31/03/2017

UMNO Dilanda Kepimpinan Lemah ?

" Naib Presiden PAS Iskandar Abdul Samad yang juga Exco Selangor kata UMNO hari ini mempunyai kepimpinan PALING LEMAH sejak Barisan Nasional tertubuh. UMNO juga dikatanya sebagai tidak boleh diharap untuk mempertahankan Islam. Apa lagi yang ahli mahupun penyokong UMNO mahu tunggu lagi ? PAS yang dipimpin Abdul Hadi Awang juga tidak wajar kelihatan bermesraan dengan UMNO atau sengaja gigih mengambil risiko sama-sama dikebumikan rakyat di Pilihan Raya Umum ? "


Fendi Ahmad 

31 Mac 2017

30/03/2017

Apa Sudah Jadi Sama Tok Najib ?

1) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sudah jadi PM Malaysia selama 8 tahun.
2) Enam tahun pertama, Timbalan beliau ialah Muhyiddin Yassin dan seterusnya Ahmad Zahid Hamidi.
3) Muhyiddin 'terpecat' pada tahun 2015 kerana menyoal berkaitan 'derma' RM2.6 Bilion yang masuk terus ke akaun peribadi Najib melalui AMBANK. Najib kata itu derma 'Raja Arab' untuk parti tetapi pelik ianya tidak masuk ke akaun parti dan seorang bergelar TIMBALAN PERDANA MENTERI dan TIMBALAN PRESIDEN UMNO (Muhyiddin) sendiri tidak tahu menahu tentang derma itu. Kenapa perlu 'sembunyi-sembunyi' ?
4) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kira-kira dua minggu lepas kata KERAJAAN sendiri akan meneruskan bacaan di Parlimen berkenaan rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Secara tiba-tiba (29 Mac 2017), Najib pula berkata Kerajaan di bawah Barisan Nasional tidak akan meneruskan bacaan tersebut dan ianya terus menjadi 'persendirian' dan akan dibentangkan di Parlimen jika diteruskan pihak lain (PAS).
5) Apa sudah jadi dengan PM Najib ? Dua isu besar berkaitan dengan 'DERMA BILION' dan 'hukum Islam' memperlihatkan beliau seolah tidak sama aliran dengan Timbalan Perdana Menteri yang dipilihnya sendiri. Masing-masing mengeluarkan kenyataan yang bertentangan walhal mereka sepatutnya sentiasa 'seiring dan sejalan, seia dan sekata' demi kebaikan negara tercinta.

29/03/2017

Ini Orang Kuat Mahathir

1) Hari ini (29 Mac 2017) saya masuk satu kursus berkaitan pengurusan kualiti. Waktu sarapan duduk semeja dengan seorang yang berusia "otai" jugalah berbanding saya.


2) Kebetulan topik yang dibincangkan "geng semeja" adalah sesuatu berkaitan dengan keinginan sesuatu syarikat yang "tinggi-tinggi" sahaja tapi tiada cukup duit.


3) "Abang otai" itu tiba-tiba bagitahu orang lain - Fendi ni tahulah, diakan ORANG KUAT MAHATHIR. Dia fahamlah sangat.


4) Saya tersenyap sedetik-dua sebelum ketawa. Spontan saya kata - Eh, tahu juga ke ? Ini macam semua tahu pulak - Semua orang ketawa. Si "abang otai" respon - Eh, mestilah tahu.


5) "Abang otai" itu tiada dalam FB saya dan sepanjang saya dalam perkhidmatan memang tidak pernah duduk semeja apalagi berborak dengannya. Selalunya sekadar senyum dan tegur dengan sebutan "Bang" bila terserempak. Apapun, saya terima ianya sebagai sesuatu yang positif.

28/03/2017

Prestasi Ekonomi Sebenar Di Mata Rakyat Malaysia

1) Kadar inflasi terus meningkat - Harga barang naik dan naik.


2) Jumlah pemegang ijazah menganggur meningkat - Peluang pekerjaan semakin susah.


3) Penerima BR1M meningkat - Rakyat berpendapatan rendah ramai.


