31/08/2017

Emak Rasa Pelik: MRT Tanda Berjaya ?

" Emak saya yang telah berusia 6 series di Hari Merdeka 60 ini berasa pelik apabila daripada malam tadi sampailah ke malam ini Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak terlebih kerap menyebut MRT, MRT dan MRT sebagai contoh terbaik KEJAYAAN pembangunan negara sepanjang Merdeka 60 tahun ini. Modal lain PM Najib untuk menunjuk kejayaan Malaysia ialah Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Kain 1Malaysia. Emak saya yang tidak pernah jejak sekolah menengah itupun rasa PELIK dengan NILAI kemajuan negara pada pemikiran Perdana Menteri rupanya diletakkan pada MRT dan Kedai Rakyat 1Malaysia itu. "


Fendi Ahmad 

31 Ogos 2017

Ucapan Merdeka PM Najib Politikkan Hari Merdeka ?

1) Ada mamat pro KJ (macai cari rezeki dengan KJ ?) kata saya  mempolitikkan Sukan SEA 2017 dengan membuat satu posting berkenaan Malaysia pernah jadi penganjur Sukan Komanwel 1998 yang merupakan kejohanan sukan terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik. Mungkin dia terasa sungguh apabila saya jentik nama Khairy Jamaluddin. Fanatik KJ mungkin. Tidak mengapa, hak masing-masing untuk mencari 'teduhan.'


2) Tatkala mendengar ucapan Merdeka 2017 oleh Perdana Menteri secara jelas ianya cuba mempolitikkan sambutan kemerdekaan negara. Atau ianya disengajakan para penasihat PM bagi tujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa PM Malaysia ke 6 adalah serba baik dalam sejarah 6 dekad era Merdeka ?


3) PM Najib kata Malaysia mengalami satu pecutan kemajuan ekonomi yang cukup baik selepas Merdeka terutamanya sejak tahun 2009. 


4) PM Najib juga kata Malaysia bukan negara gagal. Jika pada era 1990an di mana kadar 'reserve' (simpanan) wang negara jauh lebih rendah daripada sekarang, itulah sepatutnya boleh dikatakan sebagai negara gagal. Najib juga kata pertumbuhan keluaran dalam negara  Malaysia kini adalah antara yang TERTINGGI di dunia. Seperti dijangka, dia tidak berani sentuh pasal perbezaan hutang negara era 1990an dan kini juga hasil-hasil positif yang dijana oleh hutang-hutang di zaman selepas tahun 2009 itu.


5) Nampaknya semua yang baik, semua yang hebat di Malaysia ini selepas Merdeka pada tahun 1957 itu HANYA bermula pada tahun 2009. Kenapa Najib kata 2009 ? Kenapa Najib rujuk 1990an sebagai era sepatutnya gagal ?


2009: Mohd. Najib Abdul Razak mula menjadi Perdana Menteri Malaysia.


1990an: Zaman separuh masa ke dua Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia di mana Malaysia dipanggil dunia sebagai 'Harimau Ekonomi Asia' dan semangat Malaysia Boleh juga Wawasan 2020 begitu menebal di jiwa rakyat.

29/08/2017

Projek Kerajaan Barisan Nasional Menjelang Pilihan Raya Umum Akan Membawa Hutang Negara Kepada RM 1000 000 000 000 ?

