28/01/2018

PAS Akan Jadi "Lebai Paling Malang" ?

1) Tempohari ada pemimpin kanan PAS kata parti itu kini hanya ada DUA PILIHAN:  


PERTAMA: Kekal jadi pembangkang utama


KEDUA: Membentuk Kerajaan bersama UMNO - Barisan Nasional (BN)


2) Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata sasaran PAS tidak boleh dipandang ringan kerana dua kemungkinan boleh berlaku:


PERTAMA: Dengan bertanding di 130 kerusi Parlimen, PAS boleh membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah iaitu menang sekurangnya 112 kerusi daripada jumlah keseluruhan Parlimen sebanyak 222.


KEDUA: Sasaran menang sekurangnya 40 kerusi Parlimen memungkin PAS menyertai sebuah Kerajaan campuran bagi mantadbir Malaysia iaitu sama ada bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).


3) Kini Zuhdi kata pintu kerjasama yang mungkin boleh berlaku dengan HARAPAN sudah tertutup kerana Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "angan-angan mat jenin" kerana yakin boleh bentuk Kerajaan bersendirian dengan bertanding di 130 kerusi Parlimen.


4) Nampaknya PAS sudah semakin tidak "segan silu" untuk memberitahu rakyat bahawa "kami bersedia untuk bersama-sama dengan UMNO demi mencapai sasaran untuk pegang kuasa."


5) Soalan kita kepada penyokong PAS: Adakah anda bersetuju dengan "u-turn" terkini PAS di bawah Hadi Awang yang semakin mesra dengan UMNO? Apakah PAS akan berjaya dengan strategi itu atau PAS akan menjadi "lebai paling malang" di hari Pilihan Raya Umum nanti ?

27/01/2018

Saya Bukan Anak Pahang - Maafkan Saya Kerana Keliru

" Saya mohon pencerahan dan sesungguhnya saya memang sedikit keliru memandangkan saya bukan anak Pahang dan tidak juga menetap atau pernah berkhidmat di negeri Darul Makmur itu. Mengikut semakan kalendar, sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang ialah pada 24 Oktober. Rasanya sekitar Oktober 2017 lalu, antara yang menerima anugerah ialah Siti Nurhaliza dengan gelaran Datuk Seri. Sekitar Disember 2017 pula ada majlis dan pelakon Farid Kamil menerima gelaran Datuk. Hari ini, 27 Januari 2018, ada majlis penganugerahan lagi dengan 20 orang menerima gelaran Datuk Seri, 3 orang Datuk Indera dan 77 orang bergelar Datuk termasuklah pelakon Fizz Fairuz. Kelihatannya seperti 'agak kerap' juga majlis penganugerahan dibuat di Pahang atau saya yang kurang faham. Maafkan saya. "
Fendi Ahmad
27 Januari 2018

25/01/2018

Menteri Malaysia Lebih Hebat Daripada Donald Trump ?

1) Menteri "senior" bernama Mustapa Mohamed berkata dasar perdagangan liberal (bebas) perlu diamalkan dan dasar yang bersifat kawalan adalah berbahaya kepada dunia.


2) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membuat komen tersebut selepas Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Donald Trump memperkenalkan polisi "AMERICA FIRST" yang antara lain turut mengutamakan produk Amerika Syarikat dahulu sebelum keluaran negara lain.


3) Nampaknya Malaysia di bawah Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kini kelihatan lebih hebat, lebih liberal dan lebih segalanya daripada Amerika Syarikat.


4) Tidak lama dulu, Najib sewaktu bertemu Trump mengatakan bahawa Malaysia mahu MEMBANTU ekonomi Amerika Syarikat dengan melabur di dalam projek pembangunan infrastruktrur di sana.


5) Sebelum Trump memperkenalkan dasar "America First," Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah memperkenalkan dasar "Buy British Last" dan kempen "Belilah Barangan Buatan Malaysia" di era 1980an lagi. Rupanya Dr. M telah fikir apa yang Trump baru fikir sekitar 30 tahun dahulu. 


#TunMPerdanaMenteriMalaysia

#HarapanUntukMalaysia

#BersatuBermaruahBeramanah

24/01/2018

Surat Terbuka Fendi Ahmad Buat Perdana Menteri Pada 5 Mac 2008.

(Saya tidak pernah menjadi ahli UMNO secara rasmi dan mengaku menyokong Barisan Nasional di PRU 2004, 2008 dan 2013. Sejarah tidak boleh diketepikan)


......................................


Salam Buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,


Dato' Seri,


Kira-Kira 11 tahun lepas, saya diberikan kepercayaan oleh guru Bahasa Melayu iaitu Puan Asmah Ahmad untuk mewakili sekolah (Sekolah Tinggi Segamat, Johor) di dalam sebuah Pertandingan Menulis Esei yang berkaitan dengan kempen anti-dadah peringkat daerah. Saya telah memilih sebuah tajuk yang cukup mudah bunyinya tetapi penuh dengan semangat dan impian.


Tajuk esei itu ialah 'Cita-Citaku Yang Membara !'


Masih segar di minda saya betapa di salah satu perenggannya, hati kecil saya yang baru hendak menjejak usia 15 tahun ketika itu dengan penuh kepercayaan dan mulusnya telah mengarahkan jari-jemari munggil ini untuk mencoretkan frasa-frasa di bawah ini:


" Saya hendak menjadi seorang pemimpin, nakhoda pentadbiran memacu negara ke mercu kejayaan. Saya ingin menjadi seorang pemimpin yang membawa jasa kepada masyarakat dan negara. Saya ingin menjadi seorang wira bangsa yang bijak berfikir lagi luas pandangannya serta penuh dengan wawasan kecemerlangan, pemimpin kekaguman rakyat yang bernama Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Saya ingin menjadi pemimpin yang penuh karisma ketokohannya seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bijak berkomunikasi, penuh intelek juga luas kemahiran bahasanya. Saya juga ingin menjadi seperti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang penuh sifat sabarnya, bersih selalu dan tinggi nilai kesetiaannya walau pernah dilanda kecewa politik. Saya ingin menjadi seorang pemimpin yang mempunyai ciri-ciri 3 personaliti yang amat saya kagumi ini ! "


Yang Amat Berhormat Dato' Seri,


Pada tahun 1995, tiada siapa yang menyangka bahawa seorang yang bernama Abdullah Bin Ahmad itu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 kerana sewaktu itu hanya orang yang tidak bijak ilmu politiknya sahaja yang akan meletakkan nama Abdullah itu di posisi ke 5 untuk melengkapkan teori RAHMAN yang popular itu.


