29/10/2017

Antara Dua Janji: Barisan dan Harapan

1) BN kata cuti bersalin bagi si ibu selama 90 hari, Harapan sudah awal kata ianya 120 hari.


2) BN kata GST untuk majalah, komik dan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan ditiadakan, Harapan kata GST dimansuhkan sepenuhnya.


3) BN mahu tambah pemberian biasiswa, pinjaman dan insentif pembayaran PTPTN, Harapan pula janjikan pendidikan percuma untuk semua peringkat rakyat dari sekolah rendah hingga ke universiti.


4) BN mahu berikan bantuan khas RM1500 kepada penjawat awam melalui dua bayaran, Harapan mahu pastikan gaji minimum rakyat ialah RM1500 setiap bulan dan ada bonus tahunan untuk penjawat awam.


5) BN mahu hapuskan bayaran tol di empat laluan (Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Eastern Dispersal Link Johor), Harapan komited hapuskan tol di seluruh negara.


27/10/2017

Janji Harapan Jangan Dipertikai

" Harapan menjanjikan TIADA TOL, TIADA GST, pendidikan percuma, cuti ibu bersalin selama 4 bulan, royalti minyak 20% untuk 4 negeri pengeluar minyak dan penjimatan RM20 bilion daripada pembaikan ketirisan dalam pemberian projek-projek Kerajaan. Kenapa Menteri-Menteri dan hulubalang Kerajaan sedia ada buang masa mereka mempertikai dan meragui apa yang Harapan janjikan ? Pergi buat kerja anda atau pergilah pujuk Perdana Menteri untuk berani buat janji yang lebih hebat. Janji adalah benda yang akan dilaksana APABILA diberi mandat oleh rakyat. Jika Harapan GAGAL tunaikan janji dalam masa 5 tahun mentadbir, apa rakyat PERLU buat? SINGKIRKAN Harapan di PRU 15 (mungkin tahun 2022/2023). Mudah dan tidak perlu fikir banyak kali. UBAH dan UBAH bila perlu adalah cara rakyat di negara maju. "


Fendi Ahmad 

27 Oktober 2017

Hari Hol Negeri Johor

" Semalam hari Khamis, 26 Oktober negeri Johor bercuti Hari Hol Sultan Iskandar. Saya khuatir majoriti yang bercuti terutamanya adik-adik sekolah tidakpun tahu sebab musabab di sebalik cuti itu. Maklumlah ianya tiada dalam silibus sekolah. Waktu saya sekolah dahulu, ia dipanggil Hari Hol Sultan Ismail. Hari Hol di Johor adalah hari memperingati kemangkatan Almarhum Sultan sebelum ini. Ianya dikira mengikut kalendar Islam. Sebab itu di kalendar biasa, tarikhnya berubah-ubah setiap tahun. Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. "


Fendi Ahmad 

27 Oktober 2017

25/10/2017

Janji Pakatan Harapan Buat Rakyat Malaysia

1) Bonus untuk kakitangan awam akan sentiasa ada
2) Hapus GST
3) Hapus TOL
4) Pendidikan percuma sehingga ke peringkat Universiti
5) Royalti minyak untuk negeri Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sebanyak 20%
Ingatan Buat Rakyat Malaysia:
1) Pengerusi Pakatan Harapan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang telah menaikkan nama negara.
2) Ketua Umum Pakatan Harapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sewaktu kita digelar Harimau Ekonomi Asia di dekad 1990an.
3) Pakatan Harapan turut memiliki Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selama 6 tahun yang dipecat Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak hanya kerana mempersoalkan duit rakyat dicuri, dirompak dan disamun.
4) Pakatan Harapan turut dibarisi Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Azmin Ali dan Tuan Lim Guan Eng yang terbukti berjaya meningkatkan kekayaan negeri pimpinan mereka.
5) Pakatan Harapan membuat janji, jika janji tidak ditepati maka mereka BERANI disingkirkan rakyat selepas 5 tahun.
[TIADA SEBAB MALAYSIA TAKUT KEPADA JANJI HARAPAN]