1) Menjelang PRU 14 yang pasti berlangsung tidak sampai setahun lagi maka pelbagai projek infrastruktur dan perumahan mampu milik akan diumumkan dan dijalankan (?) secara 'tergesa-gesa' oleh Kerajaan sedia ada di bawah tunjang UMNO - Barisan Nasional (BN).
2) Badan penarafan profesional RAM Ratings mengatakan bahawa pelbagai hutang bagi perlaksanaan projek pembangunan 'menjelang Pilihan Raya' itu akan menambahkan BEBAN HUTANG Kerajaan yang sudah sedia tinggi.
3) Untuk rekod, hutang-hutang yang di bawah JAMINAN Kerajaan Malaysia ialah 15.2% daripada nilai KDNK (keluaran dalam negara kasar - gross domestic product) pada akhir 2016. Ianya adalah satu peratusan yang cukup besar. Ini belum mengambil kira DEFISIT Bajet 2017 yang diramalkan sekitar RM40 Bilion. Hutang juga bagi menampung bajet negara yang tidak cukup.
4) Jumlah hutang terkini yang DIJAMIN Kerajaan ialah sekitar RM200 000 000 000. Hutang langsung Kerajaan pula telah menghampiri RM700 000 000 000. Maka pada bila-bila masa sahaja dengan jaminan hutang ditanggung Kerajaan bagi pembiayaan projek-projek 'eskpres' menjelang PRU akan membawa jumlah hutang Kerajaan Malaysia mencecah RM1000 000 000 000. RM1 TRILION !.
5) Lebih menyedihkan, kenaikan harga minyak secara berterusan dan ditambah dengan NILAI RINGGIT MALAYSIA yang LEMAH membawa kepada peningkatan kadar inflasi kepada 3.8% bagi tahun 2017 berbanding 2.1% setahun sebelumnya (2016). Kos hidup rakyat Malaysia semakin tidak mampu dikawal Menteri-Menteri UMNO - BN walaupun setiap hari kata-kata kebajikan dan kesusahan rakyat dibela UMNO dulu, kini dan selamanya 'dizikirkan' secara berterusan.

28/08/2017

Malaysia Pernah Anjur Sukan Komanwel

1) Saya mahu beritahu semua rakyat Malaysialah yang zaman Perdana Menteri Malaysia ialah Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dulu kita pernah berjaya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel tahun 1998. 


2) Sukan Komanwel ni adalah acara sukan ke dua TERBESAR di dunia selepas Sukan Olimpik.  Kerana Sukan Komanwel 1998 itulah, Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Putra (kini Arena Axiata), Pusat Akuatik Nasional dan banyak lagi kelengkapan sukan bertaraf dunia dibina. Projek LRT, Monorel, KLIA, Putrajaya, KLCC dan litar F1 juga hampir semuanya dibina dan siap dalam tempoh yang hampir sama. Di akhir pentadbiran Perdana Menteri ke empat, hutang negara adalah sekitar RM150 Bilion sahaja walaupun begitu banyak infrakstruktur mega disiapkan. 


3) Kita adalah negara Asia pertama yang berjaya dipilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel. New Delhi, India menjadi tuan rumah pada tahun 2010. Lagi menarik, Kuala Lumpur menang undi menjadi tuan rumah menewaskan Australia melalui bandaraya Adelaide. Jadi PM Najib, TPM Ahmad Zahid dan Menteri KJ janganlah terlalu bangga sangat dengan kemampuan jadi tuan rumah Sukan SEA 2017 sekalipun jika jadi juara keseluruhan. Sukan SEA adalah sukan bertaraf rantau Asia Tenggara yang melibatkan hanya 11 negara. Sukan Asia lagi besar tarafnya. Apalagilah Sukan Komanwel.


3) Zaman Tun Dr. Mahathir dulu, dua kali kita jadi hos Sukan SEA iaitu tahun 1989 dan 2001. Pernah juga merasa jadi juara keseluruhan pada tahun 2001 itu. 


4) Ada berani dan ada kemampuankah untuk tawar diri jadi hos Sukan Komanwel sekali lagi atau mungkin Olimpik ? 


5) Oops, zaman PM Najib hutang negara sudah mahu mencecah RM1000 000 000 000 tidak lama lagi. 1 Trilion = 1000 Bilion.

UMNO Dikuasai Kontraktor Rakus ?

" UMNO di bahagian-bahagian sudah lama dikuasai golongan kontraktor-kontraktor rakus pengharap projek, projek dan projek. Mereka lacurkan baju Melayu, songkok hitam dan samping berkilat demi periuk nasi sendiri dan cuma dedak murahan buat mengaburi mata hati rakyat biasa. "


* Akan ada yang terasa hati dan akan ada yang geram dengan kenyataan itu. Hakikatnya ramai pengkaji dan pemerhati politik mengakui bahawa semangat UMNO sebenar pada asalnya dikuasai golongan Cikgu-Cikgu sebelum para kontraktor menguasai UMNO bermula era 1980an sehingga politik wang menjadi-jadi.


