30/11/2016

Encik KJ Mahu "Serang" Tun Mahathir Mati-Matian

1) Dengan nada suara penuh semangat ala-ala pahlawan Melayu di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) mahu orang-orang muda UMNO lebih agresif SERANG gerakan "anti-UMNO, anti-Najib" yang dipimpin Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1981-2003), Dr. Mahathir Mohamad.

2) KJ kata perasaan rasa hormat kepada Dr. Mahathir perlu DIHAPUSKAN kerana beliau kini adalah pengkhianat UMNO.

3) Menantu Abdullah Ahmad Badawi itu juga berjanji bahawa Pemuda UMNO yang dipimpinnya akan menentang bermati-matian "pembelotan" yang dilakukan Dr. Mahathir kepada UMNO.

4) Dengan nada ego KJ menyeru kepada mana-mana ahli UMNO yang sudah tidak mahu bersama parti itu supaya keluar segera.

5) Kata KJ, "Kita sedang berperang, yang menentang kita lawan !" Kepada KJ kita jawab, "Mampukah Pemuda UMNO yang lesu, layu dan tiada aura itu berperang ? Tahukah mereka cara "berperang" ? Takut pula kalau yang mereka tahu hanyalah bergaya terlebih, berlagak bagus dan terkejar-kejar projek dan pangkat secara ekspress. Perang "pondan" bolehlah !

ALLAH Pilih Firaun dan Hitler: Setialah Pada Firaun dan Hitler ?

1) Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi kata ahli UMNO perlu setia kepada Presiden mereka Mohd. Najib Abdul Razak kerana dia dipilih ALLAH sebagai pemimpin mereka.
2) Kita terimalah apa yang Ahmad Zahid katakan itu kerana memang ada betulnya, Mohd. Najib jadi pemimpin kerana ALLAH izinkan ianya berlaku.
3) TETAPI, bab perlu / wajib setia itu rasanya Ahmad Zahid sudah keterlaluan. Adakah apabila seseorang telah menjadi pemimpin maka, selamanya, WALAU APA TERJADI, dia WAJIB menerima taat setia daripada mereka yang dipimpin ?
4) Ingatlah bahawa FIRAUN juga menjadi Raja Mesir dengan izin ALLAH. Ferdinand Marcos di Filipina juga jadi Presiden dengan izin ALLAH. Saddam Hussein di Iraq juga jadi Presiden dengan izin ALLAH. Adolf Hitler juga jadi pemimpin besar di Jerman dengan izin ALLAH. Apa terjadi ?
5) Ahmad Zahid pasti setuju bahawa Lim Guan Eng di Pulau Pinang jadi Ketua Menteri juga kerana ALLAH menentukannya dan PAS memegang Kelantan sejak tahun 1990 juga dengan izin kurnia ALLAH. Maka, 'wajib dan perlulah' rakyat negeri yang dipimpin Guan Eng dan PAS itu setia kepada Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan.

28/11/2016

Kepada UMNO (The END of UMNO ?)

1) Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO satu Malaysia bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO edisi 2016 daripada 29 November sehingga 3 Disember.

2) Jika tahun lepas, Presiden Mohd. Najib Abdul Razak merasmikannya dan di hari terakhir dia seorang sahaja membuat ucapan penggulungan, moga tahun ini perkara sama berlaku lagi. 
3) Kita harap Presiden Mohd. Najib Abdul Razak bolehlah guna peluang bercakap banyak itu untuk mempertahankan dirinya dengan bijaksana berserta bukti dan fakta kukuh untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa dia memang menjadi mangsa fitnah dalam skandal kehilangan berbilion duit 1MDB, derma 2.6 Bilion, penggunaan peribadi RM42 Juta duit SRC International dan bagaimana pula pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan beberapa negara lain merasa ada "kesalahan" berkaitan duit 1MDB berlaku tetapi di negara asalnya, "everything is okay." Jangan hanya cakap FITNAH, FITNAH dan FITNAH sahaja.

