30/09/2017

Trump Tak Lawat Malaysia ?

" Rakyat Malaysia sepatutnya berasa kecewa kerana Presiden Donald Trump bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana tidak sudi melawat Malaysia dalam siri lawatan rasminya ke Asia Timur dan Asia Tenggara pada November 2017 ini. Trump disahkan akan singgah di Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam dan Filipina. Dua agenda utama ialah berkaitan dengan isu kedegilan Korea Utara dan peluang perdagangan Amerika di Asia. Baru sahaja Perdana Menteri Malaysia begitu berbangga dengan kunjungannya ke White House dengan misi MEMBANTU ekonomi Amerika Syarikat dengan tawaran pembelian berpuluh kapal terbang dan pelaburan KWSP untuk membangunkan infrastruktur tetapi Trump seperti tidak tahu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak dengan tidak sudi singgah sekejap melawat Malaysia. PM kita patut ditanya kenapa ini terjadi ? Bukankah PM kata beliau diberi layanan yang cukup hebat oleh Trump di Amerika ?


Fendi Ahmad 

30 September 2017

Rahman Dahlan Orang Bajau Akan Malukan Melayu ?

1) Menteri Abdul Rahman Dahlan kata Lim Kit Siang perlu berhenti daripada politik kerana tidak ada keyakinan untuk menang pilihan raya. 


2) Sebabnya: DAP yang memiliki kerusi terbesar berbanding parti pembangkang lain bersetuju memilih Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. 


2) Abdul Rahman Dahlan ini selain Salleh Keruak dan Ahmad Maslan memang terkenal sejak setahun dua ini dengan kenyataan-kenyataan bertaraf "LAWAK JENAKA" demi taat dan setia kepada ketua mereka yang dihimpit skandal bertaraf dunia. 


4) Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah itu pasti akan "bercabang dua" pula lidahnya jika yang mengetuai Pakatan Harapan ialah Lim Kit Siang san DAP.


5) Rahman Dahlan pasti akan kata "DAP kuasai Harapan, Melayu tidak berkuasa dalam Harapan, Tun Mahathir jadi hamba DAP dan Melayu akan hilang kuasa jika undi Harapan." Lidah bercabang Rahman Dahlan amat boleh dibaca dan ianya bukan taraf yang sepatutnya dimiliki seorang bergelar Menteri Kerajaan Malaysia. Oh lupa pula, Rahman Dahlan bukan Melayu, dia keturunan Bajau sama seperti Salleh Keruak.

BN Kata Cukai Cukuplah Buat Masa Ini

1) Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani kata Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak pada 27 Oktober ini tidak akan mencadangkan sebarang CUKAI baru.


2) Berkenaan dengan kemungkinan adanya cukai baru, Johari kata, "Cukuplah itu buat masa ini."


3) Ayat BUAT MASA INI berkaitan cukai yang dituturkan seorang Menteri Kewangan perlulah diteliti secara mendalam. 


4) Bajet 2018 memang sudah terang lagikan bersuluh akan menjadi "bajet pilihan raya" oleh Kerajaan pimpinan Najib sebagai usaha mengekalkan kuasa UMNO-Barisan Nasional. Adalah sesuatu yang "wajib" untuk Najib tidak memperkenalkan sebarang cukai baru kerana ianya jika berlaku adalah peluru mudah yang akan memakan diri sendiri.


5) Kenyataan Johari itu bolehlah diambil maklum oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak akan memperkenalkan CUKAI baru BUAT MASA INI sahaja. Ingat, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh maksimanya kurang 10 bulan daripada sekarang. Selepas pilihanraya, besar kemungkinannya adalah CUKAI baru yang akan diperkenalkan parti Johari buat rakyat Malaysia sebagai hadiah terus mengundi mereka.


PASTIKAN UBAH SEBELUM ADANYA CUKAI BARU !

MAAN

" Aku jeritkan pada Malaysia bahawa Kerajaan pimpinan PM Najib Razak telah menjerat 1Malaysia dengan bebanan hutang beratus Bilion dan terteruk dalam sejarah negara. Aku gegarkan para pendengar yang nasib anak bangsa akan semakin tersepit jika tidak berani berubah. Walau sekuat mana JERITAN dan GEGARAN mampu dibuat, AKU tetap keluar air mata setiap kali menonton babak 15 minit terakhir filem MAAN lakonan Aamir Khan dan Manisha Koirala. Sudah 18 tahun usia MAAN dan entah berapa kali menontonnya tapi 15 minit terakhir itu tetap dapat menewaskan aku ! "


Fendi Ahmad 

30 September 2017

27/09/2017

Cukai "Pak Lebai" PAS ?

