30/07/2015

Najib "berhentikan" Muhyiddin VS Mahathir "pecat" Anwar

1) Sewaktu Perdana Menteri Dr. Mahathir "pecat" Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dengan perkenan Agong, UMNO dan Barisan Nasional menguasai Parlimen dengan cukup KUAT.
2) Sewaktu Pilihanraya Umum 1995, Barisan Nasional pimpinan Dr. Mahathir menguasai 162 daripada 192 kerusi Parlimen (84%) dengan undi popular sebanyak 65% !
3) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak pula "berhentikan" Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disaat Barisan Nasional pimpinannya adalah cukup LEMAH.
4) Sewaktu Pilihanraya Umum 2013, Barisan Nasional memperoleh 133 daripada 222 (60%) kerusi Parlimen. Memalukan ialah kepimpinan Najib hanya berjaya raih sekitar 48% undi popular sahaja.
5) Dr. Mahathir "pecat" Anwar dikala beliau bertungkus-lumus menerang dan meyakinkan rakyat bahawa pentadbirannya akan buat itu dan ini untuk "melawan" penyangak matawang asing sekaligus pulihkan ekonomi Malaysia dengan cara kita sendiri.
6) Najib "berhentikan" Muhyiddin dikala beliau gagal menerang, gagal meyakinkan, gagal berterus-terang akan kewujudan masalah dan gagal menunjukkan apa akan dibuat untuk menangani masalah ekonomi negara dan apa sebenarnya "masalah" 1MDB itu.
7) Dr. Mahathir "pecat" Anwar apabila beliau yakin Anwar ada terlibat dengan kegiatan tidak bermoral. Separuh rakyat percaya, suku tidak percaya dan suku lagi ambil pendekatan tunggu dan lihat. Selain isu Anwar dipecat dan serangan matawang, Dr. Mahathir tetap disanjung ramai dengan "nama-nama" seperti Sukan Komanwel, Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Formula One, Wawasan 2020, Malaysia Boleh dan berderet lagi.
8) Pilihanraya Umum 1999, walau imej mata lebam Anwar dan "promosi" Maha Zalim dan Maha Firaun yang dibuat pembangkang, Barisan Nasional menang 148 daripada 192 (77%) kerusi Parlimen dengan 57% undi popular. Mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang daripada DAP tewas kepada calon BN apabila pengundi Cina secara majoriti menyokong Dr. Mahathir kerana selamatkan ekonomi negara sewaktu krisis 1997/1998.
9) Najib "berhentikan" Muhyiddin apabila beliau tidak puas hati dengan Timbalannya itu yang mengkritik 1MDB dan selari pula dengan sentimen majoriti rakyat bawahan yang berasa ada "sesuatu" telah berlaku dan cuba disembunyikan. Pada masa yang sama, Najib berdepan dengan sentimen negatif akibat huru-hara perlaksanaan GST, kejatuhan nilai RM dan pelbagai malapetaka yang menimpa negara di bawah pentadbirannya.
10) Soalannya: Mampukah Najib yang "memberhentikan" Muhyiddin mendapat NASIB yang sama sewaktu Pilihanraya Umum akan datang (selewatnya pada tahun 2018) seperti Dr. Mahathir yang "memecat" Anwar sewaktu Pilihanraya Umum 1999 ? Oops lupa pula, Dr. Mahathir bukan anak golongan bangsawan tapi Najib keturunan "orang-orang besar" Pahang Darul Makmur. Itu Najib menang.

No comments:

Post a Comment