30/06/2017

Kahwin & Politik: Soalan-Soalan Hari Raya Tangga Tertinggi


1) Bila lagi ni ? (Bila apa ?)


2) Bilalah dapat makan nasi minyak ni ? (Nak saya belanja makan ke ?)


3) Dah ada ke belum ? (Ada apa ni ?)


4) Pilihan Raya bila ni ? (Silalah tanya PM Najib)


5) Dah jadi orang kuat Dr. Mahathir ? (Saya bukan bodyguardlah)


Inilah 5 soalan yang paling kerap ditanya kepada saya sepanjang minggu pertama Raya tahun ini.


#Kahwin

#Politik

#GambarsebelumsolatJumaat

Bujang Terlajak Wajib Anti-Kleptokrat

" Ada sekitar 600 000 rakyat Malaysia yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun masih bujang dan tidak berkahwin (termasuk yang bertaraf duda dan janda). Dalam 31 juta rakyat, kira-kira 100 000 yang berusia di atas 60 tahun kekal bertaraf bujang dan tidak pernah berumahtangga. 700 000 rakyat ini adalah golongan berkerjaya serta memiliki taraf pendidikan yang memuaskan. Majoriti besar mereka adalah bakal pengundi di PRU 14 nanti. Mereka ini bergantung hidup sepenuhnya kepada diri sendiri, pastilah mereka TAKUT dan GUSAR dengan KETIDAKTENTUAN Malaysia hari ini di bawah rejim yang dunia panggil sebagai kleptokrat: Kerajaan yang pemimpinnya mencuri, menyamun, merompak duit rakyat ! "


Fendi Ahmad 

30 Jun 2017

29/06/2017

Restoran Makan Ditutup Bukti Ekonomi Kuat ?

" 11 cawangan Kenny Rogers Roaster terpaksa ditutup dalam tempoh setahun ini kerana mengalami kerugian berterusan. Jumlah cawangan yang masih beroperasi ialah sebanyak 84. Kopitiam Old Town White Coffee yang pernah mencatat jumlah cawangan tertinggi dalam sejarah operasinya sebanyak 246 pada tahun 2014 kini menurun kepada 234 cawangan. Ini antara contoh kecil yang menunjukkan EKONOMI Malaysia adalah cukup kuat, hebat dan tiada sebarang masalah seperti yang sentiasa diumumkan oleh bapak-bapak Menteri era Transformasi Nasional 2050 (TN 50). "


Fendi Ahmad 

29 Jun 2017

PM Najib Berlibur Raya di Bali: Bilik Raja Salman Jadi Pilihan

1) Menurut laporan akhbar Kompas di Indonesia, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba untuk "berliburan" di Pulau Bali pada Hari Raya Aidilfitri ke dua, Isnin, 26 Jun 2017.


2) Walaupun ianya bukan lawatan rasmi, rombongan melancong Najib dan isterinya Rosmah Mansor disambut ketibaannya oleh Gabenor Bali  di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.


3) PM Najib menginap di Hotel St. Regis Nusa Dua. Beliau dan isteri memilih bilik Presidential Suites yang menempatkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud sewaktu rombongan besar Arab Saudi ke Pulau Bali beberapa bulan lepas.


4) Media utama negara seperti RTM, TV3, Utusan, The Star dan banyak lagi nampaknya langsung tidak membuat liputan tentang "kehilangan" Perdana Menteri di awal Hari Raya. Liputan untuk PM secara besar-besaran diberikan sempena Rumah Terbuka Hari Raya PM dan Kabinet pada Hari Raya Pertama yang dihebahkan mendapat sambutan lebih 70000 pengunjung walaupun angka sebenar dikatakan tidak sampai 10000 orang yang hadir di Seri Perdana.


5) Pelik juga kerana PM sebagai pemimpin nombor satu negara yang beragama Islam "tergesa-gesa" melancong pada hari ke 2 Aidilfitri disambut. Malaysia oh Malaysia ! Yang pasti tidak lama lagi akan dihebahkan secara besar-besaran PM sambut Hari Raya bersama orang kampung di Pekan selepas beliau puas bercuti mewah. Cuti-cuti Hari Raya tidak boleh beritahu orang kampung !

28/06/2017

DAP Akan Bawa Bencana Pada Malaysia ?

1) Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad tiba-tiba keluar kenyataan bahawa Kerajaan pimpinan Lim Kit Siang dan DAP akan bawa BENCANA kepada Malaysia.


2) Orang ramai sedang mood Hari Raya tetapi pasukan PM Najib Razak nampaknya sebok mengeluar kenyataan tidak masuk akal untuk diberikan liputan utama di TV3, RTM, Utusan dan Berita Harian sempena rakyat sedang bercuti dan berehat panjang.


3) Usaha membodohkan rakyat sedang berlangsung dengan rancak. ADALAH SESUATU YANG MUSTAHIL untuk mengatakan DAP akan mengetuai Kerajaan. Kit Siang akan jadi PM ?