1) Ada pembesar PAS kata jika PAS memerintah maka GST akan dimansuhkan. Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Dr. Khairuddin Aman Razali pada 25 September 2017 mengatakan ianya akan digantikan dengan dua cukai baru. 


2) Secara umum, kita sedia maklum PAS memang sejak awal berpegang bahawa GST adalah tidak boleh dikenakan kepada rakyat. Sesetengah pemimpin PAS meyakini bahawa GST adalah haram dikenakan kerana bersifat tidak adil. Ini harus dipuji.


3) Bijak pandai PAS itu mengatakan bahawa PAS bercadang mengenakan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Jual Beli Saham. Ikut kira-kira PAS, DUA jenis cukai ini dapat menampung sekitar RM45 Bilion kutipan GST untuk kegunaan Kerajaan. Konsep PAS, yang kaya perlu dikenakan cukai sebanyak mungkin. PAS terlupa atau memang tidak faham bahawa dikhuatiri korporat-korporat berjaya akan memilih untuk tidak menyimpan   dana lebihan mereka dalam bentuk tunai di institusi kewangan tempatan dan berkurangnya aktiviti dagangan di Bursa Malaysia. Dunia tanpa sempadan hari ini bukanlah sukar untuk korporat dan pencatur saham mengabaikan terus sektor kewangan dan dagangan saham Malaysia. PAS fikir untung SATU, lupa ruginya nanti DUA, jadilah NEGATIF satu !


4) Nampaknya otak-otak mereka ini seperti tidak bersambung sel-selnya. Tiada beza nampaknya cara berfikir pembesar PAS dengan pembesar UMNO-Barisan Nasional sedia ada. Cukai adalah AGENDA utama mereka untuk dikenakan kepada RAKYAT jika memerintah.


5) PAS jelas menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka tiada idea dan tiada keupayaan untuk menjadi pemerintah yang mampu menjana idea bagi menguatkan ekonomi negara untuk kesejahteraan rakyat dan membentuk sebuah Kerajaan yang boleh menjana pendapatan melalui kecekapan pengurusan dana kewangan negara, BUKANNYA melalui cara tolak cukai itu dan tambah cukai ini.

26/09/2017

Hai PM, Saya Di Sini ...

1) Pertama kali dapat duduk berdepan dengan Perdana Menteri Malaysia satu pengalaman yang berharga bagi saya (25 September 2017).


2) Gaya dan kaedah pengucapan awam Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak adalah cemerlang. Kawalan pentas, mainan suara dan interaksi mata beliau adalah cukup membanggakan.



3) Terasa auranya apabila dapat melihat dengan jarak dekat tanpa halangan seorang Perdana Menteri sedang beraksi tanpa skrip.


4) Ketua saya yang duduk di sebelah saya kata, "PM asyik cakap tengok belah kita. Saya rasa aura kamu tu kuat sangat dia dapat rasa, tu yang tengok sini aja." Saya ketawa kerana faham sangat mengapa boss cakap begitu. 


5) Apapun keadaannya, Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Apa terjadi, pendirian saya tetap jelas dan penuh keyakinan berdasarkan ilmu, pengamatan, kajian dan gerak hati saya. Saya bukan jenis maki hamun dan bukan jenis menjatuhkan maruah orang. Yang baik saya akui baiknya di mana dan yang buruk akan saya katakan buruk.

24/09/2017

Bahasa Rojak & Bahasa Terjerit

" Apa sudah jadi sama PM Malaysia ? Melihat ucapannya merasmikan Perhimpunan Agong MIC 2017 seperti terasa beliau sendiri tidak selesa dengan ucapannya. Kenapa PM berucap bercampur aduk di antara Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ? Lantunan suara juga nampaknya seperti dipaksa-paksa. Daripada psikologinya, ianya seolah cuba mahu kelihatan lebih kuat dan lebih hebat. TPM pula di majlis lain berucap terjerit-jerit tanpa sebab. Mereka ini orang-orang yang sudah berusia atas 60an. Mungkin UMNO-Barisan Nasional sebenarnya sudah KETANDUSAN pengucap umum muda yang hebat sehingga yang usia 60an terpaksa cuba kelihatan muda dan bertaring untuk sebaik mungkin menarik keyakinan rakyat. "


Fendi Ahmad 

24 September 2017

Jangan Jadikan Banjir Modal Politik !

