16/07/2016

PARTI BARU DR. MAHATHIR, GABUNGAN PAKATAN HARAPAN: Ambillah Saya

1) Kepada parti baru yang akan wujud dengan nasihat Bapa Pemodenan Malaysia Dr. Mahathir Mohamad: Ambillah saya.

2) Saya ini budak Kampung Alai, Segamat, Johor. Dibesarkan dalam suasana Kampung Melayu sepenuhnya. Saya bukan anak ahli perniagaan, bukan anak ahli politk dan bukan daripada keluarga  yang ada 'nama.'

3) Saya bersekolah hingga tamat SPM di Sekolah Tinggi Segamat dengan bercampur mesra dengan rakan-rakan Cina dan India. Setiap hari saya turun naik bas bersama Velan Manokaran, sahabat baik saya. Selalu juga waktu petang Velan datang rumah saya untuk belajar sama-sama. Di sekolah saya anda kawan namanya Andrew Tey. Dia ini nakal. Selalu bergaduh mulut dengan dia tapi kami 'main-main' saja. Di pihak Melayu saya ada kawan nama Mohd Hezery Bin Hussin dan Rashidi Ibrahim yang kuat identiti Melayunya tapi mesra dan tidak janggal langsung dengan kawan-kawan Cina dan India. Mereka semuanya percaya pada saya sampai saya jadi 'ketua darjah' selama 4 tahun. 

4) Masa saya sekolah, saya sempatlah jadi Pendebat Ala Parlimen terbaik bagi daerah Segamat. Setakat jadi di antara Pendebat terbaik negeri Johor itu mampulah juga. Bagi Pertandingan Forum Remaja, saya dan rakan-rakan baik iaitu MaLady ZoKa dan Iedan Ibn Jalil jadi juara Segamat, Johor dan kami masuk peringkat Kebangsaan. Zaman itu walau saya budak sekolah harian biasa yang tidak pernah isi borang mahu masuk SBP atau MRSM tapi mampulah tewaskan 'budak-budak' Sekolah Tun Fatimah, Sains Johor dan apa juga MRSM serata Johor dan sekolah-sekolah yang ada nama 'sains.'

5) Pengalaman kerja saya bolehlah tahap biasa-biasa cari rezeki untuk cari makan. Tahun ini tepatlah 12 tahun saya jadi Cikgu di MMU. 95% anak murid saya ialah berbangsa Cina. Kadang-kadang dalam kelas saya semua Cina. Pernah juga dahulu saya ajar satu kelas yang langsung tiada budak Malaysia, semua Arab, Afrika dan Indonesia. Walaupun saya Cikgu Melayu tapi saya yakin anak murid Cina saya cukup sayang pada saya. Jumlah anak murid saya sejak 2004 rasanya sudah beribu orang, mereka ini akan jadi 'penyokong' Sir Fendi yang sejati.

Oleh itu, parti baru ini tidak rugi ambil saya sebab saya rela berceramah dan kempen untuknya tanpa mendapat bayaran !

SAH: Tun Mahathir Wujudkan Parti Baru

1) Secara rasmi, Perdana Menteri ke 4 Malaysia Dr. Mahathir Mohamad akan mengasaskan sebuah parti baru. Beliau tidak akan jadi Presiden tetapi akan jadi yang pertama menyertainya.

2) Tiga (bekas) pemimpin besar UMNO yang 'terbuang' kerana buat kesalahan BESAR cuba bertanya (awalnya) dan kritik (akhirnya) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak tentang 'sedekah / derma' RM2.6 Bilion dan KEGANJILAN dalam transaksi kewangan 1MDB iaitu Muhyiddin Yassin, Mohd. Shafei Apdal dan Mukhriz Mahathir dijangka mengetuai kepimpinan kanan parti tersebut.

3) Parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang kini disertai PKR, DAP dan Amanah. Sokongan kepada penubuhan parti itu tanpa prejudis ditunjukkan dengan kehadiran orang-orang besar seperti Lim Kit Siang dan Teresa Kok (DAP), Tian Chua dan Shamsul Iskandar Akin (PKR) serta Sallahudin Ayub dan Khalid Samad (Amanah). Mahfuz Omar daripada PAS turut serta dalam perbincangan pasukan 'Deklarasi Rakyat' di mana Dr. Mahathir Mohamad menjadi suara utama.