4) Parlimen Malaysia dibentuk oleh 222 kerusi. Majoriti mudah sebanyak 112 kerusi Parlimen diperlukan untuk membentuk Kerajaan Malaysia. DAP daripada dahulu sehinggalah ke Pilihan Raya Umum (PRU) 14 nanti tidak pernah bertanding melebihi 70 kerusi dan tidak akan memiliki lebih daripada 50 kerusi. Bagaimanakah jika hanya menang 50 kerusi sekalipun di seluruh Malaysia, DAP boleh mengetuai Kerajaan ? Matematik apakah yang Setiausaha Akhbar PM itu gunakan ?


5) Di peringkat negeri, DAP sudah mengetuai kerajaan Pulau Pinang sejak tahun 2008. Selama 9 tahun ini, adalah Pulau Pinang berada dalam keadaan BENCANA ? Selangor yang diketuai PKR juga memiliki DAP sebagai rakan gabungan Kerajaan negeri sejak 9 tahun lepas, Selangor juga dalam BENCANA ? Taktik murahan menakutkan rakyat sudah tidak laku lagi di zaman 2017 ini !

26/06/2017

Emak Fendi Ahmad


1) Inilah Emak saya. Namanya Asmah Binti Hassan. Tapi dikalangan saudara mara dan orang kampung, jangan ditanya nama Asmah. Nama panggilan Emak saya ialah Mak Cik Nab. Sesiapapun akan ingat nama Emak ialah Zainab.


2) Emak saya usianya tahun ini 65 tahun. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana Mak Cib Nab ini masih sehat dan serba-serbi baik untuk seorang yang sudah "6 series." Bukan mahu memuji Emak sendiri, saya rasa Emak kelihatan 5-7 tahun lebih muda daripada usianya. 


3) Emak orangnya tidak banyak cakap. Sepanjang saya membesar, urusan marah, belasah dan "membebel" adalah sepenuhnya dijaga oleh Encik (ayah). Kalau Encik belasah saya satu badan dengan tali pinggang kulitnya, Emak hanya membatu sambil tengok TV. 


4) Emak saya tidak berpendidikan tinggi. Sekolah menengahpun dia tidak pernah jejak. Secara adil, saya rasa bertuah ada Emak kerana dia jenis tidak banyak cakap, tidak akan menunjuk pandai dan lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Saya bangga kerana Emak saya memang tidak suka bercerita pasal orang lain. Dia bukan tipikal "makcik-makcik" kampung.


5) Emak tidak pernah lupa menyediakan sarapan untuk Andi si bongsu dia ini sepanjang saya bersekolah. Sehingga ke hari ini saya berasa amat bertuah kerana Emak masih kuat dan sehat, masakannya sentiasa menemani saya. Terima kasih Tuhan.

25/06/2017

Selamat Hari Raya Aidilfitri Daripada Saya Si Budak Kampung


1) Inilah teratak kampung warisan pusaka zaman berzaman di mana saya dibesarkan.


2) Walau di mana saya berada, walau apa terjadi pada diri ini, selamanya kepada satu dunia akan saya katakan "aku ini budak kampung, anak orang kebanyakan, tidak kaya tetapi dibesarkan dengan penuh kasih dan sayang oleh Encik dan Emak."


3) Rumah kampung tingkapnya banyak, udara mengalir sana dan sini, jiwa selalu tenang dan otak yang rungsingpun bisa stabil dengan mudah. Buka sahaja tingkap, hijau sana dan sini. 


4) Kampung Alai di Segamat ini besar kemungkinan ada kaitannya dengan Alai di Melaka. Maklumlah, Segamat dibuka oleh Datuk Bendahara Melaka yang terakhir sebelum Portugis datang menakluk. Maka keturunan orang-orang di Kampung Alai, Segamat ini pastinya berasal daripada penduduk asal di Alai, Melaka (Alai, Melaka terletak di bawah DUN Telok Mas, Parlimen Kota Melaka).


5) Datuk Paduka Tuan yang juga dikenali sebagai Bendahara Tepok melarikan diri dari Melaka ke arah Johor bersama dengan ramai pengikutnya sebaik sahaja Portugis berjaya menamatkan pemerintahan Sultan Mahmud Shah di Melaka. Sampai di tebing sebuah sungai, rombongan pelarian itu berhenti berehat. Datuk Bendahara berkata "Segar amat air sungai ini." Sejak itulah tempat itu mula dikenali sebagai SEGAMAT, sempena pujian Bendahara akan betapa "segar amat" air sungai tersebut. Bendahara terakhir Kesultanan Melaka itu mangkat di Segamat dan dikebumikan di Makam Lubok Batu, kira-kira 2 kilometer sebelum sampai di Bandar Segamat.