1) Kepada UMNO, Pribumi BERSATU, PAS, PKR, DAP, AMANAH, MCA, MIC atau apa sahaja yang bergerak atas nama POLITIK - Tolonglah jangan jadikan bencana banjir sebagai modal politik kamu semua !


2) Kita akui bencana banjir terutamanya banjir kilat memang ada kaitan langsung dengan isu "kelemahan perancangan bandar / kerajaan tempatan" manakala banjir besar atau banjir termenung pula adalah juga disumbang serba sedikit oleh masalah "kecuaian urus tadbir alam sekitar / sumber asli."


3) Apapun sebabnya, banjir adalah satu bencana yang tiada siapa mahu dan hadirnya lebih kepada hujan luar biasa yang tidak tertampung dek perut bumi. Lama sebelum negara pesat membangunpun banjir besar sudah menimpa bumi Malaysia, zaman berzaman ianya datang dan pergi menguji rakyat.


4) Majoriti yang sebok dengan banjir ini sendiri sebenarnya tidak pernah jadi mangsa banjir yang sejati. Rumah kampung saya di Segamat, Johor mengalami banjir BESAR akhir 2006, awal 2007 dan awal 2011. Paras air menenggelami rumah mencecah 2 meter dan ianya BERTAHAN selama lebih seminggu, mencapai 10 hari ! Jadi "pelarian" di balai raya mahupun sekolah. Itu namanya banjir termenung. Setakat banjir paras-paras betis atau mencecah lutut sahaja dan surut tidak sampai 2-3 hari maka itu bagi saya dan mak ayah sebagai "banjir ayam" semata. Tak perlu kecoh-kecoh ! Awal 2017 inipun "banjir ayam" ada berlaku. 


5) Kami yang pernah jadi mangsa banjir besar ini mahu beritahu yang lain, janganlah ambil kesempatan politik pula kerana banjir ini. Tidak perlu salahkan parti politik yang memerintah sesuatu negeri itu kerana banjir. Cari modal lainlah. 

Modal Murahan: Wajarkah Seorang PM Main Isu Keturunan ?

1) Hari itu Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia entah apa mimpinya tiba-tiba menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mendakwa nama asal Perdana Menteri ke empat Malaysia itu adalah Mahathir A/L Iskandar Kutty. 


2) Selepas kira-kira dua bulan, Timbalan Perdana Menteri masih senyap apabila dicabar Dr. Mahathir supaya menunjukkan bukti kad pengenalan tersebut. Agak memalukan TPM apabila sejarah menunjukkan ayah Dr. Mahathir, Mohamad Iskandar  dilahirkan di Malaya. Yang berhijrah ke Malaya ialah Datuk Dr. Mahathir yang berkahwin dengan wanita Melayu berasal dari Johor. Ibu Dr. Mahathir adalah wanita Melayu keturunan Kedah. Kalau ikut matematik, darah Dr. Mahathir adalah 75% Melayu Malaysia asli. 


3) Peluru TPM kepada Dr. Mahathir tertembak dirinya sendiri apabila dia rupanya "buat-buat lupa" asal usul keturunannya sendiri. Ibu dan ayahnya sendiri dilahirkan di Pulau Jawa, Indonesia. Lebih mengejutkan, ada "suara-suara" mengatakan yang TPM sendiri tidak dilahirkan di Malaysia. Ini belum disah mahupun dinafikan lagi. Ikut matematik, darah TPM itu adalah KOSONG % Melayu Malaysia.


4) Ingatkan TPM Malaysia sahaja yang kelihatan kurang bijak menjadikan isu asal-usul keturunan sebagai modal serangan politik. Tanpa disangka, Perdana Menteri Malaysia juga dalam "hura-hara" melawan Dr. Mahathir turut terjerumus sama.


