31/05/2017

" Tak Mahu Pakai Proton "


1) Lokasi: Mahkota Parade, Kota Melaka. Selasa, 30 Mei 2017.


2) Ayat " Tak mahu pakai Proton  " itu hanyalah sekadar agakan lucu saya yang mungkin dikatakan pemilik kereta Proton Persona ini.


3) Maklumlah dulu Proton 100% milik Malaysia. Kini Kerajaan Malaysia merelakan 49.90 % pemilikannya dijual kepada syarikat dari negara China. Lagi pilu, Proton dan Malaysia sudah hilang terus pemilikan syarikat kereta sport terkemuka Eropah, Lotus. Syarikat China itu juga pemiliknya sekarang.


4) Jadi mungkinlah ada pemilik Proton yang sudah tidak mahu tunjuk lambang Proton yang asalnya 100% milik Malaysia tetapi kini bukan lagi !


5) Peliknya, Kerajaan kata Geely Holdings dari China itu NAMPAK POTENSI Proton dan sebab itu berminat dengannya TETAPI satu lagi puak kumpulan Kerajaan kata Proton sudah tiada harapan dan hanya membebankan Kerajaan. Maknanya apa ? Negara China nampak Proton ada potensi TAPI Kerajaan Malaysia GAGAL mengesan dan memanipulasi potensi Proton ? Siapa bijak dan siapa terkurang bijak ?


25/05/2017

Tun Pak Lah Setia, Tun Dr. M Pengkhianat ?

1) Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak puji Perdana Menteri ke 5 Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang negarawan yang setia.


2) Pak Lah menurut Najib sentiasa berdiri teguh bersamanya, Kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional. Pak Lah pada kacamata Najib tidak sesekali mengkhianati parti dan Malaysia. 


3) Sebaliknya, apa yang rakyat nampak, Pak Lah menikmati persaraannya dengan cukup selesa, senyap dan terus tidak ambil kisah apa yang berlaku. Pak Lah tidak kisah walaupun dunia kata negara ini kuat rasuah, Kerajaannya kleptokrat si pencuri harta rakyat, kos hidup semakin menjadi-jadi kerana GST dan hutang negara semakin hampir ke paras RM1 000 000 000 000 kerana "kecekapan" PM Najib Razak.


4) Najib turut memberi sumbangan RM5 Juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menjanjikan penubuhan Kursi Tun Abdullah di salah satu universiti awam.


5) Semua faham bahawa Najib menyindir Perdana Menteri ke 4 Dr. Mahathir Mohamad. Persoalannya, adakah KELUAR UMNO DAN MENENTANG PRESIDEN UMNO boleh disamakan dengan MENGKHIANATI NEGARA MALAYSIA ini ? Siapa yang khianati Malaysia sebenarnya ? Tanah negara terjual milik tetap kepada negara China dan Proton juga terjual kepada negara China ?

YB KJ Kata Rokok Tiada di Bumi Malaysia Pada Tahun 2050

1) Ketua Pemuda UMNO, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin Bin Abu Bakar (KJ) kata ROKOK tidak akan dijual lagi di Malaysia apabila sampainya tahun 2050.


2) Tahun 2050 baru sahaja diangkat pentadbiran Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Mohd. Najib Abdul Razak sebagai pencetus kepada Transformasi Nasional 50 (TN50) yang masih kabur pemahamannya di kalangan rakyat. Mahu jadi negara majukah? Mahu jadi negara serba modenkah atau mahu jadi negara yang berubah 360 darjah berbanding tahun 2017 ?  


3) Kenapa KJ dan Kerajaan Malaysia mahu tunggu 33 TAHUN lagi untuk mengharamkan terus rokok daripada bumi Malaysia ini ? 


4) KJ dan Kerajaan sebenarnya TAKUT untuk umumkan bahawa segala jenis cukai yang dikutip daripada semua aktiviti berkaitan industri tembakau dan rokok siap adalah bernilai bilion Ringgit atau sekurangnya beratus juta Ringgit.