4) Kes pemberhentian kerja meningkat - Ekonomi negara tenat.


5) Permohonan pinjaman rumah ditolak bank semakin meningkat - Sektor perbankan ketakutan.

Inflasi Semakin Meningkat, Rakyat Semakin 'Miskin' ?

" Inflasi Malaysia untuk Februari 2017 adalah yang tertinggi sejak era Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak bermula pada tahun 2009. Kadar indeks pengguna (CPI) bagi Februari 2017 adalah 4.5%. Inflasi bulanan adalah dikira berdasarkan perbandingan dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Maknanya apa ? Secara purata, harga barangan di Malaysia pada bulan Februari 2017 NAIK sebanyak 4.5% (lebih mahal semuanya) berbanding bulan Februari 2016. Itu adalah secara PURATA. Tidak semua benda / perkhidmatan digunakan atau dibeli rakyat. Seandainya inflasi khas dikira untuk bahan-bahan keperluan ASAS rakyat terutamanya yang berkaitan dengan makanan, pakaian dan keperluan bayi, maka PASTInya inflasi Malaysia bukan naik 4.5% tetapi mungkin boleh mencecah 10% ! Sedar atau tidak sedar, HIDUP rakyat semakin MISKIN walau masih kelihatan biasa-biasa lagi. "
Fendi Ahmad
28 Mac 2017

24/03/2017

Forest City, Johor

" Projek bandar pintar Forest City, Johor bernilai kira-kira  RM100 Bilion dibangunkan syarikat Country Garden dari China di atas 4 pulau buatan manusia dengan majoriti besar pembeli aset-aset status milik kekalnya (freehold) adalah warganegara China. Projek kebanggaan Kerajaan Malaysia dan disokong kuat Kerajaan Johor itu akan menghadapi MASALAH besar andainya langkah terbaru Kerajaan China untuk menghadkan jumlah wang yang boleh dibawa keluar dari negaranya melalui dasar kawalan modal diteruskan. Menteri Besar Johor Mohd. Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap yang mati-matian mempertahankan status projek tersebut yang dikecam Bapa Pemodenan Malaysia Dr. Mahathir Mohamad nampaknya perlu kerja keras lagi ! "


Fendi Ahmad 

24 Mac 2017

23/03/2017

Bajet Terlebih

" Perbelanjaan Kerajaan Malaysia untuk tahun 2016 sememangnya jauh melebihi pendapatan dan ianya disahkan di Parlimen melalui Bajet 2016. Bajet defisit namanya. Apa yang lebih MENAKUTKAN ialah perbelanjaan Kerajaan yang sebenar untuk tahun 2016 adalah TIDAK seperti yang diluluskan, MELEBIHI HAMPIR RM4 Bilion ! Pastilah ianya bererti satu penambahan HUTANG negara. Sudahlah bajet defisit, bertambah pula lagi selepas perbelanjaan sebenar berlaku. Tiada siapa mahu bertanggungjawab di atas SALAH BAJET yang bernilai berbilion Ringgit ini ? "


Fendi Ahmad

23 Mac 2017


20/03/2017

Perdana Menteri Kata DUNIA Kata Malaysia Terbaik di DUNIA

1) Perdana Menteri kata The Economist kata Malaysia adalah antara 10 negara paling berkembang ekonominya di DUNIA.


2) Perdana Menteri kata PriceWaterhouse Coopers kata Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) antara 25 terbaik di DUNIA menjelang tahun 2030.


3) Perdana Menteri kata International Living Magazine kata perkhidmatan kesihatan Malaysia adalah ke tiga terbaik di DUNIA.


4) Perdana Menteri kata US News & World Report kata Malaysia adalah negara terbaik di DUNIA untuk tujuan pelaburan bagi tahun 2017.


5) Empat kenyataan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri Malaysia kata Malaysia memang semakin maju, semakin kaya, semakin makmur. Secara logiknya, kemajuan-kekayaan-kemakmuran itu haruslah DIRASAI, DIKONGSI dan DIBANGGAI seluruh rakyat Malaysia. Mudah kata, rakyat semakin rasa senang dan selesa, itu yang sepatutnyalah.


