26/02/2018

Rasuah Tinggi, Kesihatan Terabai

1) Laporan badan pemantau rasuah dunia (Tranparency International) menunjukkan Malaysia semakin teruk kedudukannya.


2) Tahun 2017, kedudukan persepsi rasuah Malaysia jatuh ke tangga 62 di dunia. Kita berada di nombor 55 pada tahun 2016. Mudah kata, masyarakat dunia memandang Malaysia bertambah negatif, rasuahnya teruk. 


3) Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tahun 2017 juga menimbulkan 'ketakutan' apabila BAJET KESIHATAN Malaysia hanyalah 6% daripada keseluruhan peruntukan perbelanjaan Kerajaan. 


4) Untuk perbandingan, bajet kesihatan jiran di utara kita iaitu Thailand ialah 13% daripada perbelanjaan Kerajaannya. Singapura selaku jiran di selatan kita pula membelanjakan 14% daripada bajet perbelanjaan negara itu untuk tujuan kesihatan rakyat. Vietnam yang kita anggap 'kurang maju' juga bajet kesihatannya berganda daripada Malaysia iaitu 14%. 


5) Mengikut laporan Sunday Star (24 Februari 2018), negara 'miskin' seperti Afghanistan dan Zambia mempunyai peratusan peruntukan kesihatan di dalam bajet perbelanjaan negara masing-masing yang lebih tinggi berbanding Malaysia. 


Nota akhir: Dua kisah ini tidak dapat menutup kisah Malaysia 'semakin maju dan bagus' dengan bertambahnya peruntukan BR1M dan SL1M bagi tahun 2018. 


* BR1M bertambah = rakyat kurang berkemampuan semakin ramai.


* SL1M bertambah = peluang pekerjaan secara langsung untuk graduan lepasan universiti semakin sukar ATAU banyak IPT alami masalah membentuk pelajar yang ada nilai pasaran kerja yang dikehendaki majikan.


24/02/2018

Jualan Murah Menjelang PRU

" Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Timbalan Menteri Pelancongan dan Ketua Puteri UMNO begitu bangga hari ini (24 Februari) kerana mengadakan Program Jualan Murah barangan keperluan asas rakyat seperti telor, bawang, cili kering dan ikan bilis di DUN Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka. Beliau dengan gembiranya mengatakan bahawa Jualan Murah Parlimen Masjid Tanah itu akan diadakan pula di DUN-DUN lain Masjid Tanah pada Mac ini. Kata Ketua Puteri UMNO itu, Program Jualan Murah di Parlimen beliau adalah bukti Kerajaan semasa memahami denyut nadi rakyat. Agaknya sehingga bilakah mereka ini ingat rakyat dan terutamanya orang kampung hanya perlukan telor dan ikan bilis 5 tahun sekali ? Apa guna jadi Timbalan Menteri kalau ingat masalah kos sara hidup rakyat boleh diselesaikan dengan buat program Jualan Murah seperti itu (5 tahun sekali !) tatkala Pilihan Raya Umum bakal muncul tidak lama lagi. "


Fendi Ahmad 

24 Februari 2018

SL1M & BR1M Petanda Bagus ?

" Apabila program untuk graduan menganggur yang dijenamakan sebagai SL1M semakin lama semakin beribu-ribu tempat ditawarkan Kerajaan DAN bantuan kewangan untuk rakyat berpendapatan rendah yang disebut BR1M juga setiap tahun semakin berjuta-juta orang perlu disediakan; Apakah ini PETANDA negara semakin maju dan ekonomi berkembang pesat untuk menyenangkan rakyat ? "