5) Maknanya kalau TIADA ROKOK dan tiada industri tembakau maka Kerajaan akan semakin kekurangan duit dan Bajet negara akan semakin besar defisitnya. Alangkan GST telah diiktiraf Perdana Menteri sebagai menyelamatkan Kerajaan, mampukah Kerajaan Najib Razak untuk bertahan tanpa "sintax" Rokok ? GSTlah jawabnya pula perlu dinaikkan daripada 6% ke 10% ! Untuk elakkan ini berlaku dan menerima kebencian berganda rakyat, KJ hanya BERANI KATA bumi Malaysia akan bebas rokok 33 tahun lagi !


Tiada yang mustahil untuk berlaku di zaman TRANSFORMASI !

24/05/2017

Dr. Mujahid Yusof Rawa

" Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah ahli Parlimen Parit Buntar, Perak sejak 2008 merangkap Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH). Ayahnya Hj. Yusof Rawa pernah memegang jawatan Presiden PAS di antara tahun 1983 sehingga 1989 dan terkenal kerana menewaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen Kota Setar Selatan sewaktu Pilihan Raya Umum 1969. Dr. Mujahid yang cukup petah berbicara ini pernah menjadi Pensyarah di Universiti Multimedia (MMU) di awal kewujudannya sehingga tahun 1998/1999. Selanjutnya beliau menjadi ahli politik. "


Fendi Ahmad 

24 Mei 2017



Tahniah Negara China Kerana Memiliki Proton

1) Geely Automobile Holdings dari China akan menjadi pemilik baru Proton. Keseluruhan 49.9% kepentingan DRB-HICOM di dalam Proton akan diambil alih Geely selepas perjanjian rasmi dimuktamadkan Julai ini.
2) Keputusan ini agak memeranjatkan kerana sekitar Mac 2017, Geely telah membuat pengumuman untuk tidak meneruskan rancangannya untuk membeli kepentingan dalam Proton dan menjadi rakan kongsinya.
3) Desas-desus mengatakan pihak Malaysia berusaha juga untuk 'mendapatkan' Geely supaya 'memiliki' Proton menjadi kencang semula apabila pemilik utama DRB-HICOM, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut 'dibawa' Perdana Menteri Dato' Seri Mohd. Najib Abdul Razak di dalam lawatan terbarunya ke negara China sekitar pertengahan Mei baru-baru ini.
4) Ada laporan menyatakan Geely akan memegang kuasa pemilikan Proton sebanyak 51% sekaligus menjadikan mereka adalah pemilik sebenar Proton. Seandainya itu berlaku maka rasmilah Proton sebagai sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh negara China dengan hanya kilang dan pasaran utamanya sahaja di Malaysia.
5) Tun Dr. Mahathir Mohamad memulakan Proton sebagai sebuah projek nasional 'Malaysia Boleh' pada tahun 1983 sehingga di zaman pentadbirannya, Proton tidak gagal mencatatkan keuntungan dan memiliki tunai berbilion Ringgit sehingga mampu membeli syarikat kereta sport Lotus di Eropah. 34 tahun berlalu, Kerajaan Najib Razak kini menjual Proton kepada negara China dan Lotus juga sepenuhnya beralih ke tangan mereka. Malaysia Boleh lagi ?

22/05/2017

Rasuah Sebelum PRU Boleh ?

" Saya begitu terperanjat dengan kata-kata Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa ahli politik yang terlibat dengan RASUAH supaya TUNGGU. Katanya mereka akan dikejar SPRM selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti. Alasan bos SPRM itu bahawa ianya supaya tidak dijadikan modal kempen oleh pihak lagi satu adalah amat PELIK. "


Fendi Ahmad 

22 Mei 2017

21/05/2017

Peguam Negara Kata Presiden Korup

" Peguam Negara Brazil menyebut Presiden negara itu sebagai KORUP. Presiden Michel Temer didakwa sebagai mengamalkan rasuah dan menggunakan kedudukannya untuk mengganggu proses undang-undang. Rasuah tunai yang diterima Presiden didakwa sebanyak USD$1.5 Juta atau kira-kira RM6.5 Juta. Seandainya pendakwaan berlaku dan dibuktikan salah, Temer akan tersingkir sebagai Presiden negara terbesar Amerika Latin itu. Inilah contoh PENGASINGAN KUASA yang sewajarnya diikuti negara lain di mana unit pentadbiran, penggubal undang-undang, pendakwaan dan kehakiman adalah bebas dan tidak di bawah kuasa mana-mana unit lain. "


Fendi Ahmad 

21 Mei 2017

20/05/2017

Siapalah Fendi Ahmad: Datuk Wira Buang Saya Daripada FB

1) Datuk Wira Timbalan Menteri akhirnya buang saya daripada senarai rakan FB beliau semalam. 