5) Sewaktu merasmikan Perhimpunan Agong MIC 2017 (24 September 2017), Perdana Menteri Malaysia sempat menyerang memerli asal-usul keturunan Dr. Mahathir yang hanya tiga tahun lebih muda daripada Allahyarham ayahnya Tun Abdul Razak (Razak lahir tahun 1922, Dr. Mahathir tahun 1925):


" Walaupun ayah saya, datuk saya bukan dari Kerala, tetapi saya digelar bapa pembangunan (orang) India. "

22/09/2017

Hijrah

" Hijrah itu berpindah daripada keburukan kepada kebaikan, kebiasaan kepada kehebatan dan kebodohan kepada kebijaksanaan. Carilah kebaikan, kehebatan dan kebijaksanaan. Jadikanlah ini matlamat hijrah kita, moga Tuhan merahmati niat baik yang ikhlas. "


Fendi Ahmad

22 September 2017

21/09/2017

Jepun Di Malaya

1) Sewaktu pendudukan Jepun di Malaya (1941-1945), kaum Cina mengalami penyeksaan paling teruk. 


2) Jepun menganggap orang Cina di Malaya sebagai musuh kerana pada masa yang sama mereka sedang berperang dengan negara China.


3) Sekitar 100 000 rakyat tempatan terkorban di bawah penaklukan Jepun.


4) Dianggarkan hampir 170 000 orang askar British / Komanwel terbunuh mahupun ditawan tentera Jepun di sepanjang zaman itu. British "menaja" kumpulan gerila bersenjata daripada kaum Cina yang dikenali sebagai Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) untuk menentang Jepun. Kebanyakan mereka ini "bertukar" menjadi Bintang Tiga yang bermaharajalela selepas pengunduran Jepun, sebelum British kembali semula memerintah Malaya.


5) Pihak Jepun hanya kehilangan kira-kira 15 000 orang tenteranya di sepanjang pendudukan mereka di Malaya. 

Satu Tahun Saya BERSATU

1) Setahun yang lalu, 20 September 2016 adalah satu hari yang saya amat nantikan.


2) Hari pertama pendaftaran secara online bagi menyertai Parti Pribumi BERSATU Malaysia. 



3) Hari di mana secara rasmi saya menjadi ahli kepada sebuah parti politik. Sebelum ini saya adalah penyokong, pencinta dan pengundi setia sebuah parti tetapi tidak pernah menjadi ahlinya.


4) Satu tahun telah berlalu dan peristiwa 20 September 2016 itu nampaknya bukan sekadar "berhenti" di tahap mendaftar sebagai ahli, segalanya agak pantas berlaku dan saya tidak ada masa untuk belajar. Cuba - Yakin - Buat - Mohon Bantuan Tuhan - Serahkan Pada Tuhan.


5) Perjuangan dan ketokohan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi inspirasi diri ini: Dulu, Kini dan Selamanya. Moga Tuhan merahmati diri ini pada setiap ketika.

20/09/2017

Ketua Polis Negara Perlu Dapat Arahan Kabinet ?

1) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang 'meloncat' dua tangga terus ke jawatan Ketua Polis Negara baru-baru ini kata siasatan terhadap skandal 1MBD sudah selesai dan tiada sebarang perkembangan terkini untuk dikongsi.
2) Mohamad Fuzi turut menekankan bahawa siasatan sudah selesai dan tiada keperluan untuk membuka semula kes itu.
3) Kepelikan berlaku kerana Ketua Polis Negara sebelum ini Tan Sri Khalid Abu Bakar ada berkata pada bulan Jun 2017 bahawa Jabatan Peguam Negara menyuruh Polis menyiasat semula isu 1MDB.
4) Ketua Polis Negara yang baharu ini membuat satu kenyataan yang 'berat' iaitu Polis akan menyiasat semula kes 1MDB JIKA mendapat arahan Kabinet dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC).
5) Pencerahan adalah diperlukan di sini; Adakah Ketua Polis Negara cuba memberitahu negara bahawa apa jua tindakan Polis dalam menyiasat sesuatu kes besar memerlukan ARAHAN Kabinet ? Seperti yang sedia maklum, Kabinet diketuai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan keseluruhan Menteri-Menteri dengan Ketua Setiausaha Negara turut berada di dalam mesyuaratnya.