24/10/2017

Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin

1) Penyanyi kesayangan ramai, Dato' Siti Nurhaliza kini bergelar Datuk Seri.
2) Siti dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri.
3) Beliau memulakan kerjaya seninya melalui album pertama pada tahun 1996 sewaktu berusia 17 tahun. Melalui album pertama itu, lagu 'berhantu' JERAT PERCINTAAN menggondol Anugerah Juara Lagu 1996.
4) Siti muncul di arena seni suara selepas percubaannya memasuki pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995 membuahkan hasil. Dia menjadi juara melalui lagu Camar Yang Pulang dendangan asal penyanyi Aishah. Ketika itu, Siti masih bergelar pelajar Tingkatan Empat.
5) Dengan pelbagai kejayaan yang dicapai dalam tempoh 22 tahun, seharusnya penganugerahan 'Datuk Seri' kepada wajah kesayangan Malaysia ini tidak akan dipertikaikan. Siti sememangnya layak kerana semua rakyat Malaysia walaupun yang tidak meminatinya tetap kenal siapa itu Siti Nurhaliza, baik Melayu, Cina, India, Iban mahupun Kadazan. TahniahDATUK SERI SITI !

23/10/2017

Boleh Keluar Duit KWSP Masa Usia 55

1) Akhir tahun lepas 'kelam dan kabut' apabila orang ramai memenuhkan bank sebab mahu tukar kad ATM kerana percaya jika tidak ditukar maka tidak boleh keluar duit di ATM.
2) Kesian melihat pakcik dan makcik yang sudah tua dan ibu mengandung terpaksa terlibat dengan kesesakan di bank hanya kerana maklumat salah yang jadi kepercayaan ramai.
3) Satu lagi ketidakfahaman berlaku berkaitan dengan pengeluaran simpanan di KWSP. Apabila usia persaraan sektor swasta dinaikkan kepada tahap 60 tahun, ramai percaya bahawa duit KWSP mereka tidak boleh dikeluarkan sehingga mereka mencecah usia 60 tahun.
4) Duit simpanan KWSP kita tetap BOLEH dikeluarkan sepenuhnya apabila usia mencecah 55 tahun walaupun bersara pada usia 60 tahun.
5) Apa yang perlu diketahui ialah, simpanan seterusnya selepas mencecah usia 55 tahun sehinggalah pencen pada usia 60 tahun itu sahajalah yang tidak boleh dikeluarkan dan semua caruman/simpanan baru melepasi usia 55 tahun akan dimasukkan ke dalam akaun baru yang diberi nama AKAUN EMAS. Segala duit di dalam Akaun Emas ini tidak boleh dikeluarkan sehinggalah usia mencecah 60 tahun.

19/10/2017

Ibu dan Ayah

" 13 tahun saya di alam kerjaya selepas tamat zaman pendidikan sepenuh masa, 13 tahun jugalah saya konsisten mengimbangi masa di antara pekerjaan dan tuntutan mahu selalu balik kampung menjenguk Emak dan Encik (ayah). Apabila saya cuba-cuba melibatkan diri dalam politik, memang saya sedari komitmen saya menjadi semakin meruncing. Tapi sejak awal penglibatan, saya beritahu semua bahawa apa keadaan Emak dan Encik saya adalah lebih utama daripada politik. Saya lakukan dalam politik apa yang saya mampu dan terbawa. Selebihnya, Tuhanlah yang menentukan. Saya yakin bahawa redha ibu dan ayah akan bawa kita terbang lebih jauh dengan izin Tuhan. Jangan lupa ayah dan ibu ya kawan-kawan politik semua. Jangan ingat menjenguk ayah dan ibu sebulan sekali selama 30 minit itu sudah cukup untuk anda dijauhi fitnah dunia apalagi fitnah kubur nanti. "