2) Maklumlah sekarang senarai rakan FB sudah maksima 5000 orang dan pengikut pula berbelas ribu. Buang satu 100 menanti. 


3) Pilihan Raya 2013 saya kempen untuk kemenangan Datuk di Parlimen Tangga Batu terutamanya sekitar DUN Pantai Kundor dan DUN Sungai Udang. Ingat lagi apabila Datuk turun berkempen tidak ramai orang yang ikut, kadang-kadang hanya seorang dua yang teman Datuk lawat lokasi. Maklumlah, kali pertama masuk bertanding. 


4) Sebagai seorang yang ada latar belakang akademik yang cukup tinggi dan cukup berusia, tindakan Datuk Wira agak memeranjatkan. FB Fendi Ahmad ini tidak pernah sama sekali kritik Datuk Wira dan jauh sekali membuat kerja maki hamun mahupun memfitnah parti yang menaikkan Datuk Wira sebagai Timbalan Menteri.


5) Saya jadi rakan FB sewaktu "followers" Datuk Wira adalah kosong dan "friends" pula sekadar di angka ratusan. Ketika itu orang lebih memanggil Datuk Wira sebagai Prof. sahaja. Terima kasih kerana Datuk Wira terima saya sebagai rakan FB selama 4 tahun. Maaf sebab kalau Datuk Wira dipilih sekali lagi untuk bertanding di PRU 14, saya tidak dapat berkempen lagi. Tapi apa masalahnyakan, "followers" dan "friends" terkumpul di FB sekarang sudah lebih 20000 ! Siapalah saya.

Perdana Menteri Malaysia "Selepas" Najib Razak ?

1) Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pribumi Bersatu perlu menamakan satu calon sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila mereka menguasai Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang pasti akan diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh satu tahun ini.


2) Secara dasar, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pilihan utama dua parti terawal Harapan iaitu PKR dan DAP. Amanah yang muncul di akhir 2015 juga bersetuju dengan pilihan itu. Pada PRU 2008 dan PRU 2013 secara jelas Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri pilihan mereka jika Putrajaya ditawan daripada Barisan Nasional (BN).


3) Memandangkan Anwar masih di dalam penjara dan mustahil baginya untuk terus dijadikan Perdana Menteri seandainya Harapan menewaskan BN, maka seorang Perdana Menteri "interim" wajar dinamakan supaya rakyat nampak hala tuju Harapan dalam menghadapi PRU 14. Barisan Kabinet pastinya akan diyakini rakyat jika watak-watak seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Liew Chin Tong, Sallehuddin Ayub dan Husam Musa turut diselitkan.


4) Media pro UMNO-BN sudah menjadikan isu ketiadaan calon PM yang jelas daripada pihak Harapan sebagai modal besar untuk menakutkan rakyat terutamanya bangsa Melayu dan masyarakat luar bandar. Kononnya, jika Harapan mengusai Putrajaya maka DAP akan menjadi ketua dan hilanglah kuasa majoriti Melayu.


5) Cadangan sudah mula kedengaran agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon PM Harapan. Sewaktu PRU 1999 beliau mendapat sokongan padu pengundi Cina kerana kemampuannya memulihkan ekonomi Malaysia selepas kemelesetan teruk 1997-1998. Imej beliau di mata majoriti Melayu sehingga kini tidak boleh ditandingi sesiapa. Sokongan Anwar pastinya akan menakutkan kem UMNO-BN. Calon Timbalan Perdana Menteri berkaliber yang lebih muda daripada PKR iaitu Datuk Seri Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor pastinya mampu memberi satu HARAPAN besar kepada Malaysia untuk bangkit semula dan tidak perlu menunggu hingga tahun 2050 untuk maju jaya !

Guru Menurut William Arthur Ward

1) Guru yang biasa-biasa memberitahu (ajar apa yang patut diajar).


