27/12/2017

Melayu Dijangka Tidak Bersama UMNO-BN

" Kajian terbaru menunjukkan sokongan Melayu kepada Barisan Nasional (UMNO) ialah 41%, PAS 14% dan 45% untuk Pakatan Harapan (PKR, AMANAH dan Pribumi BERSATU). PAS akan menjadi korban utama di Pilihan Raya Umum ke 14, kembali ke zaman sebelum 1999."


Fendi Ahmad

27 Disember 2017

Projek Besar Tahun 2018 Kerajaan Barisan Nasional: Kontrak RM175 Bilion Untuk DILOBI !

1) Landasan Keretapi Laju KL-Singapura: RM60 Bilion.


2) Landasan Keretapi Pantai Timur: RM55 Bilion.


3) Landasan Berkembar Keretapi Elektrik Gemas-Johor Bahru: RM8.9 Bilion.


4) Projek MRT 3 Lembah Klang: RM40 Bilion.


5) Lebuhraya Pan Borneo Bahagian Sabah: RM11 Bilion.


#selamatkanMalaysia

#harapanmasihada

23/12/2017

Kisah Seorang Perdana Menteri Dengan Sindrom Berasa Akan Hilang Kuasa

1) Ada seorang Perdana Menteri yang berusia 60an dan telah hampir 9 tahun memegang kuasa, semakin hari dia kelihatan semakin ketakutan kepada seorang tua yang berusia 92 tahun. 


2) Dahulu apabila orang tua bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu menubuhkan sebuah parti politik baru, dia kata tiada apa perlu ditakuti dan parti itu tidak akan dapat sambutan.


3) Selepas setahun berlalu, Perdana Menteri itu nampaknya terlalu susah untuk "MOVE ON" daripada kisah dan ceritera si tua 92 tahun itu. Kerjanya sekarang tanpa bosan ialah memperli, merendah-rendahkan dan memperlekeh usia si tua itu. Sepatutnya dia fokus kepada apa yang dia selaku PM yang sudah lama juga berkuasa mahu buat untuk Malaysia yang lebih gemilang dan makmur.


4) Hari ini (23 Disember 2017), Perdana Menteri itu mengatakan lelaki berusia 92 tahun itu tiada apa lagi yang boleh dilakukan kepada negara di masa akan datang. Beliau turut mempersoalkan sama ada lelaki pada usia 90-an mampu membawa negara ke peringkat seterusnya. 


5) Adakah Perdana Menteri itu sedang mengalami penyakit takut pada bayang-bayang sendiri ? Adakah dia ingat usianya 60an itu terlalu muda ? Tidakkah dia sedar bahawa dengan memperkecilkan kemampuan manusia hanya kerana usianya panjang adalah satu penghinaan kepada Tuhan ? Apa sudah jadi sama Perdana Menteri itu ? Sindrom berasa akan hilang kuasa, mungkin itulah yang tepat.

16/12/2017

Orang Sabah Bangkit Bersama Warisan dan Harapan

1) Saya mahu beritahu Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak bahawa UMNO - BN WAJIB sedar bahawa Sabah bukan lagi "deposit" tetap untuk membolehkan beliau kekal bergelar PM Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke 14.


2) Sepanjang di Sabah, di manapun saya berada, perbincangan apa jua akan diselitkan dengan mesej bahawa Malaysia perlu "ubah" daripada rejim UMNO - BN.


3) Jejaka Bugis berusia 28 tahun yang menjaga gimnasium tempat saya menginap berkata Parti Warisan Sabah pimpinan Menteri yang dipecat Najib iaitu Mohd Shafei Apdal kini mendapat sambutan hebat rakyat Sabah. Katanya, Warisan kini cukup berpengaruh dan jadi sebutan ramai di Sabah. BN  dan Musa Aman dalam bahaya !


4) Wanita Kadazan Dusun berusia 28 tahun yang bekerja di pusat pengumpulan hasil laut daripada Penampang pula kata orang muda sudah tidak mahu Barisan Nasional yang "dikuasai" UMNO yang "datang'" dari Semenanjung. 


5) Walau ketam di Sabah boleh didapati dengan harga kurang RM20 sekilogram dan ikan kembung segar pada harga RM12 sekilogram, ianya sudah dianggap mahal berbanding dahulu. Bagi warga Sabah, ikan kembung normal adalah pada harga kurang RM10 sekilogram. "Zaman GST Najib" sejak April 2015 memang mengubah senario harga barangan. Walau ikan dan ketam tiada GST tetapi HANTU GST tetap menimpa "MUSIBAH" kepada orang Sabah.


#WarisanHarapanUntukSabah2018

09/12/2017

UMNO Sedang Kelemasan ?

" Dengan keahlian terkini dilaporkan sebanyak 3.6 Juta orang, mengapa UMNO perlu TAKUT dengan asyik menakut-nakutkan MELAYU bahawa jika tidak menyokong parti asal yang telah diharamkan pada tahun 1988 itu maka nasib Melayu, Islam dan Raja-Raja akan tercabar ? Jumlah pengundi seluruh negara sekitar 15 juta orang, maka jika ditambah jumlah ahli UMNO dan ahli-ahli daripada 13 parti komponen lain di bawah Barisan Nasional dengan mudahnya mereka akan dapat undi wajib sekitar 5-6 juta pengundi. Itu belum lagi ditambah undi yang mereka YAKINI boleh didapati daripada lebih sejuta kakitangan awam, polis dan tentera serta berjuta lagi penerima BR1M yang tidak berparti. Mengapa perlu terjerit-jerit seperti orang sedang KELEMASAN menunggu detik tenggelam dan terkubur selamanya ? "


#UMNObukanHARAPANMalaysia


#BersatuBeramanahBermaruah


Fendi Ahmad

9 Disember 2017

07/12/2017

Tun Mahathir Dipanggil PM Najib Sebagai Bekas Negarawan

" Presiden UMNO Mohd Najib Abdul Razak dengan "kuasa mulut" yang ada telah menurunkan pangkat Bapa Pemodenan Malaysia Dr. Mahathir Mohamad sebagai BEKAS NEGARAWAN. Kita mahu tanya sama orang UMNO dan penyokong Barisan Nasional, adakah status Negarawan untuk Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman juga kini sepatutnya adalah BEKAS NEGARAWAN ? Untuk rekod, Tunku meninggal dunia bukan sebagai ahli UMNO dan terlibat dengan parti pembangkang menentang Barisan Nasional di akhir usianya. Suami ibu saudara Mohd. Najib iaitu Bapa Perpaduan Hussein Onn juga menjadi penentang Barisan Nasional tetapi tidak pernah dihina apalagi dijatuhkan darjatnya oleh Dr. Mahathir di era 1980an. "


Fendi Ahmad 

7 Disember 2017

Prestasi Harapan Pulau Pinang Ditakuti BN

" Di bawah pentadbiran DAP - HARAPAN, Pulau Pinang mencatatkan LEBIHAN bajet tanpa perlu hutang baru sejak tahun 2008 (pendapatan kerajaan negeri melebihi perbelanjaan), hutang kerajaan negeri TERENDAH dalam Malaysia (hutang terkumpul oleh Kerajaan pimpinan parti Gerakan - BN telah DITURUNKAN 90% dalam masa  8 tahun) dan rizab simpanan negeri meningkat kepada RM1.8 Bilion (2016) berbanding RM0.85 Bilion (2008). Inilah yang DITAKUTI UMNO - BN ! "


#HARAPANterbaikuntukMalaysia


Fendi Ahmad 

7 Disember 2017

06/12/2017

Sandiwara Khayalan Ciptaan UMNO

" Saya tidak akan memberi walau satu komen sekalipun berkaitan Perhimpunan Agung UMNO kerana ianya LANGSUNG TIDAK RELEVAN, hanyalah satu perkumpulan manusia-manusia hipokrit yang sudah tiada nilai dan sandiwara semata untuk mempertahankan seorang manusia sahaja dengan menjadikan berjuta anak bangsa sebagai mangsa. UMNO SUDAH TIDAK RELEVAN, majoriti besar jutaan rakyat sudah tidak berminat untuk ambil tahu apa yang sekitar 5000 perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda juga Puteri UMNO itu khayalkan di PWTC selama 5 hari itu. "


