31/07/2015

Duit Masuk Akaun Perdana Menteri Hak Peribadi ? 1MDB Bukan Isu Rakyat ?

1) Pertama sekali saya jelaskan bahawa tuduhan ada duit sebanyak RM2.6 Billion dimasukkan ke akaun peribadi PM Mohd. Najib sebelum Pilihanraya Umum 2013 masih berada diperingkat siasatan.
2) Selepas hampir satu bulan Wall Street Journal (WSJ) membuat pendedahan yang entah benar ataupun tidak itu, Perdana Menteri masih belum berniat menyaman WSJ. WSJ pula mempertahankan tindakan tersebut dan tidak kelihatan gentar walau sedikit.
3) Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz kata apa yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri bukan urusan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
4) Tun Faisal yang sejak kecil diberi nama "Tun" oleh bapanya menegaskan bahawa duit yang masuk ke akaun peribadi individu adalah hak peribadi dan rahsia yang tidak perlu diumumkan kepada orang ramai.
5) Untuk rekod, JASA adalah institusi yang diketuai bekas Timbalan Menteri Pelajaran yang tewas sewaktu Pilihanraya Umum 2013, Dr. Puad Zarkashi yang jika kita ingat secara tiba-tiba dua bulan lepas menyindir Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan yang "malas."
6) Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pula berkata isu 1MDB adalah isu komersil dan tidak penting kerana tiada kaitan dengan isu rakyat.
7) Maknanya, Timbalan Menteri ini cuba beritahu kita bahawa kontroversi 1MDB tidak perlu dikesahkan rakyat dan tidak akan membawa implikasi buruk kepada kesejahteraan rakyat Malaysia ini.
8) Kepada Encik Tun Faisal yang bestari: Secara praktikalnya, memang maklumat akaun bank adalah hak peribadi dan salah bagi sesiapa yang membocorkannya. Tetapi, dalam isu ini Perdana Menteri telah dituduh dengan bahan bukti yang cukup padu. Sehingga ke hari ini, Najib tidak menafikan bahawa ada transaksi kira-kira RM2.6 Billion ke akaunnya. Adakah penafian mudah itu perlu mengambil masa lebih satu bulan ? Nilainya pula adalah Billion, suatu nilai yang MUSTAHIL boleh dikumpul dengan pendapatan seorang Perdana Menteri walaupun berkhidmat selama 100 tahun tanpa henti.
9) Maka, rakyat perlu diberitahu dan amat layak untuk dijelaskan tentang KERAHSIAAN tersebut. Perdana Menteri adalah hak rakyat dan dipilih secara demokrasi. Jika tidak betul maka Perdana Menteri perlu dibersihkan daripada tuduhan WSJ itu dengan membuktikan bahawa pembocoran RAHSIA akaun peribadi itu adalah satu penipuan jahat. Mudah bukan ?
10) Kepada YB Tajuddin: 1MDB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan. Jelas sekali ianya milik Kerajaan. Apa saja yang berkaitan Kerajaan bererti ianya ISU RAKYAT dan bukan ISU KOMERSIL semata-mata kerana rakyat memilih Kerajaan. Belum lagi kita bercerita berkenaan bagaimana sentimen negatif 1MDB turut memberi kesan tidak elok persepsi pelabur asing dan juga Ringgit Malaysia.