#MaafZahirDanBatin

#SegamatJDT

24/06/2017

Jubah dan Iftar Bukan Lambang Melayu

" Bulan Puasa sampai ke garisan penamatnya hari ini. Tahun ini saya berjaya kawal diri daripada buat posting pasal iftar, jubah, jannah, infak dan yang sewaktu dengannya di awal mahupun di pertengahan bulan puasa. Apa yang pasti hari ini adalah hari terakhir kita akan berbuka puasa untuk tahun ini, baju Melayu juga songkok hitam telah bersedia untuk dipakai esok pagi, matlamat menuju syurga adalah sasaran utama hidup kita dan moga segala sedekah dan pemberian ikhlas kita diterima Tuhan Yang Maha Kuasa. Kita ini orang Melayu Malaysia yang beragama Islam, berbanggalah jadi orang Melayu made in Malaysia. "


Fendi Ahmad 

24 Jun 2017

23/06/2017

Biar 1001 Kontroversi: Isa Samad Istimewa Di Mata PM Najib

1) Mohd. Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 1982 sewaktu baru berusia 33 tahun. Dia kekal di jawatan itu selama 22 tahun sehingga tahun 2004.


2) Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memilih untuk menukar jawatan Menteri Besar kepada muka baru seorang tokoh korporat - Mohammad Hassan sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2004. Isa Samad beralih bertanding di Parlimen Jempol dan dilantik ke jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.


3) Karier politik Isa Samad seolah "TAMAT" pada tahun 2005 apabila didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO atas tuduhan politik wang untuk memenangi jawatan Naib Presiden UMNO di Pemilihan Agong UMNO 2004. Isa meletakkan jawatan Menteri pada Oktober, 2005.


4) Mohd. Najib Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada April, 2009 telah memilih Isa mewakili UMNO-BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang sewaktu Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada Oktober, 2009. Isa dapat "NYAWA BARU !"


5) PRU 2013, Isa bertanding kembali di Parlimen Jempol dan menang. PM Najib pilih Isa pegang jawatan Pengerusi FELDA dan juga Pengerusi Felda Global Ventures (FGV). Felda dilanda kontroversi di bawah Isa, jawatannya diganti dengan orang lain. Isa tetap "dijaga" baik oleh PM. Isa kini dipilih PM Najib untuk jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula. 

Samanlah Wall Street Journal

" Bulan puasa 2015 PM Najib kata mahu saman Wall Street Journal kerana dikata membuat cerita bohong tentang dia menggunakan RM2.6 Bilion duit berasal daripada 1MDB yang ditubuh untuk memberikan kekayaan kepada negara tetapi masuk pula ke akaun Ambank beliau. Bulan puasa 2017 akan berakhir, mana perginya gertakan saman PM Najib itu? Dua tahun tidak cukup untuk menghantar surat saman ke Amerika Syarikat ? Yang berlaku sebaliknya ialah pihak Jabatan Kehakiman Amerika pula yang mendakwa sekitar RM19 Bilion duit 1MDB telah diselewengkan secara haram oleh konco-konco berkaitan Malaysian Official 01 (MO 01) dengan menjadikan pasaran kewangan Amerika Syarikat sebagai tempat penggubahan (perbelanjaan) wang haram itu dalam pelbagai bentuk. "


Fendi Ahmad 

23 Jun 2017

21/06/2017

Rugi FOREX Rugi 1MDB: Mana Lebih Najis ?

" Apa motif Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat isu kerugian dalam perdagangan mata wang asing (FOREX) oleh Bank Negara yang berlaku lebih 25 tahun yang lalu ? Kenapa baru kini dan secara amat tergesa-gesa ? Baiklah, jalankan sahaja dengan telus dan ahli-ahli Suruhanjaya perlulah seimbang dan bebas tarafnya. Apa yang lebih mendesak dan terkini ialah KEWAJIBAN juga untuk ditubuhkan Suruhanjaya Di Raja  bagi menyiasat segala dakwaan  ROMPAKAN, KECURIAN dan PENIPUAN berkaitan 1MDB yang telah memalukan Malaysia di mata dunia. 1MDB adalah satu rompakan BERBILION RINGGIT harta rakyat Malaysia oleh Kerajaan (kleptokrat) yang semua siasatan di Malaysia telah dirahsiakan terus manakala isu FOREX adalah satu kerugian dalam pasaran yang sah dengan semuanya telah dimaklumkan kepada rakyat tanpa berselindung lebih 20 tahun lepas. Mana satu lebih berbau NAJIS ??? "


Fendi Ahmad 

21 Jun 2017

20/06/2017

Menteri Kewangan Tidak Tahu Jabatan Kastam Mahu Kenakan GST Untuk Bihun dan Kentang ?

1) Merujuk kepada "posting" saya pagi semalam (Isnin, 19 Jun 2017) berkenaan dengan pengenalan GST ke atas kira-kira 60 barangan makanan seperti bihun, kuey teow, minyak kelapa, anggur, teh, kentang, kacang panjang dan kopi bermula 1 Julai 2017, ianya BUKANLAH satu berita bohong.


2) Pengarah Jabatan Kastam Di Raja Malaysia sendiri mengesahkan kebenarannya apabila menyatakan bahawa perkara tersebut telah diwartakan untuk dilaksanakan melalui Perintah Cukai GST 2017 bertarikh 6 Jun 2017.


3) Tidak sampai satu hari berita perlaksanaan warta Kerajaan itu oleh media, ianya DIBATALKAN. Pengarah Jabatan Kastam sendiri yang pada awalnya mengesahkannya terpaksa pula mengumumkan ianya terbatal.