Fendi Ahmad

6 Disember 2017

26/11/2017

Kepada Tuhan Aku Berdoa

Aku insan biasa yang tiada apa-apa


Aku bukan insan berharta, bukan juga insan bernama besar


Aku hanya ada harapan dan impian, moga Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Berkuasa bisa menjelmakannya


Ya Tuhanku, berikan aku kekuatan. Anugerahkan aku insan-insan yang ikhlas membantu dan menguatkanku di saat duka, sukar dan  buntu


Aku sedar dunia tidak menjanjikan syurga kerana kiamat itu sendiri akan meniadakannya


Kepada Tuhan aku berdoa moga hidup ini sentiasa dirahmati dan kekuatan jiwa sentiasa melimpah buatku


16/11/2017

BUNGA-BUNGA HUTANG KERAJAAN KUASAI BAJET 2018

" MALAYSIA - Di sebalik BAJET 2018 yang dibentang PM Mohd. Najib Abdul Razak, ada kisah yang TIDAK diberitahu TV3 dan Utusan Malaysia kepada rakyat jelata --> Sedarlah bahawa 11% peruntukan Bajet 2018 (RM31 Bilion !) akan digunakan untuk bayar BUNGA (faedah) hutang-hutang lama Kerajaan. Peruntukan bayar BUNGA HUTANG Kerajaan adalah lebih besar daripada peruntukan untuk bayaran pencen & gratuiti (8.8% - RM25 Bilion) dan subsidi & kebajikan (9.5% - RM27 Bilion). HUTANG Kerajaan MEMAKAN peruntukan kebajikan rakyat ! Sedarlah wahai MALAYSIA. "
Fendi Ahmad16
November 2017

Bajet 2018: Petanda Malaysia Sedang SAKIT dan Wajib #UBAH

1) PERBELANJAAN Kerajaan sebanyak RM280 Bilion, PENDAPATAN pula RM240 Bilion.


2) Kekurangan RM40 Bilion itu ditampung oleh HUTANG baru oleh Kerajaan. Bajet 2017 hutang naik RM40 Bilion, Bajet 2018 tambah lagi hutang RM40 Bilion.


3) 11% (31 Bilion !) peruntukan Bajet 2018 akan digunakan untuk bayar BUNGA (faedah) hutang-hutang lama Kerajaan.


4) Peruntukan bayar BUNGA HUTANG Kerajaan adalah lebih besar daripada peruntukan untuk bayaran pencen & gratuiti (8.8% - RM25 Bilion) dan subsidi & kebajikan (9.5% - RM27 Bilion).


5) Daripada RM280 Bilion peruntukan PERBELANJAAN bagi 2018, 84% adalah untuk Belanja Pengurusan (RM234 Bilion) dan 16% bagi tujuan Belanja Pembangunan (RM46 Bilion).


6) Berbanding 2017, bajet Belanja Pengurusan MENINGKAT 6.5% manalala bajet Belanja Pembangunan hanya naik 0.1%.


7) Peratusan Belanja Pengurusan mencecah 84% adalah tinggi untuk sebuah negara masih di tahap membangun. Kerajaan hanya memperuntukkan 16% daripada bajet Perbelanjaan untuk tujuan Belanja Pembangunan. 


8) Tidaklah boleh diharapkan Kerajaan untuk menyediakan lebih banyak pembangunan insfrastruktur dan ekonomi bagi kebaikan rakyat dan negara. 


9) Lebih menyedihkan, Bajet 2018 yang disebut penyokong PM Mohd. Najib Abdul Razak sebagai "Bapa Sekali Bajet" adalah satu bajet yang tidak memberi keutamaan kepada bidang pendidikan. Tanpa rasa bersalah, Kerajaan telah MEMOTONG peruntukan untuk tujuan pendidikan sebanyak 11 peratus (2017 = RM5.9 Bilion, 2018 = 5.21 Bilion) ! 


10) Kesimpulannya, Bajet 2018 adalah bajet yang terpaksa mengutamakan bayaran bunga hutang Kerajaan, peratusan peruntukan pembangunan yang semakin mengecil dan pendidikan anak-anak Malaysia tidak dianggap sebagai satu kepentingan.


05/11/2017

KEPALA BAPAK KAU ! - Apa Sudah Jadi Dengan PM Najib ?

1) Kepala Bapak Kau ! - kata Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak dengan merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
2) Najib menjeritkan ayat kasar itu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung MCA yang ke 64 hari ini (5 November 2017). Semakin hari menghampiri pilihan raya, Najib kelihatan semakin terdesak dan jeritannya terdengar seakan jeritan 'berani yang terpaksa dibuat-buat' untuk menyembunyikan ketakutan sebenar.
3) Najib juga seperti MEMBERI AMARAN kepada MCA supaya dapat menang sekurangnya 15 kerusi Parlimen di Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 akan datang jika masih mahu memegang jawatan Menteri Kabinet. Untuk rekod, MCA hanya menang 7 kerusi Parlimen daripada 37 yang ditandinginya di PRU 2013.
4) Pengerusi Barisan Nasional itu juga menakutkan masyarakat Cina bahawa sokongan mereka kepada DAP tidak akan membawa erti kerana DAP tidak akan mampu menjadi Kerajaan. Soalannya, Cina sahajakah yang Najib ingat tidak akan mengundi Barisan Nasional di PRU 14 nanti ?
5) Masyarakat Cina tidaklah mudah dibodohkan. DAP memang tidak akan mampu menjadi Kerajaan secara sendirian TETAPI DAP akan menjadi sebahagian daripada parti yang menubuhkan Kerajaan selepas PRU 14 dengan kerjasama tiga parti lain di bawah Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Pribumi BERSATU Malaysia dan Parti Amanah Negara. Maka pilihan masyarakat Cina untuk mengenepikan MCA sepenuhnya adalah untuk menolak Barisan Nasional daripada kekuasaan dan memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk sinar baru Malaysia.

1 Januari 2018: Kos Hidup Akan Naik Lagi

1) Tanpa ramai sedar, pada 24 Oktober 2017, Dewan Rakyat yang dikuasai majoriti mudah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional telah MELULUSKAN Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2018.


2) Tujuan utama akta tersebut adalah baik: Menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan. Yang tidak baik ialah Kerajaan yang mencadang tetapi kerajaan pula 'cuci tangan.'


3) Apa yang agak kontroversi ialah bantuan kewangan itu dibuat dalam bentuk 'insurans' di mana ianya datang daripada sumbangan bulanan yang DIWAJIBKAN kepada semua majikan dan seluruh pekerja di Malaysia.


4) Bermula Januari 2018, majikan dan pekerja masing-masing diwajibkan memotong 0.2% daripada gaji pekerja untuk dimasukkan terus ke tabung / dana di bawah Sistem Insurans Pekerjaan. Maknanya bagi setiap RM1000 daripada gaji pekerja, majikan bayar RM2 dan pekerja bayar RM2 untuk sistem tersebut. 


5) Dengan adanya kewajipan di pihak majikan untuk 'menyumbang' ke dalam sistem itu bermakna satu lagi KENAIKAN KOS akan berlaku yang akhirnya membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat keseluruhannya. Sudahlah gaji akan dipotong, harga barangan pula naik. Aduhai Malaysia !


