20/05/2017

Perdana Menteri Malaysia "Selepas" Najib Razak ?

1) Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pribumi Bersatu perlu menamakan satu calon sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila mereka menguasai Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang pasti akan diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh satu tahun ini.


2) Secara dasar, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pilihan utama dua parti terawal Harapan iaitu PKR dan DAP. Amanah yang muncul di akhir 2015 juga bersetuju dengan pilihan itu. Pada PRU 2008 dan PRU 2013 secara jelas Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri pilihan mereka jika Putrajaya ditawan daripada Barisan Nasional (BN).


3) Memandangkan Anwar masih di dalam penjara dan mustahil baginya untuk terus dijadikan Perdana Menteri seandainya Harapan menewaskan BN, maka seorang Perdana Menteri "interim" wajar dinamakan supaya rakyat nampak hala tuju Harapan dalam menghadapi PRU 14. Barisan Kabinet pastinya akan diyakini rakyat jika watak-watak seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Liew Chin Tong, Sallehuddin Ayub dan Husam Musa turut diselitkan.


4) Media pro UMNO-BN sudah menjadikan isu ketiadaan calon PM yang jelas daripada pihak Harapan sebagai modal besar untuk menakutkan rakyat terutamanya bangsa Melayu dan masyarakat luar bandar. Kononnya, jika Harapan mengusai Putrajaya maka DAP akan menjadi ketua dan hilanglah kuasa majoriti Melayu.


5) Cadangan sudah mula kedengaran agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon PM Harapan. Sewaktu PRU 1999 beliau mendapat sokongan padu pengundi Cina kerana kemampuannya memulihkan ekonomi Malaysia selepas kemelesetan teruk 1997-1998. Imej beliau di mata majoriti Melayu sehingga kini tidak boleh ditandingi sesiapa. Sokongan Anwar pastinya akan menakutkan kem UMNO-BN. Calon Timbalan Perdana Menteri berkaliber yang lebih muda daripada PKR iaitu Datuk Seri Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor pastinya mampu memberi satu HARAPAN besar kepada Malaysia untuk bangkit semula dan tidak perlu menunggu hingga tahun 2050 untuk maju jaya !

No comments:

Post a Comment