4) Parti ini dipercayai akan mendapat sokongan padu daripada 'penyokong-penyokong UMNO tanpa kepentingan' yang sudah hilang kepercayaan sepenuhnya kepada Najib dan menteri-menterinya tetapi seperti tidak 'sepadan dan selesa' untuk terus masuk DAP, PKR mahupun Amanah.

5) Kepada pemimpin UMNO dan penyokong setia membawa rebah UMNO, anda semua tidak perlu takut dengan parti ini kerana Presiden Najib yakin dia ada sokongan 3 juta ahli UMNO ! Tapi jangan lupa untuk semak kehadiran lengkap di mesyuarat tahunan peringkat cawangan. Berapa ramai yang hadir? Takut-takut itulah saja 'nilai UMNO' sekarang. Jangan lupa juga untuk memikirkan orang-orang yang tidak masuk UMNO secara rasmi tetapi menyokong UMNO selama (SEBELUM) ini. Mereka ini lebih ramai daripada ahli berdaftar.

10/07/2016

Selamat Hari Jadi Tun M

1) Selamat Hari Jadi Ke 91 Buat Bapa Pemodenan Malaysia Yang Amat Saya Sayang Lagi Hormati.

2) Andalah "The Best Dato' Seri" dalam hidup saya. Tiada seorangpun "Dato' Seri" lain yang akan mengambil kedudukan itu di dalam jiwa saya.


3) Andalah idola saya dulu, kini dan selamanya. Zaman saya membuka siaran TV jam 8 malam untuk mendengar sebutan, "Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad" adalah momen terbaik dalam sejarah Malaysia yang merdeka. Semangat Malaysia Boleh, Wawasan 2020, Sukan Komanwel 1998 dan Negara Kita Tanggungjawab Kita cukup sebati dalam jiwa kami rakyat Malaysia di era 1990an dan awal abad ke 21.

4) Visi dan ideologi anda meresap kukuh di dalam gaya fikir dan tindakan saya sejak di sekolah rendah.

5) Anda akan selamanya ada saya sebagai salah seorang daripada berjuta pewaris Generasi M untuk Malaysia.

" Tuhan rahmati Tun Dr. Mahathir Mohamad ! Tuhan anugerahkan dia dengan segala kekuatan, kesehatan dan kebahagiaan "

Drama Melayu Drama Cina Drama Tamil Drama Hindustan

1) Saya akan gunakan bahasa sedikit kasar untuk "posting" ini.

2) Kebetulan hari ini (Sabtu, 9 Julai) seperti ada dua tiga "posting" sahabat FB yang secara "direct" memerli mahupun mengeji pasal "trend" semasa drama Melayu yang majoritinya berasal daripada novel cinta yang kisahnya indah-indah belaka, Tan Sri sana Datuk sini, Tengku sana Tuan sini, bisnes juta juta dan muka semuanya elok-elok belaka.

3) Bagi saya "trend" drama berubah-ubah. Ada masa dulu semua pasal pendekar (pertengahan 90an), lawak jenaka (akhir 90an dan awal millenium baru), hantu lawak hantu seram, sedeh-sedeh pon pernah dan macam-macamlah lagi.

4) Yang kamu sebok perasan diri bagus dan bila drama tempatan saja adalah buruknya tu kenapa? Kalau dah memang kepala otak kau tak suka benda-benda "lokal" ni janganlah kau ingat benda tu buruk saja. Penerbit buat drama berdasarkan konsep "boleh jual" atau tidak. Tiada siapa mahu jual benda yang orang tak mahu beli. Biasanya konsep "trend" drama-drama itu tidak akan kekal lebih daripada tiga tahun.

5) Saya bukanlah penonton drama bersiri tempatan kerana saya tidak ada masa untuk jadi penonton setianya tapi saya anti pada manusia yang hanya memikir minat dia sahaja. Minat manusia lain kau ingat murahan. Kesian !