Fendi Ahmad 

27 Ogos 2017

27/08/2017

Sukan SEA 1991

1) Saya masa itu Darjah 3. Manila, Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA.


2) Acara pembukaan rasmi seperti disiarkan waktu petang di Malaysia.


3) Emak bawa saya ke rumah bapa saudara sebab ada majlis kenduri.


4) Saya geram sebab akan tertinggal menyaksikan siaran langsung di rumah dan Emak tidak mahu pulang lagi.


5) Saya tinggalkan Emak dan balik sendiri berjalan kaki ke rumah. Adalah 2 kilometer jaraknya. Demi mahu tengok "live" di TV pembukaan Sukan SEA 1991 oleh Presiden Corazon Aquino.

UMNO: 2015-2017

1) Tuhan kurniakan akal dan pemikiran supaya kita mampu berfikir, memahami dan seterusnya membuat tindakan yang terbaik. Sejak kecil nyanyian lagu UMNO Bersatu Bersetia dan Berkhidmat begitu kuat menguasai mental ini. UMNO untuk agama, bangsa dan negara. 


2) Tetapi tidak BODOHKAH kita semua jika masih percaya kepada perjuangan UMNO itu apabila sejak 2015 sehinggalah 2017 ini, hampir 100% mesyuarat perwakilan UMNO daripada peringkat Cawangan, Bahagian dan seterusnya Mesyuarat Agong hanya FOKUS kepada taat dan setia buat Presiden UMNO. 


3) Isu-isu demi agama, bangsa dan negara nampaknya sudah ditongsampahkan pemimpin UMNO. Bodoh sangatkah Melayu dan Malaysia untuk berterusan percaya kepada perjuangan kosong dan hampas mereka ? 


4) UMNO di bahagian-bahagian sudah lama dikuasai golongan kontraktor-kontraktor rakus pengharap projek, projek dan projek. Mereka lacurkan baju Melayu, songkok hitam dan samping berkilat demi periuk nasi sendiri dan cuma dedak murahan buat mengaburi mata hati rakyat biasa. 


5) Sampai hati UMNO memandang begitu murah nilai jiwa Melayu dan Malaysia.

25/08/2017

Sarawak Kaya, Sarawak Miskin ? Sarawak Tidak Percaya Pada PETRONAS dan Kerajaan Pusat ?

1) PETROS (Petroleum Sarawak) secara rasmi mula berfungsi pada Jumaat, 25 Ogos 2017 apabila Pejabat Ketua Menteri Sarawak mengumumkan perlantikan Datuk Hamid Bugo sebagai Pengerusinya.


2) Bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sarawak itu akan dibantu oleh empat Ahli Lembaga Pengarah lain yang kesemuanya mempunyai pengalaman besar dalam industri minyak dan gas. Mereka juga adalah anak jati Sarawak. PETROS ditubuhkan bagi tujuan untuk terlibat dalam pembangunan minyak dan gas huluan, terutamanya dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas di perairan Sarawak.


3) Sasaran Kerajaan Negeri Sarawak adalah untuk memastikan PETROS mula beroperasi pada suku pertama 2018 (Januari - Mac).


4) Untuk rekod, industri minyak di Sarawak telah bermula sejak tahun 1910 lagi apabila penjajah "Mat Salleh" melalui syarikat Royal Dutch Shell mula "mengorek" kekayaan Sarawak di perairan Miri. Seterusnya syarikat ESSO dengan kerjasama Shell membina kilang panapisan petroleum pertama di Sarawak pada tahun 1914. Stesen minyak ESSO pertama di Kuala Lumpur dibangunkan pada tahun 1921.


5) Sarawak sepatutnya telah "kaya" jauh sebelum Merdeka daripada "Mat Salleh" pada tahun 1963 dengan menyertai Malaysia. PETRONAS sendiri hanya ditubuhkan pada tahun 1974. Minyak di Terengganu hanya mula "membantu" Malaysia pada tahun 1970an tetapi orang Sarawak telah mula "ada" minyak sendiri 60 tahun sebelum itu. Moga rakyat Sarawak sedar apa "maksudnya" itu.