Saya tidak pernah memandang nama Abdullah Bin Ahmad itu dengan pandangan enteng mahupun murahan kerana hati kecil saya seawal usia satu angka lagi sudah mula 'sayang dan kagum' kepada sang pemilik nama itu. Saya sebagai pencinta UMNO amat kagum dengan pendirian Dato' Seri pada tahun 1987 yang 'sekapal' dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Tun Musa Hitam untuk mencabar kepimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Rangkaian Ku Li yang Dato' Seri sertai itu mempunyai keazaman tinggi untuk menyingkirkan Dr. Mahathir daripada terus mengepalai UMNO sewaktu pemilihan parti 1987. Akibat daripada perebutan hangat itu, UMNO diharamkan.


Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru dan majoriti daripada ahli-ahli UMNO yang diharamkan telah berdiri teguh di belakang insan yang bernama Mahathir Mohamad itu. Ku Li dan pengikut-pengikutnya telah berpaling daripada jalan penyatuan dengan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (diinspirasikan oleh tahun penubuhan UMNO serta tahun bermulanya perjuangan bangsa Melayu menentang Malayan Union pada 1946).


Kagumnya saya dan hormatnya saya kepada tindakan yang Dato' Seri tunjukkan ketika itu secara mudahnya telah membuatkan saya secara yakin lagi tanpa berbelah bagi untuk meletakkan insan bernama Abdullah Bin Ahmad itu dikedudukan tiga serangkai pemimpin Melayu dekad 1990-an yang paling saya kagumi dan sayangi ! Dato' Seri tetap setia dengan UMNO dan Dato' Seri tetap yakin dengan wadah perjuangan UMNO walaupun Dato' Seri tidak sealiran dengan Presidennya ketika itu. Dato' Seri bagi saya adalah pejuang yang sejati dan tidak meletakkan emosi dan kepentingan diri sendiri merajai segalanya. Dato' Seri sanggup menerima 'hukuman politik' dengan disingkirkan daripada Kabinet pentadbiran Dr. Mahathir selepas peristiwa hitam 1987 itu. Selama kira-kira 3 tahun kemudiannya, Dato' Seri hidup di dalam keadaan 'muram kuasa, muram politik.'


Berkat kesetiaan Dato' Seri kepada UMNO dan kerajaan, insan bernama Mahathir Mohamad itu telah terbuka hatinya untuk 'menghidupkan' semula karier politikmu wahai Dato' Seri. Insan itu telah melantikmu semula sebagai Menteri Luar buat negara Malaysia ini. Dr. Mahathir mengatakan bahawa walaupun Dato' Seri pernah bersekongkol menjatuhkannya secara langsung pada tahun 1987, tetapi UMNO tetap di hati Dato' Seri dan ahli UMNO masih banyak yang menyokong Dato' Seri. Mahathir Mohamad itu telah meletakkan dendamnya di belakang dengan mengangkat semula orang yang cuba 'menikamnya' di posisi kekuasaan barisan Kabinet peneraju negara.


Pada tahun 1993, Dato' Seri pastinya ingat betapa gelombang 'Team Wawasan' yang ditunjangi Anwar Ibrahim telah menyebabkan peranan dan karier politik Dato' Seri sekali lagi ditempuh gerhana. Dato' Seri bersama-sama dengan Tan Sri Sanusi Junid telah 'hilang' kedudukan sebagai Naib Presiden UMNO setelah '3 paksi tenaga muda' bernama Muhyiddin Yassin, Najib Abdul Razak dan Muhammad Muhd. Taib telah mendapat sokongan padu ahli-ahli UMNO. Mereka merasakan bahawa Abdullah Bin Ahmad bukan lagi pilihan 'cinta-sayang pengarang jantung.' Sekali lagi karier politik Dato' Seri ditimpa 'musibah' yang seakan menutup terus laluan perjalanan politik yang selanjutnya. Tetapi nampaknya, Mahathir Mohamad itu masih menaruh kepercayaannya kepada Dato' Seri. Dato' Seri tetap dikekalkan sebagai Menteri dan Dato' Seri terus diberi peluang untuk kekal bertanding di Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum 1995 walaupun di Pulau Pinang sendiri, populariti Anwar Ibrahim sebagai 'pemimpin agung' Melayu Pulau Mutiara telah menenggelamkan sedalamnya ketokohanmu wahai Dato' Seri.


Dato' Seri, takdir Tuhan melebihi segalanya, berkat 'kesetiaan' dan berkat 'jalan selamat' yang selalu kau pilih dalam mencatur perjalanan politikmu dan berkat percayanya Mahathir Mohamad kepada perawakan dan identiti 'mulus lagi bersih' yang kau pamerkan itu, maka segalanya berubah pada Januari 1999. Sejarah mungkin berbeza andai tidak berlakunya peristiwa 2 September, 1998 yang membawa kepada pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya hilang jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO. 'Berkat' peristiwa September di tahun 1998 itulah maka tanpa disangka seorang yang telah melalui proses 'kemuraman dan kemarau' di dalam karier politiknya pada tahun 1987 dan 1993 akhirnya berjaya 'hidup semula' dengan jayanya dengan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang ke 8.


Setelah pemecatan Anwar Ibrahim, ramai yang berasa betapa Najib Abdul Razak akan tertabal sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir memandangkan beliau berada di kedudukan Naib Presiden yang terkanan berbandingmu wahai Dato' Seri. Ketika itu Dato' Seri hanyalah Naib Presiden UMNO di kedudukan yang ketiga dibelakang Najib dan juga Muhammad Muhd. Taib.