#ubah #ubah #ubah 

#KebajikanRakyatAdalahTanggungjawabKerajaan

03/11/2017

Raja Penaung Rakyat Marhaen

Merujuk kepada satu daripada perkara di 'posting' sebelum ini, saya kira benda inilah yang kita sembah mohon supaya Raja-Raja selaku payung teduhan marhean memberi titah teguran bagi membantu ehwal rakyat jelata di bumi Malaysia ini:
" Ekonomi dan kewangan negara dikatakan stabil lagi sehat sejahtera TETAPI Kerajaan sudah tidak mampu untuk meneruskan pemberian pencen kepada kakitangan Kerajaan ? Ekonomi dan kewangan negara dikatakan serba bagus TETAPI Kerajaan sudah tidak mampu meringankan bebanan rakyat apabila harga petrol dan diesel lebih banyak kali naikknya berbanding turun ? Ekonomi dan kewangan negara dikatakan tumbuh dengan pesat hingga dicemburui negara lain TETAPI banyak pasar raya besar ditutup kerana jualan tidak memberangsangkan kerana rakyat sudah terlalu berkira-kira dalam mengurus bajet kewangan keluarga yang semakin sempit ? "
Fendi Ahmad
3 November 2017

Kerajaan Barisan Nasional Bercadang Hapuskan Skim Pencen

1) Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani sudah memulakan gendang irama bahawa Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghapuskan skim pencen kakitangan Kerajaan dan digantikan dengan potongan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sepenuhnya seperti sektor swasta. Ianya akan terpakai bagi kakitangan Kerajaan yang baharu.
2) Kata Ahli Parlimen Titiwangsa yang menang dengan majoriti kecil 866 undi di Pilihan Raya Umum 2013 itu, pertimbangan dibuat bagi mengawal perbelanjaan kerajaan dalam pemberian pencen yang cukup besar selama ini.
3) Menteri itu berkata bahawa pembayaran kepada pesara yang begitu besar itu perlu dikawal kerana ia tidak mampan untuk negara.
4) Kita berasa AMAT PELIK dengan perancangan terbaru Kerajaan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak ini. Rakyat setiap ketika DISOGOKKAN dengan khabar-khabar indah belaka bahawa ekonomi negara adalah mantap, berada dilandasan yang baik, pelaburan asing cukup banyak dan graf itu dan graf ini berkaitan dengan ekonomi adalah cemerlang, gemilang dan terbilang. Malangnya, realiti kepada rakyat adalah sebaliknya.
5) Ekonomi dan kewangan negara dikatakan stabil lagi sehat sejahtera TETAPI Kerajaan sudah tidak mampu untuk meneruskan pemberian pencen kepada kakitangan Kerajaan ? Ekonomi dan kewangan negara dikatakan serba bagus TETAPI Kerajaan sudah tidak mampu meringankan bebanan rakyat apabila harga petrol dan diesel lebih banyak kali naikknya berbanding turun ? Ekonomi dan kewangan negara dikatakan tumbuh dengan pesat hingga dicemburui negara lain TETAPI banyak pasar raya besar ditutup kerana jualan tidak memberangsangkan kerana rakyat sudah terlalu berkira-kira dalam mengurus bajet kewangan keluarga yang semakin sempit ?

01/11/2017

Pilihan Raya Tahun Depan Tapi Bajet 2018 Tidak Cukup BEST

1) Bayaran BRIM tidak mampu dinaikkan kepada rakyat, maka TIADA SENYUMAN tambahan daripada penerima BR1M.
2) Kakitangan awam harap adalah BONUS seperti mana yang diberikan di dalam Bajet 2013, juga satu bajet menjelang Pilihan Raya Umum. Kalau 2013 boleh dapat 1.5 bulan gaji, harap-harap 2018 bolehlah dapat 2 bulan gaji. Maklumlah BAJET PRU ! Maka kakitangan awam tiada rasa teruja sangat dengan Bajet 2018.
3) Bekas tentera dan bekas polis juga ada dapat bayaran 'one off' RM1000 / RM1500 dalam Bajet 2013, Bajet 2018 nampaknya tiada yang lebih 'besar' untuk mereka selain bayaran khas pesara yang biasanya RM500, tahun depan dapat RM750 melalui DUA kali bayaran.
4) Apa sudah jadi ? Pilihan Raya dijangka diadakan dalam separuh pertama tahun 2018 tetapi Kerajaan semasa di bawah Barisan Nasional tidak berani 'melabur' lebih sedikit untuk kekal kuasa. Yakin sangat boleh menang agaknya.
5) Takkanlah pula Kerajaan sudah ketiadaan DUIT untuk ambil hati pengundi seperti yang dibuat di dalam Bajet 2013, pelik ! Bukankah Perdana Menteri dan sedozen Menteri mengatakan semua petunjuk ekonomi negara adalah 'TIP TOP' belaka ?

29/10/2017

Antara Dua Janji: Barisan dan Harapan

1) BN kata cuti bersalin bagi si ibu selama 90 hari, Harapan sudah awal kata ianya 120 hari.


2) BN kata GST untuk majalah, komik dan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan ditiadakan, Harapan kata GST dimansuhkan sepenuhnya.


3) BN mahu tambah pemberian biasiswa, pinjaman dan insentif pembayaran PTPTN, Harapan pula janjikan pendidikan percuma untuk semua peringkat rakyat dari sekolah rendah hingga ke universiti.


4) BN mahu berikan bantuan khas RM1500 kepada penjawat awam melalui dua bayaran, Harapan mahu pastikan gaji minimum rakyat ialah RM1500 setiap bulan dan ada bonus tahunan untuk penjawat awam.


5) BN mahu hapuskan bayaran tol di empat laluan (Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Eastern Dispersal Link Johor), Harapan komited hapuskan tol di seluruh negara.


27/10/2017

Janji Harapan Jangan Dipertikai

" Harapan menjanjikan TIADA TOL, TIADA GST, pendidikan percuma, cuti ibu bersalin selama 4 bulan, royalti minyak 20% untuk 4 negeri pengeluar minyak dan penjimatan RM20 bilion daripada pembaikan ketirisan dalam pemberian projek-projek Kerajaan. Kenapa Menteri-Menteri dan hulubalang Kerajaan sedia ada buang masa mereka mempertikai dan meragui apa yang Harapan janjikan ? Pergi buat kerja anda atau pergilah pujuk Perdana Menteri untuk berani buat janji yang lebih hebat. Janji adalah benda yang akan dilaksana APABILA diberi mandat oleh rakyat. Jika Harapan GAGAL tunaikan janji dalam masa 5 tahun mentadbir, apa rakyat PERLU buat? SINGKIRKAN Harapan di PRU 15 (mungkin tahun 2022/2023). Mudah dan tidak perlu fikir banyak kali. UBAH dan UBAH bila perlu adalah cara rakyat di negara maju. "


Fendi Ahmad 

27 Oktober 2017

Hari Hol Negeri Johor

" Semalam hari Khamis, 26 Oktober negeri Johor bercuti Hari Hol Sultan Iskandar. Saya khuatir majoriti yang bercuti terutamanya adik-adik sekolah tidakpun tahu sebab musabab di sebalik cuti itu. Maklumlah ianya tiada dalam silibus sekolah. Waktu saya sekolah dahulu, ia dipanggil Hari Hol Sultan Ismail. Hari Hol di Johor adalah hari memperingati kemangkatan Almarhum Sultan sebelum ini. Ianya dikira mengikut kalendar Islam. Sebab itu di kalendar biasa, tarikhnya berubah-ubah setiap tahun. Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. "


Fendi Ahmad 

27 Oktober 2017

25/10/2017

Janji Pakatan Harapan Buat Rakyat Malaysia

1) Bonus untuk kakitangan awam akan sentiasa ada
2) Hapus GST
3) Hapus TOL
4) Pendidikan percuma sehingga ke peringkat Universiti
5) Royalti minyak untuk negeri Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sebanyak 20%
Ingatan Buat Rakyat Malaysia:
1) Pengerusi Pakatan Harapan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang telah menaikkan nama negara.
2) Ketua Umum Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sewaktu kita digelar Harimau Ekonomi Asia di dekad 1990an.
3) Pakatan Harapan turut memiliki Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selama 6 tahun yang dipecat Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak hanya kerana mempersoalkan duit rakyat dicuri, dirompak dan disamun.
4) Pakatan Harapan turut dibarisi Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Azmin Ali dan Tuan Lim Guan Eng yang terbukti berjaya meningkatkan kekayaan negeri pimpinan mereka.
5) Pakatan Harapan membuat janji, jika janji tidak ditepati maka mereka BERANI disingkirkan rakyat selepas 5 tahun.
[TIADA SEBAB MALAYSIA TAKUT KEPADA JANJI HARAPAN]

24/10/2017

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin

1) Penyanyi kesayangan ramai, Dato' Siti Nurhaliza kini bergelar Datuk Seri.
2) Siti dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri.
3) Beliau memulakan kerjaya seninya melalui album pertama pada tahun 1996 sewaktu berusia 17 tahun. Melalui album pertama itu, lagu 'berhantu' JERAT PERCINTAAN menggondol Anugerah Juara Lagu 1996.
4) Siti muncul di arena seni suara selepas percubaannya memasuki pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995 membuahkan hasil. Dia menjadi juara melalui lagu Camar Yang Pulang dendangan asal penyanyi Aishah. Ketika itu, Siti masih bergelar pelajar Tingkatan Empat.
5) Dengan pelbagai kejayaan yang dicapai dalam tempoh 22 tahun, seharusnya penganugerahan 'Datuk Seri' kepada wajah kesayangan Malaysia ini tidak akan dipertikaikan. Siti sememangnya layak kerana semua rakyat Malaysia walaupun yang tidak meminatinya tetap kenal siapa itu Siti Nurhaliza, baik Melayu, Cina, India, Iban mahupun Kadazan. TahniahDATUK SERI SITI !