24/08/2017

YB KJ dan Polo

" Saya memang tabik sama YB KJ kerana dengan jawatan-jawatan selaku Menteri Belia & Sukan, Ketua Pemuda UMNO, Ahli Parlimen Rembau dan turut dipertanggungjawabkan untuk program Transformasi Nasional 2050 (TN50) beliau masih ada masa untuk terlibat sebagai atlet yang menyertai Sukan SEA 2017 untuk acara polo. Pastinya untuk tempoh 6 bulan sebelum kejohanan, YB KJ BANYAK memperuntukkan masa menyiapkan diri bagi Sukan SEA. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu. Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional seperti YB KJ ini wajar mengadakan kursus pengurusan masa yang efektif buat semua rakyat Malaysia supaya matlamat, amanah, tanggungjawab dan pengurusan pentadbiran negeri-negeri mahupun Malaysia berada pada tahap terbaik dan cemerlang sekaligus membawa KEBAHAGIAAN, KESENANGAN dan KEBANGGAAN kita semua sebagai rakyat Malaysia. Cumanya perlu dipastikan supaya amanah dan tanggungjawab utama mestilah berjalan dengan jayanya. "
Fendi Ahmad
24 Ogos 2017

20/08/2017

Asal dan Usul

" Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi perasan atau tidak M Nasir yang berpakaian seperti pahlawan Melayu sewaktu terlibat dengan persembahan di pembukaan Sukan SEA 2017 dilahirkan di Singapura dan pernah menjadi warganegara negara itu untuk satu tempoh yang lama ? Zahid tidak mahu persoalkan asal usul M Nasir sehingga layak membuat persembahan di acara penting untuk melambangkan identiti Malaysia di mata negara-negara Asia Tenggara ? Zahid tak mahu cakap yang M Nasir 'menggunakan' orang Melayu Malaysia selama ini untuk kerjayanya ? "


Fendi Ahmad 

20 Ogos 2017

19/08/2017

Perwira dan Pertiwi Era 1990an

" Airmata bangga aku tak tertahan melihat wajah-wajah perwira dan pertiwi sukan Malaysia era 1990an berbaris membawa bendera Sukan Sea 2017. G Shanti, Nurul Huda Abdullah, Rashid Sidek, Mirnawan Nawawi, Shalin Zulkifli, M Ramachandran, Jeffrey Ong dan Nurherman Majid. Terasa seakan baru semalam aku teruja membesar di zaman 1990an itu. Merekalah insan-insan yang pernah membuatkan aku bangga menjadi rakyat Malaysia dan mereka banyak mewarnai kenangan hidupku di era aku mula mengenal dunia dan membentuk jati diri patriotik yang kuat buat Malaysia ini. G Shanti pelari pecut, Nurul Huda ratu renang, Rashid Sidek jaguh badminton, Mirnawan Nawawi hero hoki, Shalin Zulkifli ratu bowling, M Ramachandran raja larian jarak jauh, Jeffrey Ong jagoan renang jarak sederhana dan Nurherman Majid raja larian berpagar: Anda semuanya satu sejarah yang hebat buat saya dan Malaysia di era 1990an, era Malaysia Boleh ! "


Fendi Ahmad 

19 Ogos 2017

18/08/2017

Naib Ketua Pemuda UMNO Kata Tun Mahathir Musuh Melayu

1) Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun dengan cukup berlagak mengatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah MUSUH UTAMA orang Melayu.


2) Senator yang tidak dikenali rakyat kebanyakan itu berkata begitu kerana Tun Mahathir mahu memusnahkan UMNO.


3) Khairul Azwan menuduh Bapa Pemodenan Malaysia itu ingin merosakkan perjuangan Umno dengan memfitnah Presiden UMNO  Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak sehingga ada yang percaya kepada pembohongan itu.


4) Mentaliti Khairul Azwan ini sebenarnya cuba membodohkan perwakilan yang hadir ke mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Baru (Jumaat, 18 Ogos 2017) yang dirasmikannya. Atau mungkin, khalayak itu sajalah yang "layak" untuk mendengar ucapan orang seperti beliau itu.