Suasana politik di sekitar lewat 1998 dan awal 1999 dengan perangkaan Dr. Mahathir untuk mengadakan pilihan raya sebelum berakhirnya tahun 1999 telah menyebabkan Dato' Seri dilantik ke jawatan kekuasaan ke dua tertinggi itu. Alasan yang diyakini ramai ialah kepercayaan Dr. Mahathir bahawa imej Islamik dan perwatakan bersih Dato' Seri itu adalah 'senjata' yang cukup ampuh untuk membendung 'gelombang' hebat yang dibawa oleh parti PAS yang sewaktu itu kelihatan cukup berpengaruh di bawah kelolaan Allahyarham Fadzil Noor. Faktor 'simpati' bangsa Melayu kepada Anwar Ibrahim turut menguatkan lagi sebab-musabab 'terlantiknya' Dato' Seri ke jawatan itu. Maka pilihan Dr. Mahathir itu ternyata kelihatan 'tepat' lagi sesuai buat detik itu dan sejarah menunjukkan bahawa 'gelombang' PAS pada tahun 1999 itu masih tidak cukup untuk meranapkan UMNO dan Barisan Nasional.


Selanjutnya adalah satu episod sejarah yang telah menyaksikan Dato' Seri 'tertabal' sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 pada tanggal 31 Oktober, 2003 di petang Ramadhan Al-Mubarak yang penuh kemuliaan dan kebesarannya.


Namun Dato' Seri, langit tidak selalunya cerah, pelangi tidak semestinya penuh dengan keceriaan warna-warni kehidupan, angin sepoi-sepoi bahasa bukan bererti laut akan tenang selalu dan suka tidak bererti cinta selamanya...

Dato' Seri pernah saya angkat sebagai IDOLA kebanggaan, IDOLA kekaguman dan IDOLA kesayangan di tangga ke 3 selepas Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim. Kalian bertiga cukup KUAT mempengaruhi perjalanan hidup saya seawal usia awal belasan tahun.

Malangnya setelah kuasa dan hala tuju negara ini jelas menjadi milik Dato' Seri, semakin lama semakin menipis kepercayaan saya kepadamu wahai Perdana Menteriku...


5 faktor di bawah telah menghakis langsung kesetiaan saya kepada Dato' Seri dan amat payah untuk saya menepisnya dengan sekelip mata sepantas pintasan angin:


1) Dato' Seri telah gagal dalam mengujudkan sebuah kehidupan yang makmur buat rakyat jelata. Dato' Seri, apalah maknanya makmur andai rakyat semakin terhimpit dengan bebanan kehidupan yang semakin hari semakin runcing lagi menakutkan. Di manakah simpati Dato' Seri kepada rakyat jelata yang memberikan sokongan 'raksasa' kepada parti Dato' Seri sewaktu Pilihan Raya Umum 2004? Tidakkah Dato' Seri terfikir bahawa poket rakyat jelata semakin menipis dan tiada ruang untuk memikirkan simpanan masa hadapan? Pernahkah Dato' Seri terbayang betapa nilai duit dan kuasa membeli rakyat jelata disepanjang 4 tahun pertama pemerintahan kerajaan cemerlang, gemilang dan terbilang ini sebenarnya semakin menurun dengan drastiknya?


2) Dato' Seri ternyata telah menjadi umpama manusia yang 'bertopeng.' Dato' Seri lupa pada sejarah dan Dato' Seri telah menjelma bagaikan seorang insan yang tidak mempunyai adab, miskin budaya dan rendah kemanusiannya ! Dato' Seri lupa betawa insan bernama Mahathir Mohamad itulah yang telah 'menyelamatkan' karier politik Dato' Seri yang sepatutnya telah tamat di dalam lipatan sejarah Malaysia ini sejak tahun 1987 lagi ! Dato' Seri telah diberikan talian hayat yang pertama pada tahun 1990 dan sekali lagi mendapat talian hayat yang kedua pada tahun 1993. Semuanya kerana besar budi dan tiadanya jiwa 'mengenang dendam' di dalam hati Mahathir Mohamad itu. Dato' Seri telah berjaya 'menyerang dan menyakitkan' jiwa Mahathir Mohamad itu dengan 'memusnah dan memansuh' pelbagai idea-idea insan itu di kala Dato' Seri telah menguasai pentadbiran negara. Dato' Seri juga seakan 'riang dan gembira' melihat pendekar-pendekar murahan Dato' Seri seperti Nazri Aziz, Mahadzir Khalid dan Khairy Jamaluddin itu 'menghentam dan mencerca' Bapa Pemodenan Malaysia itu secara terbuka dalam usaha mereka untuk 'mempertahankan' Dato' Seri daripada serangan bijak Mahathir Mohammad. Mengapakah Dato' Seri tidak bertindak seperti Mahathir Mohamad yang pernah melarang sesiapa jua daripada mengutuk mahupun mencaci Almarhum Tunku Abdul Rahman yang pernah mengkritik kepimpinan Mahathir Mohamad di pertengahan 1980-an dahulu? Mengapa Dato' Seri tidak mempunyai hemah kemuliaan seperti itu? Tindakan 'senyap sepi' Dato' Seri yang kononnya adalah 'elegant silence' seperti yang cuba dimomokkan oleh seorang tokoh oportunis bernama Tun Musa Hitam itu pula dapat kami rakyat jelata tafsirkan sebagai kurangnya ilmu, lemahnya mindamu wahai Dato' Seri.


3) Dato' Seri, imejmu cukup tercalar di mata rakyat jelata dek kerana tingkah-laku menantu kesayanganmu, si Khairy Jamaluddin lulusan Oxford yang sentiasa cuba menjadi jaguh arena se Malaya ! Tidak pernah wahai Dato' Seri di dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri memberikan keizinan langsung buat anak mahupun menantunya untuk terlibat aktif di dalam arena politik sewaktu mereka masih di tampuk kekuasaan kerana dikhuatiri akan mengundang prasangka negatif di kalangan rakyat jelata. Malangnya Dato' Seri, 'pengurusan sentimen dan imej' yang kau jana itu adalah di tahap yang cukup tidak matang hingga menjadi 'racun hempedu' yang telah merosakkan namamu sendiri. Sayang seribu kali sayang !


