26/07/2017

Beri Sini Dan Kutip Sana

" Seperti setiap kali ada pengumuman duit itu duit ini kepada pihak tertentu maka mesti diikuti oleh pengenalan cukai baru atau KENAIKAN itu juga PENINGKATAN ini mahupun PENGURANGAN subsidi. Inilah kaedah matematik bijak pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang mungkin penasihat utamanya Menteri Abdul Rahman Dahlan yang menjaga Unit Perancang Ekonomi. Beri sana kutip sini namanya. Terima kasih PM sebab petrol naik 6 sen seliter untuk seluruh rakyat Malaysia dan insentif tunai RM5000 untuk peneroka FELDA. "


Fendi Ahmad 

26 Julai 2017

24/07/2017

Katakan Tidak Pada GST

" Jika peneroka FELDA dapat insentif tunai RM5000 dan ianya dirasakan boleh 'beli undi' dan 'beli kepercayaan' mereka kepada pentadbiran Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak maka tidak mengapalah. Kita hormati apa jua rasa, fikiran dan sokongan Pakcik / Makcik para peneroka semuanya. Apa yang lebih penting ialah lebih ramai Pakcik dan Makcik di kampung-kampung yang bukan kategori peneroka FELDA juga akak / abang di pinggir-pinggir bandar yang semakin hari semakin pening dan rungsing memikirkan harga barangan harian yang naiknya cukup terasa yang amat sejak GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015. Walaupun GST itu cumalah 6% tetapi kesan BERANTAInya seolah jauh lagi tinggi. Ingat wahai Pakcik, Makcik, Akak dan Abang di kampung-kampung, pekan-pekan juga pinggiran kota semuanya; BR1M RM1200 itu bukan ubat yang boleh mengurangkan sesak nafas kita tetapi ubatnya ialah KEBERANIAN kita semua untuk mengubah apa yang patut sewaktu MENGUNDI nanti. Pilihlah mereka yang berjanji menghapuskan pemula masalah utama kita iaitu GST. Katakan tidak pada GST. "
Fendi Ahmad
24 Julai 2017

23/07/2017

Peneroka FELDA Bodoh dan Buta Hati ?

" Saya sama sekali tidak bersetuju dengan komen-komen yang geram dengan sambutan gemuruh para peneroka FELDA yang begitu gembira dengan pengumuman PM Najib Razak terutamanya insentif tunai RM5000 dan juga penghapusan hutang bagi tujuan tanam semula. Mereka juga bersorak gemuruh tatkala PM seperti meminta sokongan buat Kerajaan sedia ada. Ada komen-komen tergamak mengatakan peneroka FELDA sebagai BODOH, sanggup menjual maruah dan buta hati kerana terus menyokong Kerajaan yang penuh dengan skandal juga seakan mengizinkan segala kelemahan salah tadbir FELDA. Mencaci dan menghina peneroka tidak membawa kepada mereka berfikir untuk berubah. Kita seharusnya akui PM Najib Razak memang terpaksa mengambil hati peneroka FELDA agar terus menyokong UMNO-BN memandangkan terdapat lebih kurang 50 kerusi Parlimen yang dikuasai kawasan FELDA. Hidup dan mati pentadbiran PM Najib Razak amat BANYAK bergantung kepada kawasan FELDA dan juga kerusi-kerusi di Sabah / Sarawak. Tetapi TSUNAMI mega tetap tidak dapat dihalang dengan bentangan kain sutera buatan negara China sekalipun. "


Fendi Ahmad 

23 Julai 2017

Travel Bajet Rendah


1) Melancong bajet rendah juga boleh melihat keindahan ciptaan Tuhan.


2) Selepas Medan, Bali, Jakarta dan Yogyakarta, Bandung menjadi destinasi ke lima di Indonesia dapat saya lawati dalam tempoh tiga tahun ini. 


3) Tiga lagi tempat di negara Pancasila ini yang saya "teragak" mahu jejak ialah Lombok, Surabaya dan Padang.


4) Tiket saya ke Bandung ini pergi dan balik tidak sampai RM200. Hotel penginapan pula bertaraf tiga bintang untuk empat malam tidak cecah RM400, kongsi berdua maka lebih murah jadinya. Usaha sedikit dan buat kajian untuk dapat yang terbaik.


5) Kawah Putih yang jaraknya sekitar 39 kilometer dari Bandar  Bandung ini wajib kita lawati jika ke sana. Kepuasan terjamin. Tiket masuk cuma 50000 Rupiah (sekitar RM17). Tuhan ciptakan Kawah Putih supaya kita bisa tersenyum dan mensyukuri momen-momen kehidupan. Indahnya Kawah Putih terhasil hanya selepas gunung berapi memuntahkan laharnya beratus tahun. Sesuatu yang indah dan hebat hanya hadir selepas susah dan senang dilalui.