5) Adakah melawan dan tidak bersetuju dengan UMNO yang dipimpin Najib boleh disamakan dengan mahu memusnahkan Melayu ? Mengkritik UMNO dan meragui kepimpinan UMNO bererti anda sudah menjadi musuh Melayu ? Laksamana Hang Tuah ada berkata TIDAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA dan bukannya tidak akan UMNO hilang di dunia.

17/08/2017

Gambar dan Ahli Politik Berpisah Tiada ?

1) Saya perhatikan majoriti ahli politik yang sedang mahu "naik" ATAU kategori baru-baru mahu belajar politik suka (rutin wajib ?) jual muka di Facebook.


2) Kadang-kadang ada yang kelihatan seperti "cuba-cuba" mahu kelihatan seperti Yang Berhormat kawasan.


3) Mungkin itu berlaku kerana sifat semulajadi seorang yang aktif (minat) dalam politik ATAU memang rasa itu kaedah terbaik untuk memberitahu orang ramai tentang penglibatannya dalam politik. Fikir baik mungkin ianya satu strategi kempen yang terbaik.


4) Kalau memahami Perlembagaan negara maka kita patut maklum bahawa Yang Berhormat-Yang Berhormat sama ada Ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen), Ahli Dewan Negara (Senator) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah penggubal undang-undang. Mereka inilah yang perlu membahaskan pelbagai isu-isu negara dan negeri sebelum dilulus mahupun ditolak oleh Dewan masing-masing. Mudah kata, YB-YB adalah penentu kepada dasar-dasar penting Malaysia dan setiap negeri yang akan menentukan jatuh bangun rakyat. Sebab itu dipanggil wakil rakyat. 


5) Maka apabila "bakal-bakal" YB lebih menjual muka di FB daripada menjual pemikiran maka ianya menimbulkan tanda-tanya arah tuju negara dan negeri pada masa hadapan "di bawah" mereka.

Cita-Cita Zaman Sekolah

1) Esok tepat 154 bulan aku bertugas sebagai pendidik. 


2) Jauh juga perjalanan diri ini sebagai pendidik. Tidak pernah sekali aku bosan dengan tugas ini. Berada di dalam kelas adalah satu kepuasan dan melihat anak murid senyum penuh kegembiraan di hari konvokesyen mereka adalah sesuatu yang amat indah. 


3) Terkenang pula sewaktu sekolah dahulu apabila Cikgu suruh kita isikan di buku rekod pelajar tentang tiga cita-cita. 


4) Sejak sekolah rendah lagi alu tidak ada cita-cita ke tiga. Cita-cita di nombor dua yang setiap penggal aku tuliskan ialah: Pensyarah. Memang sejak kecil lagi aku mengidam jadi golingan pendidik. Cita-cita yang sentiasa aku letakkan di nombor satu ialah: Ahli politik.


5) Zaman sekolah adalah zaman kita mengimpikan mahu jadi itu dan mahu jadi ini. Tuhan juga yang menentukan sama ada ianya jadi kenyataan ataupun tidak kerana Dialah sebaik-baik perancang.

12/08/2017

Anak Murid Saya, Anak HARAPAN Malaysia


1) Mereka ini anak murid saya untuk 3 hari sahaja. 


2) Di akhir pertemuan kami di dalam kelas, saya berjaya membuatkan mereka merenung tajam sambil tekun sesepi-sepinya mendengar kesimpulan yang diberikan. Sambil saya melihat wajah-wajah mereka, ada yang bergenang air mata dan ada yang seakan cuba menahan sebak.


3) Selesai kelas, ada yang jumpa saya dan katakan "Sir, terima kasih sebab doakan saya" dan "Sir, terima kasih banyak sedarkan kami."