4) Menteri Kewangan ke 2 Johari Abdul Ghani lewat semalam membuat kenyataan bahawa sebarang pengenalan GST ke atas apa jua barangan perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan dan Kabinet dahulu berkuat kuasa serta merta.


5) Kita bersyukur dengan pembatalan "ekspres" itu tetapi berasa seperti pelik bagaimana Kementerian Kewangan yang ada DUA Menteri dan DUA Timbalan Menteri boleh tidak sedar atau tidak diberitahu langsung tentang WARTA Kerajaan yang disahkan pada 6 Jun oleh Jabatan Kastam yang merupakan entiti penting di bawah seliaan mereka. Adakah Malaysia ini sedang ditadbir secara "remote control" oleh Menteri-Menteri yang berjumlah kira-kira 30 orang itu ? Ini amat bahaya, "flip-flop" dalam membuat keputusan tidak mencerminkan satu kebijakan dalam mentadbir. 

19/06/2017

HADIAH HARI RAYA UNTUK RAKYAT MALAYSIA - Bihun, Kuey Teow, Minyak Kelapa Kena GST

1) Kerajaan umumkan bermula 1 Julai 2017 iaitu tepat seminggu Hari Raya Aidilfitri disambut, lebih kurang 60 jenis barangan makanan akan dikenakan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST). 


2) Sewaktu GST mula dikenakan pada 1 April 2015, Kerajaan meletakkan majoriti besar barangan makanan sebagai bebas GST, tiada GST. Itu janji yang dibuat sewaktu pembentangan Bajet 2014 sewaktu GST dibentangkan secara rasmi di Parlimen selepas Barisan Nasional (BN) kembali memerintah sewaktu PRU 2013.


3) Antara barangan makanan yang akan mula dikenakan GST bermula Julai ini ialah:


- Bihun

- Kuey Teow

- Mi Laksa

- Minyak Kelapa

- Anggur

- Ceri

- Beri

- Avokado

- Teh

- Kopi

- Rempah Ratus

- Kacang Panjang

- Kentang


4) Ketua Pengarah Kastam, Subromaniam Tholasy dalam mempertahankan tindakan itu mengatakan GST baru itu hanya dikenakan pada barangan makanan yang JARANG DIGUNAKAN orang ramai. Tidak pasti sama ada alasan Kerajaan ini boleh buat kita tersenyum, ketawa, masam muka atau terus tiada emosi tidak tahu apa perlu dikatakan ! Takut nanti ada menteri akan kata: Makan nasi sahaja ! Mi ada GST.


5) Yang pasti, para peniaga kantin sekolah dan juga kedai sarapan pagi seluruh Malaysia sudah boleh mula merancang untuk naikkan harga bihun goreng, teh o, teh tarik, kopi panas dan kuey teow goreng mungkin 10 sen, 20 sen, 50 sen ataupun RM1 setiap satu. 


Tahniah Malaysia !


Terima Kasih PM !

18/06/2017

Puad Zarkashi Yang Pelik

" Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dr. Puad Zarkashi mengatakan bahawa laporan saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat tentang penyelewengan duit 1MDB bernilai kira-kira RM19 000 000 000 (19 bilion !) oleh individu-individu yang berkaitan dengan dan juga Malaysian Official Number One (MO 01) sendiri adalah dikarang oleh rakyat Malaysia yang mahu menjatuhkan Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak. Untuk rekod, Dr. Puad adalah bekas Timbalan Menteri Pelajaran untuk tempoh 2008-2013 sebelum TEWAS mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat, Johor di PRU 2013 kepada calon PKR. Walaubagaimanapun, beliau mendapat nyawa baru apabila dilantik PM menjadi Ketua Pengarah JASA yang memang terkenal sebagai satu Jabatan yang tugas utamanya adalah sebagai tukang propaganda khas mempertahankan PM dan UMNO-BN. Itulah kisah si Puad, anak Jawa Batu Pahat serba sedikit. "


Fendi Ahmad 

18 Jun 2017

Kleptokrat: Kerajaan Yang Mencuri

" Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad kata 1MDB tidak ada kena mengena dengan mereka. Ini satu lagi benda HAIRAN BIN AJAIB di Malaysia apabila pihak berwajib berkaitan rasuah dan salahguna kuasa di Malaysia langsung cuci tangan daripada ambil tahu isu berkaitan wang curi daripada 1MDB yang menurut Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat melibatkan ROMPAKAN mencecah USD$4.5 Bilion oleh MO 01 dan konco-konconya. Nilainya bukan setakat 17 bilion seperti yang saya nyatakan semalam tetapi sekitar RM19 000 000 000.00. 19 bilion ! Mereka menggunakan pasaran kewangan Amerika Syarikat untuk membersihkan duit curi itu, penggubahan wang haram. Inilah yang disebut sebagai kleptokrat, kerajaan yang mencuri harta rakyat negaranya sendiri. "