Apa Kata Rakyat Malaysia Pula ?

18/03/2017

Rasuah Rasuah Rasuah !

" Seorang anggota Polis di Melaka berpangkat Sarjan ditahan SPRM kerena meminta dan menerima RASUAH tunai sebanyak RM6000 untuk balasan melepaskan seorang pesalah yang ditahan polis kerana meminum air ketum. Sarjan itu adalah seorang WANITA BUJANG yang baru berusia 27 tahun tetapi sudah licik meminta dan menerima RASUAH bernilai ribuan Ringgit ! Beliau ditahan SPRM di sebuah restoran makanan segera di Alor Gajah (17 Mac 2017). RASUAH kini adalah MUSUH nombor satu negara ! Pangkat bawah-bawah rasuahnya ribu-ribu, yang pangkat atas-atas pula rasuahnya juta-juta. Dunia pula kata ada rasuah di Malaysia sudah main BILION-BILION ! Kita semua wajib SELAMATKAN MALAYSIA ! "


Fendi Ahmad 

18 Mac 2017

Ada Ijazah Perubatan Jadi "Bapak Ayam"

" Seorang graduan ijazah perubatan berusia 28 tahun lulusan universiti dari Mesir dihadapkan ke mahkamah atas lebih 70 tuduhan mengedar dadah kepada pelajar-pelajar kolej yang majoritinya wanita. Dia juga menjadi BAPA AYAM kepada aktiviti bisnes pelacuran di sekitar Subang Jaya dan Kuala Lumpur melibatkan 5 wanita untuk tempoh pertengahan tahun 2016 sehingga Februari 2017. Selain itu, ada satu kes melibatkan rogol gadis berusia 14 tahun. Masalah moral dikalangan orang muda yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi sebenarnya TERAMAT BERBAHAYA lagi menakutkan jika difikirkan secara mendalam. Adakah ini antara petanda Malaysia terlebih beri perhatian kepada budaya 10A+ sehinggga perhatian kepada nilai moral dan sivik terlepas pandang ? "


Fendi Ahmad 

18 Mac 2017

17/03/2017

Bajet Seimbang Pada Tahun 2022 ?

" Awal Mac 2017 sewaktu merasmikan pembukaan sidang Parlimen, Yang Di Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah bahawa Kerajaan Baginda akan mencapai Bajet berimbang (tanpa defisit: bajet perbelanjaan Kerajaan tidak akan melebihi anggaran pendapatan Kerajaan)pada tahun 2020. Tiba-tiba Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani pada 16 Mac 2017 berkata Kerajaan memerlukan sekitar 2 tahun tambahan (2022) bagi mencapai bajet seimbang dan sasaran tahun 2020 itu adalaj sesuatu yang tidak boleh dicapai. Kerajaan WAJIB bertanggungjawab dengan teks titah Sultan Muhammad V yang semestinya dititahkan dengan perkenan Baginda selepas disediakan Kerajaan Baginda yang diketuai Perdana Menteri. Tidakkah ini sesuatu yang memalukan institusi Agong ? "


Fendi Ahmad 

17 Mac 2017

16/03/2017

Saya Bukan Budak SPM 10 A (So what ?)

1) Saya tidak pernah menyesal atau kecewa dengan keputusan SPM yang diperoleh dahulu. 


2) Dalam kesebokan berterusan sepanjang Tingkatan Lima terlibat dengan pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen, menghabis masa setiap petang berlatih bercakap juga mengumpul maklumat untuk peringkat daerah Segamat, negeri Johor dan seterusnya Kebangsaan selain wakil sekolah juga untuk pertandingan Kuiz Pengguna (saya Presiden Kelab Pengguna sekolah, ala-ala jadi aktivis pengawal harga barang !), Kuiz Perdana (sejarah-sejarah berkaitan Perdana Menteri Malaysia dan politik), Kuiz Agama dan Kuiz Sains (sains tidak cemerlang mana tapi Cikgu ambil juga jadi simpanan ???) maka saya amat berpuas hati dengan keputusan SPM yang dicapai walaupun tidak capai sasaran untuk dapat Aggregat 6. 


