06/08/2017

Ahli Politik Perlu Rajin Cari Ilmu Baru

" Sebelum saya cuba-cuba merapati politik secara semi-aktif memang banyak masa dihabiskan dengan membaca buku. Bilik tidur saya seperti stor buku yang sudah tidak mampu dikemas. Itulah bahasa yang agak manis untuk membayangkan keadaan bilik saya. Hujung minggu ini saya tidak balik ke kampung dan banyak masa dihabiskan dengan berehat sahaja dengan membaca buku-buku terbaru dalam koleksi. Saya akui terasa sedikit bodoh kerana sejak akhir-akhir ini kurang ada masa yang panjang untuk membaca buku. Kadang-kadang kita terfikir bilakah ahli-ahli politik peruntukkan masa mereka untuk menambah ilmu jika siang dan malam kerjanya bermain politik dan borak-borak mulut juga hanya berlegar pasal mahu menang Pilihan Raya Umum, mahu jatuhkan si dia dan mahu betulkan itu dan ini. Mampukah betulkan itu dan ini jika tiada ilmu dan bolehkah membawa kelainan juga keunikan dalam mentadbir nanti jika kurang membaca dan ilmu baru tiada ? Politik bukan semata mengejar kuasa dan ada duit maka boleh jadi pemimpin. Apabila menjadi pemimpin nantilah yang akan membezakan di antara pemimpin yang ada minda kelas pertama ataupun sekadar mencukupkan korum Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri. "


Fendi Ahmad 

6 Ogos 2017


05/08/2017

Jawa Ponorogo ?

" Rakyat berhak untuk tahu adakah benar Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilahirkan di Pulau Jawa, Indonesia pada tahun 1953 dan hanya BERHIJRAH ke Malaysia pada tahun 1965 ketika berusia 12 tahun ? Adakah ibu dan bapa Zahid serta dirinya sendiri masuk ke Malaysia sebagai pendatang haram ataupun pendatang halal pada awalnya ? Bila pula mereka sekeluarga mendapat kerakyatan Malaysia ? Prosedurnya diikuti sepenuhnya ? Jika benar Ahmad Zahid ini keturunan pendatang abad ke 20 selepas penubuhan Malaysia maka beliau memang hebat. Berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 dan didakwa telah memiliki kekayaan RM230 Juta ketika itu. Hidup Melayu (Jawa Ponorogo), Hidup UMNO ! "


Fendi Ahmad 

5 Ogos 2017

03/08/2017

Tan Sri Mohamad Noah: Pengasas Genting

" Di dalam sebuah buku berkenaan dengan 3 Puteri Tan Sri Mohamad Noah banyak diceritakan perihal tokoh besar kelahiran Muar, Johor itu. Beliau pernah menjawat jawatan amat penting di dalam Kerajaan Johor berkaitan dengan Islam. Beliau akhirnya dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang pertama oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau jadi mewah tatkala menjadi antara pengasas kepada Kumpulan Genting yang mendirikan bisnes perjudian kasino pertama di Asia Tenggara. Mohamad Noah adalah Pengerusi Genting yang pertama kerana persahabatan eratnya dengan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Dengan kemewahan itu, beliau menaja hampir semua cucu-cucunya belajar di luar negara terutamanya di England termasuklah anak-anak daripada dua menantunya iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Kebanyakan cucu-cucunya itu bersekolah juga di England. Untuk rekod, Noah adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. "


Fendi Ahmad 

3 Ogos 2017

02/08/2017

PRU 14 Makin Hampir

" Mendapat jawatan Pengarah Ejen Pengira Undi (Counting Agent) Negeri Melaka untuk Pilihan Raya Umum ke 14 di dalam parti adalah sesuatu yang saya tidaklah mahu. Cukuplah ada satu jawatan yang secara otomatik kena pula ke Jawatankuasa Pimpinan Negeri. Ada yang tersenyum dipilih dan lain-lain bertepuk dan ada juga yang tidak tahu apa mahu bereaksi. Saya masuk kategori yang di dalam hati menjerit: ADUH, boleh tak kalau tak mahu ? Boleh ke terbawa ni. Apapun, lantikan dibuat maka itu satu kepercayaan. Demi perjuangan dan demi masa depan Malaysia, inilah sedikit pengorbanan yang boleh dibuat. Moga Tuhan merahmati sentiasa diriku yang kerdil ini. "


Fendi Ahmad 

3 Ogos 2017