23/10/2017

Boleh Keluar Duit KWSP Masa Usia 55

1) Akhir tahun lepas 'kelam dan kabut' apabila orang ramai memenuhkan bank sebab mahu tukar kad ATM kerana percaya jika tidak ditukar maka tidak boleh keluar duit di ATM.
2) Kesian melihat pakcik dan makcik yang sudah tua dan ibu mengandung terpaksa terlibat dengan kesesakan di bank hanya kerana maklumat salah yang jadi kepercayaan ramai.
3) Satu lagi ketidakfahaman berlaku berkaitan dengan pengeluaran simpanan di KWSP. Apabila usia persaraan sektor swasta dinaikkan kepada tahap 60 tahun, ramai percaya bahawa duit KWSP mereka tidak boleh dikeluarkan sehingga mereka mencecah usia 60 tahun.
4) Duit simpanan KWSP kita tetap BOLEH dikeluarkan sepenuhnya apabila usia mencecah 55 tahun walaupun bersara pada usia 60 tahun.
5) Apa yang perlu diketahui ialah, simpanan seterusnya selepas mencecah usia 55 tahun sehinggalah pencen pada usia 60 tahun itu sahajalah yang tidak boleh dikeluarkan dan semua caruman/simpanan baru melepasi usia 55 tahun akan dimasukkan ke dalam akaun baru yang diberi nama AKAUN EMAS. Segala duit di dalam Akaun Emas ini tidak boleh dikeluarkan sehinggalah usia mencecah 60 tahun.

19/10/2017

Ibu dan Ayah

" 13 tahun saya di alam kerjaya selepas tamat zaman pendidikan sepenuh masa, 13 tahun jugalah saya konsisten mengimbangi masa di antara pekerjaan dan tuntutan mahu selalu balik kampung menjenguk Emak dan Encik (ayah). Apabila saya cuba-cuba melibatkan diri dalam politik, memang saya sedari komitmen saya menjadi semakin meruncing. Tapi sejak awal penglibatan, saya beritahu semua bahawa apa keadaan Emak dan Encik saya adalah lebih utama daripada politik. Saya lakukan dalam politik apa yang saya mampu dan terbawa. Selebihnya, Tuhanlah yang menentukan. Saya yakin bahawa redha ibu dan ayah akan bawa kita terbang lebih jauh dengan izin Tuhan. Jangan lupa ayah dan ibu ya kawan-kawan politik semua. Jangan ingat menjenguk ayah dan ibu sebulan sekali selama 30 minit itu sudah cukup untuk anda dijauhi fitnah dunia apalagi fitnah kubur nanti. "


Fendi Ahmad 

19 Oktober 2017

Bugis

" Ramai sungguh ahli-ahli yang katanya daripada persatuan-persatuan keturunan Bugis membuat sidang media dan laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ada sebut LANUN BUGIS. Sensitifnya mereka ini hingga ada yang mengusul supaya Sultan Johor menarik semula Darjah Kerabat (DK) yang pernah dianugerahkan Almarhum Sultan Iskandar kepada Perdana Menteri ke 4 itu. Mereka ini perlu membezakan di antara ayat LANUN BUGIS dan BUGIS LANUN. Lanun Bugis, Perompak India, Gengster Cina, Mat Dadah Melayu, Pontianak Scotland dan apa jua bukan merujuk kepada SELURUH kaum ataupun etnik. Nama saja Melayu tetapi bodoh tatabahasa ! "


Fendi Ahmad 

19 Oktober 2017


* Respon ringkas Encik (ayah) saya yang berdarah Bugis sewaktu menonton berita yang menyebut persatuan Bugis itu merasakan ayat Tun Mahathir telah mengguris dan menghina orang Bugis: "Saya tak terasapun."

17/10/2017

MAS Wajar Ada CEO Dari China ?

" Tahun 2015 dahulu MAS yang ditimpa masalah diberikan CEO 'orang putih' dari Jerman bernama Christopher Mueller, pakar pemulihan syarikat penerbangan. Tiba-tiba Mueller letak jawatan pada Jun 2016. Penggantinya ialah Peter Bellew yang pada awalnya dilantik sebagai COO membantu Mueller memulihkan MAS. Tidak sampai 18 bulan mengetuai MAS, Bellew pula akan kembali ke Ireland menjadi CEO Ryanair, syarikat lamanya. Apa sudah jadi dengan janji-janji Kerajaan yang bunyinya begitu komited memulihkan MAS dua tahun lalu ? Mungkinkah 'orang Putih' tidak mampu bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia yang disebut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai Kleptokrasi - *Kerajaan yang mencuri harta rakyat.* ? Tidak perlu pening dan resah wahai rakyat Malaysia, seperti mana PROTON, kita wajar beri keyakinan kepada Kerajaan Malaysia bahawa CEO dari negara China pasti sesuai mengetuai MAS. FELDA dan 1MDB juga boleh turut serta supaya pulih dan sehat kembali. Inikan minggu perhimpunan besar-besaran 5 tahun sekali Parti Komunis China yang dengarnya UMNO mendapat jemputan istimewa, bolehlah runding-runding seperti kawan baik, satu parti penegak Islam juga Melayu dan satu lagi parti penegak komunis. Alahai Malaysiaku. "


Fendi Ahmad 

17 Oktober 2017

15/10/2017

Pak Lah dan Nik Aziz

1) Tiga hari cuti di kampung saya banyak habiskan masa membaca. 


2) Pendirian politik saya adalah jelas. Saya bukan jenis mudah berubah pendirian atau senang dipengaruhi.


3) Saya amat meminati karya-karya Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Sejak remaja saya kerap mendalami pemikiran Islam yang dibawa Tok Guru. Walau saya tidak pernah menyokong PAS tetapi saya menjadikan pemikiran Islam bawaan Tok Guru sebagai ilmu berguna.


4) Tun Abdullah Ahmad Badawi memang bukan Perdana Menteri kesukaan saya. Sekitar 2006 sehingga 2009 selalu saja saya menulis di blog mengkritik kepimpinannya dan menyokong kuat beliau digantikan dengan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak.


5) Walaupun saya tidak pernah menyokong parti Tok Guru dan kecewa dengan pentadbiran Pak Lah sebagai Perdana Menteri (2003-2009), ianya bukan penghalang untuk saya belajar daripada kisah kehidupan mahupun ilmu politik , agama juga kehidupan yang dimiliki dua tokoh ini. Tok Guru dan Pak Lah tetap banyak istimewanya. Janji mereka bukan PEROMPAK dan bukan pengamal KLEPTOKRASI ! 



Malaysia Akan Bantu Tun Mahathir Selesaikan Tugas Akhirnya.

1) "Terima kasihlah ... tak tau berapa lama lagi, nak habiskan kerja ni saja."


2) Itulah ikrar Negawaran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada lewat malam 14 Oktober 2017 di himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi." Sebak dan sedih menguasai jiwa ini. 


3) Tugas "terakhir" Bapa Pemodenan Malaysia itu ialah membebaskan negara daripada rejim kleptokrasi: Kerajaan yang mencuri harta rakyat, pencuri yang memerintah negara.