4) Jika tahun lepas, satu isu UTAMA dijadikan bahan persidangan iaitu peri pentingnya kesetiaan kepada kepimpinan. Tahniah kerana Presiden UMNO berjaya mendapat taat dan setia tidak berbelah bahagi daripada kira-kira 3000 perwakilan. Untuk rekod, perwakilan kebiasaannya adalah mereka yang berjawatan  di peringkat bahagian UMNO, "people with position."

5) Tahun ini apa pula isu utama ? Saya menjangkakan, isu terpenting yang akan menjadi "highlight" Persidangan Agung UMNO 2016 ialah serangan kepada "pengkhianat" seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Presiden UMNO "terpecat" Muhyiddin Yassin serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia secara keseluruhannya dan DAP yang akan digunakan untuk "menakut-nakutkan" Melayu di kampung-kampung.

Di mana dia demi agama, bangsa dan negara ?

Tanpa Hutang Maka Kita Sudah Tidak Mampu Bina Sekolah Baru dan Tar Jalan !

1) Merujuk kepada Bajet 2017 yang sudah diluluskan Parlimen. Perbelanjaan Kerajaan dianggarkan pada tahap RM261 Bilion.
2) Hasil Kerajaan pula dijangka pada jumlah RM220 Bilion. RM40 Bilion daripada hasil (pendapatan) Kerajaan disasarkan datang daripada kutipan GST (cukai barang dan perkhidmatan). Tanpa GST, Kerajaan akan lumpuh !
3) Dengan 'target' belanja lebih daripada pendapatan, maka kira-kira RM41 Bilion 'kekurangan' itu akan dijana daripada hutang.
4) RM261 Bilion yang mahu dibelanjakan untuk tahun 2017 itu perlu dibahagikan di antara 'belanja mengurus' dan 'belanja pembangunan.' Kira-kira RM215 Bilion akan digunakan untuk 'belanja mengurus' seperti bayaran gaji kakitangan awam, pencen dan mengurus segala jabatan juga institusi awam. Maka hanya tinggal RM46 Bilion untuk 'belanja pembangunan.' Tanpa HUTANG baru, Kerajaan hanya ada RM5 Bilion untuk 'belanja pembangunan !'
5) Mudah cakap, selepas ditolak segala 'belanja mengurus,' dengan unjuran pendapatan Kerajaan bagi tahun 2017, Malaysia sudah TIDAK MAMPU membina sekolah baru, jalan raya, dewan serbaguna, empangan dan apa jua infrastruktur untuk tujuan pembangunan negara. Jika 'belanja mengurus' diganggu untuk 'belanja pembangunan,' kakitangan awam pula tidak mampu dibayar gajinya !

27/11/2016

" Kek Yang Semakin Mengecil Pada Harga Yang Semakin Meningkat "


1) 10 - 12 tahun lepas pada harga lebih kurang separuh daripada sekarang, sepotong kek itu "besarnya" seperti dua ganda daripada sekarang.

2) Matematik logik boleh menyimpulkan bahawa jika saiz potongan kek itu sama seperti 10-12 tahun lepas maka harganya telah naik 4 ganda. Kalau dulu RM5, sekarang ialah RM20 ! 

3) Kek itu sebenarnya sudah naik 400% dalam masa 10-12 tahun. Harga naik seperti 100% tapi saiznya sudah jadi separuh mengecil.

4) Matematik "biasa-biasa" di mata "Jaguh-Jaguh" ekonomi yang disiarkan TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST pasti akan mengatakan harga kek itu hanya naik purata 8-10 % setahun  sahaja, berganda dua hanya setelah 10-12 tahun ! 

5) Pada "ilmu hebat" mereka, kek itu hanya naik 100% dalam masa 10-12 tahun, bukannya 400% ! Begitulah "kuasa ilmu" yang diguna untuk "membodohkan" si pendengar. Tapi si pendengar yang boleh "dibodoh" semakin kecil jumlahnya.