4) Modul mereka dengan saya adalah berkaitan dengan "perubahan." 10 minit terawal di hari pertama saya katakan bahawa sebelum mahu berubah kepada sesuatu yang lebih baik maka perlulah kenal pasti apa kelebihan dan apa kekurangan diri sendiri. 10 minit terakhir pada hari ke tiga saya ingatkan mereka bahawa apa jua yang hendak kita capai perlu dikuatkan dengan doa kepada Tuhan kerana apa jua berlaku adalah di bawah izin dan kekuasaanNya.


5) Saya doakan mereka semuanya berjaya dan capai apa jua yang dicita-citakan, dapat berbakti kepada ibu dan ayah dan dapat merentasi apa jua cabaran kehidupan. Saya ajar mereka satu doa mudah yang disukai Nabi Muhammad:


" Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum, dengan rahmatMu aku mohon pertolonganMu. Perbaikilah segala urusanku. Janganlah Engkau serahkan urusan diriku ini kepadaku walaupun sesaat jua. "

08/08/2017

FDI Malaysia Era 1990an

" Sejarah menunjukkan Malaysia pada dekad 1990an menjadi pilihan hebat para pelabur asing. Pelaburan langsung asing (FDI: foreign direct investment) yang diterima Malaysia di antara tahun 1990 sehingga 1999 meningkat pada kadar purata 19.5% setahun. Ianya adalah jauh lebih tinggi daripada rakan-rakan ASEAN yang lain (Filipina: 14.2%, Singapura: 11.3%, Thailand: 10.8%). Ternyatalah Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri berjaya memberikan keyakinan besar pelabur asing kepada pentadbirannya. Tidakkah kita pelik apabila Perdana Menteri ke 6 Malaysia boleh mengatakan Tun M GAGAL dan tidak buat apa-apa ? "


Fendi Ahmad 

8 Ogos 2017

07/08/2017

Kemiskinan Di Malaysia: 1970 vs 1990

" Kadar kemiskinan Malaysia pada tahun 1970 sewaktu Tun Razak baru menjadi Perdana Menteri ialah sekitar 52% daripada rakyat. Pada tahun 1990 kadar kemiskinan Malaysia menurun sehingga tahap 16% daripada rakyat. Penurunan hebat dalam masa 20 tahun itu menjadi bualan dunia. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang jawatan Perdana Menteri bermula tahun 1981 menjadi sebutan dunia pada tahun 1990. Seterusnya era 1990an menyaksikan Malaysia digelar harimau ekonomi Asia kerana begitu pesat membangun. Bagaimana anak sulung Tun Razak boleh katakan Tun Dr Mahathir tidak buat apa-apa semasa jadi PM dan semua yang dibuatnya gagal ? "


Fendi Ahmad 

7 Ogos 2017

06/08/2017

3 Risiko Utama UMNO di Pilihan Raya Umum 14

1) Risiko 1: Kehilangan undian daripada orang Melayu yang mengundi Barisan Nasional (BN) selama ini.


2) Risiko 2: Kehilangan undi daripada penjawat awam yang selama ini setia dengan Kerajaan semasa (UMNO - BN)


3) Risiko 3: Kehilangan undi daripada ahli rasmi UMNO sendiri serta bekas ahli yang kini ramai telah menyertai Pribumi Bersatu dan sesetengahnya pula memilih PKR sejak akhir 2016.


4) Walaupun calon UMNO menyumbang 88 kerusi Parlimen kepada BN, sekitar 20 kerusi dimenangi tipis. Sekiranya UMNO tewas di 15 kerusi sahaja dan ditambah dengan sekitar 10 kerusi BN melalui calon MCA, MIC dan Gerakan yang begitu tipis diperoleh sewaktu PRU 13 (Labis, Bentong, Cameron Highland dan lain-lain) maka BN akan menjadi Pembangkang selepas PRU 14. 