4) Janji utama pemimpin yang berjaya menaikkan nama Malaysia di mata dunia sewaktu era pemerintahannya

(1981-2003) itu ialah untuk memastikan Pakatan Harapan membentuk sebuah Kerajaan yang menyokong keperluan rakyat agar negara boleh kembali menjadi model (contoh) kepada negara lain. Rakyat juga diyakinkan untuk berubah bagi menjadikan Malaysia kembali "mulia" dan menjadi antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030. 


5) Buat Ayahanda Tun Mahathir, saya, generasi 2020 dan MALAYSIA semuanya akan BANTU anda selesaikan tugas terakhir itu. Kita sama-sama pastikan Malaysia diselamatkan, rakyat dibebaskan daripada segala penindasan juga penipuan dan maruah negara di mata dunia dimartabatkan kembali. Kepada TUHAN kita berdoa dan memohon direstui selalu.

14/10/2017

Pakatan Harapan Lawan Barisan Nasional = PAS Mati ?

1) Kita selalu dengar kata-kata hilmat lama "gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah." 


2) Ada yang memahamkan kata-kata itu sebagai rakyat atau orang yang lemah biasanya menjadi mangsa keadaan apabila dua pihak yang besar kuasanya bertelagah. Ada juga yang memaksudkan peribahasa itu sebagai apabila ada dua pihak yang kuat segalanya bersaing maka tiada ruang untuk pihak ke tiga mencuba nasib. Persaingan di dunia ini selamanya untuk A dan B, C tidak akan ada peluang besar !


3) Dalam istilah politik Malaysia, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti adalah medan sebenar pertarungan adalah di antara Pakatan Rakyat yang mengandungi EMPAT parti dan Barisan Nasional yang ada TIGA BELAS parti di dalamnya.


4) PAS mengikut sejarah tidak pernah berjaya apabila bersendirian. PAS akan hanya bernafas di Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja jika bersendirian.


5) Maka PAS adalah pelanduk yang menempah kejatuhannya sendiri sebelum PRU 14. Pakatan Harapan dan Barisan Nasional adalah umpama Apple IOS dan Android IOS yang menguasai dunia telefon pintar dengan PAS menjadi Windows IOS yang cuba mengacau "undi" pengguna (rakyat) dan akhirnya terkubur terus, gagal.

Android IOS vs Apple IOS = Windows IOS Mati

" Ilmu baharu hari ini: Peribahasa lama apabila dua gajah bertarung maka pelanduk di tengah menjadi mangsa adalah relevan. Zaman moden ini ianya jadi kenyataan apabila dunia sistem operasi telefon pintar dikuasai pertarungan di antara Android IOS dan Apple IOS. Windows IOS daripada Microsoft cuba menjadi pihak ke tiga bermula tahun 2010 secara rasminya gagal dan hilang daripada pasaran pada tahun 2017. Maka dunia sistem operasi telefon pintar akan terus menjadi pertarungan hebat di antara Android dan Apple. Windows IOS adalah pelanduk yang mati tersepit akhirnya. "


Fendi Ahmad

14 Oktober 2017

13/10/2017

Cerita Clever Girl, Jus Nusantara, Avon dan UBAH

1) Menonton episod akhir Clever Girl musim 2017 (kebetulan saya di kampung ada masa lapang, episod awal semua tidak ditonton) membawa saya kepada satu pemerhatian jenama penaja utama rancangan antarabangsa versi Malaysia itu. 


2) Penajanya ialah syarikat bernama Serai Emas dengan kata popularnya Jangan Berhenti Memuji. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, majoriti penaja utama rancangan-rancangan secara langsung di TV ialah syarikat berjenama tempatan yang cukup keMelayuan bunyinya. Vida Beauty dengan Pamoganya, D'Herbs Terlajak Laris, Almaz Beauty bersama Jus Nusantaranya juga IQ Danish dan banyak lagi. 


3) Jika dulu, nama-nama antarabangsa seperti Lux, Pantene, Sunsilk, Avon, Maybelline, Mustika Ratu dan sebagainya menguasai tajaan rancangan.


4) Pastilah lebih 90% daripada penyokong produk keluaran syarikat seperti Serai Emas dan Vida Beauty itu berbangsa Melayu. Nampaknya kuasa beli Melayu sudah berubah dengan rancaknya. Minda mereka tidak lagi sempit untuk terus kekal dengan nama seperti Avon dan Maybelline semata. 


5) Perubahan ini adalah satu petunjuk bahawa generasi Melayu yang ada harini bersedia dan sanggup untuk berubah dan memberi peluang kepada "JENAMA BARU" jika ada sesuatu yang bagus padanya.


#tsunamiMelayuPRU14 #ubahbersamaHarapan

12/10/2017

Majoriti rakyat Malaysia Gajinya RM5228 ???

U1) Dr. Mohd. Uzir Mahidin daripada Jabatan Statistik Negara kata MEDIAN pendapatan rakyat Malaysia pada tahun 2016 ialah RM5228. Pendapatan purata pula ialah RM6958.


2) MEDIAN pendapatan naik 6.6% manakala PURATA pendapatan naik 6.2% berbanding tahun 2014. Memang cukup positif bunyinya. Apabila dua petunjuk ini meningkat melebihi kenaikan INFLASI yang biasanya diumumkan Kerajaan pada kadar di bawah 4% bererti taraf hidup rakyat lebih senang, lebih mewah dan boleh berbelanja lebih. Itu pada teorinyalah.


3) Untuk pemahaman mudah katakan ada 5 orang dengan masing-masing pendapatannya seperti berikut:


- Ali: RM1000

- Samy: RM1000

- Lim: RM1000

- Abu: RM500

- Chong: RM5500


* MEDIAN merujuk kepada majoriti orang berada di kelompok mana. Maka MEDIAN pendapatan bagi 5 individu ini ialah RM1000.


* PURATA pula merujuk kepada nilai pertengahan. Pengiraan purata ialah jumlah pendapatan setiap individu ditambah lalu dibahagikan kepada jumlah individu. Bagi contoh ini, purata pendapatan ialah 1000+1000++1000+500+5500 bersamaan dengan 9000 lalu dibahagi dengan 6. Purata pendapatan 5 individu ini ialah RM1800.


4) Angka PURATA pendapatan rakyat Malaysia sebanyak hampir RM7000 sebulan itu ada logiknya memandangkan memang wujud keadaan ramai individu bergaji besar dan jurang pendapatan di Malaysia agak besar di antara kawasan bandar dengan luar bandar dan juga di antara kumpulan 20% (A20) termewah dengan golongan 40% (U40) termiskin.


5) Yang agak pelik ialah MEDIAN pendapatan bulanan sekitar RM5200 itu. Maknanya, MAJORITI rakyat adalah berpendapatan lebih RM5000 sebulan. Adakah "kisah" nombor yang didedahkan Jabatan Statistik Negara ini benar-benar melambangkan keadaan sebenar rakyat atau sekadar mahu MENYEDAPKAN hati sesetengah pihak untuk dijadikan bahan berita bahawa ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia semakin maju, mewah dan senang-senang belaka ?


#ubah #rakyatHarapanMalaysia

Benar ATAU Tipu: Ekonomi Malaysia Semakin Baik

1) Perdana Menteri beritahu seluruh rakyat bahawa ekonomi Malaysia berkembang cukup baik pada kadar 5.2%. PM kata angka Malaysia itu DICEMBURUI banyak negara yang lebih 'advanced.'
2) Maka, negara-negara 'advanced' itu pastilah LEBIH MENCEMBURUI pencapaian negara-negara lain yang lebih besar peratusan pertumbuhan ekonominya.
3) IRAQ mencatatkan sekitar 11% pertumbuhan ekonomi. BANGLADESH pula 7.1% dan Ethiopia di benua Afrika pula lebih kurang 7.6%. Ohhhhh Bangladesh lebih bagus kenaikannya dari Malaysia !
4) Ekonomi Malaysia yang cukup bagus ini juga nampaknya 'dibuktikan' oleh dua fakta:
- Pengangguran di kalangan BELIA (orang muda) Malaysia sudah meningkat sehingga 12%.
- 3 daripada 4 individu dewasa Malaysia tidak memiliki RM1000 untuk kegunaan kecemasan.
5) Setiap kali BR1M diumumkan, PM pasti dengan bangga mengatakan jumlah penerima tahun ini adalah meningkat daripada tahun sebelumnya. Lebih ramai dapat menerima manfaat BR1M katanya. Untuk 2017, 7.1 juta rakyat layak menerima BR1M. Itupun bukti ekonomi Malaysia semakin bagus dan hebat pada kacamata Ketua Kerajaan Malaysia dan Menteri-Menteri Kabinet hasil Pilihan Raya Umum tahun 2013. Mahu terus dipilih dan dikekal ? Tepuk dada tanyalah pemikiran yang waras demi masa depan anak bangsa dan negara.