30/07/2015

Najib "berhentikan" Muhyiddin VS Mahathir "pecat" Anwar

1) Sewaktu Perdana Menteri Dr. Mahathir "pecat" Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dengan perkenan Agong, UMNO dan Barisan Nasional menguasai Parlimen dengan cukup KUAT.
2) Sewaktu Pilihanraya Umum 1995, Barisan Nasional pimpinan Dr. Mahathir menguasai 162 daripada 192 kerusi Parlimen (84%) dengan undi popular sebanyak 65% !
3) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak pula "berhentikan" Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disaat Barisan Nasional pimpinannya adalah cukup LEMAH.
4) Sewaktu Pilihanraya Umum 2013, Barisan Nasional memperoleh 133 daripada 222 (60%) kerusi Parlimen. Memalukan ialah kepimpinan Najib hanya berjaya raih sekitar 48% undi popular sahaja.
5) Dr. Mahathir "pecat" Anwar dikala beliau bertungkus-lumus menerang dan meyakinkan rakyat bahawa pentadbirannya akan buat itu dan ini untuk "melawan" penyangak matawang asing sekaligus pulihkan ekonomi Malaysia dengan cara kita sendiri.
6) Najib "berhentikan" Muhyiddin dikala beliau gagal menerang, gagal meyakinkan, gagal berterus-terang akan kewujudan masalah dan gagal menunjukkan apa akan dibuat untuk menangani masalah ekonomi negara dan apa sebenarnya "masalah" 1MDB itu.
7) Dr. Mahathir "pecat" Anwar apabila beliau yakin Anwar ada terlibat dengan kegiatan tidak bermoral. Separuh rakyat percaya, suku tidak percaya dan suku lagi ambil pendekatan tunggu dan lihat. Selain isu Anwar dipecat dan serangan matawang, Dr. Mahathir tetap disanjung ramai dengan "nama-nama" seperti Sukan Komanwel, Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Formula One, Wawasan 2020, Malaysia Boleh dan berderet lagi.
8) Pilihanraya Umum 1999, walau imej mata lebam Anwar dan "promosi" Maha Zalim dan Maha Firaun yang dibuat pembangkang, Barisan Nasional menang 148 daripada 192 (77%) kerusi Parlimen dengan 57% undi popular. Mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang daripada DAP tewas kepada calon BN apabila pengundi Cina secara majoriti menyokong Dr. Mahathir kerana selamatkan ekonomi negara sewaktu krisis 1997/1998.
9) Najib "berhentikan" Muhyiddin apabila beliau tidak puas hati dengan Timbalannya itu yang mengkritik 1MDB dan selari pula dengan sentimen majoriti rakyat bawahan yang berasa ada "sesuatu" telah berlaku dan cuba disembunyikan. Pada masa yang sama, Najib berdepan dengan sentimen negatif akibat huru-hara perlaksanaan GST, kejatuhan nilai RM dan pelbagai malapetaka yang menimpa negara di bawah pentadbirannya.
10) Soalannya: Mampukah Najib yang "memberhentikan" Muhyiddin mendapat NASIB yang sama sewaktu Pilihanraya Umum akan datang (selewatnya pada tahun 2018) seperti Dr. Mahathir yang "memecat" Anwar sewaktu Pilihanraya Umum 1999 ? Oops lupa pula, Dr. Mahathir bukan anak golongan bangsawan tapi Najib keturunan "orang-orang besar" Pahang Darul Makmur. Itu Najib menang.

29/07/2015

Saya Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin

1) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak (Datuk Seri) buat kesilapan besar "memberhentikan" Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

2) Ketika imej beliau berada ditahap rendah akibat kegagalan menjawab dan menjelaskan isu 1MDB secara telus, ikhlas dan mudah kepada rakyat, "memberhentikan" Muhyiddin telah MERANAPKAN terus kepercayaan juga keyakinan rakyat secara majoritinya kepada beliau.

3) Sewaktu mula-mula pegang jawatan Perdana Menteri, Najib selalu kata "jangan hanya beritahu apa yang saya suka dengar, beritahu apa yang saya tidak suka dengar juga."

4) Sekarang, Najib telah membuktikan kepada seluruh negara bahawa beliau adalah jenis pemimpin yang hanya mahu dengar yang manis dan indah sahaja. Najib sememangnya sudah seperti CACING KEPANASAN ditahap maksimum.