25/11/2016

Malaysia Makin Miskin (Rizab negara jatuh RM150 Bilion ?)

1) Simpanan rizab antarabangsa Malaysia setakat 31 Oktober 2016 adalah sebanyak USD 97.8 Bilion.

2) Pada awal tahun 2014, sebelum pelbagai masalah berlaku sama ada berkaitan ekonomi mahupun "skandal" 1MDB, rizab negara ialah sebanyak USD 133.2 Bilion.

3) Mudah kata, antara awal 2014 sehingga akhir 2016, Malaysia semakin "MISKIN." Perbezaan USD 35.4 Bilion itu bermakna daripada aspek simpanan rezab antarabangsa, Malaysia telah "MISKIN" 27% !

4) Menarik untuk dilihat bahawa dua negara jiran yang kita rasa "lebih miskin" dan "kurang maju" daripada Malaysia iaitu Indonesia dan Thailand, lebih "kaya." Simpanan rizab antarabangsa Indonesia ialah sebanyak USD 115.6 Bilion. Thailand pula seperti dua kali lebih "kaya" daripada Malaysia dengan rizab berjumlah USD 180 Bilion.

5) Tapi jangan bimbang ! Akan ada "pakar" ekonomi atau Yang Berhormat akan kata kita adalah lebih bagus daripada Filipina dan Vietnam. Filipina memiliki rizab sebanyak USD 85.75 Bilion dan Vietnam hanya USD 40 Bilion, rendah daripada Malaysia.

24/11/2016

Jho Low Kerja Untuk Siapa?

1) Mahkamah Singapura dapati seorang eksekutif bank bersalah kerana MENOLONG memudahkan urusan menggubah duit haram (money laundering) yang di"mastermind" Jho Low.

2) Yak Yew Chee mengaku salah membantu Jho Low dalam urusan "memusing dan melencongkan" wang berjumlah BILION RINGGIT ke akaun-akaun yang tidak sepatutnya dengan tujuan ROMPAKAN bertaraf mega.

3) Ada bukti menunjukkan Jho Low cuba mengaburi duit yang masuk ke akaun beliau adalah "bersih" dengan duit itu "disalurkan" ke akaun bapanya sebelum masuk ke akaunnya. Kononnya HADIAH daripada kekayaan keluarga.

4) Berbilion duit berasal daripada 1MDB dibuktikan di mahkamah Singapura telah DIUBAH secara haram.

5) Segala kejadian duit 1MDB GHAIB itu berlaku dikala Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ialah satu-satu orang yang boleh mengesahkan segala keputusan berkaitannya. Tanpa TANDATANGAN Pengerusi Lembaga Penasihat, tiada keputusan pelaburan dan pengaliran duit boleh dilakukan.   Siapa Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ? Tanpa kebenaran dia, Jho Low tidak boleh pula menggunakan Yak Yew Chee untuk tugas seterusnya.

MCA Ada Hubungan Dengan Parti Komunis ? * Orang UMNO "sokong" Komunis ?

1) Orang Melayu yang menonton TV3 memang diberitahu bahawa DAP akan menguasai kerajaan jika Barisan Nasional yang diketuai UMNO tewas di Pilihan Raya Umum 14 nanti. Maknanya, terus sokong UMNO-BN supaya Melayu tidak diperintah DAP.

2) Bagi TV3 dan kebanyakan pemimpin UMNO, DAP adalah TALIAN HAYAT yang akan meneruskan kemenangan UMNO-BN di banyak kerusi Parlimen yang dikuasai majoriti besar pengundi Melayu di luar bandar juga Felda. Melayu ditakutkan dengan "cerita" DAP ini anti Islam, anti hak istimewa Melayu dan anti kepimpinan Melayu di Malaysia. Pemimpin UMnO tahu "tanpa" DAP, mereka sudah lama kalah !