4) Dato' Seri, sejak mutakhir ini kami bangsa Melayu semakin terasa terpinggir ! Engkau adalah PRESIDEN UMNO, sebuah parti yang tertubuh di ISTANA JOHOR pada tahun 1946 dengan aspirasi untuk terus menobatkan maruah dan keagungan bangsa Melayu sebagai TUAN kepada bumi bertuah ini yang sebenarnya bermula dengan nama agung, TANAH MELAYU. Dato' Seri telah menyakitkan hati kami bangsa Melayu ! Dato' Seri begitu bangga untuk mengatakan bahawa Dato' Seri adalah PERDANA MENTERI untuk seluruh rakyat Malaysia ! Ya, tiada siapa yang akan menafikan kenyataan itu, maka tidak perlulah Dato' Seri mengumumkannya secara terbuka kerana 26 juta rakyat Malaysia memang sudah sedia maklum akan kenyataannya. Tetapi Dato' Seri, tingkah-lakumu itu sudah menghiris jiwa kami bangsamu sendiri yang ingin berpayung di bawah paksi UMNO yang seWAJIBnya terus berjuang demi kepentingan MELAYU, demi survival MELAYU ! Dato' Seri melarang pejuang-pejuang UMNO daripada menimbulkan isu berbaur KEMELAYUAN di Persidangan Agung UMNO tetapi rakan-rakan se Malaysia yang lain ada pula yang bersikap kurang ajar dengan mencabar kedaulatan Melayu dan meminta-minta sesuatu yang amat menyakitkan jiwa kami bangsa Melayu ! Di manakah keadilannya wahai Dato' Seri harapan kami? Andai Dato' Seri terlalu ingin menjadi seorang yang liberal dan terlampau ingin mengagungkan konsep 'satu untuk semua' maka UMNO bukanlah parti yang sesuai untuk Dato' Seri payungi lagi !


5) Dato' Seri, sedar dan bangkitlah daripada lenamu itu.... Kami sudah merindui untuk memiliki seorang Perdana Menteri yang sekurangnya mampu untuk kelihatan bijak dan layak untuk dihormati. Kami memerlukan seorang pemimpin utama yang tidak lemah pemikirannya, tajam akalnya dan cekap tindakannya. Kami memerlukan seorang ketua yang mudah menjawab segala permasalahan, cekap mengatur kata-kata dan tidak lupa kepada fakta dan musabab. Dato' Seri, semakin ramai rakyat jelata yang mentertawakan ucapan dan komentar langsungmu di media massa. Rakyat semakin ramai yang mempersendakan kredibilitimu untuk bertindak dan berfikir. Rakyat semakin ramai yang merasa bosan dan mengantuk untuk mendengar kata-katamu. Alahai Perdana Menteriku.....


Akhir kata, buat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi....

SAYA TIDAK PERNAH MEMUSUHIMU KERANA SAYA TIDAK MAHU HIDUP SAYA KELAK DIPENUHI DENGAN MUSUH.... SAYA TIDAK PERNAH MENDOAKAN SESUATU YANG BURUK BUATMU KERANA KITA ADALAH SEBANGSA DAN SEAGAMA.... SAYA JUGA TIDAK PERNAH TERINGIN UNTUK MENGKHIANATIMU MAHUPUN BERPALING DARIPADA ASAS PERJUANGAN UNTUK MEMARTABATKAN BANGSA, AGAMA DAN NEGARA....

PERCAYALAH DATO' SERI, WALAU SAYA TIDAK SENANG DENGAN TINDAK-TANDUKMU TETAPI KESETIAAN SAYA DAN KEPERCAYAAN SAYA KEPADA PARTI YANG SAYA SAYANGI INI TIDAK AKAN LUNTUR SELAMANYA.... SEMANGAT PARTI KESAYANGAN AKAN TERUS KUKUH DI BENAK MINDA SAYA DAN JASA-JASA PERJUANGAN PARTI AKAN TERUS MENJADI INSPIRASI UNTUK SAYA TERUS MENGENANG BUDI DAN MELEBAR-LUASKANNYA SEDAYA MUNGKIN....

SAYA AKAN TERUS MENYOKONG DAN BERDOA DEMI KESEJAHTERAAN BANGSA SAYA, AGAMA SAYA DAN NEGARA SAYA.

JIWA SAYA SELAMANYA DI BAWAH PAKSI UMNO DAN BARISAN NASIONAL !

PM Najib Kata 1.6 Juta Penjawat Awam Patut Terima Kasih Dengan GST

1) PM Mohd. Najib Abdul Razak (24 Januari 2018) kata - “ Kalau tidak ada GST, saya tidak jamin bayaran khas kepada penjawat awam boleh diberikan. Kalau tidak ada GST, ada kemungkinan kita boleh terjerumus dalam kegawatan ekonomi. "


2) Najib juga MENGINGATKAN RAKYAT BAHAWA GST ADALAH BAIK - " Sesuatu yang niatnya baik dan tujuan murni ini dilakukan semata-mata untuk meletakkan asas dan landasan kewangan negara supaya kita terus dapat laksanakan pelbagai program demi kepentingan rakyat. "


3) Itulah "ayat-ayat cinta" yang ditujukan Perdana Menteri buat MEMBERITAHU para pekerja sektor Kerajaan bahawa bayaran khas RM1500 (dibayar secara ansuran dua kali) yang mereka terima adalah hasil KEBIJAKAN pentadbiran beliau yang memperkenalkan cukai bernama GST itu kepada seluruh rakyat Malaysia bermula 1 April 2015 dahulu.


4) Kerajaan dengan bangganya menghebahkan kejayaan mengutip RM41 000 000 000 (BILION) daripada GST pada tahun 2016 dan meningkat kepada RM43 000 000 (BILION !) pula untuk tahun 2017. 


5) Adakah wajar untuk RAKYAT terus memilih lagi sebuah Kerajaan yang akhirnya mendabik dada tentang "kejayaannya" mengurus ekonomi negara dengan baik menerusi kaedah bergantung TALIAN NYAWA kepada cukai bernama GST itu ? Lebih parah, MENGINGATKAN pula si penerima RM1000 + RM500 (dua kali ansuran) bahawa kerana GST itulah kamu semua dapat duit ini, berterima kasihlah pada GST.

22/01/2018

Anwar Ibrahim Tolak Undangan Tun Razak, Terima Undangan Tun Mahathir

1) Kisah perjuangan Anwar Ibrahim di dalam sejarah Malaysia tertulis apabila beliau dikatakan menjadi "arkitek" kepada tunjuk perasaan oleh pelajar-pelajar universiti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1974.