2) Guru yang baik menjelaskan (menerang sebab dan akibat sesuatu itu).


3) Guru yang lebih baik mendemonstrasikan (menunjuk cara, memberi contoh benar).


4) Guru yang hebat memberi inspirasi (kata-katanya diingati, diyakini dan mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk menjadi manusia yang hebat)


5) " Sama ada Guru itu hebat ataupun tidak, tidaklah boleh dilihat kepada berapa banyak hadiah yang didapatinya sewaktu Hari Guru tetapi selepas 20-30 tahun, berapa banyak anak muridnya masih mampu mengingat kata-kata dan tindakannya yang memberi inspirasi kepada mereka. " : Fendi Ahmad 


18/05/2017

Koperal Polis Ada Tunai RM800 000 di Rumah !

" Seorang anggota Polis berusia 52 tahun berpangkat Koperal di tahan SPRM kerana terlibat dengan aktiviti meminta wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka. Wang tunai sekitar RM800 000 ditemui SPRM dalam serbuan di dalam stor rumah Koperal itu ! Koperal bukanlah satu jawatan yang tinggi dalam institusi Polis, masyarakat akan mula berteka-teki tentang WABAK RASUAH di kalangan anggota keselamatan itu. Kalau Koperal boleh 'sehebat' begitu, bagaimana pula ..... ? Koperal terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri Melaka. Sejak akhir-akhir ini kegiatan RASUAH yang terbongkar seakan semakin menjadi-jadi di negeri Melaka. Imej negeri Sang Kancil ini tidak sepatutnya rosak dek kegiatan RASUAH berjela-jela. "
Fendi Ahmad
18 Mei 2017

OCPD Lindungi Judi Haram ?

" Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Ketua Polis Daerah Jasin di Melaka ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan rasuah. Tuduhan yang dihadapi dua orang "OCPD" ini ialah menerima rasuah dengan memberikan perlindungan kepada aktiviti pusat judi haram dan rumah urut haram di kawasan mereka. Andainya kes-kes ini didapati benar maka amatlah dikesali rakyat. Kita akui majoriti polis menjalankan tugas dengan amanah dan cekap tetapi Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak boleh memandang isu ini dengan mudah. Integriti Polis di mata rakyat semakin menipis, ianya perlu dikuatkan semula. Contohnya, perlu diperhatikan bagaimana seorang Polis berpangkat Konstabel atau Koperal yang baru bekerja setahun dua boleh memakai kereta Honda City ataupun Toyota Vios kelas atas yang bayaran bulanannya boleh mencecah hampir RM1000. Renung-renungkan. "


Fendi Ahmad 

18 Mei 2017

15/05/2017

Projek-Projek Negara China di Bumi JDT

1) FOREST CITY - Country Garden Holdings: RM450 Bilion


2) PRINCESS COVE - R&F Properties Co: RM24.5 Bilion


3) Projek di Tebrau dan Danga Bay - Greenland Group: RM20 Bilion


4) Di China, pemasaran unit-unit rumah mewah yang sedang dan akan dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Johor Baru itu dipopularkan dengan "tagline":


"Invest in the next Shenzhen"

"Right next to Singapore"


Langsung tidak sebut Johor atau Malaysia !


5) Projek Forest City yang dibangunkan di atas EMPAT pulau yang ditambak berjaya menjual 16000 unit kondominium di atas pulau pertamanya sehingga akhir 2016. 70% pembelinya adalah warganegara China. Selebihnya banyak juga dari negara jiran, Singapura. Jumlah rakyat Malaysia yang "mampu" membelinya adalah kecil, tidak signifikan ! Taraf diberi ialah FREEHOLD, milik kekal selagi ada bumi dan matahari.

Mana Dia Shahrol Halmi ?