3) Melayu ini yang dibenci dan ditakutnya lebih daripada benda-benda lain ialah YAHUDI ISRAEL dan Komunis. Komunis ini memang satu konsep yang Melayu sejak zaman dahulu lagi tidak boleh terima. 

4) Kalau diberitahu Melayu yang ada persatuan atau syarikat tempatan ada bekerjasama dengan pihak Yahudi / Israel maka sudah PASTI mereka akan naik angin dan menuntut supaya organisasi yang bekerjasama itu menamatkan terus perhubungan tersebut atau terus saja terima kesan boikot.

5) Ada risikan mengatakan yang MCA ada terlibat dengan perjanjian rasmi dengan Parti Komunis China. Pihak DAP yang TV3 gunakan untuk takutkan Melayu kampung itupun tidak ada buat perjanjian 
rasmi dengan KOMUNIS. Jadi siapa yang lebih KOMUNIS, DAP atau MCA ? Melayu mahu sokong UMNO yang "kawannya" MCA ada hubungan dengan Parti Komunis China ?

22/11/2016

The Economist: BILION DIROMPAK !

1) The Economist adalah majalah mingguan tentang ekonomi dan kewangan yang bertaraf dunia.
2) Setiap minggu ianya terjual melebihi 1.3 juta unit. Separuh daripada pembacanya ialah warga Amerika Syarikat dan sekitar 600 000 - 700 000 unit lagi terjual di seluruh dunia. Pembaca The Economist adalah mereka yang mempunyai pendidikan tinggi, berstatus korporat / ahli intelek dan memahami perjalanan bisnes juga ekonomi dunia.

3) Edisi terbaru The Economist jelas membawa cerita buruk tentang Perdana Menteri Malaysia dan 'projek' 1MDBnya. Mereka pertikaikan bahawa berbilion Ringgit sudah 'hilang' tetapi tiada sebarang pendakwaan dilakukan di Malaysia terhadap sesiapa yang sepatutnya bertanggungjawab. Sebaliknya mereka yang cuba mendedahkan segala masalah berkaitan skandal 1MDB pula yang disoal-siasat, ditangkap, dibicara dan ada yang sudah dijatuhkan hukuman seperti yang berlaku kepada Rafizi Ramli, YB Pandan.
4) Di Singapura, seorang eksekutif bank telah didapati bersalah dan akan dipenjarakan selama 18 minggu kerana terlibat dalam 'membantu' urusan berkaitan penggubahan wang haram 1MDB. Di Amerika Syarikat, Jabatan Keadilannya (DoJ) telah mengeluarkan kenyataan bahawa kira-kira RM14 Bilion duit berasal daripada 1MDB telah 'diselewengkan' dan sebahagian daripada Bilion itu telah disalurkan langsung ke akaun Perdana Menteri Malaysia.
5) Rakyat berharap Perdana Menteri melalui Peguam Negara Apandi Ali segeralah MENYAMAN The Economist yang telah memburukkan nama baik Ketua Kerajaan Malaysia yang sekaligus membawa kepada terjejasnya sentimen pelabur asing dan masyarakat luar terhadap negara kita ini !

21/11/2016

KJ Kata Generasi Muda Ada Pemahaman TERPESONG Tentang Tun Mahathir ?

1) Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) cuba merendahkan tahap pemikiran generasi muda yang majoriti besarnya mempunyai rasa respek dan kagum yang tinggi kepada Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun (1981-2003), Dr. Mahathir Mohamad.
2) KJ kata: “Anak-anak muda di media sosial kata mereka merindui zaman Dr Mahathir. Mereka tidak dilahirkan pun ketika itu, jadi saya tidak faham apa yang mereka rindukan. Mereka lebih terdedah dengan mengaitkan Dr Mahathir dengan Menara Kembar dan Putrajaya."
3) KJ dengan konfidennya cuba berayat: “Malangnya rekaan mengenai Dr Mahathir ini dicipta semasa beliau menjadi sebahagian Umno sehingga generasi baru merasakan beliau tidak bersalah. Inilah kesannya. Kita perlu berusaha menangani perkara ini.”
4) Sifat melawan KJ yang entah betul-betul ada nilai pahlawan ataupun tidak bolehlah kita uji apabila beliau bertegas untuk MELAWAN Mahathir: “Kita perlu tegaskan bahawa beliau tidak lagi bersama kita, dan perlu lawan beliau serta sesiapa sahaja yang tidak bersama kita,”
5) KJ ada buat kajian berapa ramai pula anak muda yang masih respek dan kagum dengan bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir ? Pak Lah berhenti tahun 2009, Dr. M pula 2003, mana mungkin yang baru berhenti tidak ada ramai yang terus respek dan kagum ?

20/11/2016

Najib Kata Dr. Mahathir Cakap Tak Betul Tentang Ekonomi Malaysia ?

1) PM Najib Razak kata Dr. Mahathir Mohamad hanya bercakap politik tentang keadaan ekonomi Malaysia. Najib Razak kata apa yang Dr. Mahathir cakap pasal ekonomi negara tidak berasaskan kepada fakta. Najib kata segala data ekonomi Malaysia seperti yang ditunjukkan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) adalah bagus.

2) Najib Razak wajarlah dibawa "rapat-rapat dengan permukaan bumi" supaya dia dapat bezakan di antara data / nombor / fakta dengan apa yang SEBENARNYA berlaku kepada "The Real Economy (ekonomi sebenar)" yang dirasai rakyat.

3) Sejak akhir 2014, nilai Ringgit Malaysia (RM) jatuh menjunam. Untuk tahun 2015, Ringgit kita menjadi matawang paling TERUK jatuh di Asia Pasifik. Prestasi Ringgit adalah jauh lebih teruk daripada matawang jiran terdekat seperti Bhat, Rupiah dan Peso. Jangan sebut Singapore Dollar ! Makin teruk nilai Ringgit maka makin MAHAL produk-produk impot, makin MISKINlah kuasa beli rakyat. Penganalisis pro-Kerajaan akan kata ekonomi dunia tidak stabil, tapi mereka dengan sengaja tidak berani bersuara kenapa Ringgit jatuh paling teruk ! Apa faktor tambahannya ?

4) Pasaran saham telah menjadi kronik sepanjang tahun 2015 hinggalah kini. Pemodal-pemodal antarabangsa "KELUAR" daripada pasaran Malaysia dan membawa bersama mereka berbilion-bilion Ringgit yang akhirnya "dilambakkan" di pasaran matawang untuk ditukarkan kepada US Dollar. Kini, keyakinan pelabur antarabangsa kepada pasaran saham Malaysia adalah cukup tipis dan bukan untuk tujuan pelaburan jangka masa panjang. Mereka hanya cuba menjadi pemain saham "ekspres." Teruknya pasaran saham negara, maka ianya akan memberi kesan negatif kepada BERJUTA rakyat yang ada simpanan dalam KWSP, Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Wawasan 2020 dan beratus jenis saham amanah lainnya.

5) Cukuplah keadaan Ringgit dan pasaran saham negara menjadi dua petunjuk paling rapat bagi menunjukkan sejauh mana bagusnya keadaan ekonomi Malaysia. Belum lagi kita tambah dengan Bajet defisit (tidak cukup duit) sebanyak kira-kira RM40 Bilion untuk tahun 2017, jumlah orang tiada kerja yang semakin meningkat dan ketidakupayaan Kerajaan untuk memberi subsidi minyak masak sepenuhnya. Jika ekonomi sedang CEMERLANG, adakah pasaran saham akan jatuh, peluang pekerjaan mengecil dan tiada duit untuk subsidi minyak masak ?

19/11/2016

Apa Akan Jadi Pada TV3 Kalau BN Hilang Kuasa ?

