29/10/2016

Orang Kampung Nak Tahu Kenapa Minyak Masak 3 Kilo Naik Harga ?

1)Saya ini bukan Professor atau pakar ekonomi. Saya cakap sebagai orang kampung yang pening kepala mendengar 1001 alasan diberikan di televisyen kenapa harga minyak masak naik. Paket 1kg sahaja yang kekal. 

2) Orang kampung bukan faham apa itu rasionalisasi subsidi. Apa yang mereka tahu ialah Kerajaan yang mereka undi ialah Barisan Nasional yang Pengerusinya masa mula-mula jadi Perdana Menteri dahulu suka menyebut "1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

3) Sejak Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak mengekalkan kuasanya tanpa mendapat "restu" majoriti rakyat Malaysia pada Pilihanraya Umum (PRU) 2013, sebutan itu seperti sudah tenggelam. Untuk rekod, Barisan Nasional mendapat sekitar 48% undi rakyat manakala pembangkang memperoleh 52% undian.

4) Berbalik kepada minyak masak yang ditarik subsidinya kecuali bagi paket kecil 1kg, orang kampung pening mendengar ada Profesor, ahli ekonomi dan para bijak pandai lain yang cuba mempertahankan keperluan untuk Kerajaan menghapuskan subsidi. Keluarlah sebab musabab seperti: Mengelakkan penyeludupan ke luar negara, subsidi perlu untuk rakyat biasa sahaja, peniaga tidak perlu kepada subsidi, mengurangkan defisit Kerajaan dan duit subsidi wajar digunakan untuk tujuan lebih berfaedah.

5) Saya mahu beritahu kepada pihak yang "menjaga" subsidi: Tidak perlulah mengeluarkan 1001 alasan untuk menghalalkan penarikan subsidi. Berterus-terang adalah lebih mudah dan senang cerita. Jangan pusing lebih-lebih kerana rakyat di bawah sudah cukup "pusing kepala" memikirkan kos hidup yang makin lama makin meruncing. Cakap sahaja subsidi perlu ditarik kerana kita sudah tidak mampu, tanggungan Kerajaan semakin bertambah dan tunai perlu dijimatkan. Mudah sahaja untuk difahami orang kampung macam saya.

No comments:

Post a Comment