Fendi Ahmad 

18 Jun 2017

Bersatu Untuk Malaysia

" Jumaat saya demam. Jam 12 malam Sabtu saya ke sana ke mari cari klinik 24 jam. Sabtu jam 11 pagi saya pergi ke DUN Duyong, Melaka bantu anak buah buat program kacau bubur kacang durian untuk edaran ikhlas sempena Ramadhan di Seri Duyong. Selepas berbuka beramai-ramai di DUN Telok Mas, tergerak hati pula untuk turut serta dengan pasukan konvoi Sinar Aidilfitri menyampai bantuan Raya di sekitar Jasin dan Alor Gajah. Pulang ke rumah sekitar jam 2 pagi. Hari ini hari Ahad, esok sudah bekerja. Tapi jiwa saya rasa bersalah kerana minggu ini belum berbuka puasa dengan Emak dan Encik (ayah). Baiklah, demi mereka saya tetap akan belik ke Johor supaya dapat berbuka sama malam ini. Pagi esok balik Melaka semula. Semoga perjuangan, cita-cita dan niat baik ini sentiasa mendapat restu terbaik daripada Emak dan Encik. "


Fendi Ahmad 

18 Jun 2017


#BersatuUntukMalaysia

17/06/2017

RM17 Bilion Disamun M01 dan Orang-Orangnya ?

" Puasa sudah masuk hari ke 22, minggu depan sampailah Hari Raya. Malam tadi saya terpaksa pergi klinik jam 12 malam. Sungguh indah nikmat kesihatan apalagi di bulan Puasa. Berkenaan dengan pendedahan terbaru Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) tentang nilai keseluruhan wang 1MDB yang telah DIROMPAK, DISAMUN dan DIJOLI oleh Malaysian Official Number One (M01) dan mereka yang berkaitan rapat dengannya rupanya mencecah angka RM 17 000 000 000.00. Berapa ramailah pakcik dan makcik yang tahu membacanya ? 17 Bilion ! Mungkin saya demam mengejut kerana membaca laporan tersebut apalagi apabila ada menyebut duit rakyat Malaysia itu turut diguna untuk membeli loket dan barang kemas bernilai JUTAAN Ringgit untuk isteri M01 itu ! Sedarlah wahai Malaysia ! Sedarlah ! Berubah ! "


Fendi Ahmad 

17 Jun 2017

15/06/2017

Isteri PM Singapura Amat Berpengaruh ?

" Isteri Perdana Menteri Singapura, Madam Ho Ching disifatkan sebagai wanita paling berkuasa di negaranya. Ketua Temasek Holdings itu cukup berpengaruh di Singapura. Ahli politik Malaysia dan tokoh korporat secara umumnya akan menemui Ho Ching sebagai menghormati kedudukannya dalam dana pelaburan kekayaan Singapura itu (versi Khazanah Holdings bagi Malaysia). Sengketa terbaru yang tidak disangka menyaksikan dua adik Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendakwa abang mereka adalah seorang ketua yang akan menggunakan apa sahaja organ negara untuk memberikan tekanan bagi sesuatu supaya berpihak padanya. Anak lelaki ke dua Lee Kuan Yew iaitu Lee Shien Yang dan anak tunggal perempuannya Dr. Lee Wei Ling seperti memerli isteri Hsien Loong apabila mengatakan ibu mereka tidak pernah menuntut gelaran wanita pertama dan memberi arahan kepada pegawai tinggi kerajaan sewaktu bergelar isteri Perdana Menteri Singapura. "
Fendi Ahmad
15 Jun 2017

14/06/2017

PM STRES ?

" Ada satu kesah yang tidak didedahkan mengatakan kajian sulit dalaman Barisan Nasional (BN) menunjukkan mereka hanya akan menang di TIGA negeri sahaja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan didakan dalam masa setahun ini. BN hanya akan menang di Sarawak, Terengganu dan Pahang. Sementara itu pada 8 Jun 2017, Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak secara tidak langsung telah mengatakan beliau kini berada dalam keadaan TERTEKAN (stres) dan tidak cukup tidur. Selepas menjadi PM selama 8 tahun 2 bulan kenapa baru kini PM kita berada dalam keadaan stres sehingga tidak cukup tidur ? "
Fendi Ahmad
14 Jun 2017

Datuk Haji Abdul Latif Bandi & Kes Rasuah BERJUTA RM

1) Abdul Latif Bandi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Johor. Kes rasuah beliau mula muncul pada 1 Mac 2017 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal rasuah hartanah di Johor. EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu ditahan pada 9 April sebelum meletakkan jawatan EXCO pada 20 April. Untuk rekod, beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Mersing.
2) 19 April, Abd Latif didakwa bersubahat dengan seorang perunding hartanah untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek perumahan.
3) 33 pertuduhan rasuah terhadap Abd Latif Bandi dan perunding hartanah tersebut melibatkan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta.
4) Hari ini (14 Jun 2017), Abd Latif, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 21 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan nilai RM35.78 juta.
5) Abdul Latif, 51, berdepan 13 pertuduhan melibatkan nilai RM15.79 juta, manakala anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 25, didakwa dengan 4 pertuduhan dengan nilai RM735,000, sementara perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, didakwa dengan 4 pertuduhan bernilai RM17.455 juta.