Fendi Ahmad 

19 Oktober 2017

Bugis

" Ramai sungguh ahli-ahli yang katanya daripada persatuan-persatuan keturunan Bugis membuat sidang media dan laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ada sebut LANUN BUGIS. Sensitifnya mereka ini hingga ada yang mengusul supaya Sultan Johor menarik semula Darjah Kerabat (DK) yang pernah dianugerahkan Almarhum Sultan Iskandar kepada Perdana Menteri ke 4 itu. Mereka ini perlu membezakan di antara ayat LANUN BUGIS dan BUGIS LANUN. Lanun Bugis, Perompak India, Gengster Cina, Mat Dadah Melayu, Pontianak Scotland dan apa jua bukan merujuk kepada SELURUH kaum ataupun etnik. Nama saja Melayu tetapi bodoh tatabahasa ! "


Fendi Ahmad 

19 Oktober 2017


* Respon ringkas Encik (ayah) saya yang berdarah Bugis sewaktu menonton berita yang menyebut persatuan Bugis itu merasakan ayat Tun Mahathir telah mengguris dan menghina orang Bugis: "Saya tak terasapun."

17/10/2017

MAS Wajar Ada CEO Dari China ?

" Tahun 2015 dahulu MAS yang ditimpa masalah diberikan CEO 'orang putih' dari Jerman bernama Christopher Mueller, pakar pemulihan syarikat penerbangan. Tiba-tiba Mueller letak jawatan pada Jun 2016. Penggantinya ialah Peter Bellew yang pada awalnya dilantik sebagai COO membantu Mueller memulihkan MAS. Tidak sampai 18 bulan mengetuai MAS, Bellew pula akan kembali ke Ireland menjadi CEO Ryanair, syarikat lamanya. Apa sudah jadi dengan janji-janji Kerajaan yang bunyinya begitu komited memulihkan MAS dua tahun lalu ? Mungkinkah 'orang Putih' tidak mampu bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia yang disebut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebagai Kleptokrasi - *Kerajaan yang mencuri harta rakyat.* ? Tidak perlu pening dan resah wahai rakyat Malaysia, seperti mana PROTON, kita wajar beri keyakinan kepada Kerajaan Malaysia bahawa CEO dari negara China pasti sesuai mengetuai MAS. FELDA dan 1MDB juga boleh turut serta supaya pulih dan sehat kembali. Inikan minggu perhimpunan besar-besaran 5 tahun sekali Parti Komunis China yang dengarnya UMNO mendapat jemputan istimewa, bolehlah runding-runding seperti kawan baik, satu parti penegak Islam juga Melayu dan satu lagi parti penegak komunis. Alahai Malaysiaku. "


Fendi Ahmad 

17 Oktober 2017

15/10/2017

Pak Lah dan Nik Aziz

1) Tiga hari cuti di kampung saya banyak habiskan masa membaca. 


2) Pendirian politik saya adalah jelas. Saya bukan jenis mudah berubah pendirian atau senang dipengaruhi.


3) Saya amat meminati karya-karya Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Sejak remaja saya kerap mendalami pemikiran Islam yang dibawa Tok Guru. Walau saya tidak pernah menyokong PAS tetapi saya menjadikan pemikiran Islam bawaan Tok Guru sebagai ilmu berguna.


4) Tun Abdullah Ahmad Badawi memang bukan Perdana Menteri kesukaan saya. Sekitar 2006 sehingga 2009 selalu saja saya menulis di blog mengkritik kepimpinannya dan menyokong kuat beliau digantikan dengan Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak.


5) Walaupun saya tidak pernah menyokong parti Tok Guru dan kecewa dengan pentadbiran Pak Lah sebagai Perdana Menteri (2003-2009), ianya bukan penghalang untuk saya belajar daripada kisah kehidupan mahupun ilmu politik , agama juga kehidupan yang dimiliki dua tokoh ini. Tok Guru dan Pak Lah tetap banyak istimewanya. Janji mereka bukan PEROMPAK dan bukan pengamal KLEPTOKRASI ! 