" Perdana Menteri Malaysia sayang sungguh dengan Arul Kanda, CEO 1MDB. Jauh di China, PM Najib kata Arul Kanda kekal CEO 1MDB. Kata PM, dia ada keyakinan penuh pada Arul. Kita mahu tanya PM, kenapa sehingga sekarang tiada cubaan untuk membawa bekas CEO 1MDB yang namanya Shahrol Halmi ke muka pengadilan untuk dipertanggungjawabkan ke atas PENYELEWENGAN DAN PENYALURAN USD700 Juta (kira-kira RM3 Bilion) DUIT 1MDB SECARA HARAM ke akaun peribadi milik Jho Low ? PM atau Peguam Negara jangan lupa itu bukan cadangan DAP, PKR atau Tun Mahathir tetapi saranan rasmi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang melibatkan wakil-wakil ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. "


Fendi Ahmad 

15 Mei 2017

14/05/2017

MCA & Parti Komunis China

" MCA secara rasmi telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dengan PARTI KOMUNIS CHINA dalam isu-isu berkaitan pendidikan dan kebudayaan. Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak melawat China buat kali ke dua dalam tempoh 6 bulan, sedaya upaya harap negara dan syarikat China bantu labur duit Bilion-Bilion ke Malaysia, MCA pula sambil teman Najib, jumpa PARTI KOMUNIS CHINA pula. TV3 dan Utusan wajib beritahu Melayu tentang kerjasama MCA dan Komunis ini ! Eh, ini bukan kerja DAP ! "


Fendi Ahmad 

14 Mei 2017

12/05/2017

UMNO Sudah Mati Sewaktu Usianya 42 Tahun

" UMNO yang ditubuhkan Dato Onn Jaafar pada 11 Mei 1946 telah DIHARAMKAN dan dibatalkan statusnya pada 4 Februari 1988 oleh mahkamah. UMNO Baru telah diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang diumumkan pada 12 Februari 1988. UMNO yang lahir pada 1946 telah MATI ketika berusia 42 tahun pada tahun 1988. Bagaimana pula satu Malaysia boleh diberitahu Presiden UMNO Baru Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa parti yang diketuainya itu menyambut ulang tahun penubuhan ke 71 ? Yang disambut ialah UMNO yang telah MATI ? UMNO yang ada ini usianya belum cecah 30 tahunpun sebenarnya. Janganlah asyik mengelirukan orang kampung dan Melayu. "


Fendi Ahmad 

12 Mei 2017

UMNO Mampu Bayar, Apa Masalahnya ?

" Untunglah UMNO kerana sempena sambutan hari jadinya yang ke 71 mampu membayar WANG yang semestinya amat besar untuk iklan-iklan berkos mewah yang cukup besar lagi bercahaya di lokasi-lokasi strategik seperti Pavilion, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama dan Segambut. Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor kata janganlah ada yang marah dan tidak puas hati, itu semua cemburu katanya. Adnan kata UMNO bayar, apa masalahnya ? Angkuh saja bunyinya. Orang kampung mahu ke pemimpin macam itu yang katanya menjaga Melayu dan berjiwa Melayu ? "


Fendi Ahmad 

12 Mei 2017

11/05/2017

UMNO dan PAS Bersahabat ?

" Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketibaannya di majlis sambutan ulang tahun UMNO ke 71 menurut jadual rasmi adalah serentak dengan Presiden UMNO Mohd. Najib Abdul Razak (8.45 malam). Ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional hadir jam 7.45 malam, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula pada jam 8.00 malam dan Timbalan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tepat 8.20 malam. Nampaknya Presiden PAS kini jauh lebih istimewa dan penting di hati UMNO berbanding bos-bos daripada MCA, MIC, GERAKAN, myPPP, PBB, PBS dan lain-lain. Bolehlah umum terus PAS akan bekerjasama dengan UMNO menentang Pakatan Harapan untuk PRU 14 nanti. Mudah rakyat membuat pilihan. "


Fendi Ahmad 

11 Mei 2017

UMNO Tewas: UiTM Tutup ?

1) Seorang yang pernah jadi Naib Canselor UiTM dan kini bergelar Profesor Emeritus kata tidak salah untuk UMNO menggunakan pelajarnya dalam sambutan Ulang Tahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional (11 Mei 2017).


2) Dr. Sahol Hamid Abu Bakar kata UMNO ADA HAK untuk melakukannya kerana UiTM dicipta oleh UMNO untuk Melayu dan Bumiputera.


3) Bekas bos besar UiTM itu turut kata tidak salahnya pelajar dilibatkan dengan sambutan UMNO itu kerana ianya adalah satu proses pembelajaran yang bagus.