13/06/2017

" Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke 8 "

1) Penasihat DAP, Lim Kit Siang akhirnya jelas mengatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri (PM) bagi Pakatan Harapan sekiranya dipilih rakyat Malaysia untuk membentuk Kerajaan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang akan berlangsung bila-bila sahaja dalam tempoh satu tahun ini.
2) Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Gelang Patah, Johor itu menjelaskan bahawa Anwar tidak akan menjadi PM Malaysia ke 7 selepas Mohd. Najib Abdul Razak. Anwar hanya layak untuk menjadi PM Malaysia ke 8.
3) Menurut Kit Siang - "Disebabkan Anwar berada dalam penjara dan hilang hak memegang jawatan awam selama lima tahun dari tempoh pembebasannya, beliau hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan dan tidak ketujuh. "
4) Penjelasan Kit Siang selaku anggota kanan Pakatan Harapan menunjukkan bahawa gabungan itu semakin menemui rentaknya dalam mencapai kata sepakat berkenaan calon yang akan diketengahkan sebagai watak hadapan mereka untuk ditampilkan kepada rakyat sebagai PENGGANTI Perdana Menteri sedia ada jika diberi mandat kelak.
5) Perdana Menteri Malaysia ke 7 nanti mungkin akan menjadi PM terpendek dalam sejarah Malaysia (tidak lebih 5 tahun) tetapi peranannya adalah cukup penting dalam mengembalikan Malaysia ke landasan yang sepatutnya, sebuah negara yang pernah digelar Harimau Asia pada era 1990an dan sebuah negara yang 20 tahun lepas semua menjangkakan ia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 tetapi tanpa disangka menjadi tempang dan layu disebalik kata-kata 'Islam Hadhari' dan 'transformasi' itu dan ini.

12/06/2017

Nazri Aziz Kebal ?

" Tidakkah kita terfikir bahawa Nazri Aziz adalah Menteri yang paling berani untuk cakap apa sahaja yang dia mahu cakap ? Nazri seperti ada lesen besar untuk hentam siapa sahaja sama ada orang Kerajaan apalagi yang bukan Kerajaan. Dia juga boleh serang siapa sahaja sama ada orang UMNO, komponen Barisan Nasional (BN) apalagi sesiapa di pihak lawan. Perdana Menteri Najib Razak yang juga Presiden UMNO seperti tidak berani SENTUH setengah inci sekalipun Menteri bernama Nazri Aziz itu walau mulut Nazri boleh menyebabkan persahabatan sesama UMNO / BN berkocak. Seperti ada sesuatu yang menjadi rahsia mereka berdua sahaja yang menyebabkan Nazri mempunyai lesen besar untuk cakap apa sahaja yang dia mahu kerana dia tahu dia tidak akan disentuh kerana jika disentuh dia sendiri akan menyentuh dengan lebih kasar. Hmmmm .... "


Fendi Ahmad 

12 Jun 2017

11/06/2017

Rasuah Tutup Rasuah ?

" Seorang pegawai SPRM ditangkap Polis kerana menerima duit RM3000 daripada seorang Inspektor di Seberang Prai, Pulau Pinang. Dengarnya, penguasa SPRM berusia 38 tahun itu meminta 'bayaran' setiap bulan berjumlah RM3000 daripada Inspektor itu sebagai balasan untuk tidak didakwa. Adakah ini hanya isu memeras ugut biasa atau memeras ugut untuk tidak mendakwa salah laku Inspektor itu yang bertugas di bahagian berkaitan pencegahan kongsi gelap, judi dan maksiat ? Rasuah untuk menutup pengambilan rasuah ? Mudahnya mahu jadi kaya dengan duit haram dan amanah  DIJAMBANKAN ! "


Fendi Ahmad 

11 Jun 2017

Mahathir Mohamad & Anwar Ibrahim

" Pilihan Raya Umum 1995 menampilkan UMNO - Barisan Nasional (BN) pertama kalinya diketuai gandingan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Prestasi UMNO - BN cukup cemerlang ketika itu. Johor sebagai contoh mencatatkan kemenangan 100% untuk BN. Hanya Kelantan sahaja yang dikuasai PAS. Sabah yang sebelum itu tidak berapa memihak BN telah mula menjadi kubunya. 22 tahun berlalu, dua nama besar ini masih relevan dengan politik Malaysia dan gabungan dua orang utara ini TERAMATLAH DITAKUTI sesetengah pihak yang sedang cuba meneruskan kuasa yang semakin hampir akan hilang.


Fendi Ahmad 

11 Jun 2017



09/06/2017

" Cukai " Bazar Ramadhan ?

1) Nasib baik tiada GST dikenakan untuk pembelian di bazar Ramadhan. 


2) Harga makanan di bazar tahun ini nampaknya seperti naik. Bagi penjual lauk-pauk dengarnya ramai mengeluh jualan tidak sekencang tahun-tahun sebelum ini.


3) Peniaga bazar tiada pilihan. Mereka dapat bahan mentahpun semuanya naik harga. Setahun dua ini harga barang naiknya agak melampau. Entah mana silapnya. 


4) Ikut teori ekonomi, harga naik ada dua sebab. Yang pertama kerana permintaan pengguna naik mendadak melebihi yang ditawarkan. Sebab kedua kerana faktor kos yang meningkat. 