2) Isu pertama ialah menentang perobohan rumah setinggan yang menyebabkan ratusan rakyat biasa hilang tempat berteduh. Disember 1974 pula sekitar 1500 pelajar membuat protes besar-besaran terhadap nasib petani kampung di Baling yang menderita akibat daripada kejatuhan harga komoditi yang gagal ditangani Kerajaan dengan baik. Anwar ditahan selama 22 bulan tanpa bicara oleh Kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak akibat daripada dirasakan menjadi "mastermind" kepada protes mega itu.


3) Tun Razak dikatakan cuba "ambil kesempatan" dengan penahanan awal Anwar di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) itu dengan membuat "undangan" supaya Anwar masuk UMNO. Anwar tetap teguh dengan pegangannya dan akibatnya terus "tersumbat" di dalam tahanan selama hampir 2 tahun. 


4) Sebenarnya, Tun Razak sejak tahun 1972 lagi sudah mula mendekati Anwar untuk masuk UMNO dan memulakan karier politiknya.


5) Tun Razak gagal membawa Anwar ke dalam Kerajaan, Tun Dr. Mahathir berjaya membawa Anwar menyertainya pada Mac 1982, 8 bulan selepas menjadi Perdana Menteri. Seterusnya, Anwar dipilih bertanding di PRU 1982 dan berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripasa PAS.


* Buku ini saya beli pada Februari 2014 sewaktu masih belum berhijrah dan Anwar bukan satu nama yang disokong tetapi tujuan mencari ilmu menjadi sasaran utama.

Selamat Jalan UMNO: Di Akhir Usia Sebelum Meninggal Dunia ?


1) Tan Sri Mohamed Rahmat yang amat popular dengan panggilan "Tok Mat" pada tahun 2009 sempat menulis sebuah buku berjudul UMNO: Akhir Sebuah Impian. Beliau memberi amaran UMNO sedang mengalami krisis yang boleh menjejaskan masa depannya serta politik tikam belakang yang amat parah di dalam UMNO. 


2) Tok Mat adalah Menteri Penerangan paling dikenali di dalam sejarah negara ini. Beliau menjadi Menteri Penerangan selama 15 tahun (1978-1982 dan 1988-1999). Beliau juga lama menjadi Setiausaha Agung UMNO di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.


3) Tan Sri Zainuddin Maidin pula pada akhir tahun 2017 menulis sebuah buku dengan judul cukup panas: Pergi Mampuslah UMNO - Benci Atau Kecewa. Beliau yang cukup dikenali dengan panggilan Zam sejak bergerak sebagai wartawan di era Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman secara berani mengatakan UMNO di bawah Presidennya yang ke 7 iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak sedang menuju penghujung riwayatnya dek kerana sindrom lebih mahu mengekalkan Najib sebagai ketua berbanding memastikan parti terus diterima rakyat.


4) Zam pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu di zaman Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Menteri Penerangan di waktu Tun Abdullah Ahmad Badawi berkuasa. Di zaman Najib, dia diiktiraf sebagai Tokoh Melayu Terbilang oleh UMNO pada tahun 2010.


5) Allahyarham Tok Mat yang meninggal dunia pada 1 Januari 2010 sempat meramalkan pada tahun 2009 bahawa masa depan UMNO semakin gelap dan di akhir 2017, Zam merasakan UMNO sudah tiada apa lagi yang boleh diharapkan, menunggu detik terakhirnya sahaja.

20/01/2018

Siapa Anina Saadudin Mahu Ajar Melayu ?

1) Dia mula dapat perhatian apabila meneriakkan "Najib kencing kita" di sebuah mesyuarat UMNO di Langkawi sekitar tahun 2015. Selanjutnya dia dapat publisiti kerana berani menyaman Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak. Dia kelihatan cukup berani sehingga dapat perhatian daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga "diundang" menjadi antara pengasas Parti Pribumi BERSATU Malaysia.


2) Nasib beliau nampaknya tidak panjang bersama Pribumi BERSATU. Jelas kelihatan rajuknya kerana tidak dipilih untuk terus pegang jawatan Ketua Srikandi (wanita). Dia terasa dipinggir, akhirnya keluar parti dan menjaja kisah umpama dirinya telah teraniaya. 


3) Jika dulu dialah yang melaungkan "Yang mencuri, merompak dan menyamun itu ialah Najib Razak" tapi kurang 15 bulan, dia kini SENYAP SEPI dan langsung tidak menyebut nama Presiden UMNO itu. Tiba-tiba kini, orang yang pernah dikatakan idola dirinya (Tun M) itu pula DISERANG dan diperlekehkan.


4) Anina hari ini (20 Januari 2018) kata - "Kita turun mengundi nanti ini untuk masa depan anak cucu nanti, bukan untuk diri kita, bukan kerana kita taksub pada sesiapa ataupun undi kerana dia bina bangunan tertinggi, bukan undi kerana dia bina Putrajaya." Mudah kata, Anina tidak mahu orang undi Dr. Mahathir. Undilah Barisan Nasional, agaknyalah !


5) Beliau juga cuba "mengajar" Melayu supaya memilih parti dan calon yang boleh membela nasib orang Melayu serta Bumiputera demi masa depan negara dan generasi akan datang. Ada baiknya Anina lebih berani dengan berterus terang sahaja dengan berkata - "Melayu patut undi UMNO - Barisan Nasional. Saya sokong UMNO." Janganlah BERSEMBUNYI di sebalik nama NGO seumpama ingat orang yang mendengar ini mempunyai pemikiran MURAH seperti anda.

Jangan Mengejar Dunia Hingga Lupa Pada Kampung dan Orang Tua

1) Ini kawasan kejiranan saya di kampung. Hanya sekitar 150 meter berjalan kaki dari rumah sendiri.



2) Suasana inilah saya dibesarkan sebagai budak kelahiran 1980an dan menikmati zaman Malaysia Boleh pada musim-musim 1990an sehinggalah mula bertapak di bumi Melaka Bandaraya Bersejarah pada Mei 2000. 


3) Saya menuntut ilmu di Melaka dan terus berkhidmat sebagai pendidik sehingga kini, 18 tahun jadi "orang Melaka."


4) Ketenangan di dalam jiwa dan peribadi saya banyak terbentuk dek suasana kekampungan yang sentiasa mendamaikan ini. Selepas guruh melanda, kilat sabung menyabung dan ribut melanda, suasana kampung akan tetap tenang kembali. 