4) Sahol Hamid ini walau ada PhD dan bergelar Professor tapi amat menyedihkan pemikirannya. Ada baiknya dia umum untuk jadi ahli politik sepenuh masa di bawah UMNO dan minta sangatlah Presiden UMNO pilih dia sebagai calon Pilihan Raya. 


5) UiTM bukan sebuah universiti milik UMNO dan bukan UMNO yang membiayai segala kos perjalanannya dengan berbelas kampus itu. Ada beza antara parti dan Kerajaan. Adakah Sahol Hamid mahu kata juga "Tanpa UMNO berkuasa maka UiTM akan ditutup ?"

10/05/2017

Muhyiddin PM & Azmin TPM GANTIKAN Najib - Zahid ?

1) Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk memiliki Perdana Menteri ke 7 ?


2) Teori RAHMAN yang sudah berpuluh tahun usianya kata nama-nama PM Malaysia adalah mengikut teori itu: Abdul RAHMAN, ABDUL Razak, HUSSEIN Onn, MAHATHIR Mohamad, ABDULLAH Ahmad Badawi dan Mohd. NAJIB Abdul Razak. Selepas Najib, tamatlah teori itu. 


3) Pakatan Harapan melalui Menteri Besar Selangor, Mohd. Azmin Ali akhirnya kata mereka sudah ada calon Perdana Menteri untuk Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14. Ini cerita yang pastinya tidak disukai Barisan Nasional (BN) kerana satu PELURU yang diguna untuk menghentam Harapan sudah berkecai !


4) Desas-desus sudah mula timbul bahawa Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali akan diumumkan sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan sekiranya rakyat secara bersatu menolak BN.


5) Siapapun calon PM ke 7 di pihak Harapan perlulah diberi sokongan secara padu dengan niat bagi mengembalikan kegemilangan dan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara contoh sehingga digelar Harimau Asia  pada dekad 1990an di bawah pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad.



 

09/05/2017

Habis RM500 Juta, PEMANDU dibubarkan ?

1) Pada 1 Mei, "posting" saya berbunyi: PEMANDU Idea PM Najib Sudah Belanja RM500 Juta Tapi Rakyat Makin Miskin ?


2) Unit Pengurusan Prestasi & Perlaksanaan (PEMANDU) diketuai Idris Jala sejak 2009 telah banyak mengambil alih peranan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan majoriti "orang-orang" PEMANDU menerima bayaran gaji yang cukup besar.


3) Tanpa ribut tanpa gempa, Idris Jala kata PEMANDU sudah DIBUBARKAN sejak 1 Mac 2017 ! Kini segala tugas PEMANDU yang Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak percaya sepenuhnya bagi menjalankan idea-idea seperti GTP (Program Tranformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi) seolah DIMATIKAN mengejut.


4) Sasaran utama PEMANDU sejak 2009 ialah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dengan pendapatan purata per kapita rakyat mencecah USD$15000. Malangnya pendapatan per kapita rakyat semakin menurun sejak 2013. 


5) Selepas kira-kira 8 tahun ditubuhkan PM Najib dengan kos perbelanjaan mencecah RM500 000 000, PEMANDU dengan mudahnya dibubarkan begitu sahaja tanpa perlu bertanggungjawab di atas kegagalannya ?

Rasuah RM19 Juta

" Rasuah melibatkan angka melebihi RM19 000 000 oleh seorang yang memegang jawatan Pegawai Khas kepada Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah dalam tempoh 7 bulan pada tahun 2016 ! Manusia bernama Mohd. Yusof Abu Hassan atau lebih dikenali di kalangan ahli UMNO Melaka sebagai Yusof Suros itu didakwa di mahkamah hari ini dengan 11 tuduhan penggubahan wang haram dan 4 kes pecah amanah. Jika seorang yang hanya memegang jawatan pegawai pembantu kepada Datuk Bandar boleh pecah amanah sehingga lebih RM19 Juta, apakah ianya langsung tiada kaitan dengan orang di atasnya dan orang di atas orang di atasnya pula ? Moga tiada yang disembunyikan dan kebenaran terserlah. "


Fendi Ahmad 

9 Mei 2017

07/05/2017

Tun Dr. Siti Hasmah & Datuk Seri Dr. Wan Azizah: Gandingan Ibu Luar Biasa

1) Ini muka depan majalah Keluarga terbitan Karangkraf keluaran Mei 2017.


