1) Tan Sri Mohamed Rahmat yang amat popular dengan panggilan "Tok Mat" pada tahun 2009 sempat menulis sebuah buku berjudul UMNO: Akhir Sebuah Impian. Beliau memberi amaran UMNO sedang mengalami krisis yang boleh menjejaskan masa depannya serta politik tikam belakang yang amat parah di dalam UMNO.
2) Tok Mat adalah Menteri Penerangan paling dikenali di dalam sejarah negara ini. Beliau menjadi Menteri Penerangan selama 15 tahun (1978-1982 dan 1988-1999). Beliau juga lama menjadi Setiausaha Agung UMNO di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
3) Tan Sri Zainuddin Maidin pula pada akhir tahun 2017 menulis sebuah buku dengan judul cukup panas: Pergi Mampuslah UMNO - Benci Atau Kecewa. Beliau yang cukup dikenali dengan panggilan Zam sejak bergerak sebagai wartawan di era Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman secara berani mengatakan UMNO di bawah Presidennya yang ke 7 iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak sedang menuju penghujung riwayatnya dek kerana sindrom lebih mahu mengekalkan Najib sebagai ketua berbanding memastikan parti terus diterima rakyat.
4) Zam pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu di zaman Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Menteri Penerangan di waktu Tun Abdullah Ahmad Badawi berkuasa. Di zaman Najib, dia diiktiraf sebagai Tokoh Melayu Terbilang oleh UMNO pada tahun 2010.
5) Allahyarham Tok Mat yang meninggal dunia pada 1 Januari 2010 sempat meramalkan pada tahun 2009 bahawa masa depan UMNO semakin gelap dan di akhir 2017, Zam merasakan UMNO sudah tiada apa lagi yang boleh diharapkan, menunggu detik terakhirnya sahaja.
No comments:
Post a Comment