Malaysia Akan Bantu Tun Mahathir Selesaikan Tugas Akhirnya.

1) "Terima kasihlah ... tak tau berapa lama lagi, nak habiskan kerja ni saja."


2) Itulah ikrar Negawaran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada lewat malam 14 Oktober 2017 di himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi." Sebak dan sedih menguasai jiwa ini. 


3) Tugas "terakhir" Bapa Pemodenan Malaysia itu ialah membebaskan negara daripada rejim kleptokrasi: Kerajaan yang mencuri harta rakyat, pencuri yang memerintah negara.


4) Janji utama pemimpin yang berjaya menaikkan nama Malaysia di mata dunia sewaktu era pemerintahannya

(1981-2003) itu ialah untuk memastikan Pakatan Harapan membentuk sebuah Kerajaan yang menyokong keperluan rakyat agar negara boleh kembali menjadi model (contoh) kepada negara lain. Rakyat juga diyakinkan untuk berubah bagi menjadikan Malaysia kembali "mulia" dan menjadi antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030. 


5) Buat Ayahanda Tun Mahathir, saya, generasi 2020 dan MALAYSIA semuanya akan BANTU anda selesaikan tugas terakhir itu. Kita sama-sama pastikan Malaysia diselamatkan, rakyat dibebaskan daripada segala penindasan juga penipuan dan maruah negara di mata dunia dimartabatkan kembali. Kepada TUHAN kita berdoa dan memohon direstui selalu.

14/10/2017

Pakatan Harapan Lawan Barisan Nasional = PAS Mati ?

1) Kita selalu dengar kata-kata hilmat lama "gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah." 


2) Ada yang memahamkan kata-kata itu sebagai rakyat atau orang yang lemah biasanya menjadi mangsa keadaan apabila dua pihak yang besar kuasanya bertelagah. Ada juga yang memaksudkan peribahasa itu sebagai apabila ada dua pihak yang kuat segalanya bersaing maka tiada ruang untuk pihak ke tiga mencuba nasib. Persaingan di dunia ini selamanya untuk A dan B, C tidak akan ada peluang besar !


3) Dalam istilah politik Malaysia, Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti adalah medan sebenar pertarungan adalah di antara Pakatan Rakyat yang mengandungi EMPAT parti dan Barisan Nasional yang ada TIGA BELAS parti di dalamnya.


4) PAS mengikut sejarah tidak pernah berjaya apabila bersendirian. PAS akan hanya bernafas di Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja jika bersendirian.


5) Maka PAS adalah pelanduk yang menempah kejatuhannya sendiri sebelum PRU 14. Pakatan Harapan dan Barisan Nasional adalah umpama Apple IOS dan Android IOS yang menguasai dunia telefon pintar dengan PAS menjadi Windows IOS yang cuba mengacau "undi" pengguna (rakyat) dan akhirnya terkubur terus, gagal.

Android IOS vs Apple IOS = Windows IOS Mati

" Ilmu baharu hari ini: Peribahasa lama apabila dua gajah bertarung maka pelanduk di tengah menjadi mangsa adalah relevan. Zaman moden ini ianya jadi kenyataan apabila dunia sistem operasi telefon pintar dikuasai pertarungan di antara Android IOS dan Apple IOS. Windows IOS daripada Microsoft cuba menjadi pihak ke tiga bermula tahun 2010 secara rasminya gagal dan hilang daripada pasaran pada tahun 2017. Maka dunia sistem operasi telefon pintar akan terus menjadi pertarungan hebat di antara Android dan Apple. Windows IOS adalah pelanduk yang mati tersepit akhirnya. "


Fendi Ahmad

14 Oktober 2017

13/10/2017

Cerita Clever Girl, Jus Nusantara, Avon dan UBAH

1) Menonton episod akhir Clever Girl musim 2017 (kebetulan saya di kampung ada masa lapang, episod awal semua tidak ditonton) membawa saya kepada satu pemerhatian jenama penaja utama rancangan antarabangsa versi Malaysia itu. 