19/09/2017

Hikayat 7 Juta Penerima BR1M

1) PM bangga sebut lebih kurang 7.1 juta rakyat Malaysia layak menerima BR1M. Kalau rakyat ada 32 juta orang maka 22% menerima BR1M.
2) BR1M paling tinggi dapat RM1200 setahun, bayar ansuran tiga kali. Si bujang pendapatan kecil dapat sekali RM450.
3) Boleh kata kebanyakan daripada 7.1 juta penerima BR1M bagi tahun 2017 itu sebelum ini tidak perlu bayar cukai apabila membeli barangan atau perkhidmatan. Maklumlah mereka tidak membeli belah di tempat mewah ataupun makan di restoran ada nama. Tapi sekarang, mereka sudah kena 6% GST atas apa jua benda yang dibeli. Budak sekolah juga bayar GST, orang pencen yang tua juga.
4) Sebelum zaman BR1M, 7.1 juta orang itu terima macam-macam subsidi yang ditaja Kerajaan. Petrol ada subsidi, minyak masak ada subsidi, gula ada subsidi, tepung ada subsidi dan banyak lagi. Sekarang semuanya sudah ditiadakan. Gomen kata itu adalah 'rasionalisasi subsidi' yang baik untuk negara.
5) Kerana GST dan kerana tiadanya subsidi maka kos hidup 7.1 juta orang itu semakin bertambah dan terbeban secara berlebihan. Mereka dapat BR1M secara ansuran 3 kali setahun tetapi mereka sebenarnya membayar GST setiap hari dan kenaikan harga barangan secara terus menerus dalam setahun.

17/09/2017

Mat Taib: Bintang UMNO - Dibuang - Dikutip - Melompat Katak - Dikutip Najib

1) Tan Sri Muhammad Bin Muhamad Taib atau lebih dikenali sebagai Mat Taib dipilih  Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 1986, berusia 41 tahun. 


2) 14 April 1997, Mat Taib terpaksa meletakkan jawatan kerana terlibat dengan kes tertangkap membawa tunai RM2.4 Juta tanpa membuat pengisytiharan wang di Brisbane, Australia sewaktu cuti Krismas, 1996.


3) Karier politik beliau kelihatan "senyap" selepas "tersungkur" pada tahun 1997 sehinggalah "dikutip" semula Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Di bawah kepimpinan Abdullah sebagai Presiden UMNO, Mat Taib dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO. 


4) Selepas Pilihan Raya Umum 2008, diangkat pula sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah melalui "tiket" lantikan Senator (Ahli Dewan Negara).


5) Selepas tewas pertarungan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2009, beliau diketepikan Perdana Menteri seterusnya Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, politik Mat Taib mendung semula.


6) Tahun 2012 beliau keluar UMNO dan masuk PAS. Selepas pergolakan PAS dan tamatnya Pakatan Rakyat (gabungan PKR, PAS dan DAP) pada tahun 2015, Mat Taib "melompat" pula menjadi ahli PKR.


7) Mat Taib pernah disifatkan antara bintang bersinar di era Malaysia pantas membangun era 1980an - 1990an. Pernah juga "membawa lari" Puteri Sultan Selangor untuk dijadikan isteri ke dua. 


8) Beliau membentuk "Team Wawasan" di Pemilihan UMNO 1993. "Team Wawasan" merujuk kepada muka-muka segar, progresif dan muda di dalam UMNO bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada tahun 1993 itu. Wawasan merujuk kepada Wawasan 2020 yang baru diilhamkan Dr. Mahathir pada tahun 1991.


9) "Team Wawasan" dianggotai Datuk Seri Anwar Ibrahim (Timbalan Presiden), Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Naib Presiden). "Orang lama" seperti Encik Abdul Ghaffar Baba (Timbalan Presiden), Tan Sri Sanusi Junid dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Naib Presiden) tersungkur.


10) Selepas menjadi bintang muda yang bersinar, tersungkur kerana duit, diangkat semula, diketepikan UMNO, keluar UMNO, masuk PAS dan melompat ke PKR, 17 September 2017, 20 tahun selepas MENEBAL MUKA terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, Mat Taib umum masuk semula UMNO sambil disambut gembira Presiden UMNO ke 7, Najib Razak.

16/09/2017

PM Malaysia Disambut Duta Malaysia Sahaja ?

" Saya mahu Duta Amerika Syarikat di Malaysia mengesahkan adakah benar ketibaan Perdana Menteri Malaysia ke Amerika Syarikat sebelum berjumpa Presiden Donald Trump bagi tujuan MEMBANTU ekonomi negara Uncle Sam itu hanya disambut oleh Duta Besar Malaysia di sana bersama-sama dengan Pengurus hotel penginapan ? Kenapa martabat PM Malaysia diperlakukan sebegitu rupa ? Mana perginya sambutan bertaraf negara untuk PM Malaysia ? "


Fendi Ahmad 

16 September 2017

Ahli Parlimen Langkawi Memang Bijak

1) Ingat lagi pada Ahli Parlimen Langkawi yang bernama Nawawi Ahmad ? Dia juga adalah Ketua UMNO Bahagian Langkawi.