5) Takut pula tahun depan akan "dikenalkan" cukai bazar Ramadhan untuk peniaga bazar. Manalah tahu, RM100 sebulan pon boleh jana lebih pendapatan kepada Kerajaan. Di sekitar Kuala Lumpur sahaja dikatakan ada lebih 100 tapak bazar ! Kalau setiap tapak ada 100 peniaga, 100 tapak maknanya ada 10000 peniaga. RM1 Juta dapat dikutip. Demi Negaraku dan akan dipulangkan kepada rakyat. Itu pastinya jawapan standard Menteri Transformasi Nasional 50 (TN50).

Cukai Pelancongan Demi NEGARAKU ?

" Dulu era 1990an kita selalu dengar kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Belilah Barangan Buatan Malaysia. Masuk era Pak Lah jadi PM rasanya dua kempen itu telah jadi ala-ala suam sahaja. Sejak Tok Jib jadi PM pula rasanya macam terus senyap sepi. Bermula 1 Julai 2017, Kerajaan akan perkenalkan Cukai Pelancongan pula ke atas penginapan di hotel, rumah tumpangan dan motel yang berdaftar. Kadarnya adalah di antara RM2.50 sehingga RM20 bagi setiap malam penginapan. Kerajaan menjangkakan akan dapat mengutip sekitar RM650 Juta setahun daripada perlaksanaan Cukai Pelancongan itu. Kasihan juga kepada rakyat yang mahu menyahut 'seruan' Cuti-Cuti Malaysia kerana sudahlah setiap bilik hotel mengenakan 6% GST dan majoriti besar pengusaha mengenakan 10% bayaran perkhidmatan, ditambah pula lagi dengan Cukai Pelancongan bermula 1 Julai 2017 ini. Senang sungguh jadi Kerajaan era Transformasi Nasional 50 (TN50) ini, tambah sahaja cukai baru atas alasan demi NEGARAKU dan ianya akan kembali kepada rakyat. "
Fendi Ahmad
9 Jun 2017

05/06/2017

Sudah Lupa Sedapnya Sotong Goreng ?


1) Disember 2016 saya "popularkan" sotong di FB kerana harganya sekitar RM30 sekilo. Alasan utama pasaran ialah musim tengkujuh.


2) Harga tersebut berterusan hingga ke sambutan Tahun Baru Cina 2017. Sekitar Mac dan April, harga sotong putih ini menurun ke kadar sekitar RM17 - RM19 sekilogram. 


3) Bulan Ramadhan dan terus menjelang ketibaan Hari Raya Puasa nampaknya harga sotong melonjak semula ke paras RM25 sekilogram.


4) Pada kadar purata RM19 - RM22 sekilogram, sotong juga bukan lagi satu makanan "biasa-biasa" untuk rakyat kebanyakan. Senang cakap, makanan laut memang "semakin jauh" daripada meja-meja makan anak Malaysia. Cik Ayam suntik pilihan utama kerana itulah yang murah dan kena dengn tekak pada setiap masa.


5) Teringat pula zaman sekolah dahulu kita diajar kepentingan mineral-mineral yang datang daripada memakan makanan laut. Makanan seimbang, zat-zat pelbagai sumber mungkin hanya "di dalam buku teks" semata.

04/06/2017

Udang Saiz Sederhana Sudah Dekat RM50 Sekilo

1) Apalah nasib anak bangsa, anak Malaysia era Transformasi Nasional (TN50). Mahu makan udang kena berfikir 2.6 bilion kali.


2) Entah bila rumah ada "masuk" udang saiz sederhana ? Duit RM50 baru boleh dapat sekilo udang. Kalau ada 5-6 ahli dalam rumah, dapatlah seorang dalam dua ekor sahaja.



3) Udang saiz kecilpun entah bila akhir "masuk" rumah kebanyakan orang-orang biasa. Maklumlah harganyapun sudah hampir RM30 sekilo. 


4) Udang sudah jadi makanan terlebih mewah. Kalau era 1990an dulu, udang saiz kecil boleh dianggap makanan biasa sahaja tetapi sekarang tidak semua mampu makan udang saiz kecil.


5) Suka ataupun tidak maka Cik AYAM terus menjadi pilihan hati satu Malaysia. "Ayam suntik" siang dan malam jadi pelengkap hidup warga TN50 kerana ayam organik tidak mampu dibeli kebanyakan kita. Malaysia oh Malaysia, 8 tahun 2 bulan di bawah pentadbiran penuh TRANSFORMASI Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

03/06/2017

Najib Razak: Taat dan Setia Resepi Berjaya

" Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak hari ini (3 Jun 2017) meminta umat Islam Malaysia supaya amalkan sifat wala' iaitu sentiasa TAAT kepada pemimpin untuk berjaya. Najib mengambil contoh kejayaan umat Islam di zaman Nabi Muhammad yang berjaya menewaskan musuh yang lebih besar jumlahnya kerana mengamalkan sifat TAAT DAN SETIA kepada kepimpinan Nabi Muhammad. Apa yang Najib katakan kepada masyarakat di sebuah kampung di Pekan itu tidaklah salah 100% tetapi dalam keadaan dirinya dihantui pelbagai skandal kepercayaan dan ditambah dengan beliau memegang jawatan Perdana Menteri dengan sokongan hanya 48% pengundi di PRU 2013, wajarkah beliau menyamakan konsep TAAT dan SETIA kepadanya seperti TAAT dan SETIA kepada Nabi Muhammad ? "


Fendi Ahmad 

3 Jun 2017

Peguam Jadi Pendakwa Anwar Dibayar Najib ?