5) Syukur kepada Tuhan kerana jiwa saya sentiasa dianugerahkan rasa rindu kepada Emak dan Encik (ayah). Kasih sayang dan doa mereka berdua pastinya menjadi benteng penguat yang cukup kebal kepada satu perjalanan hidup yang kadang ada tawanya, kadang ada cabarannya. 


*Walau apapun rintangan, jangan gentar #beranikeranabenar

18/01/2018

Orang Bugis Tak Layak Dapat Diskaun Beli Kereta Proton ?

1) Buat pertama kali dalam sejarah, PROTON memberikan diskaun khas bukan untuk seluruh rakyat Malaysia tetapi berdasarkan kepada KAUM DAN KETURUNAN.


2) CEO PROTON yang merupakan rakyat China, Li Chunrong membuat kenyataan - "Mana-mana rakyat Malaysia berketurunan dari Fujian yang membeli kereta Proton akan menikmati harga paling istimewa."


3) Diskaun sehingga 10% itu khas bagi ahli-ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia yang membeli kereta PROTON bagi tempoh 12 Januari 2018 sehingga 31 Mac 2018.


4) Untuk rekod, syarikat China iaitu Zhejiang Geely adalah pemilik 49.90% PROTON sejak 2017 selepas direstui Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak. Walaupun syarikat tempatan DRB-HICOM menguasai 50.1% PROTON, kuasa utama pengurusan diberikan kepada calon pilihan syarikat China itu.


5) Mungkin untuk meredakan keadaan, CEO "made in China" itu nanti bolehlah adakan musim diskaun khas untuk Bugis, Iban, Sikh dan Negrito pula. Baru adil dan saksama di bawah era Transformasi ini.

2018: Rakyat Malaysia Lebih Miskin ?

1) Dalam bahasa paling mudah saya soalkan kepada semua: Kalau gaji kita naik RM1 dan belanja asas rumahtangga kita naik RM1.20, adakah kita semakin kaya ataupun semakin miskin ?


2) Jika kita dengar apa pakar ekonomi mahupun "orang-orang kuat" Barisan Nasional nyatakan di berita TV3 dan Utusan Malaysia, semuanya akan kata ekonomi Malaysia adalah cukup baik dan berkembang hebat dengan rakyat menerima kenaikan gaji yang memuaskan. Itu apa yang dilaporkan media massa mesra Barisan Nasional.


3) Hakikatnya, purata kenaikan GAJI pekerja di Malaysia pada tahun 2017 adalah lebih RENDAH daripada purata kenaikan harga barangan. "Trend" itu akan berterusan untuk tahun 2018.


4) Tahun 2017, purata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan (inflasi) Malaysia mencecah angka 4%. Apa yang "tidak dibesarkan" TV3 dan Utusan Malaysia ialah purata kenaikan upah pekerja Malaysia ialah cuma sekitar 1.3% !


5) Bagi tahun 2018, inflasi dianggarkan akan berada pada tahap di antara 3% sehingga 3.5%. Menyedihkan ialah purata kenaikan upah rakyat Malaysia dijangka akan tetap lebih rendah daripada kadar inflasi itu. Kesimpulannya, rakyat secara majoriti adalah lebih miskin berbanding tahun sebelumnya. Setiap tahun lebih miskin daripada tahun sebelumnya.


2018: UBAH SEBELUM REBAH ....


#HarapanUntukMalaysia

#BersatuUntukMalaysia

11/01/2018

Perbelanjaan Mengurus Negara Di Bawah PM Najib Terlalu Tinggi: Urus Apa ?

1) Perbelanjaan mengurus negara (contohnya bayar gaji pekerja kerajaan, pencen, bantuan kebajikan dan subsidi) di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak kelihatannya semakin meninggi sejak beliau pegang kuasa pada tahun 2009 dan sebelum itu Menteri Kewangan sejak tahun 2008.
2) Belanja mengurus Kerajaan berdasarkan Bajet negara pada tahun 1997 ialah sekitar 70% daripada PENDAPATAN KERAJAAN.
3) Tujuh tahun terakhir Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (1997 - 2003) melihatkan Kerajaan Malaysia memperuntukkan sekitar 70% sehingga 80% daripada PENDAPATAN KERAJAAN untuk tujuan operasi (mengurus Kerajaan). Selebihnya adalah untuk tujuan pembangunan (pembinaan sekolah, jalan raya dan pelbagai insfraktruktur sebagao contoh). Maknanya, zaman Dr. M melihatkan Kerajaan serius melebihkan PERBELANJAAN untuk tujuan pembangunan dengan peruntukan mengurus sentiasa dipastikan terkawal.
4) 10 tahun Najib sebagai Menteri Kewangan, perbelanjaan mengurus Kerajaan sentiasa di atas 90% dan klimaksnya tercapai di dalam Bajet 2018 apabila ianya mencecah 97% daripada pendapatan kerajaan.
5) Mudah kata, 10 tahun terakhir ini, Kerajaan Malaysia telah mengutamakan perbelanjaan mengurus atas nama operasi negara berbanding untuk tujuan pembangunan. Rakyat Malaysia harus tahu bahawa jika ini diteruskan maka JANGAN KITA CERITA lebih untuk jadi negara serba bagus serba hebat pada tahun 2050 seperti yang disebutkan oleh agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) itu !

97% Cukai Pendapatan Untuk Bayar Hutang Kerajaan ?

" Pemerintahan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak MEMERLUKAN RM31 000 000 000 (31 bilion) duit Kerajaan untuk membayar hutang bagi tahun 2018. Pada tahun 2017, bajet pembayaran hutang Kerajaan adalah sebanyak RM29 000 000 000 (29 bilion). Bayangkan, kutipan CUKAI PENDAPATAN rakyat Malaysia bagi 2018 dianggarkan sekitar RM32 Bilion dan bolehlah diumpamakan yang 97% daripadanya digunakan untuk membayar hutang Kerajaan yang semakin meninggi di bawah Najib sebagai Menteri Kewangan. Rakyat Malaysia WAJIB TAKUT dengan fakta ini dan WAJIB membuat pilihan sama ada untuk terus begini lalu negara TERJERAT kelemasan atau berubah kepada satu pemerintahan yang sekurangnya berjanji untuk memperbaiki nasib negara tercinta ini. "
Fendi Ahmad
11 Januari 2018

Malaysia Akan Terjerut Mati Kelemasan ?

