12/08/2017

Anak Murid Saya, Anak HARAPAN Malaysia


1) Mereka ini anak murid saya untuk 3 hari sahaja. 


2) Di akhir pertemuan kami di dalam kelas, saya berjaya membuatkan mereka merenung tajam sambil tekun sesepi-sepinya mendengar kesimpulan yang diberikan. Sambil saya melihat wajah-wajah mereka, ada yang bergenang air mata dan ada yang seakan cuba menahan sebak.


3) Selesai kelas, ada yang jumpa saya dan katakan "Sir, terima kasih sebab doakan saya" dan "Sir, terima kasih banyak sedarkan kami."


4) Modul mereka dengan saya adalah berkaitan dengan "perubahan." 10 minit terawal di hari pertama saya katakan bahawa sebelum mahu berubah kepada sesuatu yang lebih baik maka perlulah kenal pasti apa kelebihan dan apa kekurangan diri sendiri. 10 minit terakhir pada hari ke tiga saya ingatkan mereka bahawa apa jua yang hendak kita capai perlu dikuatkan dengan doa kepada Tuhan kerana apa jua berlaku adalah di bawah izin dan kekuasaanNya.


5) Saya doakan mereka semuanya berjaya dan capai apa jua yang dicita-citakan, dapat berbakti kepada ibu dan ayah dan dapat merentasi apa jua cabaran kehidupan. Saya ajar mereka satu doa mudah yang disukai Nabi Muhammad:


" Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum, dengan rahmatMu aku mohon pertolonganMu. Perbaikilah segala urusanku. Janganlah Engkau serahkan urusan diriku ini kepadaku walaupun sesaat jua. "

08/08/2017

FDI Malaysia Era 1990an

" Sejarah menunjukkan Malaysia pada dekad 1990an menjadi pilihan hebat para pelabur asing. Pelaburan langsung asing (FDI: foreign direct investment) yang diterima Malaysia di antara tahun 1990 sehingga 1999 meningkat pada kadar purata 19.5% setahun. Ianya adalah jauh lebih tinggi daripada rakan-rakan ASEAN yang lain (Filipina: 14.2%, Singapura: 11.3%, Thailand: 10.8%). Ternyatalah Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri berjaya memberikan keyakinan besar pelabur asing kepada pentadbirannya. Tidakkah kita pelik apabila Perdana Menteri ke 6 Malaysia boleh mengatakan Tun M GAGAL dan tidak buat apa-apa ? "


Fendi Ahmad 

8 Ogos 2017

07/08/2017

Kemiskinan Di Malaysia: 1970 vs 1990

" Kadar kemiskinan Malaysia pada tahun 1970 sewaktu Tun Razak baru menjadi Perdana Menteri ialah sekitar 52% daripada rakyat. Pada tahun 1990 kadar kemiskinan Malaysia menurun sehingga tahap 16% daripada rakyat. Penurunan hebat dalam masa 20 tahun itu menjadi bualan dunia. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang jawatan Perdana Menteri bermula tahun 1981 menjadi sebutan dunia pada tahun 1990. Seterusnya era 1990an menyaksikan Malaysia digelar harimau ekonomi Asia kerana begitu pesat membangun. Bagaimana anak sulung Tun Razak boleh katakan Tun Dr Mahathir tidak buat apa-apa semasa jadi PM dan semua yang dibuatnya gagal ? "


Fendi Ahmad 

7 Ogos 2017

06/08/2017

3 Risiko Utama UMNO di Pilihan Raya Umum 14

1) Risiko 1: Kehilangan undian daripada orang Melayu yang mengundi Barisan Nasional (BN) selama ini.


2) Risiko 2: Kehilangan undi daripada penjawat awam yang selama ini setia dengan Kerajaan semasa (UMNO - BN)


3) Risiko 3: Kehilangan undi daripada ahli rasmi UMNO sendiri serta bekas ahli yang kini ramai telah menyertai Pribumi Bersatu dan sesetengahnya pula memilih PKR sejak akhir 2016.


4) Walaupun calon UMNO menyumbang 88 kerusi Parlimen kepada BN, sekitar 20 kerusi dimenangi tipis. Sekiranya UMNO tewas di 15 kerusi sahaja dan ditambah dengan sekitar 10 kerusi BN melalui calon MCA, MIC dan Gerakan yang begitu tipis diperoleh sewaktu PRU 13 (Labis, Bentong, Cameron Highland dan lain-lain) maka BN akan menjadi Pembangkang selepas PRU 14. 


5) Itulah sebabnya UMNO menjadikan medan Mesyuarat Tahunan Bahagian-Bahagian bagi tahun 2017 ini untuk MEMBELASAH sebaik mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah diangkat sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.