5) Nasihat kepada semua Menteri dan Timbalan Menteri di bawah Kabinet terbaru Najib - Mudahkan kerja anda dengan hanya menggangguk apa sahaja yang Perdana Menteri kata dan sebut sahaja anda menyokongnya dan semua isu yang wujud adalah fitnah belaka.

6) Muhyiddin adalah anak ulamak. Bapanya Mohd. Yassin Muhammad adalah tokoh agama Islam yang cukup dihormati dan berpengaruh di negeri Johor pada suatu ketika dahulu.

7) Darah Bugis dan Jawa yang bersatu di dalam denyut nadi anak Muar ini tidaklah boleh dipandang sepi oleh Najib dan para penyokong sehidup sematinya seperti Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein "si sepupu" dan barisan Menteri Besar / Ketua Menteri "junior" yang ada sekarang ini.

8) Apabila Muhyiddin bersuara secara terus terang pada Ahad malam (26 Julai) di majlis UMNO Cheras bermakna beliau sebagai ahli politik cukup senior sudah membuat satu percaturan TERANCANG yang merupakan satu tembakan padu dengan "skrip" telah dilatih terlebih dahulu.

9) Dalam istilah kewangan, Muhyiddin semestinya sudah membuat satu percaturan "CALCULATED RISKS." Mudah kata, Muhyiddin yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor sebelum mencecah usia 40 tahun di era awal pemerintahan Dr. Mahathir Mohammad (1980an) sebagai Perdana Menteri telah mengambil kira dan menimbang untung juga rugi RISIKO dan seterusnya FAEDAH yang akan didapatinya.

10) Permainan baru bermula ! Muhyiddin masih Timbalan Presiden UMNO. Najib tidak boleh "memberhentikan" Muhyiddin daripada jawatan nombor dua UMNO itu kerana ianya dipilih melalui hak undian ahli UMNO. Walau Ahmad Zahid sudah jadi Timbalan Perdana Menteri buat masa ini, jika Najib "tersungkur" daripada jawatan Perdana Menteri, maka Muhyiddin akan menjadi ketua UMNO sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Besar kemungkinan Ahmad Zahid akan jadi Timbalan Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia.

www.neba2020.blogspot.com

26/07/2015

Skandal Watergate Jatuhkan Presiden Amerika

1) Skandal Watergate didedahkan media bernama The Washington Post pada era 1970an.

2) Mulanya ia dikatakan sebagai satu tuduhan berniat jahat dan tidak benar. Ramai mempertahankan Presiden Richard Nixon.

3) Dua wartawan The Washington Post mendapat maklumat daripada seorang (whistleblower) yang hanya dikenali sebagai "Deep Throat."

4) Skandal Watergate akhirnya menjadi penyebab kepada jatuhnya Presiden Nixon. Beliau tersungkur walaupun dikira antara Presiden Amerika Syarikat yang cukup popular sebaris dengan nama besar seperi Abraham Lincoln dan John F. Kennedy.

5)  Identiti si pemberi maklumat (Deep Throat) kekal menjadi rahsia sehinggalah dia membuat pengakuan pada tahun 2005. Nixon meninggal dunia pada tahun 1994.

23/07/2015

Suatu Pagi di Zaman Mahathir, Anwar, Samy Vellu, Lim Keng Yaik dan Rafidah Aziz

1) Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad buat kita yakin bahawa Malaysia Boleh, Wawasan 2020 impian kita.
2) Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim buat kita yakin akan masa depan negara selepas era Dr. M akan terus bagus dan cemerlang "bertenaga."
3) Menteri Kerjaraya S. Samy Vellu buat kita jadi berdisiplin dalam jenaka, apa dikata ada logiknya walau kita tertawa. Menteri serius tapi kata-katanya selalu buat kita rasa tidak "stress" jadi rakyat Malaysia.
4) Menteri Sumber Utama Dr. Lim Keng Yaik cukup tegas orangnya. Satu negara kenal beliau. Jangan berani tanya soalan "bodoh" atau "kurang bijak" kerana ada kemungkinan di sergah jika tidak kena marah. Banyak ketika unsur jenaka Dr. Lim setaraf dengan Samy Vellu. Mereka berdua memang Menteri yang boleh menghiburkan satu Malaysia.
5) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz yang pernah jadi Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya tidak pernah mengecewakan Malaysia apabila beliau "buka mulut." Orang nombor tiga terpenting Amerika Syarikat, Setiausaha Negara Madelaine Albright pernah "tewas" di lawan cakap oleh Rafidah. Dia umpama wanita besi Malaysia yang hingga kini masih tiada pengganti.