" 10 tahun Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak sebagai Menteri Kewangan (2008 - 2018) bolehlah dirumuskan dengan fakta ini: Pendapatan Kerajaan meningkat secara purata sebanyak 4.9% setahun dan Belanja Mengurus Kerajaan pula meningkat secara puratanya sebanyak 6% setahun. Kenaikan belanja secara berterusan melebihi kenaikan pendapatan dalam 1 DEKAD beliau sebagai Menteri Kewangan ini adalah sesuatu yang WAJIB MENAKUTKAN seluruh rakyat Malaysia. Malaysia memerlukan Menteri Kewangan yang mampu memahami senario bahaya ini. Biar berani ikat perut sekarang sebelum leher terjerut mati kelemasan dalam masa 10 tahun akan datang ! "
Fendi Ahmad
11 Januari 2018

PM Najib Membawa Malaysia Ke Lubang Belanja Luar Biasa ?

1) Makcik dan pakcik, abang, kakak dan adik-adik semua, BAJET DEFISIT tu maknanya BELANJA lebih daripada PENDAPATAN. Gaji kita RM500 tapi kita belanja RM600. RM100 lagi tu kita ambil hutanglah nak tampung. Pahamkan.
2) Macam negara kita nipun ada Bajet juga. Yang Menteri Kewangan (Perdana Menteri) setiap bulan Oktober umum tu, orang asyik tunggu ada cerita bonus ke, BR1M naik ke tidak, rokok naik harga ke tidak, itu hari diumumkan Bajet negara lah untuk tahun depannya. Bajet negara ini Kerajaan akan 'bajetkan' atau bahasa kampungnya, kerajaan buat kira-kira berapa dia nak belanja untuk negara dan berapa dia boleh dapat kutip cukai kutip bayaran itu dan ini.
3) Masa Tun Dr. Mahathir jadi PM, Bajet 2003 adalah yang terakhir di bawah kepimpinannya. Bajet defisit berlaku sebanyak sekitar RM20 Bilion. Maknanya Kerajaan ketika itu belanja lebih sebanyak RM20 Bilion berbanding pendapatan. Untuk rekod, sebelum kegawatan ekonomi dan krisis kewangan Asia 1997-1998, Dr. Mahathir berjaya memimpin negara dengan Bajet Lebihan iaitu perbelanjaan Kerajaan sentiasa kurang daripada pendapatan. Kali terakhir negara memiliki Bajet Lebihan ialah pada tahun 1997 dengan lebihan sebanyak RM8.2 Bilion. Selepas 20 tahun dan dua Perdana Menteri berubah, Malaysia masih gagal mencapai Bajet Seimbang sekurangnya (pendapatan = perbelanjaan).
4) Bajet 2009 adalah di bawah seliaan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak yang menjadi Menteri Kewangan sebelum Perdana Menteri sebelumnya meletakkan jawatan. Bajet pertama Najib itu mencatatkan defisit sebanyak RM44 Bilion ! Dua bajet terakhir Najib untuk tahun 2017 dan 2018 mencatatkan defisit menghampiri RM40 Bilion setiap tahun. Defisit terkecil di bawah PM Najib ialah sekitar RM35 Bilion untuk tahun 2015.
5) 10 tahun Bajet negara di bawah seliaan Najib (2009 - 2018) memperlihatkan defisit keseluruhan melebihi RM400 Bilion ! Defisit maknanya duit tidak cukup, hutang perlu diambil. Hutang terkumpul Kerajaan hanya daripada defisit berterusan di bawah Najib sahaja sudah lebih RM400 Bilion ?
Untuk perhatian semua: 400 Bilion = 400 000 000 000

09/01/2018

Tun M Tidak Layak Jadi PM, PM Najib Layak Teruskan ?

1) Pakatan Harapan (7 Januari 2018) secara muktamad mengisytiharkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai gandingan bakal Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia apabila mereka memilih untuk mengubah Kerajaan di Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal berlangsung tahun ini.
2) Ini pertama kali berlaku dalam sejarah negara apabila rakyat diberitahu awal-awal lagi akan siapakah yang akan menggantikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sedia ada daripada Barisan Nasional (BN) jika memilih untuk perubahan kepada gabungan lain.
3) Media massa kawalan Kerajaan dengan bersemangatnya telah memberi perhatian cukup luas sejak gandingan 'dua doktor perubatan' itu dicadangkan bagi menggantikan PM dan TPM sedia ada daripada BN.
4) Pelik sungguh, kenapa pemimpin BN dan segala 'pejuang-pejuang' UMNO - BN sedaya upaya memberikan promosi tahap tertinggi kepada pengumuman Pakatan Harapan itu ? Jika tiada apa yang ditakutkan atau digeruni, baik jangan cerita langsung perihal 'dua doktor perubatan' sebagai bakal PM ke 7 dan TPM ke 12 Malaysia itu.
5) Ada juga kisah segelintir ahli atau pemimpin di dalam gabungan Pakatan Harapan sendiri yang tidak bersetuju. Itulah kebaikannya, mereka bebas bersuara untuk mengatakan YA ataupun TIDAK berbanding dengan ke semua pemimpin dan ahli 14 parti gabungan BN yang pastinya BEGITU TAKUT untuk mengatakan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak tidak sesuai untuk terus menjadi PM. Mereka hanya sebut dalam hati tetapi untuk diluahkan amatlah mustahil akan berlaku. Kasihan, kasihan, kasihan.

08/01/2018

Ummi Hafilda Ali

1) Bagi seorang budak sekolah menengah era akhir 1990an yang memang suka dengan cerita dan drama berkaitan politik, pastinya nama Ummi Hafilda Ali menjadi perhatian diri ini.



2) Saya pernah berasa kagum dengan seorang wanita muda ketika itu yang mengambil jalan berani. Terdetik dalam hati saya ketika itu, "berani dia ni."


3) Warna - warni pakaian moden beliau "turun naik" mahkamah ketika itupun saya masih ingat. Dia kelihatan cukup yakin dan elegan.


4) Pernah juga saya seakan "meragui" kewibawaan" beliau apabila disebarkan yang moralnya diragui dengan kenyataan di dalam mahkamah menuduh beliau seperti seorang wanita "murahan" yang gilakan duit. Tapi beliau tetap kelihatan yakin dan tidak pernah berganjak dengan pendirian dan kepercayaannya.