Fendi Ahmad

24 Februari 2018

PM Makan QUINOA Ganti Nasi

" Hakikatnya memang ada orang taraf-taraf biasapun boleh keluarkan duit ekstra supaya pagi dan malam boleh minum jus Pamoga, Jus Nusantara ataupun Gamolex dan tidak kurang juga ramai yang berpendapatan sederhana makan beras perang manakala gula digantikan dengan stevea. Semuanya atas tuntutan kesihatan. Perdana Menteri makan QUINOA sebagai ganti beras dengan harga sekilogram bijiran itu mencecah RM60 tiba-tiba menjadi sensasi dan jadi bahan MEMBALUN PM. Bab makanan dan kesihatan ini tidak perlulah jadi bahan kutuk mengutuk. Dengan gaji halalnya sebagai Ahli Parlimen Pekan, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, RM60 sekilogram QUINOA itu tidaklah melampau mana. Apa yang patut kita BALUN ialah benda yang LUAR BIASA, HARAM dan MENYUSAHKAN rakyat dan negara. RM31 Bilion bajet perbelanjaan negara untuk 2018 digunakan untuk bayaran BUNGA hutang Kerajaan, jualan runcit dan pasaraya besar bagi tahun 2017 menguncup sebagai bukti rakyat tiada cukup wang untuk berbelanja, Bank Negara umum bahawa harga rumah di Malaysia semakin menggila dan diluar keupayaan rakyat kebanyakan, bajet pendidikan seluruh negara diturunkan dan hospital mengalamai masalah tidak ada ubat untuk penyakit kritikal. Isu-isu inilah yang patut kita BALUN Tuan PM sehabisnya. "


Fendi Ahmad

24 Februari 2018

23/02/2018

Kepada "Bakal - Bakal" YB Ahli Parlimen dan YB ADUN

1) Kepada yang sedang berangan, melobi mahupun berharap sangat mahu jadi calon Pilihan Raya Umum, sila kita tanya mereka sejauh manakah mereka tahu akan sistem pengasingan kuasa di Malaysia ini yang terdiri daripada cabang Eksekutif, Legislatif (Perundangan) dan Kehakiman.


2) Badan Eksekutif terdiri daripada Yang di Pertuan Agong, Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri, Menteri Besar / Ketua Menteri serta barisan Exco dan keseluruhan perkhidmatan awam. Tugasnya ialah menjalankan pentadbiran dan pengurusan negara / negeri.


3) Legislatif ataupun Perundangan terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen (Dewan Rakyat), Ahli Dewan Negara / Senator (Dewan Negara) dan Ahli Dewan Undangan Negeri / ADUN (Dewan Undangan Negeri). Legislatif bertangggungjawab membuat / menggubal undang-undang.


4) Kehakiman pula terdiri daripada hakim-hakim yang menafsir undang-undang yang telah diluluskan cabang Legislatif (Perundangan) dan juga Perlembagaan negara.


5) Oleh itu, adalah sesuatu yang wajib dilihat kembali akan tugas utama YB-YB adalah bertindak sebagai "WAKIL KEPADA RAKYAT" dalam menggubal / berdebat sesuatu cadangan undang-undang baharu juga dasar-dasar penting yang akan digunapakai negara / negeri. YB-YB wajib berpengetahuan luas, berfikiran jauh dan tidak sekadar menjadi "rubber stamp" kepada cadangan undang-undang ataupun dasar-dasar yang dicadangkan Eksekutif (kebiasaannya jemaah Menteri / Majlis Mesyuarat Negeri).

SEKOLAH KEBANGSAAN METHODIST PJ KENA POTONG ELEKTRIK: Kerajaan Sudah Tiada Duit ?

1) Pagi Rabu, 21 Februari 2018, TNB potong bekalan elektrik di SK Methodist Petaling Jaya kerana tidak menjelaskan bil sejak September 2017.
2) Jumlah bil elektrik sekolah itu yang tertunggak adalah sekitar RM8000. Bekalan elektrik disambung semula sekitar jam 1.30 tengahari selepas bayaran tertunggak dijelaskan.
3) Ini suatu kisah yang tidak boleh dipandang ringan. Sebuah sekolah kebangsaan tidak 'MAMPU' membayar bil elektrik selama beberapa bulan lamanya sehingga terpaksa dipotong bekalannya oleh TNB.
4) Apapun penjelasan Menteri Pendidikan (sekiranya ada penjelasan), situasi ini seharusnya akan membuka persoalan besar kepada rakyat Malaysia: Adakah Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak sedang mengalami masalah GAGAL menguruskan kewangan negara dengan baik dan rakyat biasa menjadi mangsa ?
5) Tempohari 'BOSS Mydin' kata rakyat Malaysia sudah tiada cukup duit untuk berbelanja, Bank Negara pula kata rakyat tidak mampu beli rumah dan sekarang Kerajaan Barisan Nasional pula sudah tiada duit untuk bayar bil elektrik sekolah ?
WAJARKAH KERAJAAN INI DIPERTAHANKAN ?