3) Saya adalah generasi terakhir yang mengambil SPM yang mengamalkan sistem pangkat dan agregat. Keputusan terbaik pastilah Pangkat 1 dengan Aggregat 6. Pangkat 1 "cukup-cukup makan" ialah Aggregat 24. Lepas itu ada Pangkat 2, Pangkat 3 dan yang "kurang nasib baik" sekadar diberikan Sijil Am Pelajaran. 


4) Saya tamatkan alam sekolah menengah dengan SPM Pangkat 1, Aggregat 8. Itulah hasilnya. Walaupun saya tidak dapat 10 A tetapi saya tetap bangga kerana saya dapat A1 untuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Sejarah dan Prinsip Akaun. Empat subjek lain iaitu Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan memang gagal dapat A, sekadar "Credit" semuanya. C3 untuk Matematik Tambahan dan Biologi, C4 untuk Fizik dan C5 untuk Kimia.


5) Malam peperiksaan Biologi saya langsung tidak baca buku kerana menonton siaran langsung Anugerah Juara Lagu 1999. Juaranya M Nasir dengan lagu Andalusia ! Saya juga langsung tidak masuk sebarang kelas tusyen swasta. Kelas tusyen anjuran cikgu sekolah juga saya tidak pernah datang kerana satu sekolah tahu waktu petang selepas kelas biasa, si Fendi ini pergi berlatih BERCAKAP. Pertandingan Forum Remaja dan Debat Ala Parlimen daripada satu peringkat ke satu peringkat memang memenatkan dan seolah itu tugasan utama saya sewaktu Tingkatan Lima dan SPM jadi nombor dua. Pernah saya menyesal ? Jawapannya tidak. Sehingga hari ini saya bersyukur dan berbangga kerana saya pernah mempunyai rekod sebagai antara "tukang cakap" terbaik yang pernah dihasilkan negeri Johor baik sebagai tukang cakap forum ataupun tukang cakap debat pada tahun 1999 itu. Syukur kepada Tuhan.

15/03/2017

Pantai Lido di "Bunuh" Bangsa Johor ?

" Tambak Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu "
1) Saya keluarkan lirik awal lagu epik Tanjung Puteri yang jelas menjadi kebangaan Bangsa Johor sejak zaman-berzaman.
2) Perasan atapun tidak, PANTAI LIDO yang disebut di dalam lagu itu sudah menjadi SEJARAH dan hanya tinggal di dalam lagu.
3) Pantai Lido yang jadi sebutan Bangsa Johor itu adalah DANGA BAY yang terkenal sekarang. Saya takut jika ada Bangsa Johor yang tidak faham apa maksud BAY itu ! Mahu kedengaran internasional agaknya.
4) Majoriti projek-projek hartanah dan perumahan bertaraf mewah yang telah, sedang dan akan dibangunkan di Danga Bay itu dikuasai syarikat-syarikat pembinaan yang datang dari negara China. Syarikat-syarikat 'made in China' seperti Country Gardens Holdings, Guangzhou R&F Properties dan Greenland Group nampaknya mendapat layanan cukup istimewa di Johor.
5) Tolak tepi projek kontroversi Forest City di Johor yang juga 'diusahakan' syarikat dari negara China, adakah Bangsa Johor tidak terasa apa-apa apabila bukan setakat nama Pantai Lido 'dikebumikan' malah projek tanahnya semakin dikuasai sentuhan 'made in China' ?

13/03/2017

KWSP Tak Cukup Untuk Terus Hidup !