1MDB: Ahmad Maslan CGPA 3.85 Tidak Boleh Goreng Saya Walaupun CGPA Saya 3.80 !

1) Saya tidak mahu cerita sesuatu yang berdasarkan gossip. Itu kerja kaki gossip atau kaki anti si dia atau si anu.
2) 1MDB ambil hutang dengan mendapat "guarantee" Kerajaan adalah sesuatu yang tidak salah. Orang tak paham apa dikata saja yang akan maki hamun Kerajaan sebab beri jaminan pada hutang 1MDB itu.
3) Yang wajib dijawab oleh Menteri Kewangan ataupun orang kanan Kementerian Kewangan seperti Ahmad Maslan dan Chua Tee Yong ialah tentang kadar FAEDAH efektif (effective interest rate) yang perlu dibayar 1MDB adalah melebihi 6%, suatu nilai yang amat tinggi untuk hutang yang dijamin Kerajaan.
4) Selain itu, proses pengumpulan hutang 1MDB menjadikan Goldman Sach sebagai orang tengah atau konsultan. Itupun tidak salah jika kita faham pergerakan jualan bon antarabangsa. Yang ajaib ialah mengapa kadar yuran konsultansinya mencecah Billion Ringgit. Ianya dibayar melalui hutang yang diperoleh. Sebab itu "interest" sebenar ialah lebih 6% bukannya sekitar 4% lebih sedikit seperti yang dihebahkan 1MDB.
5) Sebagai Cikgu "Finance" maka dua isu ini yang membuatkan saya meragui 1MDB. Ahmad Maslan tidak boleh goreng saya !

Menteri Jaga Harga Durian ?

1) Lama dulu sewaktu ajar subjek Ekonomi untuk budak Foundation di MMU antara lawak jenaka "intelek" yang berjaya saya ucapkan ialah berkenaan dengan isu kawalan harga ayam.
2) Betapa tidak boleh hidupnya rakyat Malaysia tanpa ayam sehingga isu harga ayam perlu ditanya dan dijawab Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi (ini kisah sekitar tahun 2005 - 2007).
3) Presiden George W. Bush di Amerika Syarikat mungkin akan "mengamuk" besar kalau wartawan mereka berani tanya isu harga daging lembu atau bulu kambing biri-biri padanya. "Excuse me, I am the President of United States !"
4) Menteri yang jaga hal-ehwal pertanian iaitu Ismail Sabri Ya'kob baru-baru ini ada cerita pasal penetapan harga lantai (floor price) bagi beberapa jenis buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan. Senang kata, peniaga tidak boleh jual pada harga lebih murah daripada harga minima yang telah ditetapkan untuk setiap kilo. Harga maksima (ceiling price) tidak ditetapkan.
5) Walau mungkin niat Datuk Menteri ini adalah untuk menjaga kebajikan petani dan seterusnya peniaga buah-buahan tetapi rasanya ianya bukanlah sesuatu yang terlalu penting buat masa ini. Buah-buahan bukanlah sesuatu yang setaraf penting dengan beras, minyak masak, petrol dan ayam. Biarlah kuasa pasaran (demand & supply) menentukannya. Kalau durian "melambak" sebab tiada sambutan maka biar sajalah peniaga menjualnya walau 50 sen sekilo. Kalau semua benda Pak Menteri mahu jaga harga minima dan maksima siapa pula mahu rangka strategi memperhebat dan membaiki industri pertanian moden Malaysia?

