1) Inilah Emak saya. Namanya Asmah Binti Hassan. Tapi dikalangan saudara mara dan orang kampung, jangan ditanya nama Asmah. Nama panggilan Emak saya ialah Mak Cik Nab. Sesiapapun akan ingat nama Emak ialah Zainab.
2) Emak saya usianya tahun ini 65 tahun. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana Mak Cib Nab ini masih sehat dan serba-serbi baik untuk seorang yang sudah "6 series." Bukan mahu memuji Emak sendiri, saya rasa Emak kelihatan 5-7 tahun lebih muda daripada usianya.
3) Emak orangnya tidak banyak cakap. Sepanjang saya membesar, urusan marah, belasah dan "membebel" adalah sepenuhnya dijaga oleh Encik (ayah). Kalau Encik belasah saya satu badan dengan tali pinggang kulitnya, Emak hanya membatu sambil tengok TV.
4) Emak saya tidak berpendidikan tinggi. Sekolah menengahpun dia tidak pernah jejak. Secara adil, saya rasa bertuah ada Emak kerana dia jenis tidak banyak cakap, tidak akan menunjuk pandai dan lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Saya bangga kerana Emak saya memang tidak suka bercerita pasal orang lain. Dia bukan tipikal "makcik-makcik" kampung.
5) Emak tidak pernah lupa menyediakan sarapan untuk Andi si bongsu dia ini sepanjang saya bersekolah. Sehingga ke hari ini saya berasa amat bertuah kerana Emak masih kuat dan sehat, masakannya sentiasa menemani saya. Terima kasih Tuhan.
No comments:
Post a Comment