19/06/2016

Tahniah Perdana Menteri Mohd. Najib !

1) Majoriti pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah memilih (Pilihan Raya Kecil - PRK, 18 Jun 2016). Mereka beri kemenangan lebih bergaya kepada Barisan Nasional (BN) berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 3 tahun lepas.

2) Tahniah buat Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kerana kita pasti beliaulah orang yang paling mahukan BN menang.

3) Mohd. Najib telah bersorak cukup lantang. Beliau sempat memperli, menghina dan memperkecilkan Perdana Menteri ke 4 Dr. Mahathir Mohamad. 

4) Mohd. Najib kelihatan terlebih teruja dengan keputusan PRK terbabit. Tidak salah untuk dia bergembira kerana dia memang bermatian mahu "kelihatan" popular di mata rakyat. Masalahnya, sebagai ahli politik kanan yang telah 40 tahun bergelut dalam dunia politik, Mohd. Najib tidak langsung kelihatan seperti pemimpin beraura hebat apalagi layak diingat sebagai negarawan selepas bersara / meninggal dunia kelak. Beliau melepaskan amarahnya bertubi-tubi kepada manusia "91 tahun" itu hingga tergamak mengatakan "kita akan lawan dia habis-habisan."

5) Tindak-tanduk Mohd. Najib ini seperti seorang pesalah yang dihantui rasa takut dan tiba-tiba dapat sesuatu yang membuatnya rasa lega buat seketika, terus jadi gagah "menggila" lupa adab dan sopan.

17/06/2016

Najib Takut Dr. M ?

1) Esok (Sabtu, 18 Jun 2016) sepatutnya Perdana Menteri ke 4 Malaysia yang digelar Bapa Pemodenan Malaysia Dr. Mahathir Mohamad akan muncul dalam sebuah rancangan bual bicara komedi, 'Obviously Harith Iskander' di Astro Awani jam 9.30 malam.

2) Malangnya, pihak Astro telah diarahkan untuk menghentikan rancangan tersebut.

3) Sebelum ini, 'iron lady' zaman Dr. M selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri paling lama dalam sejarah negara iaitu Rafidah Aziz telah menjadi tetamu rancangan terbabit. Rafidah banyak mengimbas kembali kenangan zaman Dr. M. Rafidah juga dalam ketawa sempat memberi komen tentang tiga perkara yang tidak boleh dipolitikkan iaitu pendidikan, agama dan bangsa.

4) Kenapa Astro mendapat 'ARAHAN' agar siaran berkaitan Dr. M ini dihentikan ?

5) Adakah rejim Najib semakin takut dengan Dr. M yang usianya bakal mencecah 91 tahun itu ? Adakah ini kerja Menteri bernama Salleh Said Keruak yang bertanggungjawab menjaga TV itu ? Kadang-kadang 'lebih sudu daripada kuah.' Mungkin juga.

31/05/2016

[Hudud - PAS - UMNO] VS [DAP - MCA - GERAKAN - MIC etc]

1) Saya hormati apa jua pandangan sesiapapun dalam isu Hudud yang semakin panas. PAS kelihatan ada 'sokongan' UMNO atau sekurangnya Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak.
2) Parti-parti 'non-Islamik' lain seperti DAP, MCA, Gerakan, MIC dan yang mewakili Sabah dan Sarawak kelihatan cukup 'anti' dengan jenama Hudud walaupun ianya hanya terpakai untuk penganut Islam dan buat masa ini kemungkinan dilaksanakan kelak hanyalah di negeri Kelantan.
3) Saya harap pendapat saya tidak dipolitikkan atau menimbulkan ketidakpuasan sesiapa sebab saya sendiri tidak 'serang' pendapat sesiapapun di FB ini. Bagi pihak PAS dan UMNO (atau mungkin hanya PM Mohd. Najib, TPM Ahmad Zahid, Menteri Azalina dan Menteri Mohd. Jamil Khir), saya pelik kenapa Islam mereka ini dengan penegasan hukum hanya terlihat pada Hudud semata? Di mana keihklasan dan keberanian mereka untuk betul-betul mengamalkan peraturan Islam yang sejati dalam aspek lain yang lebih melibatkan halal-haram dan 'darah daging' umat Islam ?
4) Bagi pihak yang bukan Islam pula, kenapa terlalu keterlaluan reaksinya. Hudud atau apa jua undang-undang syariah Islam itu hanya terpakai untuk yang beragama Islam semata-mata.
5) Semua pihak WAJIB tidak terlebih bermain POLITIK demi negara tercinta yang semakin hari semakin GILA dan tidak maju ke hadapan dek kerana KEBODOHAN pemain politik Malaysia hari ini. Tidak kiralah UMNO - PAS - PKR - DAP - AMANAH - MCA - MIC - PBS - PBB atau apa juga ejaannya !

14/04/2016

TUN M INILAH PERJUANGAN

1) Ini buku terbaru dalam koleksi saya.
2) Apapun tentang Datuk Seri terbaik dalam hidup saya ini pasti akan saya cari, beli secepat mungkin tanpa perlu ambil tahu isi kandungannya apa.











3) Jenama Dr. Mahathir bin Mohamad cukup kuat terpatri di dalam jiwa saya.
4) Masa saya di sekolah menengah sekitar akhir dekad 1990an, semua Cikgu di Sekolah Tinggi Segamat tahu saya ini peminat setia Perdana Menteri yang bergelar Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Sewaktu Tingkatan Empat, ada Ustazah yang 'mahu hentam' Kerajaan dengan mengatakan Malaysia ini suka membazir, mahu bangunan tertinggi, lapangan terbang besar, projek mega banyak membazir tiba-tiba terhenti apabila melihat saya. Sampai hari ini saya ingat ayat Cikgu itu - Tak apalah, dalam kelas ni ada Fendi. Dia terus berhenti dan fokus semula kepada topik asal.
5) Sewaktu di Tingkatan Lima, Cikgu Sejarah juga yang sedang 'seronok' perli Kerajaan pimpinan Dr. M tiba-tiba terhenti kerana dia kata tidak mengapalah sebab dalam kelas itu ada Fendi. Fendi dan Dr. M berpisah tiada, dulu, kini dan selamanya !