22/02/2018

Menteri Indonesia Terbaik Di Dunia 2018

1) Sri Mulyani Indrawati yang dilantik Presiden Jokowi sebagai Menteri Kewangan Indonesia pada Julai 2016 diiktiraf sebagai Menteri Terbaik Dunia di Persidangan Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai (11 Februari 2018).
2) Anugerah secara tahunan tersebut diberikan kepada seorang menteri yang berjaya melakukan pembaharuan yang berkesan di negara mereka.
3) Menurut panel pemilih, Sri Mulyani dengan jayanya telah membantu ekonomi Indonesia “mencapai hasil ketara dalam mengurangkan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, mengurangkan hutang awam dan meningkatkan ketelusan transaksi awam”. Untuk rekod, Sri Mulyani tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik.
4) Sudah tiba masanya juga untuk Malaysia tidak menjadikan satu kemestian untuk lantikan ke jawatan Menteri, Timbalan Menteri mahupun Exco Negeri dikalangan wakil rakyat mahupun ahli politik sahaja. Kabinet Perdana Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri seharusnya dianggotai oleh mereka yang berkebolehan, gabungan di antara wakil rakyat, ahli politik bukan wakil rakyat dan sesiapa juga yang berbakat dan berkelayakan.
5) Ada orang sesuai jadi wakil rakyat tetapi tidak sesuai menjadi Menteri, Timbalan Menteri ataupun Exco. Ada yang sesuai dan layak menjadi wakil rakyat dan pegang jawatan Kerajaan sekaligus. Ada juga yang tidak perlu jadi YB tetapi sesuai untuk fokus pegang jawatan tertentu sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Exco.

20/02/2018

Timbalan Menteri Perlu Merayu Duduk Di Jalan Berlubang

" Kalau memiliki seorang Ahli Parlimen UMNO bertaraf Timbalan Menteri juga tidak menjamin permintaan menampal jalan berlubang akan dipenuhi oleh pihak berkuasa tempatan, sesuatu yang normallah agaknya untuk rayuan mahupun aduan rakyat biasa tiada berjawatan akan gagal mendapat respon yang sewajarnya. Timbalan Menteri perlu bersila di atas jalan tar sambil berlakon aksi berdoa lalu menjadi viral ? Adakah Timbalan Menteri UMNO itu tidak ada cara lain ? Pengundi pilih Ahli Parlimen untuk kejar viral ? Tidak bolehkah Datuk Timbalan Menteri itu pergi ke pejabat pihgak berkuasa tempatan itu dan bincang segala masalah dan aduan yang mahu dibuatnya ? Kita yakin, Datuk Bandar sendiri akan menyambut Datuk Timbalan Menteri itu dengan senyuman dan hormat. "
Fendi Ahmad
20 Februari 2018

14/02/2018

MYDIN kata rakyat tidak berduit, kompeni rokok untungnya jatuh MERUDUM

1) Tempohari bos besar Mydin Datuk Ameer Ali Maidin kata walaupun laporan ekonomi negara dikatakan baik tetapi hakikatnya rakyat tiada wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit seharian.
2) Mengikut rekod tiga bulan pertama tahun 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia dilaporkan meningkat sebanyak 5.6 peratus tetapi pada masa yang sama jualan runcit menyusut sebanyak 1.2 peratus. Jualan hypermarket / pasar besar seperti Mydin, Giant dan Tesco pula menguncup sebanyak 4.8 peratus.
3) Data ini jelas menunjukkan bahawa RAKYAT telah kurang berbelanja. Apabila disebut jualan runcit dan jualan hypermarket ianya perlu difahamkan kepada jualan barangan keperluan asas bagi menampung kehidupan wajib rakyat dan bukannya bagi tujuan barangan mewah ataupun berbentuk kehendak yang bukan keperluan. Kurang berbelanja bukan pula bermaksud kadar simpanan ataupun pelaburan dikalangan rakyat biasa telah bertambah.
4) Syarikat pengeluar / pengedar rokok utama di Malaysia iaitu British American Tobacco (BAT) yang menguasai 55% pasaran 'halal' rokok dengan jenama seperti Dunhill, Kent, Lucky Strike, Pall Mall serta Rothmans pada 13 Februari 2018 mengumumkan bahawa keuntungan mereka bagi tahun 2017 adalah yang PALING TERUK dalam tempoh 17 tahun ! Keuntungan BAT merudum 34% berbanding tahun 2016.
5) Dua sebab utama yang membawa kepada prestasi yang agak teruk bagi syarikat rokok ternama itu ialah peralihan belian oleh perokok kepada jenama 'halal' yang lebih murah dan bertambahnya minat perokok kepada jenama 'haram' (rokok seludup) yang jauh lebih murah daripada rokok mereka yang mahal kerana bercukai. Mudah kata, perokok pilih yang sehabis murah mereka mampu.
Kesimpulannya: Rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat dengan agak melampau dan tiadanya usaha serius pihak Kerajaan untuk ikhlas memahaminya. Ada kata-kata nakal berbunyi - bukankah jatuh harga barangan bermakna kurang cukai GST dapat dikutip ?.