5) Kak Ummi Hafilda Ali, selepas 20 tahun mengenali anda, saya ingin nyatakan bahawa semangat, kekuatan dan keyakinan yang anda miliki amatlah saya kagum. Moga Malaysia kita kembali gemilang dan bebas daripada rejim #perompakpenyangakpenyamun


#BersatuBermaruahBeramanah

#HarapanUntukMalaysia

06/01/2018

Anak Melaka Semua: Mahu 'BERAMBUSkan' Fendi Ahmad Atau Tidak ?

1) Ada orang mohon doa supaya saya yang bertapak di Kota Melaka BERAMBUS balik ke kampung dan negeri asal, lalu diaminkan. Ya, saya akui saya dilahirkan di Segamat, Johor. Itu ketentuan Tuhan.


2) Saya sudah menjadi sebahagian daripada 'orang Melaka' sejak 18 tahun yang lalu. Di bumi Melakalah saya menuntut ilmu dan di tanah Melaka inilah saya menyumbang tenaga berkhidmat demi kepentingan anak bangsa Malaysia.


3) Serba sedikit rezeki yang Tuhan berikan kepada saya, segala tuntutan zakat yang sepatutnya disalurkan demi kepentingan Melaka dan bukannya negeri asal.


4) Saya ingin memberitahu pihak itu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bukan anak Pulau Pinang dan langsung tidak pernah berkhidmat di sana dan 'tiba-tiba' menjadi Ketua Kerajaan Negeri itu pada tahun 2008. YB Shamsul Iskandar Akin adalah anak Melaka yang pada tahun 2008 dipilih bertanding di Parlimen Kuala Terengganu. YB Rafizi Ramli pula adalah anak jati Terengganu yang kini menjadi Ahli Parlimen Pandan, Selangor. 


5) Ketua Menteri Melaka di awal musim Merdeka iaitu Almarhum Tun Abdul Ghafar Baba dikatakan 'orang Melaka' paling berjaya dalam arena politik sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri (1986 - 1993). Tahukah orang yang mahu saya  BERAMBUS itu bahawa Ghafar bukanlah anak jati Melaka ? Silalah semak. Politik nasional sudah lama lari daripada konsep asal-usul menjadi syarat utama untuk berkhidmat dan bergerak dalam perjuangan.


#BersatuBeramanahBermaruah

#HarapanUntukMalaysia

Siapa Perdana Menteri Harapan Malaysia ?

1) Esok (Ahad, 7 Januari) Pakatan Harapan akan umumkan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia bagi menggantikan gandingan semasa PM Mohd. Najib Abdul Razak dan TPM Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang pasti akan diadakan tahun ini.


2) Sejarah akan tertulis apabila buat pertama kalinya parti-parti pembangkang berjaya mencapai persetujuan untuk menamakan bakal Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mereka sebagai kepastian kepada rakyat supaya jelas mereka kelak mengundi untuk siapa sebagai pemimpin negara. Inilah yang dikatakan wibawa sebuah 'government in-waiting.' Kerajaan yang sedang menunggu.


3) Andainya Harapan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai gandingan PM-TPM, maka rakyat Malaysia WAJIB disedarkan perkara ini:


A) Pangkah Barisan Nasional = Kekalkan Najib dan Zahid Hamidi; SOKONG NAJIB !


B) Pangkah Pakatan Harapan atau parti-parti di bawahnya iaitu PKR, DAP, Amanah atau Pribumi BERSATU = Dr. Mahathir dan Dr. Wan Azizah sebagai pemimpin Malaysia; SOKONG TUN Mahathir !


4) Pilihan lain Harapan ialah mengangkat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai gandingan PM-TPM, jika calon berusia awal 50an menjadi pilihan. Jalan tengahnya pula, mungkin Dr. Mahathir boleh digandingkan dengan Azmin, satu lambang unik gabungan Bapa Pemodenan Malaysia penuh pengalaman dengan generasi baru yang segar lagi diyakini anak muda.


5) Ada baiknya juga selain calon PM dan TPM, Harapan usulkan sekitar lima hingga tujuh nama sebagai calon-calon MENTERI KANAN untuk rakyat Malaysia. Nama-nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Salahuddin Ayob, Azmin dan Mukhriz pastinya boleh meyakinkan lagi rakyat bahawa barisan pimpinan negara yang dijanjikan Harapan adalah lebih baik dan lebih berwibawa untuk mentadbir negara tercinta ini.


#bersatuberamanahbermaruah

#harapanuntukMalaysia

05/01/2018

Fendi Ahmad EJEN UMNO ?

1) Seorang anak murid saya lama dahulu pernah kata, 'Sir ni umpama khutub khanah UMNO.' Maksud dia, cikgu dia yang seorang ini seperti muzium bergerak yang tahu semua kisah mahupun sejarah berkaitan UMNO zaman berzaman. Semua yang kenal saya memang tahu Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah idola sepanjang zaman diri ini.
2) Saya mula membaca segala bahan bacaan berkaitan politik (sejarah pergerakan politik, pemikiran tokoh-tokoh besar politik, skandal politik, pergolakan dan perkembangan politik mahupun gosip-gosip politik) sejak usia satu angka lagi. Dikala kawan-kawan membaca kisah dongeng, Doraemon dan sejenis dengannya, saya lebih suka baca tentang UMNO, MCA, DAP, MIC, PAS dan 'keunikan' politik Sabah dengan USNO, Berjasa dan PBSnya.
3) Sesiapa juga yang kenal saya dan mengikuti penulisan FB dan suatu ketika dahulu di era Pak Lah sebagai PM Malaysia menerusi blog lama, PASTI sedar dan yakin bentuk bagaimana pemikiran dan hala tuju politik saya. Rekod pemikiran politik saya dalam jangka masa 10 tahun terakhir ini pastilah dapat difahami sejelasnya.
4) Kini timbul cubaan atau mungkin 'usikan nakal' sesetengah pihak seolah cuba menimbulkan persoalan ATAU hebahan berniat sedikit tidak baik bahawa Fendi Ahmad adalah EJEN UMNO di dalam pergerakan #BesatuBeramanahBermaruah.
5) Saya hanya mampu tersenyum dan mengucap terima kasih jika ada pihak yang berkata sebegitu. Susah-susah saja kamu ...