2) Nawawi sedikit masa dahulu pernah merujuk Malaysian Official 1 (MO1) yang disebut dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) terhadap "perompak-perompak" berbilion dana 1MDB adalah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Ketika itu, Sultan Kedah Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah masih bertakhta sebagai Agong.


3) Kali ini "kebijaksanaan" Ir. Nawawi terserlah kembali apabila tanpa diminta telah sekali lagi cuba "menambahkan kesucian" Presiden UMNO Mohd. Najib Abdul Razak yang baru selesai lawatan berjumpa Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat.


4) Kata Nawawi, "Terbukti PM tidak ditangkap semasa tiga hari berada di AS. Nampaknya PM tak terlibat dalam siasatan DoJ dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)."


5) Sungguh mudah pemikiran YB Langkawi ini. Tidaklah boleh dikatakan bahawa pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat bermakna segala dakwaan jenayah melibatkan penyalahgunaan berbilion duit 1MDB adalah terlepas. Undang-undang Amerika Syarikat adalah bebas daripada pengaruh politik. Dia mungkin perlu diingatkan bahawa di Amerika Syarikat Presiden Bill Clinton sendiri pernah disiasat ketika masih memegang jawatan kerana skandal seks dan Presiden Richard Nixon tersungkur kerana skandal yang bernama Watergate.

15/09/2017

Sudah Bersedia Untuk Mengundi ?

" Khabar angin kencang Pilihan Raya Umum ke 14 akan berlangsung November 2017. Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak tidak mampu lagi untuk melambatkan pembubaran Parlimen sehingga pertengahan 2018 walaupun itulah yang diharapkannya. Duit semakin mengurang, pengundi baru akan semakin bertambah, isu-isu skandal kontroversi akan makin bertambah. Malaysia, adakah anda sudah bersedia untuk mengundi ? Jika 2013, 52% rakyat sudah tidak mengundi parti pimpinan Najib Razak, bagaimana pula dengan 2017 ?


Fendi Ahmad 

15 September 2017

" Tun Najib " dan " Tun Rosmah " ?

" Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan  darjah kebesaran tertinggi negara iaitu Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) manakala isteri mereka (Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Jeanne Abdullah) pula darjah Seri Setia Mahkota (SSM) di hari terakhir bergelar Perdana Menteri Malaysia. Semuanya membawa gelaran Tun. Ditakdirkan Barisan Nasional tewas kepada Pakatan Harapan di Pilihan Raya Umum ke 14, maka adakah Mohd. Najib Abdul Razak dan Rosmah Mansor akan bergelar Tun di hari Perdana Menteri Malaysia pertama bukan daripada Barisan Nasional mengangkat sumpah jawatan ?"


Fendi Ahmad 

15 September 2017

14/09/2017

Tun

1) Anugerah tertinggi buat rakyat biasa di Malaysia membawa gelaran TUN. Ia adalah penganugerahan di peringkat Persekutuan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Penerima gelaran Tun dianugerahkan sama ada Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) ataupun Seri Setia Mahkota (SSM). SMN adalah lebih tinggi darjatnya berbanding SSM.
2) Menurut ketetapan, pada setiap masa, TIDAK boleh ada lebih daripada 25 penerima anugerah SMN yang masih hidup. Perkara sama juga terpakai untuk anugerah SSM. Ini bermakna, jumlah maksima rakyat Malaysia yang bergelar Tun (masih hidup) tidak lebih daripada 50 orang.
3) Sejak Merdeka, jumlah keseluruhan penerima darjah Tun adalah sekitar 90 orang sahaja dalam tempoh 60 tahun ini. Buat masa ini, terdapat kira-kira 30 individu bergelar Tun yang masih hidup. Penganugerahan gelaran Tun kebiasaannya berlaku sewaktu Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Adalah tidak menjadi kemestian untuk Seri Paduka menganugerahkan darjah 'Tun' setiap tahun. Untuk rekod, tiada sebarang penerima untuk tahun 2013, 2014, 2015 dan 2016.
4) Di antara penerima Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) ialah Mendiang Tun Tan Cheng Lock, Mendiang Tun H.S. Lee, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn,Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Yang Di Pertua Negeri-Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak).
5) Contoh penerima Seri Setia Mahkota (SSM) pula ialah Mendiang Tun Tan Siew Sin, Mendiang Tun V.T Sambanthan, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba, Mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu, Tun Musa Hitam, Tun Daim Zainuddin, Tun Dr. Ling Liong Sik, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Tun S. Samy Vellu dan Ketua - Ketua Hakim Negara.