1) Soalan ini tiba-tiba "terkeluar" daripada otak saya.

2) Jika dilihat kepada kaedah berita TV3, kelihatan "terlebih-lebih" dalam mempertahankan apa jua yang dibuat dan "diinginkan" pihak Kerajaan. 

3) "Berlebih-lebihnya" TV3 sebagai pejuang Kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh meninggalkan stesen TV milik langsung Kerajaan iaitu RTM 1, RTM 2, Bernama TV dan pengendali stesen berbayar ASTRO (saluran Awani). 

4) RTM dan Bernama pastinya akan terus begitu kerana ianya dimiliki Kerajaan. Siapa jua Kerajaan maka liputan mereka akan lebih "ke arah" itu. Astro melalui saluran Awani pula memang sentiasa menunjukkan laporan berita yang agak "masuk akal" walaupun 70% lebih kepada pihak BN. Sekurangnya laporan RTM, Bernama dan Awani tidaklah membuatkan kita jadi "sewel" ataupun terbeliak mata.

5) TV3 dimiliki secara langsung oleh syarikat berkaitan UMNO, bukan Kerajaan. Jadi, "ke mana" TV3 jika  BN hilang kuasa ?

Rakyat Tidak Ada Kerja !

1) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kata Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Dia yakin rakyat Malaysia akan menjadi rakyat yang tinggi pendapatan di bawah pentadbirannya.

2) Peliknya, sepanjang tahun 2016 ini, jumlah orang yang tiada pekerjaan (layak berada dalam sektor pekerjaan dan mahu bekerja) meningkat berbanding tahun 2015.

3) Data perbandingan bulanan di antara tahun ini dan tahun lepas menunjukkn peningkatan ketara. Contohnya, seramai 501500 orang tiada pekerjaan dalam bulan Januari, 2016 berbanding 450300 orang pada Januari, 2015. Ini menunjukkan peningkatan 11.4% dalam jumlah orang tiada pekerjaan dalam tempoh setahun !

4) 34% daripada pelajar lepasan ijazah tidak mempunyai pekerjaan pada tahun 2015 berbanding 30% pada tahun 2013. Senang kata, 1 daripada 3 anak muda yang tamat belajar di universiti gagal mendapatkan pekerjaan. 

5) Bagaimana mahu wujudkan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi jika negara itu sendiri gagal mengujudkan peluang pekerjaan yang sesuai dan sepadan untuk rakyatnya akibat daripada kegagalan pengembangan ekonomi yang padu ?

18/11/2016

UMNO SUDAH MATI ???

1) Berikut saya 'turunkan' secara terus apa yang ditulis Syed Akbar Ali, seorang penganalisis politik dan perkembangan dunia:

" UMNO is Dead
UMNO Kedah sudah mati.

Tinggal ketua bahagian dan ajk

UMNO Sabah sudah tak ada
Bilik Cawangan tempat simpan bakul

Sekarang ahli Melaka keluar beribu-ribu pula.
Wei, buatlah usul. 
Lembik bac_l tu ganti lah.
Your leader is a c_ssy lah ! "

2) Syed Akbar adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai pengalaman dalam sektor perbankan, ahli penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, penulis dan konsultan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Ada pihak turut mengaitkan beliau sebagai di antara 'penasihat' ekonomi bidang kewangan dan ekonomi kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad di zaman kemajuan rancak Malaysia dahulu.

3) Syed Akbar yang pernah meramalkan kekecohan 'Arab Springs' di negara-negara Asia Barat akan berlaku sebelum ianya terjadi pada tahun 2011 secara sinis YAKIN bahawa UMNO SUDAH MATI !

4) Pemimpin-pemimpin UMNO pastinya tidak akan bersetuju dengan analisis 'ringkas' ini. Bukankah UMNO mempunya kira-kira 3 juta ahli di seluruh Malaysia kecuali Sarawak ? Itu baru ahli, belum lagi dikira para penyokong UMNO.