1) Sehingga tahun 2016, ada 14.72 juta rakyat Malaysia yang mempunyai akaun KWSP. Pencarum / penyimpan yang AKTIF pula hanyalah sekitar 6.83 juta orang.
2) Sesuatu yang menakutkan ialah hanya 22% daripada pencarum / penyimpan aktif KWSP yang mempunyai simpanan minima RM228 000 yang dianggap sebagai jumlah paling sedikit diperlukan oleh seseorang selepas bersara.
3) Kadar RM228000 itu dibuat secara mudah dengan andaian seseorang itu boleh menggunakan RM950 setiap bulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia 55 tahun. Ini berdasarkan purata hayat penduduk Malaysia ialah sehingga 75 tahun dan RM950 adalah jumlah keperluan asas individu untuk setiap bulan.
4) Lebih menakutkan ialah hampir 70% daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50000 di dalam KWSP.
5) Perkara ini amat jarang diberikan perhatian oleh pihak Kerajaan. Kelangsungan kehidupan rakyat Malaysia yang majoritinya hanya bergantung kepada KWSP sebagai sumber simpanan tunggal untuk hari tua adalah di dalam risiko yang cukup besar ! Janganlah jawapannya sekadar BR1M kan ada. Baik Kerajaan mahupun pihak yang bercita-cita mahu menjadi Kerajaan, WAJIB memberi cara dan kaedah yang lebih menjamin masa depan rakyat Malaysia di HARI TUA nanti.



11/03/2017

TANAHAIR Yang Terjual ?

" Perjanjian Inggeris-Kedah 1786, Pulau Pinang DISERAH kepada Inggeris. Perjanjian Pangkor 1874, Perak DISERAH kepada Inggeris. Perjanjian melibatkan Temenggung Abdul Rahman (Johor) pada 1819 pula Singapura DISERAH kepada Inggeris. Sejarah bukan sekadar untuk dihafal tetapi untuk dijadikan tauladan dan ingatan. Jika pada tahun 2017 ini kita bercerita tentang "TANAHAIR dijual" kepada pihak dari negara China maka bolehlah kita nyanyikan lagu Sejarah Mungkin Berulang. Awas ! "


Fendi Ahmad 

11 Mac 2017

05/03/2017

Orang Najib Kata Tun M Nyanyuk

" Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak yang bernama Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad kelihatannya cukup BIADAP, KURANG AJAR dan umpama MAKHLUK HILANG PEDOMAN apabila membuat kenyataan rasmi pada 27 Februari 2017 bahawa Perdana Menteri ke 4 Dr Mahathir Mohamad adalah harimau tua yang sama ada nyanyuk atau pembohong. Inikah sahaja yang termampu dibuat oleh pasukan orang-orang kanan Perdana Menteri dalam mempertahankan kredibiliti Najib yang semakin rosak dan amat sukar untuk dibaik pulih ? Segala kritikan Dr. Mahathir nampaknya berterusan gagal dijawab dengan kaedah lebih bijaksana sebaliknya hanya dengan mentaliti I.Q murahan. "

Fendi Ahmad
5 Mac 2017

04/03/2017

Dapur Rakyat Langkawi

" Projek Dapur Rakyat oleh seorang peniaga makanan di Langkawi menggenakan bayaran RM3 (ahli) atau RM5 (bukan ahli) untuk santapan makan tengahari dengan 10 pilihan hidangan ala-ala kenduri. Saya pasti mahu mencari tempat ini pada lawatan akan datang ke Langkawi Pulau Lagenda yang amat saya sukai itu dek kerana sayangnya Tun Dr. Mahathir Mohamad kepadanya. Walau tidak kenal peniaga itu, saya doakan beliau diberikan rezeki dan kebahagian hidup berterusan daripada Tuhan. Ini macam kalahlah banyak otak-otak Menteri Malaysia ! "