2) Pertama kali saya beli majalah Keluarga hanya kerana dua wajah ibu hebat Malaysia ini.


3) Mereka pernah menjadi gandingan dua wanita utama Malaysia di antara tempoh 1993 dan 1998 sewaktu suami masing-masing bergelar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.


4) Dr. Siti Hasmah kini suaminya adalah Pengerusi Parti Pribumi BERSATU Malaysia. Dr. Wan Azizah pula adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mana suaminya adalah Ketua Umum PKR. 


5) Pakatan Harapan (PH) yang akan masuk gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 menentang Barisan Nasional (BN) bersetuju mengiktiraf Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Pakatan manakala Dr. Wan Azizah bertindak sebagai Pengerusi. Apa lagi Malaysia mahu ? Demi masa depan negara, kisah lama diketepikan. Positiflah untuk Malaysia !


#selamatkanMalaysia

#selamatkanRakyat

#ubahdemimasahadapan



05/05/2017

RM Makin Murah, Kos Hidup Makin Naik

" Apa akan jadi pada Malaysia ? Harga minyak dunia awal Mei 2017 menurun bawah USD$50 satu tong. Paling menakutkan ialah nilai Ringgit Malaysia (RM) MAKIN MENURUN berbanding dengan semua matawang utama. Minyak dunia turun maknanya PENDAPATAN Kerajaan Malaysia TURUN, RM turun maknanya kos hidup rakyat akan naik. Dengan US Dollar, RM turun ! Dengan Pound Sterling, RM turun ! Dengan Dollar Singapura, RM turun ! Dengan Yen Jepun, RM turun ! Turun berjemaah. Maknanya hampir dengan semua matawang utama dunia Ringgit kita makin murah dan murah. Harapnya jangan ada pula Menteri yang kata, RM masih kuat berbanding matawang Mongolia, Korea Utara ataupun Mozambique. #SELAMATKANMALAYSIA #PEMIMPINBIJAKMALAYSIASELAMAT "
Fendi Ahmad
5 Mei 2017

04/05/2017

Tunku Abdul Rahman Putra

" Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Sultan Abdul Hamid sewaktu pencen sebagai PM pada tahun 1970 mendapat pencen sebanyak 4000 Ringgit sebulan. Setelah disemak beliau ada tunggakan cukai tidak berbayar kira-kira 80 000 Ringgit. Tunku tidak mempunyai duit tunai sebanyak itu lalu duit pencennya ditolak kepada Kerajaan untuk menyelesaikan cukai tertunggak itu. Itulah dia Bapa Kemerdekaan Malaysia yang lebih kaya sebelum menjadi PM berbanding selepas tamat tempoh 15 tahun menjadi orang nombor satu Kerajaan (1955, Ketua Menteri Malaya dan seterusnya Perdana Menteri pada tahun 1957). Berubahlah Malaysia ke arah negara yang BERSATU - BERAMANAH - BERMARUAH. "


Fendi Ahmad 

4 Mei 2017

03/05/2017

BN Menang Di Dalam Kalah

" 5 Mei 2017 ini tepatlah 4 tahun Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak memerintah negara ini dengan mandat yang diperolehnya sendiri selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO. Mohd. Najib jadi Perdana Menteri pada April 2009 melalui mandat Kerajaan yang diperoleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008. Malangnya, mandat yang diperoleh Mohd. Najib pada 5 Mei 2013 itu datang melalui sokongan kira-kira 48% pengundi sahaja. 52% pengundi tidak memangkah Barisan Nasional yang diketuai Mohd. Najib. Inilah pertama kali dalam SEJARAH Malaysia dipimpin seorang Perdana Menteri yang partinya tidak mendapat undi majoriti rakyat. Menang di dalam kalah. "
Fendi Ahmad
3 Mei 2017

02/05/2017

Di Manakah Negara Berkebajikan PAS ?