11/10/2017

Ketika Saya Seorang Budak Sekolah: Malaysia BOLEH !

1) Saya ada Wawasan 2020 dan Malaysia Boleh yang sentiasa tersemat di hati. Apa jua tindakan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dalam menggerakkan ideologi Wawasan 2020 dan Malaysia Boleh tidak pernah kelihatan sebagai satu percubaan bersifat politik. Ingat juga kisah-kisah wirawan negara menakluk Everest, merenangi Selat Inggeris, berkapal layar solo mengelilingi dunia dan banyak lagi. Tidak lupa juga, kita ada bangunan tertinggi di dunia !
2) Seluruh negara melihat keupayaan Malaysia menewaskan Australia untuk hak penganjuran Sukan Komanwel 1998. Malaysia berjaya menganjurkan sukan ke dua terbesar di dunia selepas Olimpik pada tahun 1998 !
3) Malaysia mencatat sejarah sebagai negara membangun pertama berjaya memperoleh hak penganjuran Formula 1. Litar Sepang menjadi tumpuan satu dunia apabila Formula 1 buat pertama kali diadakan di Asia Tenggara pada tahun 1999. Satu-satunya negara Asia yang terlebih dahulu menganjurkan F1 sebelum Malaysia ialah Jepun.
4) F1 adalah acara sukan ke tiga paling mendapat liputan di dunia selepas Olimpik dan Piala Dunia (bola sepak). Zaman saya sekolah, semangat kami budak-budak yang membesar di era 1990an DIKUATKAN 'nama-nama' seperti Wawasan 2020, Malaysia Boleh, SUKOM 1998 dan Formula 1.
5) Budak-budak sekolah era pemerintahan PM Mohd. Najib Abdul Razak nampaknya terpaksa didodoikan dengan cerita kita ada MRT, Transformasi Nasional 2050 (selepas Wawasan 2020 DIGAGALKAN !) dan Lebuhraya Pan Borneo. Agaknyalah. MRT dan Lebuhraya adalah kisah yang sudah diketahui berpuluh tahun dulu sebenarnya.

EKONOMI MALAYSIA SEMAKIN LEMAH

1) BANK DUNIA memberikan amaran bahawa ekonomi Malaysia semakin MELEMAH.
2) Ekonomi majoriti negara Asia diramalkan semakin berkembang pesat tetapi Malaysia berada dalam keadaan semakin meruncing kerana KEGAGALAN untuk menyesuaikan diri dengan 'trend' semasa ekonomi dunia dan masalah tempatan sendiri.
3) Bank Dunia turut menegaskan bahawa masalah HUTANG isi rumah Malaysia adalah terlalu tinggi dan cepat peningkatannya sehingga akan menghampiri 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, GDP). Mudah kata, untuk setiap RM1 hasil negara, hutang rakyat adalah 80 sen. 20 sen sahaja tinggal untuk hidup ?
4) Nampaknya selepas 8 tahun setengah zaman pemerintahan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak, hasil UTAMA Malaysia ialah KENAIKAN KOS sara hidup seluruh negara akibat daripada pengenalan GST, inflasi meningkat sehingga angka sebenar laporan Kerajaan amat diragui dan nilai Ringgit Malaysia yang jatuh teruk bermula akhir 2014 hingga tidak mampu pulih semula selepas 3 tahun.
5) Masalah yang cukup menakutkan ialah Kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar hutang dan rakyat terpaksa berhutang kerana tewas dengan GST, inflasi dan RM bernilai rendah yang membawa kepada HANTU 3 serangkai BEBAN kos hidup.

10/10/2017

Hapus Subsidi Untuk Dipulangkan Kepada Rakyat ...

" Skrip paling popular didendangkan PM Najib Razak apabila subsidi tepung, minyak masak, gula, petrol, gas dan lain-lain DITARIK ialah PENJIMATAN daripada belanja subsidi itu akan DIPULANGKAN semula kepada rakyat terutamanya untuk memperbaiki dan memodenkan lagi sistem pengangkutan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama. Penghapusan subsidi bererti KOS kehidupan KESEMUA rakyat 1Malaysia meningkat dan terus meningkat. Persoalannya, ADAKAH Emak dan Encik (ayah) saya yang duduk di Kampung Alai, Segamat, Johor itu merasai kehebatan MRT dan segala 'flyover' bertingkat-tingkat yang baru dibina di Lembah Klang itu ? Selain BR1M berjumlah RM3.29 (TIGA RINGGIT DUA PULUH SEMBILAN SEN) sehari yang diberikan kepada majoriti orang kampung + GST pula dikutip berkali-kali dalam sehari, apakah yang rakyat di kampung, pekan kecil dan bandar-bandar biasa peroleh daripada penjimatan subsidi itu ? Kena tipukah ? Kalau sedar kena tipu, mahu kekalkan lagi Barisan Nasional ? "
Fendi Ahmad
10 Oktober 2017

02/10/2017

Pakatan Harapan Untuk Melayu

" Wahai Melayu, anda pilih Pakatan Harapan maka 3 daripada 4 KETUA parti-partinya adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. 75%. Anda pilih Barisan Nasional maka ketahuilah bahawa hanya 2 daripada 13 KETUA parti-parti komponennya adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. 15%. Maka, demi bangsa dan agama, anda pilihlah sama ada mahu yang 75% atau 15%. DAP bukan musuh Melayu. DAP itu sendiri ada Melayu sebagai ahlinya sehingga ada yang dipilih menjadi Ahli Parlimen. MCA itu sendiri yang tiada Melayu sebagai ahli apalagi menjadi YB mewakilinya. Jangan tertipu bahawa tanpa UMNO maka DAP yang berkuasa. Ingat, Pakatan Harapan diketuai 75% ketua-ketua berbangsa Melayu, Islam agama mereka. "


Fendi Ahmad 

2 Oktober 2017


BARISAN NASIONAL:


Pengerusi: Dato' Seri. Mohd. Najib Abdul Razak 


1) UMNO: Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak 

2) MCA: Dato' Seri Liow Tiong Lai 

3) GERAKAN: Dato' Seri Mah Siew Kiong 

4) MIC: Dato' Seri Dr. S. Subramaniam

5) myPPP: Tan Sri M. Keyvias


SARAWAK:

6) PBB: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg 

7) SUPP: Datuk Sim Kui Hian

8) PRS: Tan Sri James Jemut Masing

9) PDP: Dato' Seri Tiong King Sing


SABAH:

10) PBS: Tan Sri Joseph Pairin Kitinggan

11) UPKO: Dato' Seri Wilfred Madius Tangau

12) LDP: Datuk Teo Chee Kang 

13) PBRS: Tan Sri Joseph Kurup 

*UMNO, MCA, GERAKAN dan MIC turut berada di Sabah.


PAKATAN HARAPAN:


Pengerusi: Tun Dr. Mahathir Mohamad 


1) PKR: Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 

2) DAP: Tuan Lim Guan Eng 

3) AMANAH: Tuan Hj. Mohamad Sabu 

4) PPBM : Tan Sri Muhyiddin Yassin

01/10/2017

"Komunis" Ketua Proton ?