2) Penajanya ialah syarikat bernama Serai Emas dengan kata popularnya Jangan Berhenti Memuji. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, majoriti penaja utama rancangan-rancangan secara langsung di TV ialah syarikat berjenama tempatan yang cukup keMelayuan bunyinya. Vida Beauty dengan Pamoganya, D'Herbs Terlajak Laris, Almaz Beauty bersama Jus Nusantaranya juga IQ Danish dan banyak lagi. 


3) Jika dulu, nama-nama antarabangsa seperti Lux, Pantene, Sunsilk, Avon, Maybelline, Mustika Ratu dan sebagainya menguasai tajaan rancangan.


4) Pastilah lebih 90% daripada penyokong produk keluaran syarikat seperti Serai Emas dan Vida Beauty itu berbangsa Melayu. Nampaknya kuasa beli Melayu sudah berubah dengan rancaknya. Minda mereka tidak lagi sempit untuk terus kekal dengan nama seperti Avon dan Maybelline semata. 


5) Perubahan ini adalah satu petunjuk bahawa generasi Melayu yang ada harini bersedia dan sanggup untuk berubah dan memberi peluang kepada "JENAMA BARU" jika ada sesuatu yang bagus padanya.


#tsunamiMelayuPRU14 #ubahbersamaHarapan

12/10/2017

Majoriti rakyat Malaysia Gajinya RM5228 ???

U1) Dr. Mohd. Uzir Mahidin daripada Jabatan Statistik Negara kata MEDIAN pendapatan rakyat Malaysia pada tahun 2016 ialah RM5228. Pendapatan purata pula ialah RM6958.


2) MEDIAN pendapatan naik 6.6% manakala PURATA pendapatan naik 6.2% berbanding tahun 2014. Memang cukup positif bunyinya. Apabila dua petunjuk ini meningkat melebihi kenaikan INFLASI yang biasanya diumumkan Kerajaan pada kadar di bawah 4% bererti taraf hidup rakyat lebih senang, lebih mewah dan boleh berbelanja lebih. Itu pada teorinyalah.


3) Untuk pemahaman mudah katakan ada 5 orang dengan masing-masing pendapatannya seperti berikut:


- Ali: RM1000

- Samy: RM1000

- Lim: RM1000

- Abu: RM500

- Chong: RM5500


* MEDIAN merujuk kepada majoriti orang berada di kelompok mana. Maka MEDIAN pendapatan bagi 5 individu ini ialah RM1000.


* PURATA pula merujuk kepada nilai pertengahan. Pengiraan purata ialah jumlah pendapatan setiap individu ditambah lalu dibahagikan kepada jumlah individu. Bagi contoh ini, purata pendapatan ialah 1000+1000++1000+500+5500 bersamaan dengan 9000 lalu dibahagi dengan 6. Purata pendapatan 5 individu ini ialah RM1800.


4) Angka PURATA pendapatan rakyat Malaysia sebanyak hampir RM7000 sebulan itu ada logiknya memandangkan memang wujud keadaan ramai individu bergaji besar dan jurang pendapatan di Malaysia agak besar di antara kawasan bandar dengan luar bandar dan juga di antara kumpulan 20% (A20) termewah dengan golongan 40% (U40) termiskin.


5) Yang agak pelik ialah MEDIAN pendapatan bulanan sekitar RM5200 itu. Maknanya, MAJORITI rakyat adalah berpendapatan lebih RM5000 sebulan. Adakah "kisah" nombor yang didedahkan Jabatan Statistik Negara ini benar-benar melambangkan keadaan sebenar rakyat atau sekadar mahu MENYEDAPKAN hati sesetengah pihak untuk dijadikan bahan berita bahawa ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia semakin maju, mewah dan senang-senang belaka ?


