24/09/2015

Hidup Saya Budak Kampung: VESPA

1) Waktu saya Tingkatan Satu, saya rasa segan kalau Encik (ayah) hantar saya ke sekolah dengan naik motor Vespa. Maklumlah, terasa kampung sangat dan sekolah pula di bandar (Sekolah Tinggi Segamat). Malu dilihat kawan-kawan atau Cikgu !

2) Waktu usia itu juga rasa amat malu mahu cium Encik di depan orang. Terasa itu "kerja" budak kecil sahaja.

3) Masuk usia akhir sekolah menengah, saya sudah "berubah." Kalau sesekali Encik hantar saya ke sekolah naik Vespa maka saya akan rasa begitu bangga. Peluang cium tangan dan muka Encik di depan orang ramai juga adalah satu momen yang cukup saya rasa megah dan gembira.

4) Sehingga kini selepas lebih 10 tahun menjadi seorang Cikgu di MMU, saya masih berpeluang naik motor yang dipandu Encik terutamanya kalau kami berdua mahu ke Pasar Minggu di bandar Segamat. Syukur pada Tuhan kerana secara keseluruhannya, kesihatan Encik adalah cukup baik untuk seorang yang sudah berusia 66 tahun.

5) Panjang sudah perjalanan hidup saya. Daripada menaiki Vespa bertiga dengan Emak dan Encik sewaktu kecil di tahun 1980an, budak pemalu yang takut bercakap di awal tahun 1990an sehinggalah menjadi seorang jejaka yang begitu suka akan kerjanya, seorang pendidik anak negara. Syukur kepada Tuhan.

No comments:

Post a Comment