16/03/2017

Saya Bukan Budak SPM 10 A (So what ?)

1) Saya tidak pernah menyesal atau kecewa dengan keputusan SPM yang diperoleh dahulu. 


2) Dalam kesebokan berterusan sepanjang Tingkatan Lima terlibat dengan pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen, menghabis masa setiap petang berlatih bercakap juga mengumpul maklumat untuk peringkat daerah Segamat, negeri Johor dan seterusnya Kebangsaan selain wakil sekolah juga untuk pertandingan Kuiz Pengguna (saya Presiden Kelab Pengguna sekolah, ala-ala jadi aktivis pengawal harga barang !), Kuiz Perdana (sejarah-sejarah berkaitan Perdana Menteri Malaysia dan politik), Kuiz Agama dan Kuiz Sains (sains tidak cemerlang mana tapi Cikgu ambil juga jadi simpanan ???) maka saya amat berpuas hati dengan keputusan SPM yang dicapai walaupun tidak capai sasaran untuk dapat Aggregat 6. 


3) Saya adalah generasi terakhir yang mengambil SPM yang mengamalkan sistem pangkat dan agregat. Keputusan terbaik pastilah Pangkat 1 dengan Aggregat 6. Pangkat 1 "cukup-cukup makan" ialah Aggregat 24. Lepas itu ada Pangkat 2, Pangkat 3 dan yang "kurang nasib baik" sekadar diberikan Sijil Am Pelajaran. 


4) Saya tamatkan alam sekolah menengah dengan SPM Pangkat 1, Aggregat 8. Itulah hasilnya. Walaupun saya tidak dapat 10 A tetapi saya tetap bangga kerana saya dapat A1 untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Sejarah dan Prinsip Akaun. Empat subjek lain iaitu Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan memang gagal dapat A, sekadar "Credit" semuanya. C3 untuk Matematik Tambahan dan Biologi, C4 untuk Fizik dan C5 untuk Kimia.


5) Malam peperiksaan Biologi saya langsung tidak baca buku kerana menonton siaran langsung Anugerah Juara Lagu 1999. Juaranya M Nasir dengan lagu Andalusia ! Saya juga langsung tidak masuk sebarang kelas tusyen swasta. Kelas tusyen anjuran cikgu sekolah juga saya tidak pernah datang kerana satu sekolah tahu waktu petang selepas kelas biasa, si Fendi ini pergi berlatih BERCAKAP. Pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen daripada satu peringkat ke satu peringkat memang memenatkan dan seolah itu tugasan utama saya sewaktu Tingkatan Lima dan SPM jadi nombor dua. Pernah saya menyesal ? Jawapannya tidak. Sehingga hari ini saya bersyukur dan berbangga kerana saya pernah mempunyai rekod sebagai antara "tukang cakap" terbaik yang pernah dihasilkan negeri Johor baik sebagai tukang cakap forum ataupun tukang cakap debat pada tahun 1999 itu. Syukur kepada Tuhan.

No comments:

Post a Comment