Rindu Emak

" Sambil makan tengahari di waktu hujan turun mata aku asyik memerhati akak peniaga makanan. Sambil dia melayan pelanggan sambil dia memanggil anak lelakinya yang sekitar 3 atau 4 tahun usia supaya jangan pergi jauh dari kedai kerana hujan dan lantai licin. Seusai pelanggan tiada, akak itu pergi dapatkan anaknya lalu didukung dan dicium pipinya berulang kali. Tanpa dipaksa, airmata aku bergenang kerana teringatkan Emak di kampung. Macam itulah Emak selalu cium aku dahulu. Aku pasti Emakpun seperti akak itu, tidak berpelajaran tinggi tetapi sentiasa ada masa untuk anaknya di sepanjang usia membesar. Dahulu waktu aku kecil seperti adik itu, Emakpun kerjanya memasak. Kemahiran Emak memang memasak. Aku tersenyum kerana TUHAN tidak pernah lupa untuk masukkan dalam hatiku ini ingatan kepada Emak. Emak, esok sebelum gelap Andi sampai Segamat. Terasa lama sungguh sudah 11 malam tidak bertemu Emak. "
Fendi Ahmad
14 September 2017

13/09/2017

Gaji Minima Tidak Membantu Pengukuhan Ekonomi Malaysia

" Dasar PM Najib untuk meningkatkan ekonomi negara ialah melalui idea negara berpendapatan tinggi. Setakat ini apa yang kelihatan ialah PAKSAAN meningkatkan kadar gaji minima pada tahap RM1000. Dasar ini tidak dikuatkan lagi dengan idea-idea bernas Kerajaan untuk meningkatkan KEKUATAN daya tambah ekonomi Malaysia. Apabila paksaan gaji dibuat dan kekuatan baru ekonomi secara menyeluruh tidak berlaku maka hasilnya ialah KENAIKAN KOS semata-mata yang bukannya MENGKAYAKAN rakyat tetapi lebih menyusahkan pula ditambah dengan perlaksanaan GST yang menyebabkan kanak-kanak tiada pendapatan dan warga emas juga 'terpaksa' bayar cukai secara terbuka. Kaedah pengurusan ekonomi Kerajaan pada masa ini amatlah menakutkan dan tidak menjanjikan satu masa depan yang cerah buat Malaysia. "
Fendi Ahmad
13 September 2017

Malaysia 'Bantu' Amerika RM60 Bilion Dalam Masa 6 Minit ?

" Perdana Menteri Malaysia Mohd. Najib Abdul Razak menghadiri mesyuarat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump selama 5 MINIT 58 SAAT dan sempat BERJANJI memberi pelaburan bernilai sekitar RM60 Bilion. PM Malaysia juga seperti terkejar-kejar mahu bercakap sehingga menyebut 'Number One, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy .... ' dan seterusnya 'Number one, we intend to increase the number of Boeing planes to be purchased by MAS .... ' Jawab Presiden Trump: Great. Dikala Malaysia berhutang RM55 Bilion dengan China untuk membina landasan keretapi pantai timur (ECRL), di Amerika Syarikat PM Malaysia menjanjikan pelaburan RM60 Bilion kepada negara maju bernama Amerika Syarikat. Oh Negaraku Malaysia ! "
Fendi Ahmad
13 September 2017

Al-Fatihah Buat Sultan Abdul Halim

" Saya bukan orang Kedah tetapi sepanjang usia saya dari mula mengenal dunia hinggalah sudah '3 series' ini, bila disebut Sultan Kedah maka nama yang sinonim ialah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Sewaktu saya berkonvo di Universiti Utara Malaysia dahulu, nama dewan utamanya ialah Dewan Muadzam Shah. Wajah Tuanku Abdul Halim cukup sinonim dalam sejarah Malaysia kerana potret Baginda bersama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra di hari pengunduran Bapa Kemerdekaan itu berlaku di awal pemerintahannya sebagai Yang Di Pertuan Agong ke lima. Uniknya, Baginda adalah anak saudara kepada Tunku. Tunku adalah adinda kepada Sultan Badlishah, berlainan ibu tetapi ayahandanya sama iaitu Sultan Abdul Hamid, nenda Sultan Abdul Halim. Selain daripada isu 13 Mei 1969 dan penolakan senyap UMNO kepada Tunku, ada pendapat mengatakan Tunku berundur diri daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 1970 sebaik sahaja anak saudaranya menjadi Agong kerana tidak mahu 'menyembah' anak saudara sendiri. "


Fendi Ahmad

13 September 2017


* Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang mangkat pada 11 September 2017.