5) Itulah sebabnya UMNO menjadikan medan Mesyuarat Tahunan Bahagian-Bahagian bagi tahun 2017 ini untuk MEMBELASAH sebaik mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah diangkat sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Ahli Politik Perlu Rajin Cari Ilmu Baru

" Sebelum saya cuba-cuba merapati politik secara semi-aktif memang banyak masa dihabiskan dengan membaca buku. Bilik tidur saya seperti stor buku yang sudah tidak mampu dikemas. Itulah bahasa yang agak manis untuk membayangkan keadaan bilik saya. Hujung minggu ini saya tidak balik ke kampung dan banyak masa dihabiskan dengan berehat sahaja dengan membaca buku-buku terbaru dalam koleksi. Saya akui terasa sedikit bodoh kerana sejak akhir-akhir ini kurang ada masa yang panjang untuk membaca buku. Kadang-kadang kita terfikir bilakah ahli-ahli politik peruntukkan masa mereka untuk menambah ilmu jika siang dan malam kerjanya bermain politik dan borak-borak mulut juga hanya berlegar pasal mahu menang Pilihan Raya Umum, mahu jatuhkan si dia dan mahu betulkan itu dan ini. Mampukah betulkan itu dan ini jika tiada ilmu dan bolehkah membawa kelainan juga keunikan dalam mentadbir nanti jika kurang membaca dan ilmu baru tiada ? Politik bukan semata mengejar kuasa dan ada duit maka boleh jadi pemimpin. Apabila menjadi pemimpin nantilah yang akan membezakan di antara pemimpin yang ada minda kelas pertama ataupun sekadar mencukupkan korum Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. "


Fendi Ahmad 

6 Ogos 2017


05/08/2017

Jawa Ponorogo ?

" Rakyat berhak untuk tahu adakah benar Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilahirkan di Pulau Jawa, Indonesia pada tahun 1953 dan hanya BERHIJRAH ke Malaysia pada tahun 1965 ketika berusia 12 tahun ? Adakah ibu dan bapa Zahid serta dirinya sendiri masuk ke Malaysia sebagai pendatang haram ataupun pendatang halal pada awalnya ? Bila pula mereka sekeluarga mendapat kerakyatan Malaysia ? Prosedurnya diikuti sepenuhnya ? Jika benar Ahmad Zahid ini keturunan pendatang abad ke 20 selepas penubuhan Malaysia maka beliau memang hebat. Berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 dan didakwa telah memiliki kekayaan RM230 Juta ketika itu. Hidup Melayu (Jawa Ponorogo), Hidup UMNO ! "


Fendi Ahmad 

5 Ogos 2017

03/08/2017

Tan Sri Mohamad Noah: Pengasas Genting

" Di dalam sebuah buku berkenaan dengan 3 Puteri Tan Sri Mohamad Noah banyak diceritakan perihal tokoh besar kelahiran Muar, Johor itu. Beliau pernah menjawat jawatan amat penting di dalam Kerajaan Johor berkaitan dengan Islam. Beliau akhirnya dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang pertama oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau jadi mewah tatkala menjadi antara pengasas kepada Kumpulan Genting yang mendirikan bisnes perjudian kasino pertama di Asia Tenggara. Mohamad Noah adalah Pengerusi Genting yang pertama kerana persahabatan eratnya dengan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Dengan kemewahan itu, beliau menaja hampir semua cucu-cucunya belajar di luar negara terutamanya di England termasuklah anak-anak daripada dua menantunya iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Kebanyakan cucu-cucunya itu bersekolah juga di England. Untuk rekod, Noah adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. "


Fendi Ahmad 

3 Ogos 2017

02/08/2017

PRU 14 Makin Hampir

" Mendapat jawatan Pengarah Ejen Pengira Undi (Counting Agent) Negeri Melaka untuk Pilihan Raya Umum ke 14 di dalam parti adalah sesuatu yang saya tidaklah mahu. Cukuplah ada satu jawatan yang secara otomatik kena pula ke Jawatankuasa Pimpinan Negeri. Ada yang tersenyum dipilih dan lain-lain bertepuk dan ada juga yang tidak tahu apa mahu bereaksi. Saya masuk kategori yang di dalam hati menjerit: ADUH, boleh tak kalau tak mahu ? Boleh ke terbawa ni. Apapun, lantikan dibuat maka itu satu kepercayaan. Demi perjuangan dan demi masa depan Malaysia, inilah sedikit pengorbanan yang boleh dibuat. Moga Tuhan merahmati sentiasa diriku yang kerdil ini. "


Fendi Ahmad 

3 Ogos 2017