#ubah #rakyatHarapanMalaysia

Benar ATAU Tipu: Ekonomi Malaysia Semakin Baik

1) Perdana Menteri beritahu seluruh rakyat bahawa ekonomi Malaysia berkembang cukup baik pada kadar 5.2%. PM kata angka Malaysia itu DICEMBURUI banyak negara yang lebih 'advanced.'
2) Maka, negara-negara 'advanced' itu pastilah LEBIH MENCEMBURUI pencapaian negara-negara lain yang lebih besar peratusan pertumbuhan ekonominya.
3) IRAQ mencatatkan sekitar 11% pertumbuhan ekonomi. BANGLADESH pula 7.1% dan Ethiopia di benua Afrika pula lebih kurang 7.6%. Ohhhhh Bangladesh lebih bagus kenaikannya dari Malaysia !
4) Ekonomi Malaysia yang cukup bagus ini juga nampaknya 'dibuktikan' oleh dua fakta:
- Pengangguran di kalangan BELIA (orang muda) Malaysia sudah meningkat sehingga 12%.
- 3 daripada 4 individu dewasa Malaysia tidak memiliki RM1000 untuk kegunaan kecemasan.
5) Setiap kali BR1M diumumkan, PM pasti dengan bangga mengatakan jumlah penerima tahun ini adalah meningkat daripada tahun sebelumnya. Lebih ramai dapat menerima manfaat BR1M katanya. Untuk 2017, 7.1 juta rakyat layak menerima BR1M. Itupun bukti ekonomi Malaysia semakin bagus dan hebat pada kacamata Ketua Kerajaan Malaysia dan Menteri-Menteri Kabinet hasil Pilihan Raya Umum tahun 2013. Mahu terus dipilih dan dikekal ? Tepuk dada tanyalah pemikiran yang waras demi masa depan anak bangsa dan negara.

11/10/2017

Ketika Saya Seorang Budak Sekolah: Malaysia BOLEH !

1) Saya ada Wawasan 2020 dan Malaysia Boleh yang sentiasa tersemat di hati. Apa jua tindakan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dalam menggerakkan ideologi Wawasan 2020 dan Malaysia Boleh tidak pernah kelihatan sebagai satu percubaan bersifat politik. Ingat juga kisah-kisah wirawan negara menakluk Everest, merenangi Selat Inggeris, berkapal layar solo mengelilingi dunia dan banyak lagi. Tidak lupa juga, kita ada bangunan tertinggi di dunia !
2) Seluruh negara melihat keupayaan Malaysia menewaskan Australia untuk hak penganjuran Sukan Komanwel 1998. Malaysia berjaya menganjurkan sukan ke dua terbesar di dunia selepas Olimpik pada tahun 1998 !
3) Malaysia mencatat sejarah sebagai negara membangun pertama berjaya memperoleh hak penganjuran Formula 1. Litar Sepang menjadi tumpuan satu dunia apabila Formula 1 buat pertama kali diadakan di Asia Tenggara pada tahun 1999. Satu-satunya negara Asia yang terlebih dahulu menganjurkan F1 sebelum Malaysia ialah Jepun.
4) F1 adalah acara sukan ke tiga paling mendapat liputan di dunia selepas Olimpik dan Piala Dunia (bola sepak). Zaman saya sekolah, semangat kami budak-budak yang membesar di era 1990an DIKUATKAN 'nama-nama' seperti Wawasan 2020, Malaysia Boleh, SUKOM 1998 dan Formula 1.
5) Budak-budak sekolah era pemerintahan PM Mohd. Najib Abdul Razak nampaknya terpaksa didodoikan dengan cerita kita ada MRT, Transformasi Nasional 2050 (selepas Wawasan 2020 DIGAGALKAN !) dan Lebuhraya Pan Borneo. Agaknyalah. MRT dan Lebuhraya adalah kisah yang sudah diketahui berpuluh tahun dulu sebenarnya.

