27/09/2015

Hidup Saya Budak Kampung: Takut English

1) Waktu Darjah Satu Melor di Sekolah Temenggung Abdul Rahman, Segamat, Johor saya memang paling takut subjek English. Bahasa itu buat budak pemalu dan penakut macam saya ini jadi seram sejuk.

2) Cikgu yang ajar English namanya Cikgu Diana. Dia ini cantik dan bergaya orangnya. Walaupun saya suka lihat muka dia tapi saya tidak suka subjeknya. Setengah jam di dalam kelas English seperti tiga jam terasa. Kalau sejam maka terasa seperti setengah hari ! 

3) Waktu "oral" English setiap pelajar perlu ke depan dan duduk di tepi meja guru untuk sessi "bercakap" English menghadap muka Cikgu. Sementara tunggu giliran, saya terasa mahu kencing yang amat. Saya tahu caranya mudah. Pergi ke depan dan beritahu Cikgu,  "teacher, may i go out" atau "teacher, may i go to toilet." Skrip itu saya hafal tetapi saya TAKUT dan SEJUK BADAN mahu menyebut skrip itu di depan Cikgu !

4) Apabila sudah tidak tertahan, saya tarik nafas sebab mahu menahan daripada terkencing. Malangnya, saya tidak mampu menahan lebih lama. Saya terhembus nafas dan serentak itu, AIR KENCING saya keluar dengan banyaknya. Ya, saya terkencing dalam seluar di dalam kelas !

5) Panjang sudah perjalanan hidup saya. Budak terkencing dalam seluar kerana takut subjek English itu kini sudah lebih sepuluh tahun menjadi Cikgu di MMU, mengajar ilmu Kewangan dalam bahasa yang buat saya terkencing dalam seluar dahulu - English. Syukur Ya Tuhan.

No comments:

Post a Comment