10/07/2016

Selamat Hari Jadi Tun M

1) Selamat Hari Jadi Ke 91 Buat Bapa Pemodenan Malaysia Yang Amat Saya Sayang Lagi Hormati.

2) Andalah "The Best Dato' Seri" dalam hidup saya. Tiada seorangpun "Dato' Seri" lain yang akan mengambil kedudukan itu di dalam jiwa saya.


3) Andalah idola saya dulu, kini dan selamanya. Zaman saya membuka siaran TV jam 8 malam untuk mendengar sebutan, "Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad" adalah momen terbaik dalam sejarah Malaysia yang merdeka. Semangat Malaysia Boleh, Wawasan 2020, Sukan Komanwel 1998 dan Negara Kita Tanggungjawab Kita cukup sebati dalam jiwa kami rakyat Malaysia di era 1990an dan awal abad ke 21.

4) Visi dan ideologi anda meresap kukuh di dalam gaya fikir dan tindakan saya sejak di sekolah rendah.

5) Anda akan selamanya ada saya sebagai salah seorang daripada berjuta pewaris Generasi M untuk Malaysia.

" Tuhan rahmati Tun Dr. Mahathir Mohamad ! Tuhan anugerahkan dia dengan segala kekuatan, kesehatan dan kebahagiaan "

Drama Melayu Drama Cina Drama Tamil Drama Hindustan

1) Saya akan gunakan bahasa sedikit kasar untuk "posting" ini.

2) Kebetulan hari ini (Sabtu, 9 Julai) seperti ada dua tiga "posting" sahabat FB yang secara "direct" memerli mahupun mengeji pasal "trend" semasa drama Melayu yang majoritinya berasal daripada novel cinta yang kisahnya indah-indah belaka, Tan Sri sana Datuk sini, Tengku sana Tuan sini, bisnes juta juta dan muka semuanya elok-elok belaka.

3) Bagi saya "trend" drama berubah-ubah. Ada masa dulu semua pasal pendekar (pertengahan 90an), lawak jenaka (akhir 90an dan awal millenium baru), hantu lawak hantu seram, sedeh-sedeh pon pernah dan macam-macamlah lagi.

4) Yang kamu sebok perasan diri bagus dan bila drama tempatan saja adalah buruknya tu kenapa? Kalau dah memang kepala otak kau tak suka benda-benda "lokal" ni janganlah kau ingat benda tu buruk saja. Penerbit buat drama berdasarkan konsep "boleh jual" atau tidak. Tiada siapa mahu jual benda yang orang tak mahu beli. Biasanya konsep "trend" drama-drama itu tidak akan kekal lebih daripada tiga tahun.

5) Saya bukanlah penonton drama bersiri tempatan kerana saya tidak ada masa untuk jadi penonton setianya tapi saya anti pada manusia yang hanya memikir minat dia sahaja. Minat manusia lain kau ingat murahan. Kesian !

09/07/2016

Sarawak MAHU, Tanah Melayu MAHU, Sabah MAHU, Bangsa Johor MAHU ?

1) Sejak Perdana Menteri Mohd. Najib Abdul Razak kekal kuasa selepas Pilihan Raya Umum 2013 dengan "bantuan" kuat Sarawak maka kita buat pertama kali mendengar cerita "Sarawak mahu lebih kuasa, lebih autonomi."

2) Ketua Menteri Adenan Satem bijak orangnya. Dia berjaya bentuk persepsi meyakinkan di Sarawak hingga majoriti rakyat pengundi di Sarawak jatuh cinta sama "jenama Adenan." Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang bebas daripada nama-nama seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN dan myPPP berjaya raih kemenangan besar sewaktu Pilihan Raya Negeri 2016 baru-baru ini. Populariti Tok Nan dibantu dengan kecelaruan pakatan pembangkang menenggelamkan segala "persepsi warna-warni Najib Razak."

3) Dr. Sim Hui Kian selaku Presiden SUPP, parti berasaskan bangsa Cina di Sarawak yang merupakan parti komponen BN Sarawak yang ke 2 terbesar selepas PBB membuat satu kenyataan yang cukup berani. Dia mahu Sarawak tidak lagi disebut sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. 

4) Presiden SUPP itu mahu Sarawak tidak lagi disebut sebagai salah satu negeri di dalam Persekutuan Malaysia jika Sarawak mahu mendapat layanan sama rata di dalam Persekutuan dan seterusnya mendapat autonomi daripada Putrajaya.

5) Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri Mohd. Najib dan semua Ahli Parlimen seramai 222 orang supaya berhati-hati dengan isu ini. Jika ianya DIBENARKAN maka orang semenanjung akan mula mengatakan Persekutuan Malaysia dibentuk oleh Semenanjung Tanah Melayu (MALAYA), Singapura, Sabah dan Sarawak. Semenanjung Tanah Melayu pula dianggotai 11 buah negeri berbeza. Akan ada pula permintaan untuk memanggil semenanjung kembali sebagai Tanah Melayu atau Malaya kerana jika Sarawak mahu "sama rata" maka orang semenanjung juga mahu "tanah" mereka diiktiraf "sama rata." Lepas ini Sabah pula mungkin "bersuara." Lepas itu silap-silap "Bangsa Johor" pula ungkit semula mereka bukan asalnya negeri-negeri Melayu bersekutu dan mereka tidak pernah dijajah secara rasmi maka Johor juga mahu autonomi. Johor diiktiraf berdaulat oleh istana England sebelum Malaya merdeka. Permainan politik ini amat BERBAHAYA ! Kita bakal menyambut Hari Kebangsaan ke 60 tahun pada 2017 tapi "politik PM Najib" bawa kita seperti awal tahun 1964 waktu Malaysia belum berumur setahun.

26/06/2016

Politik


1) Semalam buat pertama kali saya beritahu Encik (ayah) yang 2017 saya perlu mula aktif dalam politik. Saya mahu daftar dan bergerak aktif dalam satu parti yang ideologinya seakan "kena" dengan prinsip saya.

2) Saya kata yang penting ialah saya ada niat yang baik dan saya yakin saya mampu. Tetapi saya sedar apapun TUHANlah yang akan tentukan segalanya. Jangan memasang impian yang tinggi kerana nanti diri merana.

3) Sama ada saya pergi jauh atau pergi dekat atau tidak bergerak di mana-mana itu bukan masalahnya. Dalam jiwa sudah diletak awal-awal bahawa saya tidak akan bermimpi keterlaluan.

4) Saya katakan pada Encik, cubaan adalah penting. Saya tidak gila pada kedudukan kerana saya sentiasa letak dalam jiwa ini bahawa saya bukanlah seorang yang ada kebolehan sangat. Saya ini budak penakut, budak pemalu sewaktu membesar dahulu. Jadi, saya hanya mahu meletakkan kepercayaan dan visi saya di tempat yang sewajarnya walau cuma aktif di peringkat kecil-kecilan.

5) Jika UMNO terus menjadi gila kerana bertuankan Presiden Mohd. Najib Abdul Razak, tidak salah untuk saya memilih antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun Parti Amanah Negara (Amanah). Pentingnya ialah negara dan anak bangsa tidak terus diperbodoh dan institusi-institusi kenegaraan diperbuat sesuka hati oleh pemimpin yang rakus dan ego !