EKONOMI MALAYSIA SEMAKIN LEMAH

1) BANK DUNIA memberikan amaran bahawa ekonomi Malaysia semakin MELEMAH.
2) Ekonomi majoriti negara Asia diramalkan semakin berkembang pesat tetapi Malaysia berada dalam keadaan semakin meruncing kerana KEGAGALAN untuk menyesuaikan diri dengan 'trend' semasa ekonomi dunia dan masalah tempatan sendiri.
3) Bank Dunia turut menegaskan bahawa masalah HUTANG isi rumah Malaysia adalah terlalu tinggi dan cepat peningkatannya sehingga akan menghampiri 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, GDP). Mudah kata, untuk setiap RM1 hasil negara, hutang rakyat adalah 80 sen. 20 sen sahaja tinggal untuk hidup ?
4) Nampaknya selepas 8 tahun setengah zaman pemerintahan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak, hasil UTAMA Malaysia ialah KENAIKAN KOS sara hidup seluruh negara akibat daripada pengenalan GST, inflasi meningkat sehingga angka sebenar laporan Kerajaan amat diragui dan nilai Ringgit Malaysia yang jatuh teruk bermula akhir 2014 hingga tidak mampu pulih semula selepas 3 tahun.
5) Masalah yang cukup menakutkan ialah Kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar hutang dan rakyat terpaksa berhutang kerana tewas dengan GST, inflasi dan RM bernilai rendah yang membawa kepada HANTU 3 serangkai BEBAN kos hidup.

10/10/2017

Hapus Subsidi Untuk Dipulangkan Kepada Rakyat ...

" Skrip paling popular didendangkan PM Najib Razak apabila subsidi tepung, minyak masak, gula, petrol, gas dan lain-lain DITARIK ialah PENJIMATAN daripada belanja subsidi itu akan DIPULANGKAN semula kepada rakyat terutamanya untuk memperbaiki dan memodenkan lagi sistem pengangkutan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama. Penghapusan subsidi bererti KOS kehidupan KESEMUA rakyat 1Malaysia meningkat dan terus meningkat. Persoalannya, ADAKAH Emak dan Encik (ayah) saya yang duduk di Kampung Alai, Segamat, Johor itu merasai kehebatan MRT dan segala 'flyover' bertingkat-tingkat yang baru dibina di Lembah Klang itu ? Selain BR1M berjumlah RM3.29 (TIGA RINGGIT DUA PULUH SEMBILAN SEN) sehari yang diberikan kepada majoriti orang kampung + GST pula dikutip berkali-kali dalam sehari, apakah yang rakyat di kampung, pekan kecil dan bandar-bandar biasa peroleh daripada penjimatan subsidi itu ? Kena tipukah ? Kalau sedar kena tipu, mahu kekalkan lagi Barisan Nasional ? "
Fendi Ahmad
10 Oktober 2017

02/10/2017

Pakatan Harapan Untuk Melayu

" Wahai Melayu, anda pilih Pakatan Harapan maka 3 daripada 4 KETUA parti-partinya adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. 75%. Anda pilih Barisan Nasional maka ketahuilah bahawa hanya 2 daripada 13 KETUA parti-parti komponennya adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. 15%. Maka, demi bangsa dan agama, anda pilihlah sama ada mahu yang 75% atau 15%. DAP bukan musuh Melayu. DAP itu sendiri ada Melayu sebagai ahlinya sehingga ada yang dipilih menjadi Ahli Parlimen. MCA itu sendiri yang tiada Melayu sebagai ahli apalagi menjadi YB mewakilinya. Jangan tertipu bahawa tanpa UMNO maka DAP yang berkuasa. Ingat, Pakatan Harapan diketuai 75% ketua-ketua berbangsa Melayu, Islam agama mereka. "


Fendi Ahmad 

2 Oktober 2017


BARISAN NASIONAL:


Pengerusi: Dato' Seri. Mohd. Najib Abdul Razak 


1) UMNO: Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak 

2) MCA: Dato' Seri Liow Tiong Lai 

3) GERAKAN: Dato' Seri Mah Siew Kiong 

4) MIC: Dato' Seri Dr. S. Subramaniam

5) myPPP: Tan Sri M. Keyvias


SARAWAK:

6) PBB: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg 

7) SUPP: Datuk Sim Kui Hian

8) PRS: Tan Sri James Jemut Masing

9) PDP: Dato' Seri Tiong King Sing


SABAH:

10) PBS: Tan Sri Joseph Pairin Kitinggan

11) UPKO: Dato' Seri Wilfred Madius Tangau

12) LDP: Datuk Teo Chee Kang 

13) PBRS: Tan Sri Joseph Kurup 

*UMNO, MCA, GERAKAN dan MIC turut berada di Sabah.