5) Terpulanglah kepada anda semua sama ada bersetuju atau tidak dengan analisis yang mengatakan UMNO SUDAH MATI. Apa yang pasti, UMNO masih kuat jika dilihat kepada laporan media seperti TV3, RTM, Utusan Malaysia dan Berita Harian.

11/11/2016

Ringgit Malaysia Makin Teruk ? Barang Akan Makin Mahal ? Rakyat Makin Susah ?

1) Sehari dua ini lepas Donald Trump menang Presiden Amerika Syarikat nampaknya Ringgit Malaysia jatuh dan bertambah "murah" nilainya berbanding US Dollar.

2) Ringgit memang sudah parah jatuh nilainya sejak akhir 2014 seiring dengan jatuhnya harga komoditi eksport utama Malaysia seperti hasil berasaskan petroleum, kelapa sawit dan getah. 

3) Sepanjang 2015, Ringgit yang masih lemah bertambah parah akibat persepsi cukup negatif kepada pengurusan kewangan Malaysia kerana "dunia memandang isu-isu melibatkan 1MDB dan derma RM2.6 Bilion kepada Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sebagai sesuatu yang amat negatif." Ringgit dijual secara berjemaah / berpasukan, "there is a huge of supply on RM, little demand for it." Akibatnya Ringgit jatuh dan seperti sukar untuk berada di tahap RM3.80 ke bawah bagi setiap USD.

4) Dek jatuhnya harga komoditi dunia dan persepsi negatif masyarakat kewangan dunia kepada Malaysia, RM terus lemah dan berada di tahap atas RM4 untuk setiap USD. Semakin besar angka RM untuk setiap USD bermakna semakin murahlah RM, semakin lemah dan barangan impot dari luar negara akan mahal kepada rakyat Malaysia.

5) Terkini RM ada mencecah sekitar RM4.50 untuk setiap USD. Kemenangan Trump seperti disambut negatif oleh "pemain spekulator" matawang dan masyarakat pelabur. Mereka takut (mungkin sekejap) untuk menyimpan Ringgit. Ringgit terus dijual dan lambakan berlaku (increment of supply). Itu satu faktor. Mungkinkah pendedehan pelbagai penyelewengan melibat 1MDB di mahkamah Singapura ataupun reaksi negatif pelabur kepada hasil rombongan pelaburan Perdana Menteri ke China dengan penambahan berpuluh bilion hutang baru turut menyumbang kepada kelemahan berterusan Ringgit ?

07/11/2016

PM Najib Pasti Boleh Kuatkan Ringgit

1) Berada di Platinum Mall, Bangkok sememangnya "syurga" bagi orang biasa-biasa seperti saya.

2) Tolak tepi pasal jenama tapi ambil kira kualiti, pilihan dan gaya yang diberikan maka ratusan "outlet" yang ada di bangunan 6 tingkat ini memang akan buat kita rambang mata dan puas hati dengan harganya.


3) 100 Bhat kini lebih kurang RM12 nilainya. Sebelum tahun 2015 nilai 100 Bhat adalah sekitar RM10 sahaja. Apa maknanya? Ringgit Malaysia sudah SUSUT atau jatuh nilainya kira-kira 20% berbanding matawang Thailand itu. Senang kata, kita miskin 20% berbanding duit Thailand.

4) Saya beli 3 kemeja lengan panjang yang "design," kualiti kain dan pilihan warnanya adalah 99% sama dengan satu jenama yang selalu saya beli di Malaysia. Harga kemeja itu di Malaysia sekitar RM70 - RM100  tetapi di sini saya dapat dengan harga 200 Bhat sepasang iaitu kira-kira RM24 sahaja. Bayangkan jika tukaran Ringgit kepada Bhat masih seperti sebelum "isu" 1MDB dan persepsi masyarakat antarabangsa kepada Perdana Perdana Menteri Malaysia "merudum" sekitar tahun 2015; Maka baju itu adalah RM20 sahaja sepasang ! Kini kerana Ringgit "bermasalah" ianya seakan RM24 walhal harganya di Thailand tetap 200 Bhat.

5) Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak beritahu Malaysia dia berjaya membawa pelaburan banyak ke dalam negara dan prestasi ekonomi kita adalah bagus. Oleh itu, kita harap Kerajaan bantulah "naikkan" Ringgit kembali sebagai bukti Malaysia memang hebat di bawah Kerajaan pimpinan Mohd. Najib. Sepatutnya kini 100 Bhat adalah di bawah SEPULUH RINGGIT kerana ekonomi kita di mata dunia adalah CEMERLANG menurut Menteri-Menteri Mohd. Najib.

03/11/2016

RM1 Juta - RM1 Bilion - RM1 Trilion

1) Ada yang mula panggil saya "Bro 800 Bilion." Saya rasa kelakar jadinya ! Ada pula yang tanya, "Juta-jutapun tak berapa pandai nak tulis, bro dah cerita pasal trilion. Bilion pon baru kita orang nak hadamkan."

2) Hari ini saya mahu kaitkan bilion dan trilion dengan juta. Saya yakin kebanyakan kita sudah faham juta. Maklumlah, ramai mengidam mahu duit Sejuta Ringgit. Ada sejuta maka jutawanlah kita. Harga rumah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinangpun sudah biasa yang bernilai Sejuta Ringgit dan ke atas. Orang beli Sijil Simpanan Premiumpun kerana mengidam mahu dapat hadiah cabutan RM1 Juta.

3) RM1 Juta ditulis sebagai RM1 000 000. Ianya bersamaan dengan 1 juta keping duit RM1.

4) RM1 Bilion = RM1 000 000 000. RM1 Bilion ini bersamaan dengan 1000 kali RM1 Juta. Kalau bahagikan duit 1 Bilion kepada 1000 orang, maka ada 1000 oranglah JUTAWAN baru. Contoh lain, RM2.6 Bilion pula boleh hasilkan 2600 JUTAWAN. Kalau diberi seorang RM1000, maka RM2.6 Bilion boleh diberi kepada 2.6 Juta manusia ! Mungkin satu negeri Perak atau satu negeri Selangor dapat seorang RM1000 daripada RM2.6 Bilion itu. 

5) RM1 Trilion = RM1 000 000 000 000 = RM1 000 Bilion. Berapa ramai Jutawan baru dapat dihasilkan jika duit RM1 Trilion dibahagi sama rata ? Jawapannya ialah 1 Juta manusia ! Begitulah banyaknya 1 Trilion.

01/11/2016

RM1 030 000 000 000 Hutang !

1) Minggu lepas saya tunjukkan hutang langsung serta hutang yang dijamin Kerajaan Malaysia berada pada kadar menghampiri RM840 Bilion sehingga Jun, 2016.

2) RM840 Bilion itu pada bentuk angka lengkapnya ialah RM840 000 000 000.

3) Itu hutang Kerajaan Malaysia. Bagaimana pula dengan hutang rakyat Malaysia ? 

4) Sehingga Mei, 2016, hutang terkumpul yang dimiliki rakyat Malaysia ialah RM1.03 Trilion. Dalam bentuk angkanya ialah RM1 030 000 000 000. Inilah seperti kali pertama dalam sejarah ANGKA di Malaysia Boleh ini kita mula dengar perkataan TRILION. Juta-juta sudah bukan "mainan" kita lagi nampaknya.

5) Jumlah RM1.03 Trilion itu adalah lebih kurang 89% daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (gross domestice product, GDP) Malaysia. Sesungguhnya jika "meletop" ke dua-dua bentuk hutang ini (bubble's bust) ianya akan meranapkan negara. Urus tadbir kewangan dan polisi kewangan negara yang mantap amatlah diperlukan.