" Sedarlah wahai umat Melayu bahawa kita tertipu dengan laungan Ketuanan Melayu dan Demi Melayu yang dijeritkan para pembahas UMNO di Perhimpunan Agung UMNO. Mereka TAKUTKAN Melayu dengan DAP. Tak undi UMNO- Barisan Nasional maka Melayu akan terbangsatlah, Melayu akan hilang kuasalah kepada DAP. Sebenarnya mereka yang takut parti mereka hilang KUASA. Tapi mereka inilah yang senyap sepi dan RELA hati merestui seorang RAKYAT NEGARA KOMUNIS CHINA menjadi ketua kepada PROTON yang majoriti pekerjanya adalah Melayu. Oh Melayu, DAP itu bukan Komunis, DAP itu ada Melayu Islam ahlinya dan DAP itu lagu rasmi dan bahasa mesyuarat agungnya adalah berbahasa Melayu ! Jangan kita sokong pihak dan parti yang merestui KOMUNIS sebenar semakin mendapat tempat istimewa di Malaysia ini. "


Fendi Ahmad

1 Oktober 2017

1 Oktober 2017 Bukti Malaysia "Amat" Boleh Di Bawah PM Najib Razak

1) 1 Oktober 2017 bermulanya pentadbiran Proton Holdings di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru yang merupakan seorang warganegara China bernama Li Chunrong.


2) Mei 2017, syarikat daripada China; Zhejiang Geely dengan "restu" Kerajaan Malaysia membeli 49.90% pemilikan Proton daripada DRB Hicom. Ketika itu Kerajaan bermatian mengatakan Proton masih milik Malaysia kerana 50.1% pemilikan masih di tangan syarikat tempatan iaitu DRB Hicom. 


3) Selepas syarikat penerbangan nasional MAS diketuai pertama kali oleh orang asing (Christoph Mueller: 2015 dan seterusnya Peter Bellew: 2016 hingga kini), Proton kini menjadi bukti "rupa-rupanya" hampir 32 juta rakyat Malaysia semuanya tidak berkelayakan untuk mengetuai syarikat tersebut walaupun selepas berusia lebih 30 tahun dan pernah mencatat keuntungan beratus juta dan mempunyai rezab tunai berbilion Ringgit sebelum mula "terabai" di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. 


4) 1 Oktober 2017 juga adalah penamat kepada Malaysia selaku tuan rumah kepada perlumbaan Formula 1 (F1) yang bermula di Litar Sepang pada tahun 1999. Usaha keras dilakukan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan hak penganjuran F1. Malaysia adalah negara Asia ke dua selepas Jepun diberikan kepercayaan menganjurkan F1.


5) F1 adalah acara sukan ke TIGA paling mendapat perhatian DUNIA selepas Sukan Olimpik dan Piala Dunia (bola sepak). Kerajaan pada akhir 1990an "membawa" F1 ke Malaysia bukan berniat untuk untung di atas kertas sahaja tetapi lebih kepada tujuan mempromosikan nama Malaysia di pentas dunia. Satu pendekatan strategik serampang dua mata. 


30/09/2017

Trump Tak Lawat Malaysia ?

" Rakyat Malaysia sepatutnya berasa kecewa kerana Presiden Donald Trump bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana tidak sudi melawat Malaysia dalam siri lawatan rasminya ke Asia Timur dan Asia Tenggara pada November 2017 ini. Trump disahkan akan singgah di Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam dan Filipina. Dua agenda utama ialah berkaitan dengan isu kedegilan Korea Utara dan peluang perdagangan Amerika di Asia. Baru sahaja Perdana Menteri Malaysia begitu berbangga dengan kunjungannya ke White House dengan misi MEMBANTU ekonomi Amerika Syarikat dengan tawaran pembelian berpuluh kapal terbang dan pelaburan KWSP untuk membangunkan infrastruktur tetapi Trump seperti tidak tahu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak dengan tidak sudi singgah sekejap melawat Malaysia. PM kita patut ditanya kenapa ini terjadi ? Bukankah PM kata beliau diberi layanan yang cukup hebat oleh Trump di Amerika ?


Fendi Ahmad 

30 September 2017

Rahman Dahlan Orang Bajau Akan Malukan Melayu ?

1) Menteri Abdul Rahman Dahlan kata Lim Kit Siang perlu berhenti daripada politik kerana tidak ada keyakinan untuk menang pilihan raya. 


2) Sebabnya: DAP yang memiliki kerusi terbesar berbanding parti pembangkang lain bersetuju memilih Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. 


2) Abdul Rahman Dahlan ini selain Salleh Keruak dan Ahmad Maslan memang terkenal sejak setahun dua ini dengan kenyataan-kenyataan bertaraf "LAWAK JENAKA" demi taat dan setia kepada ketua mereka yang dihimpit skandal bertaraf dunia. 


4) Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah itu pasti akan "bercabang dua" pula lidahnya jika yang mengetuai Pakatan Harapan ialah Lim Kit Siang san DAP.


5) Rahman Dahlan pasti akan kata "DAP kuasai Harapan, Melayu tidak berkuasa dalam Harapan, Tun Mahathir jadi hamba DAP dan Melayu akan hilang kuasa jika undi Harapan." Lidah bercabang Rahman Dahlan amat boleh dibaca dan ianya bukan taraf yang sepatutnya dimiliki seorang bergelar Menteri Kerajaan Malaysia. Oh lupa pula, Rahman Dahlan bukan Melayu, dia keturunan Bajau sama seperti Salleh Keruak.

BN Kata Cukai Cukuplah Buat Masa Ini

1) Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani kata Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak pada 27 Oktober ini tidak akan mencadangkan sebarang CUKAI baru.


2) Berkenaan dengan kemungkinan adanya cukai baru, Johari kata, "Cukuplah itu buat masa ini."


3) Ayat BUAT MASA INI berkaitan cukai yang dituturkan seorang Menteri Kewangan perlulah diteliti secara mendalam. 


4) Bajet 2018 memang sudah terang lagikan bersuluh akan menjadi "bajet pilihan raya" oleh Kerajaan pimpinan Najib sebagai usaha mengekalkan kuasa UMNO-Barisan Nasional. Adalah sesuatu yang "wajib" untuk Najib tidak memperkenalkan sebarang cukai baru kerana ianya jika berlaku adalah peluru mudah yang akan memakan diri sendiri.


5) Kenyataan Johari itu bolehlah diambil maklum oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak akan memperkenalkan CUKAI baru BUAT MASA INI sahaja. Ingat, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh maksimanya kurang 10 bulan daripada sekarang. Selepas pilihanraya, besar kemungkinannya adalah CUKAI baru yang akan diperkenalkan parti Johari buat rakyat Malaysia sebagai hadiah terus mengundi mereka.


PASTIKAN UBAH SEBELUM ADANYA CUKAI BARU !

MAAN

" Aku jeritkan pada Malaysia bahawa Kerajaan pimpinan PM Najib Razak telah menjerat 1Malaysia dengan bebanan hutang beratus Bilion dan terteruk dalam sejarah negara. Aku gegarkan para pendengar yang nasib anak bangsa akan semakin tersepit jika tidak berani berubah. Walau sekuat mana JERITAN dan GEGARAN mampu dibuat, AKU tetap keluar air mata setiap kali menonton babak 15 minit terakhir filem MAAN lakonan Aamir Khan dan Manisha Koirala. Sudah 18 tahun usia MAAN dan entah berapa kali menontonnya tapi 15 minit terakhir itu tetap dapat menewaskan aku ! "


Fendi Ahmad 

30 September 2017

27/09/2017

Cukai "Pak Lebai" PAS ?

1) Ada pembesar PAS kata jika PAS memerintah maka GST akan dimansuhkan. Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Dr. Khairuddin Aman Razali pada 25 September 2017 mengatakan ianya akan digantikan dengan dua cukai baru. 


2) Secara umum, kita sedia maklum PAS memang sejak awal berpegang bahawa GST adalah tidak boleh dikenakan kepada rakyat. Sesetengah pemimpin PAS meyakini bahawa GST adalah haram dikenakan kerana bersifat tidak adil. Ini harus dipuji.