PAKATAN HARAPAN:


Pengerusi: Tun Dr. Mahathir Mohamad 


1) PKR: Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail 

2) DAP: Tuan Lim Guan Eng 

3) AMANAH: Tuan Hj. Mohamad Sabu 

4) PPBM : Tan Sri Muhyiddin Yassin

01/10/2017

"Komunis" Ketua Proton ?

" Sedarlah wahai umat Melayu bahawa kita tertipu dengan laungan Ketuanan Melayu dan Demi Melayu yang dijeritkan para pembahas UMNO di Perhimpunan Agung UMNO. Mereka TAKUTKAN Melayu dengan DAP. Tak undi UMNO- Barisan Nasional maka Melayu akan terbangsatlah, Melayu akan hilang kuasalah kepada DAP. Sebenarnya mereka yang takut parti mereka hilang KUASA. Tapi mereka inilah yang senyap sepi dan RELA hati merestui seorang RAKYAT NEGARA KOMUNIS CHINA menjadi ketua kepada PROTON yang majoriti pekerjanya adalah Melayu. Oh Melayu, DAP itu bukan Komunis, DAP itu ada Melayu Islam ahlinya dan DAP itu lagu rasmi dan bahasa mesyuarat agungnya adalah berbahasa Melayu ! Jangan kita sokong pihak dan parti yang merestui KOMUNIS sebenar semakin mendapat tempat istimewa di Malaysia ini. "


Fendi Ahmad

1 Oktober 2017

1 Oktober 2017 Bukti Malaysia "Amat" Boleh Di Bawah PM Najib Razak

1) 1 Oktober 2017 bermulanya pentadbiran Proton Holdings di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru yang merupakan seorang warganegara China bernama Li Chunrong.


2) Mei 2017, syarikat daripada China; Zhejiang Geely dengan "restu" Kerajaan Malaysia membeli 49.90% pemilikan Proton daripada DRB Hicom. Ketika itu Kerajaan bermatian mengatakan Proton masih milik Malaysia kerana 50.1% pemilikan masih di tangan syarikat tempatan iaitu DRB Hicom. 


3) Selepas syarikat penerbangan nasional MAS diketuai pertama kali oleh orang asing (Christoph Mueller: 2015 dan seterusnya Peter Bellew: 2016 hingga kini), Proton kini menjadi bukti "rupa-rupanya" hampir 32 juta rakyat Malaysia semuanya tidak berkelayakan untuk mengetuai syarikat tersebut walaupun selepas berusia lebih 30 tahun dan pernah mencatat keuntungan beratus juta dan mempunyai rezab tunai berbilion Ringgit sebelum mula "terabai" di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. 


4) 1 Oktober 2017 juga adalah penamat kepada Malaysia selaku tuan rumah kepada perlumbaan Formula 1 (F1) yang bermula di Litar Sepang pada tahun 1999. Usaha keras dilakukan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan hak penganjuran F1. Malaysia adalah negara Asia ke dua selepas Jepun diberikan kepercayaan menganjurkan F1.


5) F1 adalah acara sukan ke TIGA paling mendapat perhatian DUNIA selepas Sukan Olimpik dan Piala Dunia (bola sepak). Kerajaan pada akhir 1990an "membawa" F1 ke Malaysia bukan berniat untuk untung di atas kertas sahaja tetapi lebih kepada tujuan mempromosikan nama Malaysia di pentas dunia. Satu pendekatan strategik serampang dua mata.