" Sahabatku di dalam PAS, perjuangan untuk Islam yang kamu dokong itu amatlah aku sanjungi, penolakan kepada GST kerana bersifat zalim itu juga menjadi pegangan kita bersama. Tetapi, tidakkah kamu wahai sahabat cuba memahami bahawa baru-baru ini Menteri Kewangan Malaysia telah menghalalkan duit Rakyat sebanyak RM11 250 000 000 digunakan untuk membayar sebahagian daripada hutang 1MDB ? Kenapa PAS seakan tidak kisah langsung kepada ROMPAKAN berbilion duit rakyat oleh sebuah Kerajaan kleptokrat ? Ringgit Malaysia semakin tidak diyakini dunia dengan nilai terendah dalam masa 8 tahun, kos hidup rakyat bertambah-tambah. Di manakah PAS yang mengutamakan tema Ke arah Negara Berkebajikan sewaktu Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih ada ? "


Fendi Ahmad 

2 Mei 2017

1MBD Bayar Hutang Guna RM11.25 Bilion Duit Rakyat Malaysia !

1) Heboh media massa seperti TV3, RTM, NST, BH dan Utusan beritahu rakyat KEJAYAAN 1MDB bayar "sedikit" hutangnya. Meriah sungguh berita-berita itu.


2) Malaysia dikatakan capai penyelesaian dengan Abu Dhabi bagi kes yang telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di London. Kes asalnya dibawa oleh pihak Abu Dhabi kerana 1MDB degil tidak mahu bayar hutang.


3) 1MDB melalui KERAJAAN MALAYSIA bersetuju membayar kira-kira RM11.25 Bilion kepada pihak di Abu Dhabi. Itu hanyalah sebahagian daripada hutang MEGA besar-besaran 1MDB !


4) Menurut laporan rasmi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hutang 1MDB sehingga Januari 2016 adalah mencecah RM50 Bilion. 


5) Hutang 1MDB mencecah RM50 000 000 000, bisnesnya langsung tiada membawa walau satu sen keuntungan, duit hutang yang 1MDB dapat pula BERBILION didapati telah HILANG, dimasuk ke dalam akaun peribadi di sana dan di sini DAN paling PARAH, hutang-hutang 1MDB dibayar menggunakan DUIT KERAJAAN  iaitu DUIT RAKYAT MALAYSIA. Kita bayar cukai itu cukai ini, RM11.25 Bilion duit kita telah dengan mudah digunakan Kerajaan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak untuk selamatkan 1MDB.


Siapa yang lebih disayangi Kerajaan PM Najib: 1MDB yang dibantu RM11.25 Bilion atau 30 Juta Rakyat Malaysia yang semuanya kena bayar GST ???

01/05/2017

PEMANDU Idea PM Najib Sudah Belanja RM500 Juta Tapi Rakyat Makin Miskin ?

1) PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi & Perlaksanaan) adalah idea Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak yang banyak mengambil alih tugas kakitangan Kerajaan di EPU (Unit Perancang Ekonomi). PEMANDU wujud sejak Najib jadi Perdana Menteri.


2) Najib ambil orang korporat bekas CEO MAS Idris Jala sebagai CEO PEMANDU. PEMANDU keluarkan idea-idea seperti GTP (Program Tranformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan katanya turut mengawal KPI (Indeks Prestasi Utama) semua Menteri Kabinet.


3) PEMANDU yakin meletakkan sasaran bahawa pada tahun 2020 pendapat per kapita Malaysia ialah USD$15000 sekaligus menepati kehendak PM Najib bahawa Malaysia adalah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


4) Malangnya, pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2016 ialah USD$8821, jatuh daripada USD$10345 yang dicapai pada tahun 2013 ! Maknanya apa ? Secara purata, PENDAPATAN RAKYAT MALAYSIA adalah semakin MENURUN dengan teruknya. Makin miskin sejak Pilihan Raya Umum ke 13 (2013) !


5) PEMANDU yang banyak "pakar-pakarnya" bukanlah kakitangan asal KERAJAAN dengan bayaran gaji besar dikatakan telah berbelanja kira-kita RM500 Juta sejak tahun penubuhannya, 2009. Berbaloikah ? Mana janji negara berpendapatan tinggi ?