12/02/2018

Bermulanya Kisah Penipuan 1MDB

1) 27 Februari 2009, Kabinet meluluskan tujuan bertindak sebagai PENJAMIN kepada sebuah hutang bernilai RM5 bilion oleh Terengganu Investment Authority (TIA). TIA ditubuhkan pada tahun 2008. Kerajaan Terengganu di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menentang pinjaman terbabit.


2) Pada 3 Jun 2009, Kabinet diberitahu bahawa Sultan Terengganu mahukan laporan tentang pinjaman oleh TIA itu yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran sah. 


3) 25 Julai 2009, Kementerian Kewangan yang diketuai Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak membuat keputusan untuk ambil alih TIA dan menjadikannya sebuah syarikat milik Kerajaan Malaysia. Nama asalnya (TIA) ditukarkan kepada 1MDB (1 Malaysia Development Berhad) pada 25 September 2009. Modal awal 1MDB adalah sebanyak RM1 juta + RM2. Modal maksima yang dibenarkan ialah sebanyak RM1 bilion. Mohd Najib menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB di mana semua keputusan berkaitan pelaburan dan kewangan memerlukan kelulusan beliau. 


4) 10 Oktober 2009, CEO pertama 1MDB Shahrol Azral Halmi memberitahu Lembaga Pengarah 1MDB bahawa hutang pertama diambil oleh TIA sebanyak RM5 bilion itu dibuat atas nasihat 'Penasihat Istimewa' 1MDB yang bernama Abdul Aziz Mohd Akhir dan Low Taek Jho atas sebab untuk pembangunan Pulau Bidong dengan kerjasama syarikat dari Abu Dhabi, UAE bernama Mubadala.


5) Untuk rekod, Mubadala pada Mei 2009 telah membuat PENAFIAN bahawa mereka ada terlibat dengan mana-mana projek di Malaysia selain daripada pembangunan Iskandar di Johor. 


INI CERITA PENIPUAN PERTAMA 1MDB !

Undi Tak Rahsia

" Encik (ayah) saya pagi tadi sewaktu kami berborak sebelum saya kembali ke Melaka secara tiba-tiba berkata -- Nampaknya kali pertamalah dalam hidup ni nanti undi DAP -- Encik saya ini usianya bakal mencecah angka 70 pada tahun 2019. Sepanjang hidupnya beliau sentiasa mengundi lambang dacing Barisan Nasional baik untuk kerusi Parlimen Segamat, Johor mahupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Segamat. Emak juga yang berusia 60an akan pecahkan sejarah sendiri. Mengikut ketetapan Pakatan Harapan, Parlimen Segamat akan diwakili calon daripada PKR dan calon DAP untuk DUN Jementah. PKR hanya mula bertanding di Segamat pada PRU 2013 selepas diberi laluan oleh DAP. Calon PKR ketika itu Datuk Chua Jui Meng hanya tewas dengan majoriti sekitar 1200 undi kepada Presiden terkini MIC,Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. "
FendiAhmad
12Februari2018
#UndiSudahTakRahsia
#HarapanUntukMalaysia

10/02/2018

Encik Ghaffar Baba

" Ada betul juga Allahyarham Tun Ghaffar Baba sehingga menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia tetap terus dengan panggilan rasminya YAB Encik Ghaffar Baba sahaja. Beliaulah Encik paling 'kanan' dalam sejarah Malaysia ! Beliau tidak pernah bersetuju untuk menerima sebarang anugerah daripada mana-mana negeri. Anugerah yang membawa gelaran TUN yang diterima beliau di waktu sudah bersara daripada politik itupun dikatakan secara tidak sengaja kerana seperti sudah 'terperangkap' dengan cadangan Dr. Mahathir Mohamad kepada Agong ketika itu. "


Fendi Ahmad 

10 Februari 2018