Fendi Ahmad 

4 Mac 2017

03/03/2017

Raja Salman dan Derma RM2.6 Bilion

" Menteri Nazri Aziz kata kehadiran Raja Salman dari Arab Saudi ke Malaysia adalah BUKTI bahawa tiada masalah berkenaan DERMA RM2.6 Bilion ke akaun Perdana Menteri Mohd Najib Abdul RAzak dan Raja itu sendiri tidak berkata apa-apa berkenaan isu itu. Saya ingin memaklumkan Nazri Aziz bahawa Raja Salman bukanlah Raja Arab Saudi semasa DERMA itu berlaku. Beliau menggantikan kakandanya (abang) pada awal 2015. DERMA yang didakwa Najib datangnya daripada kerabat Raja Saudi itu berlaku pada awal 2013. Lagi satu, Raja Salman mahupun sesiapa daripada rombongan Baginda tidak perlu kata apa-apa KERANA apa yang dikatakan DERMA RM2.6 Bilion itu sememangnya tidak wujud dan itu adalah MASALAH Malaysia dan MASALAH Perdana Menteri Malaysia sahaja. Mereka hanya bersikap professional dan tidak akan berkata apa sahaja yang tidak berkaitan. Sehingga Mac 2017 ini TIADA satupun bukti mahupun kenyataan rasmi daripada pihak Arab Saudi mengatakan mereka sememangnya memberi DERMA peribadi istimewa kepada Perdana Menteri Malaysia. "
Fendi Ahmad
3 Mac 2017

02/03/2017

Melayu Jual Melayu ?

" Menteri Besar Johor Khaled Nordin adalah pengkhianat sebenar BANGSA JOHOR. Kalau Melayu Johor mahu mudah faham, bukan DAP yang membangsatkan Melayu Johor tetapi Melayu seperti Khaled Nordin inilah yang boleh kita salahkan. Dalam menghalalkan SKANDAL penukaran status kediaman / tanah Bumiputera kepada umum, Menteri Besar yang dikatakan TIDAK SOMBONG itu berkata bahawa sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status bumiputera adalah satu amalan kerajaan negeri Johor yang bertujuan untuk membantu semula Bumiputera. Adakah Menteri Besar UMNO berbangsa Melayu itu sudah KOSONG CARA dan KOSONG OTAK untuk membantu Bumiputera sehingga perlu mencari DUIT secara MENJUAL hak Bumiputera ? Ini namanya bukan DAP yang membodohkan Melayu tetapi Melayu sendiri ! "
Fendi Ahmad
2 Mac 2017

Gula Naik

" Rakyat Malaysia, tahniah kerana bulan Mac 2017 disambut dengan pemberian hadiah kenaikan harga GULA sebanyak 11 sen sekilogram dan kini satu kilo GULA adalah RM2.95. Untuk rekod, Malaysia di bawah Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak adalah yang pertama kali dalam sejarah telah menghapuskan terus sebarang subsidi untuk GULA pada tahun 2013. Menteri Kesihatan Dr. S. Subramaniam yang menang PRU2013 di Parlimen Segamat, Johor dengan majoriti sekitar 1200 undi sahaja berbanding kira-kira 5000 undi (2008) dan 7000 undi (2004) pasti BOLEH mengeluarkan skrip sama supaya rakyat kurangkan mengambil gula demi kesihatan kerana gula penyebab utama kencing manis. "


Fendi Ahmad 

2 Mac 2017

01/03/2017

Siapa Khianat Bangsa Johor ?

" Si Ahmad Fauzan yang berusia 25 tahun anak kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri , YB Datuk Abd Latif Bandi bersama lima individu lain telah ditangkap SPRM atas salah guna kuasa dan rasuah. 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta telah dibekukan. 21 kereta mewah, 5 motor berkuasa tinggi dan wang tunai setengah juta ringgit turut dirampas. Antaranya:
1) Nissan Skyline R35
2) Porsche Cayenne
3) Mercedes-Benz CLA 200
4) Bentley
5) Mercedes Benz G-Class
6) Range Rover
7) Motor berkuasa tinggi termasuk Harley Davidson & BMW
Andai kes dibuktikan benar, mudah sungguh budak berusia 25 tahun boleh kaya raya di luar batasan logik sedangkan kita rakyat biasa terpaksa bertungkus-lumus membina kehidupan. Adakah ini isu dalaman Bangsa Johor dan negeri Johor sahajakah? Bangsa Johor telah DIKHIANATI oleh malaun-malaun haramjadah ini yang nampaknya ada kaitan dengan UMNO ! "
Fendi Ahmad
1 Mac 2017