26/06/2016

Politik


1) Semalam buat pertama kali saya beritahu Encik (ayah) yang 2017 saya perlu mula aktif dalam politik. Saya mahu daftar dan bergerak aktif dalam satu parti yang ideologinya seakan "kena" dengan prinsip saya.

2) Saya kata yang penting ialah saya ada niat yang baik dan saya yakin saya mampu. Tetapi saya sedar apapun TUHANlah yang akan tentukan segalanya. Jangan memasang impian yang tinggi kerana nanti diri merana.

3) Sama ada saya pergi jauh atau pergi dekat atau tidak bergerak di mana-mana itu bukan masalahnya. Dalam jiwa sudah diletak awal-awal bahawa saya tidak akan bermimpi keterlaluan.

4) Saya katakan pada Encik, cubaan adalah penting. Saya tidak gila pada kedudukan kerana saya sentiasa letak dalam jiwa ini bahawa saya bukanlah seorang yang ada kebolehan sangat. Saya ini budak penakut, budak pemalu sewaktu membesar dahulu. Jadi, saya hanya mahu meletakkan kepercayaan dan visi saya di tempat yang sewajarnya walau cuma aktif di peringkat kecil-kecilan.

5) Jika UMNO terus menjadi gila kerana bertuankan Presiden Mohd. Najib Abdul Razak, tidak salah untuk saya memilih antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun Parti Amanah Negara (Amanah). Pentingnya ialah negara dan anak bangsa tidak terus diperbodoh dan institusi-institusi kenegaraan diperbuat sesuka hati oleh pemimpin yang rakus dan ego !

19/06/2016

Tahniah Perdana Menteri Mohd. Najib !

1) Majoriti pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah memilih (Pilihan Raya Kecil - PRK, 18 Jun 2016). Mereka beri kemenangan lebih bergaya kepada Barisan Nasional (BN) berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 3 tahun lepas.

2) Tahniah buat Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kerana kita pasti beliaulah orang yang paling mahukan BN menang.

3) Mohd. Najib telah bersorak cukup lantang. Beliau sempat memperli, menghina dan memperkecilkan Perdana Menteri ke 4 Dr. Mahathir Mohamad. 

4) Mohd. Najib kelihatan terlebih teruja dengan keputusan PRK terbabit. Tidak salah untuk dia bergembira kerana dia memang bermatian mahu "kelihatan" popular di mata rakyat. Masalahnya, sebagai ahli politik kanan yang telah 40 tahun bergelut dalam dunia politik, Mohd. Najib tidak langsung kelihatan seperti pemimpin beraura hebat apalagi layak diingat sebagai negarawan selepas bersara / meninggal dunia kelak. Beliau melepaskan amarahnya bertubi-tubi kepada manusia "91 tahun" itu hingga tergamak mengatakan "kita akan lawan dia habis-habisan."

5) Tindak-tanduk Mohd. Najib ini seperti seorang pesalah yang dihantui rasa takut dan tiba-tiba dapat sesuatu yang membuatnya rasa lega buat seketika, terus jadi gagah "menggila" lupa adab dan sopan.

17/06/2016

Najib Takut Dr. M ?

1) Esok (Sabtu, 18 Jun 2016) sepatutnya Perdana Menteri ke 4 Malaysia yang digelar Bapa Pemodenan Malaysia Dr. Mahathir Mohamad akan muncul dalam sebuah rancangan bual bicara komedi, 'Obviously Harith Iskander' di Astro Awani jam 9.30 malam.

2) Malangnya, pihak Astro telah diarahkan untuk menghentikan rancangan tersebut.

3) Sebelum ini, 'iron lady' zaman Dr. M selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri paling lama dalam sejarah negara iaitu Rafidah Aziz telah menjadi tetamu rancangan terbabit. Rafidah banyak mengimbas kembali kenangan zaman Dr. M. Rafidah juga dalam ketawa sempat memberi komen tentang tiga perkara yang tidak boleh dipolitikkan iaitu pendidikan, agama dan bangsa.

4) Kenapa Astro mendapat 'ARAHAN' agar siaran berkaitan Dr. M ini dihentikan ?

5) Adakah rejim Najib semakin takut dengan Dr. M yang usianya bakal mencecah 91 tahun itu ? Adakah ini kerja Menteri bernama Salleh Said Keruak yang bertanggungjawab menjaga TV itu ? Kadang-kadang 'lebih sudu daripada kuah.' Mungkin juga.