 

12/09/2017

Malaikat & Syaitan Bisu

" Kejahatan berleluasa kerana orang baik-baik berdiam diri. Orang baik yang berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh melihat kemungkaran berleluasa di sekelilingnya bukanlah MALAIKAT tetapi mereka adalah SYAITAN BISU. "


Fendi Ahmad

12 September 2017

04/09/2017

Ahmad Maslan: GST Buat Barang Jadi Murah

" Lebih dua tahun lepas Timbalan Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan kata Cukai Barang & Perkhidmatan iaitu GST akan sebabkan harga barangan menjadi lebih MURAH. Kini Ahmad Maslan berkata banyaknya JUALAN MURAH yang diadakan pusat membeli-belah dalam satu tahun adalah bukti bahawa GST yang diperkenalkan Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak memang boleh mengurangkan harga barang. Inilah pemikiran CGPA 3.85 agaknya. Begitu banyak Pak Menteri yang sudah   begitu jauh daripada denyut nadi dan memahami hidup rakyat kebiasaan. Perlukah rakyat Malaysia terus menyokong UMNO-Barisan Nasional ? "


Fendi Ahmad 

4 September 2017

Rakyat Negara China Jadi Boss Proton ?

1) Sebaik sahaja Merdeka 60 disambut, timbul spekulasi bahawa seorang warganegara China akan mengetuai Proton. Namanya Li Chunrong.

2) Untuk rekod, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd. dari negara China telah membeli 49.9 peratus pegangan saham dalam PROTON dan 51 peratus pemilikan PROTON dalam Lotus Group pada Jun 2017.

3) Web Berita Harian pada 3 September 2017 mengatakan - " Portal China Automotif Review pada minggu lalu melaporkan, Chunrong, bekas ahli Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd itu secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif PROTON. "

4) Respon Menteri Mustapha Mohamed terhadap spekulasi itu begitu mudah iaitu Kerajaan tidak campur tangan dalam sebarang perlantikan sesiapa untuk mengetuai PROTON kerana itu terserahlah kepada Lembaga Pengarahnya.

5) Terima kasih Kerajaan Malaysia Kerana tiga bulan lalu sedaya upaya mengatakan PROTON masih milik Malaysia kerana Geely HANYA memiliki PROTON sebanyak 49.9 peratus tetapi kini timbul pula "cerita" CEO PROTON ialah orang daripada negara asal usul Geely yang menurut Kerajaan bukanlah pemilik utama PROTON. Inilah agaknya semangat #negarakumalaysia versi era Tranformasi Nasional 2050 (TN50).

01/09/2017

Doakan Kerjasama PAS - Barisan Nasional Jadi Kenyataan

1) Setiausaha Agung Barisan Nasional Tengku (Teuku ?) Adnan Tengku (Teuku ?) Mansor kata PAS diharapkan akan bekerjasama dengan UMNO - Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 14.


2) Adnan mengucapkan syukur kerana PAS sudah "sedar" wajah sebenar pakatan pembangkang dan berharap mereka akan bekerjasama dengan BN bagi memastikan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pribumi BERSATU tewas di PRU 14.


3) Sebelum Adnan, Ketua Penerangan UMNO Annuar Musa turut menghulurkan salam "mesra" kepada PAS. Annuar berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan PAS untuk kebaikan rakyat.


4) Annuar kata PAS tidak perlu masuk BN secara rasmi sebaliknya cuma bekerjasama menghadapi PRU  atas dasar permuafakatan untuk kebaikan dan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia.


5) Sempena Aidil Adha yang mulia ini, kita doakan semoga kerjasama PAS dan BN itu menjadi kenyataan sekaligus membuka ruang kepada pertandingan SATU LAWAN SATU di antara Harapan dan BN - PAS di PRU 14 nanti.