PM & "Kelihatan Bersih"

1) Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sedang alami satu "period" paling mencabar bagi mana-mana PM Malaysia sebelum ini. Bezanya, isu yang mencengkam Najib turut bersifat "masalah" peribadi.
2) Tunku Abdul Rahman ada isu 13 Mei, Tun Razak isu menguatkan Dasar Ekonomi Baru, Tun Hussein dengan keruntuhan Barisan Nasional dan anasir komunis dalam pentadbiran, Tun Dr. Mahathir teramatlah banyak isu-isu kritikal di zamannya (kegawatan ekonomi 1997/1998, pemecatan Anwar Ibrahim, krisis Perlembagaan berkaitan kekebalan Raja-Raja, pengharaman UMNO dan berderet lagi) dan Tun Abdullah dengan "budak tingkat 4" juga mudah tertidurnya.
3) Pemimpin bukan sahaja perlu bersih tetapi wajib "kelihatan bersih."
4) "Kelihatan bersih" ini agak subjektif tetapi memandangkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri bukanlah hak milik kekal kerana warisan keluarga, dinasti perniagaan turun-temurun atau umpama jawatan tetap kakitangan sektor awam maka pemegangnya akan berhadapan risiko untuk perlu "undurkan diri secara terhormat" ataupun "diundurkan diri secara memalukan."
5) Sebabnya, mereka dipilih rakyat dan sama ada betul atau tidak, persepsi rakyat akan menentukan tempoh riwayat jawatan mereka. Pemimpin tiada pilihan. Mereka wajib "kelihatan bersih" atau sekurangnya perlu "kelihatan bersih" di mata majoriti rakyat.

Hari Merdeka Sarawak ?

1) Saya minat sejarah dan Sejarah adalah subjek paling saya suka waktu zaman sekolah dahulu.
2) Tiba-tiba ada dengar sambutan Hari Merdeka Sarawak. Maaf cakap, saya tidak berminat membacanya apalagi mangkajinya.
3) Sewaktu saya membesar di zaman "Malaysia Boleh, Wawasan 2020, Misi Everest, Jalur Gemilang berlayar keliling dunia dan berenang merentasi Selat Inggeris," tidak pernah pula mendengar adanya acara memperingati Sarawak merdeka.
4) Cukuplah kita mengiktiraf tarikh 31 Ogos dan 16 September sebagai dua tarikh "agong" Malaysia. Merdeka dan bersatu di bawah satu negara yang aman makmur dan berpadu bersama.
5) Tidak semua tarikh yang ada nilai sejarah perlu dibesar-besarkan. Negara sebesar Amerika Syarikat, Rusia dan Indonesia sendiri "menutup" terus banyak tarikh penting sesebuah negeri di bawah gabungan negara demi perpaduan, penyatuan dan semangat satu negara.

Singapura Rela Mati ?

Singapura Rela Mati ?
1) Negeri Johor cadangkan kepada Singapura supaya dilakukan pembenihan awan supaya hujan turun.
2) Keadaan panas yang berterusan telah menyebabkan banyak empangan di Johor berada dalam keadaan kritikal.
3) Sehingga tahun 2061, Johor perlu bekalkan air mentah ke Singapura. Ini perjanjian lama yang dibuat sebelum terbentuknya Malaysia lagi dan ada juga yang dbuat semasa Singapura berada dalam Malaysia.
4) Singapura tidak mahu diadakan pembenihan awan atas alasan tidak mahu pesawat Malaysia untuk tujuan itu 'masuk' ke ruang udara republik itu. Johor membalas dengan mengatakan jika itu kehendak Singapura maka catuan air akan dibuat jika keadaan jadi lebih kritikal.
5) Singapura rela mati?