" Peguam Tan Sri Shafee Abdullah dibayar RM1000 oleh Kerajaan untuk menjadi Ketua Pendakwaraya dalam kes rayuan oleh pihak pendakwaraya dalam kes liwat 2 melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini disahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang menjaga hal ehwal undang-undang (kini Datuk Seri Azalina Othman Said) pada 11 Mac 2015. Dakwaan terkini dengan bukti transaksi akaun mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak telah menyalurkan duit berjumlah RM9 500 000 kepada Shafee menggunakan dana curi berasal daripada sebuah syarikat berkaitan 1MDB adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan ! Siasatan perlu dijalankan dengan telus bagi membersihkan nama Perdana Menteri Malaysia. Ianya bukan sahaja melibatkan satu lagi tuduhan salah guna duit curi tetapi turut menyebabkan integriti sistem perundangan negara dipersoal ! "


Fendi Ahmad 

3 Jun 2017

Labis - 2008 vs 2013

" Datuk Chua Tee Yong  ambil kerusi Parlimen Labis, Johor daripada ayahnya Datuk Seri Chua Soi Lek sewaktu PRU 2008. Dia menang selesa tewaskan calon DAP dengan kelebihan 4094 undi. Pada tahun 2013, Tee Yong yang kini seorang Timbalan Menteri kekal di Labis dengan kemenangan tipis, majoriti sekadar 353 undi ! Satu lagi kerusi cukup BAHAYA untuk BN Johor pimpinan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin. Johor bukan lagi kubu Barisan rupanya. 


Fendi Ahmad

2 Jun 2017

02/06/2017

Tebrau - 2008 vs 2013

" Parlimen Tebrau, Johor masih kekal di tangan BN di PRU 2013 dengan kelebihan majoriti 1767 undi. BN menang cukup selesa di PRU 2008, majoriti 14851 undi. Junaman hebat BN hilang 13000 undi dalam tempoh 5 tahun ! BN WAJIB KETAKUTAN untuk hilang Parlimen Tebrau tidak lama lagi kerana Harapan tidak lagi memerlukan 13000 undi beralih kepada meraka tetapi cukuplah sekitar 1800 - 2000 undi baru sahaja. "


Fendi Ahmad 

2 Jun 2017

Pasir Gudang - 2008 vs 2013

" Parlimen Pasir Gudang, Johor menyaksikan calon UMNO-BN menang dengan majoriti besar 17281 undi di PRU 2008. 5 tahun kemudian di PRU 2013, BN hanya berjaya kekal di Pasir Gudang dengan majoriti tidak sampai 1000 undi (975 undi). Tanpa kontroversi 1MDB, tanpa misteri RM2.6 Bilion dan tanpa isu pemilikan hartanah besar-besaran warga negara China di wilayah JDT, BN hilang lebih 15000 pengundinya pada tahun 2013. Bagaimana pula dengan PRU 14 yang akan berlaku bila-bila masa daripada sekarang ? Matematiknya cukup mudah ! "


Fendi Ahmad 

2 Jun 2017

Pulai - 2008 vs 2013

" Datuk Nurjazlan Mohamed, kini Timbalan Menteri Dalam Negeri menang kerusi Parlimen Pulai, Johor di PRU 2008 dengan majoriti cukup besar iaitu 20449 undi. Maklumlah itu kerusi turun-temurun keluarganya yang pernah dipegang ayahnya Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat, Menteri Penerangan era Tun Mahathir). Sewaktu PRU 2013, Nurjazlan menang dengan majoriti merudum kepada 3226 undi. Dalam tempoh 5 tahun, sokongan rakyat Pulai kepada Barisan Nasional jatuh kira-kira 17000 undi ! Sesuatu yang amat tidak mustahil untuk ianya jatuh sekitar 3500 - 5000 undi pada PRU akan datang sekaligus tewaslah Nurjazlan. Segalanya besar kemungkinan boleh terjadi. "


Fendi Ahmad 

2 Jun 2017

Kulai - 2008 vs 2013

" Kuasa rakyat bisa berubah tanpa disangka. Parlimen Kulai, Johor menyaksikan calon Barisan Nasional, Tan Sri Ong Ka Ting menang begitu selesa di PRU 2008 dengan majoriti 11 744 undi. Tiada siapa menyangka calon DAP, Saudari Teo Nie Ching boleh  menakluk Kulai di PRU 2013 dengan majoriti lagi besar iaitu 13 450 undi. Makna mudahnya, ada lebih kurang 25 000 pengundi BN di PRU 2008 telah beralih menyokong DAP pada tahun 2013. Tiada yang mustahil walaupun di dalam senyap ! "


Fendi Ahmad

2 Jun 2017