28/02/2017

Kita Akan Jadi Bibik Di Indonesia ?

" Indonesia sejak tahun 2014 di bawah pemerintahan Presiden Jokowi kelihatannya meninggalkan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sejak tahun 2009. Bermula Jun, 2014 sehingga awal tahun 2017, Rupiah Indonesia mengalami KENAIKAN nilai sebanyak 26% berbanding Ringgit Malaysia. Peratusan kenaikan hasil pengeluaran ekonomi Indonesia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga mengatasi Malaysia sejak Jokowi mentadbir. Jika era 1990an, Indonesia terkenal dengan RASUAH di mata dunia tetapi sekarang Malaysia lebih terkenal dengan imej RASUAH bertaraf mega. Akan tibakah masanya orang Malaysia menjadi BIBIK pula di Indonesia selepas tahun 2020 ? Bayangkan jika RM semakin murah berbanding Rupiah, siapa mahu jadi BIBIK di Malaysia ? Tiada yang mustahil berlaku jika kita TAKUT untuk BERUBAH ! "
Fendi Ahmad
28 Februari 2017

Tun M Tidak Relevan ?

" Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah isyarat jelas bahawa kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak relevan lagi. Ahli MT Umno itu sepatutnya tidak membawa budaya lebih kuah daripada sudu dan sengaja cuba menambah minyak ke dalam bara api. Relevan atau tidak relevan Bapa Pemodenan Malaysia itu boleh dilihat kepada sambutan masyarakat ke mana sahaja beliau hadir. Baik teriakan semangat beribu-ribu peminatnya mahupun seorang dua pembencinya yang menjerit-jerit megungkit cerita lama itu adalah BUKTI jelas bahawa manusia bernama MAHATHIR itu terlebih relevannya lagi. Bukan sahaja di bumi Malaysia, dunia juga masih memberi liputan besar-besaran kepada beliau. "
Fendi Ahmad
28 Februari 2017

27/02/2017

Sultan Iskandar dan Menteri Besar Johor

" Seingat saya, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 12 pada tahun 2008 telah pergi menghadap Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail bagi tujuan menyatakan keinginan menukar Dato' Abdul Ghani Othman bertanding ke kerusi Parlimen sekaligus akan berlakunya pertukaran Menteri Besar Johor. Ramai menyakini bahawa Pak Lah mahukan Dato' Mohd. Khaled Nordin menjadi Menteri Besar yang baru. Keinginan Pak Lah itu dikatakan tidak diperkenan Almarhum Sultan Iskandar yang teguh masih mahukan Abdul Ghani sebagai Menteri Besar Johor. Sultan Iskandar mangkat pada tahun 2010 dan sewaktu PRU 13 (2013), Abdul Ghani tewas kepada Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah dan Khaled Nordin menjadi Menteri Besar dengan perkenan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar selepas menang kerusi DUN. Mana mungkin seorang Menteri Besar yang sombong dan tidak disukai Sultan boleh terus kekal di jawatan itu selama 18 tahun (1995-2013) dengan 15 tahun daripadanya di bawah Sultan Iskandar ? "


Fendi Ahmad 

27 Februari 2017

24/02/2017

Beras Naik Harga: Sila Makan Jagung ?

1) Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) dikatakan sudah mengeluarkan info bahawa harga beras putih impot daripada tiga negara (Thailand, Vietnam dan Pakistan) akan alami kenaikan. Untuk makluman, pengeluaran beras tempatan tidak dapat menampung keperluan rakyat Malaysia dan beras impot adalah perkara biasa dengan harga dikawal Kerajaan.
2) Kenaikan sebanyak RM50 bagi setiap 1 tan (1000 kilogram) itu akan bermula pada 1 Mac 2017.
3) Jika dikira kenaikan RM50 untuk setiap 1000 kilogram yang diterima pemborong maka ianya adalah sekitar 5 sen untuk setiap kilogram.
4) Apa yang akan berlaku ialah pemborong akan menaikkan harga beras yang telah dipaketkan untuk dijual kepada pengedar. Pengedar pula menaikkan harga yang dijual kepada peruncit dan akhir sekali peruncit perlu menaikkan harga jualan kepada pembeli (pengguna). Peniaga makanan pastinya perlu naikkan harga nasi putih.
5) Adalah dijangkakan sekampit beras impot akan alami kenaikan sekitar RM5. Harapnya kita tidak akan dengar komen daripada mana-mana Menteri supaya rakyat jangan makan nasi dan makan benda lain yang bukan berasaskan beras !