3) Bijak pandai PAS itu mengatakan bahawa PAS bercadang mengenakan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Jual Beli Saham. Ikut kira-kira PAS, DUA jenis cukai ini dapat menampung sekitar RM45 Bilion kutipan GST untuk kegunaan Kerajaan. Konsep PAS, yang kaya perlu dikenakan cukai sebanyak mungkin. PAS terlupa atau memang tidak faham bahawa dikhuatiri korporat-korporat berjaya akan memilih untuk tidak menyimpan   dana lebihan mereka dalam bentuk tunai di institusi kewangan tempatan dan berkurangnya aktiviti dagangan di Bursa Malaysia. Dunia tanpa sempadan hari ini bukanlah sukar untuk korporat dan pencatur saham mengabaikan terus sektor kewangan dan dagangan saham Malaysia. PAS fikir untung SATU, lupa ruginya nanti DUA, jadilah NEGATIF satu !


4) Nampaknya otak-otak mereka ini seperti tidak bersambung sel-selnya. Tiada beza nampaknya cara berfikir pembesar PAS dengan pembesar UMNO-Barisan Nasional sedia ada. Cukai adalah AGENDA utama mereka untuk dikenakan kepada RAKYAT jika memerintah.


5) PAS jelas menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka tiada idea dan tiada keupayaan untuk menjadi pemerintah yang mampu menjana idea bagi menguatkan ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat dan membentuk sebuah Kerajaan yang boleh menjana pendapatan melalui kecekapan pengurusan dana kewangan negara, BUKANNYA melalui cara tolak cukai itu dan tambah cukai ini.

26/09/2017

Hai PM, Saya Di Sini ...

1) Pertama kali dapat duduk berdepan dengan Perdana Menteri Malaysia satu pengalaman yang berharga bagi saya (25 September 2017).


2) Gaya dan kaedah pengucapan awam Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak adalah cemerlang. Kawalan pentas, mainan suara dan interaksi mata beliau adalah cukup membanggakan.



3) Terasa auranya apabila dapat melihat dengan jarak dekat tanpa halangan seorang Perdana Menteri sedang beraksi tanpa skrip.


4) Ketua saya yang duduk di sebelah saya kata, "PM asyik cakap tengok belah kita. Saya rasa aura kamu tu kuat sangat dia dapat rasa, tu yang tengok sini aja." Saya ketawa kerana faham sangat mengapa boss cakap begitu. 


5) Apapun keadaannya, Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Apa terjadi, pendirian saya tetap jelas dan penuh keyakinan berdasarkan ilmu, pengamatan, kajian dan gerak hati saya. Saya bukan jenis maki hamun dan bukan jenis menjatuhkan maruah orang. Yang baik saya akui baiknya di mana dan yang buruk akan saya katakan buruk.

24/09/2017

Bahasa Rojak & Bahasa Terjerit

" Apa sudah jadi sama PM Malaysia ? Melihat ucapannya merasmikan Perhimpunan Agong MIC 2017 seperti terasa beliau sendiri tidak selesa dengan ucapannya. Kenapa PM berucap bercampur aduk di antara Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ? Lantunan suara juga nampaknya seperti dipaksa-paksa. Daripada psikologinya, ianya seolah cuba mahu kelihatan lebih kuat dan lebih hebat. TPM pula di majlis lain berucap terjerit-jerit tanpa sebab. Mereka ini orang-orang yang sudah berusia atas 60an. Mungkin UMNO-Barisan Nasional sebenarnya sudah KETANDUSAN pengucap umum muda yang hebat sehingga yang usia 60an terpaksa cuba kelihatan muda dan bertaring untuk sebaik mungkin menarik keyakinan rakyat. "


Fendi Ahmad 

24 September 2017

Jangan Jadikan Banjir Modal Politik !

1) Kepada UMNO, Pribumi BERSATU, PAS, PKR, DAP, AMANAH, MCA, MIC atau apa sahaja yang bergerak atas nama POLITIK - Tolonglah jangan jadikan bencana banjir sebagai modal politik kamu semua !


2) Kita akui bencana banjir terutamanya banjir kilat memang ada kaitan langsung dengan isu "kelemahan perancangan bandar / kerajaan tempatan" manakala banjir besar atau banjir termenung pula adalah juga disumbang serba sedikit oleh masalah "kecuaian urus tadbir alam sekitar / sumber asli."


3) Apapun sebabnya, banjir adalah satu bencana yang tiada siapa mahu dan hadirnya lebih kepada hujan luar biasa yang tidak tertampung dek perut bumi. Lama sebelum negara pesat membangunpun banjir besar sudah menimpa bumi Malaysia, zaman berzaman ianya datang dan pergi menguji rakyat.


4) Majoriti yang sebok dengan banjir ini sendiri sebenarnya tidak pernah jadi mangsa banjir yang sejati. Rumah kampung saya di Segamat, Johor mengalami banjir BESAR akhir 2006, awal 2007 dan awal 2011. Paras air menenggelami rumah mencecah 2 meter dan ianya BERTAHAN selama lebih seminggu, mencapai 10 hari ! Jadi "pelarian" di balai raya mahupun sekolah. Itu namanya banjir termenung. Setakat banjir paras-paras betis atau mencecah lutut sahaja dan surut tidak sampai 2-3 hari maka itu bagi saya dan mak ayah sebagai "banjir ayam" semata. Tak perlu kecoh-kecoh ! Awal 2017 inipun "banjir ayam" ada berlaku. 


5) Kami yang pernah jadi mangsa banjir besar ini mahu beritahu yang lain, janganlah ambil kesempatan politik pula kerana banjir ini. Tidak perlu salahkan parti politik yang memerintah sesuatu negeri itu kerana banjir. Cari modal lainlah. 

Modal Murahan: Wajarkah Seorang PM Main Isu Keturunan ?

1) Hari itu Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia entah apa mimpinya tiba-tiba menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mendakwa nama asal Perdana Menteri ke empat Malaysia itu adalah Mahathir A/L Iskandar Kutty. 


2) Selepas kira-kira dua bulan, Timbalan Perdana Menteri masih senyap apabila dicabar Dr. Mahathir supaya menunjukkan bukti kad pengenalan tersebut. Agak memalukan TPM apabila sejarah menunjukkan ayah Dr. Mahathir, Mohamad Iskandar  dilahirkan di Malaya. Yang berhijrah ke Malaya ialah Datuk Dr. Mahathir yang berkahwin dengan wanita Melayu berasal dari Johor. Ibu Dr. Mahathir adalah wanita Melayu keturunan Kedah. Kalau ikut matematik, darah Dr. Mahathir adalah 75% Melayu Malaysia asli. 


3) Peluru TPM kepada Dr. Mahathir tertembak dirinya sendiri apabila dia rupanya "buat-buat lupa" asal usul keturunannya sendiri. Ibu dan ayahnya sendiri dilahirkan di Pulau Jawa, Indonesia. Lebih mengejutkan, ada "suara-suara" mengatakan yang TPM sendiri tidak dilahirkan di Malaysia. Ini belum disah mahupun dinafikan lagi. Ikut matematik, darah TPM itu adalah KOSONG % Melayu Malaysia.


4) Ingatkan TPM Malaysia sahaja yang kelihatan kurang bijak menjadikan isu asal-usul keturunan sebagai modal serangan politik. Tanpa disangka, Perdana Menteri Malaysia juga dalam "hura-hara" melawan Dr. Mahathir turut terjerumus sama.


5) Sewaktu merasmikan Perhimpunan Agong MIC 2017 (24 September 2017), Perdana Menteri Malaysia sempat menyerang memerli asal-usul keturunan Dr. Mahathir yang hanya tiga tahun lebih muda daripada Allahyarham ayahnya Tun Abdul Razak (Razak lahir tahun 1922, Dr. Mahathir tahun 1925):


" Walaupun ayah saya, datuk saya bukan dari Kerala, tetapi saya digelar bapa pembangunan (orang) India. "

22/09/2017

Hijrah

" Hijrah itu berpindah daripada keburukan kepada kebaikan, kebiasaan kepada kehebatan dan kebodohan kepada kebijaksanaan. Carilah kebaikan, kehebatan dan kebijaksanaan. Jadikanlah ini matlamat hijrah kita, moga Tuhan merahmati niat baik yang ikhlas. "


Fendi Ahmad

22 September 2017