiri tidaklah mempunyai aura sekuat salah seorang daripada individu tersebut. Kalau digabung, apalah saja yang ada pada diri Mohd. Najib dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.
5) Pastinya soalan 'Siapa ancaman sebenar kepada Malaysia sekarang' boleh dijawab dengan mudah oleh majoriti rakyat Malaysia.